Sabtu, 17 Disember 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Tumpas lepas sebulan operasi

Posted: 16 Dec 2011 10:49 AM PST

SERDANG: Kumpulan penjenayah terbabit dalam kegiatan curi kenderaan dan mengedar dadah yang baru sebulan beroperasi di sekitar Lembah Klang tumpas apabila dua ahlinya dicekup selepas polis menyerbu kediaman mereka di Apartmen Suria Kinrara, Puchong dekat sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 10.30 pagi itu, polis merampas pelbagai jenis dadah dan dua kereta curi serta wang tunai yang semuanya dianggarkan RM400,000.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Razak Elias berkata, polis menggelar kumpulan terbabit sebagai 'Geng Cicak Man' ekoran kedua-dua suspek berusia 27 dan 39 tahun itu mempunyai tatu cicak di dada kiri sebagai lambang kumpulan mereka.

"Kami percaya geng ini baru sebulan beroperasi di Puchong dan modus operandi mereka mencuri kenderaan di beberapa negeri lain sebelum menggunakannya bagi mengedar dadah sekitar Lembah Klang.


"Serbuan dilakukan hasil maklumat, risikan dan pemantauan terhadap sebuah kereta Toyota Camry di tempat letak kereta apartmen terbabit yang dipercayai dicuri di Johor awal bulan lalu," katanya.


Menurutnya, sebaik suspek berusia 27 tahun memasuki kenderaan itu, polis terus menahannya dan siasatan lanjut mendapati ia memang kereta curi.

"Polis kemudian menyerbu unit kediaman suspek dan menahan seorang lagi rakannya dipercayai ketua kumpulan penjenayah terbabit.


"Hasil siasatan terhadap kedua-dua suspek, polis menemui sebuah lagi kereta Toyota Wish yang juga dilaporkan hilang baru-baru ini. Selain itu beberapa kunci kereta, senjata tajam dan pelbagai jenis dadah serta wang tunai RM50,000 dipercayai hasil pengedaran dadah turut ditemui," katanya.

Abd Razak berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti rakan atau ahli lain kumpulan berkenaan selain mengesan sama ada terdapat lagi kenderaan curi berikutan penemuan pelbagai kunci kenderaan.


Semua suspek direman sehingga 22 Disember dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Full content generated by Get Full RSS.

Bazar Uptown Port Klang buka 24 jam

Posted: 16 Dec 2011 10:45 AM PST

KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan Bazar Uptown Port Klang menjemput orang ramai yang tinggal di sekitar Klang dan Shah Alam hadir memeriahkan tapak jualan itu kerana mereka bukan saja boleh mendapatkan barangan murah, malah turut dihiburkan dengan persembahan artis setiap minggu selain disajikan dengan banyak aktiviti menyeronokkan.

Penganjurnya, Noor Irdawaty Johari berkata, tapak jualan yang beroperasi sejak 30 September lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat kerana operasi dijalankan 24 jam sehari.


"Antara aktiviti menarik kami sajikan setiap hujung minggu adalah persembahan artis popular, lelongan barangan amal artis dan suai kenal selebriti bersama peminat. Sehingga kini, antara artis yang hadir membuat persembahan adalah Watie Elite, Ani Mayuni, Ali XPDC, Baggio Damasutra dan ramai lagi," katanya.

Menurut Noor Irdawaty, menjelang sambutan tahun baru pada 31 Disember ini, pihaknya akan mengadakan banyak aktiviti menarik antaranya pertunjukan bunga api, persembahan artis dan cabutan bertuah. "Pengunjung berpeluang membawa pulang hadiah menarik bernilai RM5,000 sekiranya mereka membuat pembelian RM20 ke atas dan akan diberikan resit cabutan bertuah.


"Selain itu, usahawan kecil dan ibu tunggal yang berkeinginan untuk berniaga turut dijemput berikutan masih ada beberapa tapak niaga yang kosong dan bayaran sewa dikenakan hanyalah RM300 sebulan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved