KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 22 tahun terpaksa menerima 39 jahitan di seluruh badan selepas kedua-dua tangan, kaki kiri dan belakang badan dikelar dengan pisau oleh dua lelaki juga kenalannya kerana gagal melunaskan hutang, petang Jumaat lalu.
Difahamkan, mangsa meminjam wang daripada suspek sebanyak RM13,000 dan sehingga kini, sudah membayar RM5,000.
Ketika membuat pinjaman berkenaan beberapa bulan lalu, mangsa turut mencagarkan rim kereta berharga RM4,000 dan motosikal jenis skuter jenama Gilera bernilai RM9,000 kepada suspek.
Namun, suspek yang berusia 20-an dikatakan tidak berpuas hati apabila mangsa gagal melunaskan hutang seperti ditetapkan menyebabkan mereka datang ke rumah mangsa di Taman Datuk Senu, di sini, kira-kira jam 3.30 petang, untuk bertemu sebelum dipaksa membayar RM30,000 kepada mereka.
Sumber polis berkata, sebaik tiba di rumah mangsa, seorang daripada mereka meminta izin daripada bapa mangsa untuk bertemu anaknya itu. Bapa mangsa membenarkan dua suspek terbabit masuk ke dalam rumahnya sebelum keluar bekerja.
"Sebaik menemui mangsa yang sendirian di rumah, suspek merampas telefon bimbit dan komputer riba milik mangsa. Mereka kemudian memaksa mangsa masuk ke dalam sebuah kereta jenis Myvi dan dibawa meninggalkan rumahnya," katanya.
Beliau berkata, ketika dalam kereta berkenaan, seorang daripada suspek menutup mata mangsa menggunakan kain hitam.
"Kain yang menutup mata mangsa hanya dibuka selepas dia dibawa ke sebuah bilik (lokasi tidak pasti). Seorang daripada suspek kemudian mengarahkan mangsa membayar RM30,000 wang yang dipinjam mereka.
"Ketika itu, mangsa hanya mampu menggelengkan kepala kerana dia dikatakan hanya membuat pinjaman sebanyak RM13,000," katanya.
Sumber berkata, seorang daripada suspek kemudian mengelar kedua-dua tangan, belakang badan dan kaki kiri mangsa manakala rakannya pula meletakkan parang di lehernya.
"Ketika itu, mangsa hanya mampu menahan kesakitan. mangsa sekali lagi dipaksa membayar hutangnya.
"Jika enggan, suspek akan bertindak membakar lori milik bapa mangsa selain menyerang tempat keluarganya berniaga," katanya.
Katanya, selepas puas 'didera', mangsa dibawa ke sebuah stesen bas di Cheras, di sini, sebelum ditinggalkan di kawasan berkenaan selepas suspek merampas kad ATM miliknya.
Difahamkan, dua suspek terbabit akan berjumpa semula dengan mangsa kira-kira jam 10 pagi, keesokan harinya untuk menuntut hutang selain geran motosikal yang dicagarkan kepada mereka.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sentul, di sini, kerana bimbang keselamatan diri dan keluarganya.
Mangsa yang dibawa ke hospital dilapor menerima 39 jahitan akibat kesan kelar berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.