Khamis, 25 Ogos 2011

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Harimau Malaya bertuah

Posted: 24 Aug 2011 10:13 AM PDT

SKUAD Harimau Malaya masih bertuah biarpun terkandas di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 Julai lalu apabila pasukan gergasi Asia, Australia mengundang anak buah Datuk K Rajagobal bertandang ke Sydney pada 7 Oktober ini bagi perlawanan persahabatan.

Berita baik itu disampaikan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Subahan Kamal yang menyifatkan pelawaan naib juara Piala Asia 2011 itu sebagai satu penghormatan dan pendedahan terbaik buat pemain negara.


"Kami menerima jemputan untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan Australia, minggu lalu. "Bagaimanapun perkara ini akan dibincangkan di peringkat Exco terlebih dulu tapi kemungkinan besar kami bersetuju kerana bukan senang untuk kita diberi peluang menentang skuad Piala Dunia Australia.

"Saya fikir belum pernah Malaysia menentang Australia sebelum ini dan ini satu penghormatan buat skuad Harimau Malaya apabila dapat berdepan barisan pemain bintang Australia seperti Tim Cahill dan Harry Kewell," katanya.


Pelawaan Australia itu ibarat orang mengantuk disorongkan bantal buat FAM yang berdepan kesukaran mendapatkan perlawanan berkualiti buat skuad kebangsaan selepas gagal mara ke peringkat kumpulan kelayakan Piala Dunia apabila tumpas kepada Singapura menerusi agregat 6-4 sebelum ini.


Ini terbukti apabila skuad kebangsaan yang berkumpul pada awal bulan lalu hanya menjalani latihan biasa tanpa perlawanan persahabatan antarabangsa selepas gagal mencari pasukan bagi menggantikan Oman dan Indonesia yang membatalkan perlawanan yang diatur pada awalnya.

Selain memiliki reputasi selaku juara Asia Tenggara, Malaysia menjadi pilihan Australia yang dibimbing jurulatih Jerman, Holger Osieck sebagai persiapan sebelum menentang Thailand pada pusingan peringkat kumpulan Kelayakan Piala Dunia pada 15 November ini.


"Australia akan menentang Thailand dalam pusingan kelayakan Piala Dunia, mungkin mereka mahu mencari pasukan dari rantau ini untuk dijadikan ujian sebelum menghadapi perlawanan itu," katanya.

‘Belum masa buat rombakan’

Posted: 24 Aug 2011 08:37 AM PDT

TIADA sebab untuk Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berbicara mengenai rombakan pasukan buat masa ini kerana perjuangan mereka belum lagi berakhir biarpun bakal berdepan musim penuh kekecewaan jika gagal memenangi Piala Malaysia.

Selepas gagal mempertahankan Liga Super dan terlepas mendakap Piala FA, skuad gergasi merah itu tidak ada pilihan selain memastikan Piala Malaysia kembali dijulang selepas kali terakhir pada 2005.


Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad berkata, soal rombakan pasukan hanya akan diputuskan di penghujung tahun dan buat masa ini tumpuan mereka terarah kepada memburu kejuaraan Piala Malaysia buat kali ke-33.

"Kami akan buat penilaian di hujung tahun bagi menghadapi musim 2012, andai kita memerlukan pemain import, kita akan buat keputusan nanti. Soal rombakan pasukan adalah amalan biasa.


"Kami tetap yakin dengan pemain yang ada biarpun ada masa mereka gagal bermain dengan baik dan ada masanya bermain seperti pasukan juara. Tapi kali ini kami mesti capai sekurang-kurangnya satu kejuaraan pada 2011 kerana kami tidak boleh hilang kejuaraan lagi selepas Liga Super dan Piala FA. "Bagi Selangor, Piala Malaysia wajib dimenangi," katanya selepas majlis berbuka puasa bersama media semalam.


Selangor juara 32 kali Piala Malaysia akan membuka tirai saingan 6 September ini menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebelum menentang PDRM dan Kuala Lumpur dalam Kumpulan D.

Mokhtar berkata, sasaran yang ditetapkan itu tidak akan memberi tekanan kepada pemain-pemain yang kebanyakannya cukup berpengalaman.


"Pemain kita tidak tertekan, mereka sudah biasa, biasalah kalau gugup sedikit apabila bermain. Apa yang penting pemain bersedia dari segi mental, fokus serta memberikan komitmen 100 peratus," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved