Isnin, 5 Disember 2011

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Mahu pelanggan puas hati

Posted: 05 Dec 2011 05:30 AM PST

BAGI sesetengah orang, kerjaya hakiki tidak bermakna rezeki yang diperoleh setiap bulan hanya terhenti setakat itu saja.

Mereka sanggup melakukan apa saja bagi menambah pendapatan terutama kepada mereka yang sudah berkeluarga apatah lagi jika perkara yang dilakukan itu mampu mendatangkan kepuasan.

Apa yang penting, ada kerajinan untuk berusaha dan rezeki yang diperoleh juga halal.

Bagi pasangan serasi, Muhammad Yusri Md Nor, 27 dan isterinya Roz Izzany Zainal Abidin, 28, keputusan membuka perniagaan sampingan yang menyediakan set buaian untuk majlis cukur jambul ternyata bukan satu pilihan sia-sia.


Bermula awal tahun lalu, Izzany dan suaminya melakukan usaha secara berperingkat untuk melengkapkan perniagaan mereka sebaik mungkin walaupun sibuk dengan kerjaya masing-masing.


Namun kerana mahu komited terhadap perniagaan, mereka langsung tidak kisah apabila terpaksa mengorbankan waktu terluang terutama jika menerima sebarang tempahan.

"Kami seronok menggerakkan perniagaan ini, jadi tidak timbul soal penat atau letih.

"Malah kami rasa teruja setiap kali menyiapkan tempahan terutama apabila hendak menghias buaian yang diminta oleh pelanggan.

"Biarpun kadangkala terpaksa tidur lewat, kami tidak kisah, janji setiap pelanggan puas hati dengan kualiti dan hasil kreativiti yang kami persembahkan.

"Hanya bergerak berdua untuk menjayakan misi kami, saya mengakui sangat bertuah kerana mempunyai suami yang amat bertimbang rasa dan prihatin selain memahami setiap kehendak saya dalam menyiapkan tempahan.

"Saya juga rasa bersyukur kerana suami banyak membantu dalam apa jua keadaan,"
kata Roz Izzany ketika ditemui di kediamannya, di Ukay Perdana, Kuala Lumpur.

Pasangan ini turut menjadikan rumah mereka sebagai studio peragaan bagi pelanggan yang mahu melihat dahulu contoh buai sebelum membuat keputusan.

Selain berkorban masa, mereka berdua juga sentiasa peka terhadap material terkini yang berada di pasaran dan untuk itu, mereka sering meninjau setiap barangan baru di pasaran.

"Saya dan suami berbuat demikian kerana mahukan yang terbaik untuk produk kami.

"Bukan hanya perlu berkualiti dan cantik, tetapi perlu juga peka dengan material atau hiasan terbaru yang terdapat di pasaran.

"Selain kami, ada juga ahli perniagaan lain yang turut menawarkan jenis perniagaan yang sama. Jadi saingan tidak kurang hebatnya dan sebab itu, kami mesti sentiasa peka," ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Set buaian yang disediakan oleh Izzany merangkumi beberapa pakej, bergantung kepada bajet pelanggan.

Setiap set dilengkapi dengan dekorasi, tilam dan bantal manakala pakej yang lebih mahal akan dilengkapi dengan permaidani, set merenjis, lampu tumpu serta cenderamata untuk kumpulan marhaban.

Mengulas lanjut mengenai pembabitan awal Izzany yang bertugas di sebuah bank di ibu kota, segala-galanya bertitik tolak daripada majlis cukur jambul anak mereka, Muhammad Rifqi pada tahun lalu.

Mereka menyewa kelengkapan untuk majlis cukur jambul daripada seorang kenalan dan daripada situ, tercetus idea bagi menjalankan perniagaan berkenaan.

"Sebelum membuat keputusan, kami berbincang terlebih dahulu dengan rakan saya untuk buka perniagaan yang sama dan dia sedikit pun tidak menghalang.

"Alhamdulillah, sehingga kini, perniagaan kami berjalan dengan baik dan tidak pernah putus pelanggan.

"Sejak bermula pada awal tahun lalu, tempahan sentiasa ada, cuma kami perlu bijak dan berhati-hati dalam menerima tempahan kerana tidak mahu mengecewakan hati pelanggan," katanya.

Selain set buaian cukur jambul, Izzany dan Yusry turut menyediakan set tambahan makanan seperti kek cawan, macaroon dan gula-gula bagi tetamu cilik mengikut harga dan tempahan yang dipilih oleh pelanggannya.

Full content generated by Get Full RSS.

Mudah gantung beg

Posted: 05 Dec 2011 04:58 AM PST

MANA hendak makan, mana hendak diletak beg tangan. Dikelek di ketiak, diselimpang di bahu. Diriba saja di atas paha?

Diletak di atas meja, mungkin mengganggu hidangan. Diletak di tempat lain, risau beg tangan kesayangan hilang pula. Tumpuan makan atau bersembang dengan teman asyik terganggu kerana sentiasa membetulkan kedudukan beg tangan sendiri.

Ya, wanita dan beg tangan memang sentiasa rapat dan akrab.

Meletak beg tangan di atas lantai di celah kaki memang biasa, tetapi sangat tidak digemari. Ia boleh saja terpijak oleh diri sendiri atau orang lain yang duduk semeja dengan kita.


Sebab itu, penyelesaian yang paling mudah dan berjaya ialah mempunyai penyangkut beg tangan di sisi!


Alat ini sangat berguna dan tentu saja wanita gembira mempunyainya. Setiap wanita harus ada dan dibawa di dalam tas terutama sekiranya aktiviti membabitkan makan-makan di luar. Tidak kira di restoran besar, kecil mahupun gerai.

Ia selalunya dibuat daripada besi berwarna perak ataupun keemasan. Sesuaikan reka bentuknya dengan suasana kerana ada pelbagai gaya yang boleh dibawa ke setiap tujuan.

Sama ada ke jamuan makan malam berprestij, jangan risau, ada penggantung beg tangan yang sesuai untuk itu. Biar ia kena dengan beg tangan.

Penggantung beg tangan ini memang sudah lama ada di pasaran, tetapi masih ramai yang tidak tahu kewujudan serta kegunaannya. Apabila dipakai di mana-mana majlis, ia sering menjadi tumpuan dan wanita yang melihat mula bertanya di mana boleh membelinya kerana merasakan ia amat praktikal.

Ia ada pelbagai jenis dan cara gantungan. Ada yang separuh membulat dan ada yang membulat semuanya, tetapi perlu diubah kedudukan sekiranya mahu menggantung beg di situ.

Penyangkutnya boleh digantung di beg tangan sebagai rantai kunci atau simpan sahaja di dalam beg.

Hiasan pada penggantung itu pula ada pelbagai ukuran, bentuk serta warna. Ia menepati semua selera, ada yang biasa, berbatu permata dan ada juga hiasan cukup ringkas.

Bukan sekadar bergaya tetapi paling penting, ia praktikal. Sebab itu ia sesuai dijadikan hadiah mahupun cenderahati kepada sesiapa jua. Ia boleh menjadi pemberian yang istimewa kerana boleh dikatakan semua wanita boleh menggunakannya.

Harganya pelbagai mengikut reka bentuk dan ukuran. Harga penyangkut terbabit biasanya bermula daripada RM20 sehingga RM100. Sekiranya rekaannya eksklusif dan ditambah mutiara atau kristal, harganya lebih tinggi.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved