Ahad, 11 Disember 2011

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Turun gunung lebih mencabar

Posted: 11 Dec 2011 07:31 AM PST

SEPANJANG sejam berbual dengan Mohd Asman Iljam, 40, penulis bukan saja rasa kagum tetapi turut 'malu'. Bukan apa, Asman yang sukar berjalan dengan baik akibat masalah palsi serebrum sejak kecil (iaitu keadaan membuatkan otot menjadi lemah) berlatih menaiki tangga di rumah pangsanya sehingga ke tingkat 17. Bukan sekali, tetapi dua hingga empat kali sehari!

Apabila hujan lebat, dia sedikit muram kerana tidak dapat bersenam. Namun wajahnya akan kembali ceria jika ibunya, Roslia Mahmud, membenarkan dia berlatih walaupun sekali. Semangat dan tekad Asman memang kuat. Baginya apa sangatlah tangga setinggi 15 tingkat itu jika hendak dibandingkan dengan cabaran yang bakal dilalui di Gunung Kinabalu.

Dek semangat itulah juga, dia berjaya menawan puncak gunung kemegahan negara itu dalam Ekspedisi Pendakian Di Luar Kemampuan Gunung Kinabalu pada 13 hingga 17 Oktober lalu bersama 18 orang kelainan upaya (OKU) dengan ditemani dua doktor dari Pusat Kesihatan dan Rehabilitasi WQ Park serta 99 sukarelawan Kelab Rotary.

"Teruja, sangat teruja. Allah saja yang tahu perasaan saya ketika berada di puncak. Kalau ada peluang, saya mahu pergi lagi," katanya sepatah-sepatah. Walaupun agak sukar memahami butir katanya yang tidak jelas, namun kegembiraan jelas terpampang di wajah Asman. Kejayaan itu menebus kehampaan pada 1999 kerana dia tidak berdaya meneruskan pendakian akibat melecet teruk di kaki tatkala tiba di pos Laban Rata.


Jika tidak melihat gambar dan sijil penghargaan, memang sukar hendak percaya Asman dan rakan OKU lain termasuk yang ada masalah Sindrom Down dan cacat penglihatan sudah sampai ke singgahsana Kinabalu. Malah, ibunya yang menunggu di penginapan di kaki gunung menitiskan air mata apabila melihat anaknya berjaya menghabiskan pendakian dengan selamat.


"Mendaki itu susah, tetapi hendak turun lebih payah. Ada kalanya saya terpaksa dipapah apatah lagi ketika kami turun hujan lebat, cuaca pula sangat sejuk dengan suhu sekitar enam hingga tujuh darjah Celsius. Trek licin dan berbahaya. Namun semakin penat, semakin kuat semangat hendak segera sampai ke puncak" katanya lagi.

Bagi Ngok Kok Meng, 15; Zamzam Modjahidin, 15 dan Muthu Magendran, 21 dari Persatuan Penjagaan Kanak-kanak Cacat Klang - antara yang pertama sampai ke puncak, kegembiraan mereka juga sangat sukar digambarkan. Mereka juga tidak dapat menahan air mata apabila berdiri di puncak Kinabalu selepas melalui perjalanan yang sangat sukar.

Banyak air mata pendaki ekspedisi ini tumpah tatkala melihat Mohd Irwan Hakeem Sidek, 29, yang mengalami palsi serebrum dan tidak boleh bercakap menjerit gembira sebaik disahkan tiba di puncak, apatah lagi sebelum itu dia hampir pengsan kerana terlalu penat. Namun, atas dorongan ayahnya yang turut serta dalam ekspedisi itu menguatkan semangat Irwan untuk meneruskan pendakian.

Godrey Ooi, yang cacat penglihatan tidak sangka pada usia 63 tahun dia mampu sampai ke puncak yang menjadi idaman ramai pendaki itu. Laluan Ooi dan dua rakan senasib, Taslim Kosni, 63 dan Jacqueline Sarlah Emmanuel, 61, lebih mencabar kerana setiap langkah perlu 'diraba' terlebih dulu. Namun, latihan mendaki bukit di sekitar Kuala Lumpur selama tiga bulan membolehkan mereka bertahan sepanjang pendakian.

"Cabaran paling hebat ialah untuk mengatasi halangan fizikal dan mental. Sesetengah laluan sangat tinggi atau curam. Dalam keadaan tidak nampak dan penat, laluan akan jadi sangat sukar sehingga boleh membuatkan kita putus asa.

"Sepanjang mendaki saya ingatkan diri sendiri untuk bertahan. Saya katakan pada diri sendiri, jika orang yang lebih tua dari saya pun boleh sampai ke puncak, tiada sebab saya tidak boleh. Syukur, dengan bantuan sukarelawan saya dan Taslim berjaya juga akhirnya walaupun tempoh pendakian kami dua kali ganda lebih lama dari orang lain.

"Apabila sampai ke puncak saya tidak boleh berfikir kerana terlalu penat. Dalam hati saya sangat gembira dan bersyukur kepada Tuhan memberi saya peluang yang sangat berharga itu," katanya sebelum berlepas ke India bersama isteri sebagai 'hadiah' kepada pencapaian membanggakan itu.

Sememangnya setiap pendaki OKU ini mempunyai cerita tersendiri, walaupun ada beberapa yang hanya mampu bertahan separuh jalan. Pun begitu, bukan mudah untuk sampai walaupun ke pos Laban Rata yang terletak pada ketinggian 3,272 meter dengan masalah fizikal yang mereka miliki.

Pendaki OKU lain yang turut menyertai ekspedisi berkenaan ialah Yong Mae Way, 24; Abirami Rengasamy, 21; Loh Yit Sern, 19; Lau Chin Chuan, 24 dan Chong Min Jie, 14.

Saringan dan persediaan

Peserta dipilih dari empat pusat iaitu Persatuan Spastik Selangor dan Kuala Lumpur, Persatuan Penjagaan Kanak-kanak Cacat Klang, Pusat Hopehaven Melaka dan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB).

Pemilihan dilakukan oleh Kelab Rotary berdasarkan tahap kesihatan, kemampuan dan ketahanan fizikal, keazaman serta kepatuhan menjalani latihan yang dijalankan selama tiga hingga sembilan bulan; mengikut keadaan setiap orang.

Menurut Perunding Perubatan Rehabilitasi, Dr Tunku Nor Taayah Tunku Zubir, setiap peserta perlu menjalani pemeriksaan kesihatan yang terdiri daripada ujian untuk mengetahui kekuatan otot, jantung dan paru-paru. Peserta juga diuji sekiranya menghidap asma (kerana ada risiko tinggi mengalami masalah pernafasan ketika mendaki gunung), keseimbangan fizikal dan mental.

"Malah, kita juga jalankan pemeriksaan ketahanan kardiovaskular melalui ujian langkah bagi mengetahui kadar denyutan nadi. Bagi yang ada kencing manis dan tekanan darah tinggi, perlu jalani pemeriksaan lain bagi memastikan penyakit mereka dalam keadaan terkawal," katanya.

"Selain latihan mencukupi, peserta OKU dinasihatkan untuk mengambil pemakanan seimbang dan minum banyak air. Pada masa sama mereka juga perlu ada cukup 'vitamin semangat' - yang datang perlu datang daripada keluarga, rakan dan jurulatih," katanya.

Cabaran

Menurut jurulatih sambilan di Persatuan Kanak-kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan, Low Kai Tuck, Asman dan dua rakan palsi serebral atau CP, Irwan dan Janice Yim, 44, menjalani latihan yang 'sukar' kerana cabaran paling besar bagi individu CP ialah ketiadaan kestabilan. Ketika berjalan, bila-bila saja mereka boleh jatuh.

"Sebagai permulaan, kami berlatih berjalan di permukaan yang tidak rata. Kemudian disusuli latihan naik turun tangga untuk meningkatkan stamina dan daya ketahanan mereka. Selepas itu mereka dikehendaki berjalan di tepi longkang yang saya rentang tali. Latihan ini susah kerana saya tidak benarkan mereka melihat ke bawah (ke tanah) ketika berjalan, perlu fokus pandangan ke depan.

"Latihan berjalan di tepi longkang ini untuk meningkatkan keyakinan dan keseimbangan mereka. Jika tidak seimbang, mereka akan jatuh ke dalam longkang. Setiap kali latihan, saya akan tekankan apa yang penting ialah membina keseimbangan dan keyakinan, bukan kepantasan berjalan.

"Selain itu, saya galakkan mereka berlatih sendiri di rumah seperti yang Asman lakukan. Untuk elakkan bosan, kami berlatih di tempat berbeza termasuk mendaki Gunung Nuang atau menjelajah hutan rekreasi di Taman Tun Dr Ismail Malah, bulan puasa pun kami masih buat latihan ringan di sekolah (pusat spastik)," katanya.

Low yakin dengan pepatah Melayu yang mengatakan di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Dia melihat individu CP sebagai kumpulan yang sangat istimewa kerana walaupun mengalami halangan fizikal tetapi mereka mempunyai semangat luar biasa.

"Mereka boleh melakukan sesuatu yang menakjubkan. Apa yang penting ialah beri mereka peluang dan sokongan. Bagi individu CP, sokongan keluarga sangat penting," kata jurulatih skuad paralimpik kebangsaan itu.

Perkara ini diakui ibu Asman, Roslia yang tidak pernah jemu memberi galakan kepada anaknya, apatah lagi melihat kesungguhan anak sulungnya itu berlatih.

"Dia sedar ada banyak perkara yang dia tidak boleh lakukan. Mungkin itulah sebabnya apabila ada peluang, dia memang bersungguh-sungguh, bukan hanya untuk ekspedisi ini saja tetapi dalam semua perkara.

"Kalau dia kata mahu berlatih, saya benarkan. Jika tidak nanti dia sugul di rumah. Biasanya dia hanya ambil masa 30 hingga 40 minit untuk naik tangga hingga ke tingkat 17 dan turun semula," katanya.

Menurut Pengasas dan Pengerusi Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Klang, Morgun Nadesan yang turut bertindak sebagai jurulatih, cabaran dihadapi pelajarnya pula sedikit berbeza. Ini kerana kebanyakan pelajarnya terdiri daripada individu sindrom Down dan ada masalah pembelajaran.

Walaupun keadaan fizikal pelajarnya sempurna tetapi mereka sukar menerima dan memahami apa yang diajar. Bahkan daya tumpuan mereka juga pendek dan mudah terganggu walaupun disebabkan perkara kecil. Lebih sukar, semangat mereka tidak sekuat dan sekental individu CP.

"Satu-satu latihan perlu diulang beberapa kali barulah mereka faham. Sebagai pelatih, kami memang perlu bersabar dengan kerenah setiap orang. Selain itu, kebolehan dan kepantasan setiap orang tidak sama. Selalunya setiap kali berlatih mendaki, saya tertinggal jauh di belakang. Malah pernah juga seorang pelajar saya hilang kerana dia tidak mahu jalan berkumpulan.

"Sering juga mereka merungut kerana sudahlah perlu berlatih mendaki bukit setiap hari di Taman Rakyat Klang, pada hujung minggu perlu ke Kuala Lumpur untuk latihan yang dikelolakan Kelab Rotary. Setiap kali mereka berasa malas, saya beri rangsangan dengan mengatakan itulah peluang untuk menaiki kapal terbang," katanya tersenyum bangga dengan pencapaian pelajarnya.

Risiko gangguan kesihatan

Menurut Dr Taayah, antara masalah kesihatan yang kerap dialami pendaki gunung ialah ketidakselesaan akut pergunungan (AMS) terutama apabila berada di ketinggian melebihi 2,400 meter. Ia boleh berlaku kepada sesiapa saja walaupun berlatih secukupnya.

Bagaimanapun, kesan AMS biasanya tidak dirasai sehinggalah anda berada pada satu-satu ketinggian untuk beberapa jam. Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4,095 meter dikategorikan sebagai 'sangat tinggi' dan setiap pendaki berisiko mengalami AMS.

"Biasanya AMS berpunca daripada gabungan beberapa faktor seperti kurang tekanan udara dan tahap oksigen yang rendah di tempat tinggi. Kebarangkalian berlaku dan keterukan AMS bergantung kepada daya ketahanan seseorang, berapa cepat dia mendaki atau turun. Lebih cepat anda naik atau turun, risiko mendapat AMS lebih tinggi," katanya.

Antara gejala AMS ringan dan sederhana ialah:

  • Sukar tidur
  • Pening
  • Lesu
  • Sakit kepala
  • Mual atau muntah
  • Degupan jantung menjadi cepat
  • Nafas tercungap-cungap

    Gejala AMS teruk pula ialah:

  • Edema pulmonari altitud tinggi (HAPE) ialah keadaan apabila paru-paru dimasuki cecair dan menyebabkan sesak nafas. Pendaki tidak sepatutnya ada kesukaran bernafas ketika berehat walaupun berada di puncak Everest. Jika anda sesak nafas ketika berehat, bermakna anda mengalami HAPE. HAPE juga boleh menyebabkan demam panas dan batuk berkahak.
  • Edema serebrum altitud tinggi (HACE) ialah keadaan apabila wujudnya cecair dalam otak. Ia menyebabkan seseorang berasa keliru, tidak menentu, kelam kabut dan boleh terjauh. Tanda awal seperti rasa malas, emosi yang keterlaluan atau bertindak ganas kadang kala sukar dikesan. Ia lebih berbahaya kerana boleh menyebabkan pening atau pengsan yang mungkin mengakibatkan kematian. HAPE dan HACE boleh berlaku serentak.

    Antara gejala AMS teruk ialah:

  • Kesukaran bernafas ketika rehat
  • Tidak boleh berjalan lurus atau tidak boleh berjalan langsung
  • Batuk
  • Kulit jadi pucat atau biru
  • Batuk berdarah
  • Dada terasa sesak
  • Keliru
  • Hilang kesedaran

    "Individu yang mengalami AMS perlu dirawat segera. Cara terbaik ialah turun ke paras lebih rendah secepat mungkin. Jangan teruskan mendaki jika mengalami gejala yang disenarai di atas. Selain berehat, pesakit boleh diberikan bekalan oksigen, paracetamol atau ubat lain.

    "Berita baiknya, ia boleh dicegah dengan mendaki perlahan-lahan, elakkan minum minuman beralkohol, makan sedikit sedikit tetapi kerap dan mengambil ubat seperti acetazolamide dan dexamethasone.

    "Panduan mudah - berhenti apabila penat dan jika ada gejala, berhenti dan berehat. Namun paling penting ialah mempunyai cukup persediaan (latihan) sebelum mendaki," katanya.

  • Full content generated by Get Full RSS.

    Serangan asma terkawal

    Posted: 11 Dec 2011 07:19 AM PST

    SITI Sarah Abdul Mujib, 31, secara fizikalnya kelihatan sama seperti wanita lain. Namun, dia sebenarnya menghidap penyakit asma sejak kecil sehingga pernah dimasukkan ke hospital akibat penyakit kronik itu.

    Walaupun keadaan penyakitnya tidak menentu sehingga dia memasuki sekolah menengah tetapi dia merupakan pelajar yang aktif.

    "Saya tidak pernah menjadikan penyakit asma sebagai halangan untuk bergiat aktif ketika itu walaupun setiap hari terpaksa menelan ubat asma.

    "Bagaimanapun apabila saya berumur 17 hingga 26 tahun, penyakit asma saya seolah-olah hilang. Dalam tempoh itu saya tidak pernah mengalami gejala asma yang membuatkan saya fikir saya sudah sembuh sepenuhnya. Bagaimanapun penyakit saya ini menyerang balik dan menjadi lebih teruk selepas berkahwin.


    "Saya mendapat serangan asma ketika kandungan anak kedua mencecah lima bulan. Ia bermula dengan selesema, batuk dan dada berasa sempit yang membuatkan saya segera mengajak suami ke hospital bagi mendapatkan rawatan.


    "Doktor yang memeriksa saya memberitahu, asma saya tidak serius. Namun selepas bersalin saya mula merasai tahap kesihatan semakin teruk. Pada masa itu kahak mula bertukar warna kekuningan dan pekat tidak seperti kebiasaannya membuatkan saya mendapatkan semula rawatan di hospital.

    "Saya ditahan di wad kerana asma sudah teruk dan ketika itu doktor mengesyorkan untuk menggunakan alat sedut (inhaler) yang terpaksa diambil setiap hari bagi mengurangkan masalah dihadapi," katanya yang mempunyai nenek dan bapa penghidap asma.

    Doktor menasihatkan Sarah untuk terus menggunakan inhaler dan tidak lagi mengambil pil asma kerana setiap kali memakannya dia akan mendapat simptom dada berdebar-debar serta menggigil selepas itu.

    "Saya juga alah kepada cuaca panas dan habuk yang akan menyebabkan serangan asma menjadi teruk selain tekanan dalam pekerjaan dialami.

    "Selain itu, saya perlu pergi ke hospital dua bulan sekali untuk menjalani ujian kawalan asma (ACT) bagi mengetahui sama ada serangan yang dihadapi berada pada tahap bahaya atau semakin pulih.

    "Doktor akan memberikan nasihat dan rawatan berdasarkan markah yang diperoleh selepas menjalani ujian ACT," katanya.

    Mungkin ramai yang tahu asma adalah sejenis penyakit paru-paru kronik mempunyai gejala dan masalah pernafasan yang berulang-ulang seperti sesak nafas, dada dan batuk.

    Semasa bernafas, udara mengalir bebas ke dalam dan keluar paru-paru tetapi apabila penyakit asma tidak terkawal, saluran pernafasan menjadi tebal, bengkak dan radang.

    Saluran pernafasan menjadi terlalu sensitif kepada perubahan alam sekitar dan akibatnya serangan asma boleh berlaku dengan mudah.

    Semasa serangan asma, lapisan saluran pernafasan membengkak, otot di sekitar saluran udara akan mengetat dan mukus tersumbat di saluran kecil dalam paru-paru menyebabkan pesakit sukar bernafas.

    Gejala awal serangan berbeza-beza mengikut masa. Biasanya gejala lebih teruk pada waktu malam serta di awal padi. Malah tahap seriusnya asma juga berbeza antara pesakit; bergantung kepada keprihatinan setiap orang mengawal penyakit mereka.

    Walaupun asma tidak boleh sembuh namun ia boleh dirawat secara berkesan. Kajian menunjukkan rawatan yang betul boleh dicapai oleh hampir semua pesakit dan mengekalkan kawalan asma dengan baik membolehkan mereka melakukan aktiviti digemari. Pada masa sama ia boleh mencegah untuk mendapatkan rawatan kecemasan di hospital.

    Punca asma masih tidak diketahui dan peningkatan jumlah pesakit di seluruh dunia menjadi tanda tanya dalam dunia perubatan moden hari ini.

    Menurut Pengerusi Yayasan Paru-paru Malaysia, Datuk Dr Zainudin Md Zin berkata, di seluruh dunia hampir 300 juta orang menderita akibat asma dan angka ini dijangka akan bertambah seramai 100 juta lagi menjelang 2025.

    "Di Malaysia jumlah anggaran kelaziman asma di kalangan kanak-kanak di antara umur 0 hingga 14 tahun berada pada kadar 4.5 peratus dan 4.1 peratus pula di kalangan dewasa berumur 15 tahun ke atas.

    "Fasa kedua kaji selidik yang dilakukan Asthma Insights and Reality in Asia-Pacifik (AIRIAP) pada 2006 untuk menentukan tahap kawalan asma terkini di 12 kawasan Asia dengan menggunakan indeks kawalan gejala berasaskan ujian Global Initiative for Asthma (GINA) dan ACT.

    "Di seluruh rantau Asia Pasifik, hanya 142 subjek menunjukkan asma terkawal dilaporkan melalui GINA dan daripada baki iaitu 2,997 menunjukkan asma separa terkawal manakala 1,666 tidak terkawal," katanya.

    Tambahnya lagi, di dalam setiap kategori, di kalangan subjek yang diklasifikasikan sebagai tidak terkawal itu menunjukkan mereka mempunyai lebih gejala asma, kekangan melakukan aktiviti lasak dan peningkatan keperluan rawatan kesihatan segera berbanding pesakit yang mempunyai asma terkawal serta separa terkawal.

    "Sebagai penyedia penjagaan kesihatan, kami sentiasa mencari kaedah inovatif dan berkesan untuk merawat pesakit asma. Bagaimanapun, kami juga memerlukan data dan statistik untuk menyokong keselamatan dan keberkesanan satu-satu kaedah itu sebelum yakin menggunakannya. Maka, keputusan AIRIAP 2 ini sangat penting," jelas Dr Zainudin lagi.

    Penilaian kawalan tidak mencukupi adalah faktor penting yang membawa kepada asma yang tidak dikawal baik. Bukan saja ramai pesakit sering membuat anggaran berlebihan mengenai tahap kawalan asma mereka malah penyedia penjagaan kesihatan juga cenderung untuk melakukan kesilapan sama.

    Ia menunjukkan perlunya alatan mudah dan boleh dipercayai untuk mengukur kawalan asma seperti ACT. ACT adalah salah satu alat mengukur kawalan asma yang mengandungi soal selidik terdiri daripada lima soalan merangkumi gejala, kesan seharian, penggunaan ubat penyelamat dan kawalan asma berkaitan dengan diri.

    Kaedah itu terbukti mempunyai hubungan dengan penilaian pakar tentang tahap kawalan asma namun tahap asma teruk memerlukan rawatan kesihatan segera.

    Menurut Pengarah Institut Perubatan Respitori, Datuk Dr Abdul Muttalif, ACT dijadikan panduan kepada doktor mendapatkan maklumat terkini mengenai pesakit asma yang kebiasaannya tidak dikawal rapi oleh pesakit.

    "Ramai pesakit hanya menggunakan ubat penyelamat mereka apabila gejala muncul mengakibatkan serangan asma teruk tanpa mengetahui tahap sebenar keadaan kesihatan.

    "Kami mahu berganjak daripada situasi ini dan sebaliknya menekankan kepentingan kawalan asma supaya pesakit tidak perlu menggunakan ubat penyelamat.

    "ACT adalah alat ringkas yang mudah digunakan serta berkesan dan boleh digunakan oleh semua doktor dan pesakit yang membolehkan tahap kawalan asma diukur lantas membolehkan rawatan yang sepatutnya diberikan," katanya.

    Tambahnya lagi, dengan adanya ACT dalam Bahasa Malaysia, doktor dan pesakit di negara ini kini mempunyai sumber tambahan untuk menentukan tahap kawalan sama dengan lebih baik lagi.

    "Adalah menjadi harapan bahawa dengan data baru ini yang menyokong keperluan sebagai garis panduan yang baru dan diperbaiki, pesakit asma dapat menjalani kehidupan normal dan aktif sekali gus mengurangkan kos rawatan ekoran daripada lawatan kecemasan ke hospital untuk serangan sama teruk," jelas Dr Abdul Razak dengan penuh harapan.

    INFO

    Dua cara mengenal pasti tahap serius pesakit asma:

    1. Pemeriksaan melalui ujian ACT adalah alat mengukur kawalan asma. Ia mengandungi soal selidik terdiri daripada lima soalan merangkumi gejala asma, kesannya dalam fungsi seharian, penggunaan ubat penyelamat dan kawalan asma yang berkaitan diri.

    2. Indeks kawalan gejala GINA:

  • Ia merangkumi gejala waktu siang hari, kekangan aktiviti, malam hari atau terjaga daripada tidur pada waktu malam, keperluan ubat penyelamat serta asma teruk.
  • Asma kronik yang memerlukan rawatan kecemasan menggambarkan kesan penting kepada pesakit dan ia penyumbang utama kos sosial asma.
  • Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved