Jumaat, 15 Julai 2011

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Kacak, glamor bukan ukuran

Posted: 15 Jul 2011 07:19 AM PDT

RUPA yang kacak? Glamor? Kedua-dua ciri ini nampaknya tidak tersenarai langsung sebagai tarikan buat sekumpulan wanita yang juga antara peminat setia kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC.

Berkesempatan berbicara dengan keempat-empat wanita berkenaan yang juga kakitangan Bank Standard Chartered, Melissa Chong Mei Lan, 33, Ashira Fahra Ramli, 22, Faye Liew Pei Fei, 35, dan Sabrina Nisha Nathan, 29, mereka berasa tidak perlu 'disogok' dengan daya tarikan sedemikian untuk menjadi peminat bola sepak.

Saat suka mahupun apabila kelab itu dilanda detik mengecewakan, peminat sejati Liverpool FC tidak pernah beralih arah.

Begitu juga Melissa yang tidak pernah beralih minat ke kelab bola sepak lain biarpun kelab kesayangannya itu banyak menempuh saat mendukacitakan sejak beberapa tahun ini.


"Apa sekalipun yang berlaku, minat saya kepada kelab ini tidak pernah pudar. Apa yang saya lihat, semangat bersatu padu peminat kelab ini sendiri memang mengagumkan, malah peminatnya benar-benar setia pada kelab ini.


"Mungkin ada yang kata wanita meminati bola sepak kerana pemainnya yang tampan tetapi bagi saya, cinta pada kelab ini sudah berputik sejak kecil lagi, mungkin sejak saya dilahirkan kerana ayah peminat Liverpool. Ia semacam berada dalam DNA saya pula," katanya yang juga menyedari minatnya pada bola sepak hadir tanpa paksaan sesiapa.

Bertugas sebagai Pengurus Kad Kredit dan Pinjaman Peribadi Standard Chartered, anak kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui kemenangan Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara Eropah di Istanbul pada 2005 antara kenangan manis yang terus mekar di ingatannya.

Tidak hanya memiliki jersi bersulamkan namanya, Melissa jarang berenggang dengan rantai berloket Liverpool yang sentiasa dikalung pada lehernya.

Himpunan barangan cenderahati lain dimilikinya termasuk botol air, topi dan kafling malah dia turut menabung untuk menyempurnakan cita-citanya menjejakkan kaki ke stadium Anfield.

"Saya berhasrat untuk ke sana tahun hadapan bersama rakan dan hingga kini, tabungan yang saya kumpul daripada wang makan tengah hari saya itu sudah mencapai kira-kira 70 peratus daripada jumlah kos untuk ke sana," kata peminat Ian Rush ini.

Ashira Fahra, termuda antara kelompok peminat wanita ini namun sejurus tiba gilirannya untuk mengutarakan pendapat, peminat ketua pasukan, Steven Gerrard dan penyerang yang baru menyertai kelab berkenaan, Luis Suarez ini kelihatan banyak benar idea yang mahu dikongsi.

"Suarez penjaring gol yang sangat berpotensi untuk melonjakkan kembali pasukan ini. Malah dalam tempoh kemunculannya yang agak singkat, dia banyak menjaringkan gol.

"Jika sebelum ini ramai yang mengharapkan Torres (bekas penyerang, Fernando Torres) tetapi nampaknya keputusannya meninggalkan Liverpool untuk ke Chelsea tidak merugikan kelab ini," kata gadis yang berkhidmat sebagai eksekutif perancangan perniagaan di bank berkenaan.

Cintanya pada Liverpool sudah bersemi sejak kira-kira 11 tahun lalu kerana abangnya yang meminati kelab berkenaan. Anak bongsu daripada empat beradik yang berasal dari Johor Bahru, Johor ini juga tidak kurang pujiannya untuk pengurus kelab, Kenny Dalglish yang dianggapnya terbaik untuk mengendalikan kelab itu kini.

"Menerusi pengalamannya, dia mampu memanfaatkannya untuk kelab ini malah barisan pemain untuk musim ini juga agak bagus yang sangat diperlukan untuk menghadapi musim depan dengan lebih baik," katanya yang turut memanjangkan minatnya pada bola sepak dengan bermain futsal sejak kira-kira lima tahun lalu.

Bakal melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Sains Perniagaan Antarabangsa di Universiti Kent September ini, Ashira akui tidak akan melepaskan peluang untuk menonton perlawanan Liverpool semasa berada di United Kingdom kelak.

Faye juga peminat Gerrard malah dua anak lelakinya dinamakan sempena dua pemain kelab terbabit.

Cintanya pada Liverpool bermula sejak mengenali teman lelakinya (kini suaminya), malah mereka sering menonton perlawanan bersama setiap hujung minggu. Bagai pengulas sukan, selepas perlawanan, mereka berbincang pula mengenai prestasi permainan.

Sama-sama punya minat serupa justeru tidak sukar bagi pasangan ini membuat keputusan mengenai nama anak-anak. Lantas anak lelaki mereka dinamakan Gerrard, 4, dan seorang lagi Lucas, 2, manakala anak sulung pasangan ini pula anak perempuan yang kini berusia sembilan tahun.

"Gerrard memang kegemaran saya kerana cara dia bermain. Hantaran jauhnya antara yang saya gemari.

"Dia tidak hanya matang merancang permainan malah bagi saya, seseorang yang mampu mengawal pasukannya," kata wanita yang meminati kelab ini sejak 12 tahun lalu.

Malah sejak 12 tahun lalu juga, Faye mengumpul jersi yang digunakan Liverpool untuk bertanding di gelanggang sendiri (Anfield) dan gelanggang lawan, yang juga antara koleksinya paling berharga.

"Liverpool mungkin bukan pasukan paling baik di dunia tetapi ia sentiasa dan selamanya terbaik di hati saya," katanya.

Terus terang, Sabrina Nisha akui minatnya pada Liverpool baru saja bermula malah lebih jujur, dia asalnya meminati bola sepak kerana tarikan rupa paras.

"Gerrard agak tampan juga tetapi lama kelamaan saya sedar dia mempunyai lebih daripada sekadar rupa.

"Menyaksikan permainannya, bagi saya dia mempunyai kualiti seorang ketua pasukan sejati. Dia menyokong pasukannya dan proaktif apabila berada di padang," katanya.

Teman lelaki gadis manis ini bukanlah peminat bola sepak tetapi itu tidak memadamkan minatnya. Malah untuk terus melebarkan minatnya, dia mula bermain futsal sejak lebih setahun lalu serta merancang untuk bermain untuk pasukan bank tempat dia bekerja.

Kesempatan berbicara mengenai minat sekumpulan wanita ini terhadap dunia bola sepak adalah sempena Jelajah Asia 2011 pasukan Liverpool FC yang julung kali hadir di negara ini untuk perlawanan bersama pasukan Malaysia pada hari ini mulai jam 5.45 petang di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bekas teh eksklusif

Posted: 15 Jul 2011 06:52 AM PDT

ALANGKAH enaknya jika dapat menikmati teh panas dengan hidangan petang bersama keluarga atau rakan. Apatah lagi jika dihidangkan dengan kuih-muih kegemaran.

Namun, kita akan berasa lebih puas jika dapat menikmati teh kegemaran
di mana saja kita berada. Oleh itu, pengeluar produk piuter terbesar dunia, Royal Selangor memperkenalkan koleksi bekas teh bimbit yang dikenali sebagai Inro.


Koleksi ini terdiri daripada tiga bekas teh bimbit yang diukir dengan imej berbeza hasil karya seni masyarakat zaman purba Cina.

Antaranya imej pokok pain dan burung jenjang, pepatung dan buluh serta orkid dan burung murai yang masing-masing membawa maksud berbeza.

Selain itu, ia juga mengambil inspirasi bekas Inro daripada kebudayaan Jepun iaitu bekas yang digunakan untuk menyimpan ubat-ubatan.

Malah, setiap bekas mempunyai tali pintal yang menutup rapat penutup bekas teh terbabit bagi mengelakkan isinya tertumpah.

Ia kecil dan mudah dibawa serta boleh dijadikan sebagai hadiah istimewa bagi rakan penggemar teh agar boleh menikmatinya walau di mana juga anda berada.

Produk ini boleh didapati di semua kedai jualan Royal Selangor dan pengedar berdaftar serta melalui royalselangor.com pada harga bermula dari RM380.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved