HOLLYWOOD dan Malaysia, kalau dibandingkan dari segi teknologi memanglah industri perfileman kita jauh ketinggalan. Untuk berada setara dengan mereka, 20 tahun usaha pun belum tentu kita mampu mencapainya. Jika kita sudah hampir menyaingi teknologi mereka sekarang, ketika itu Hollywood semakin jauh ke depan.
Realistik menerima hakikat ini, pelakon popular, Shaheizy Sam, 29, bagaimanapun amat berbangga dengan pencapaian penggiat seni tempatan khususnya dalam bidang perfileman.
"Berpeluang melawat studio pengeluar filem seperti Universal Studios dan Warner Brothers membuka mata saya betapa bukan sedikit usaha perlu dilaksanakan penggiat seni tempatan untuk berada setaraf Hollywood.
"Sokongan kuat daripada kerajaan dan pihak swasta amat diperlukan bagi merealisasikannya. Seketika mengunjungi dua lokasi itu, sebenarnya menimbulkan lebih rasa hormat dan bangga saya terhadap penggiat seni tempatan.
"Dalam serba kekurangan, masalah ketiadaan studio, bajet kecil dan lokasi penggambaran yang kurang selesa, namun kita masih mampu menghasilkan filem yang baik sehingga ada sesetengahnya mendapat perhatian di festival filem antarabangsa.
"Tidak usahlah kita hendak membandingkan dengan filem Hollywood kerana Universal Studios dan Warner Brothers saja mempunyai berpuluh-puluh studio dan set canggih yang boleh diubah suai, siap ada hotel lagi untuk dihuni pelakon serta kru. Kerja dekat sana terlampau mudah dan sistematik," katanya.
Bukan itu saja, pelakon Adnan Sempit dan Kongsi ini berkata, sistem mereka bekerja mengikut waktu pejabat 9 pagi hingga 5 petang. Jika terlebih masa, dikira sebagai 'overtime' di mana semua yang terbabit dalam produksi layak menerima bayaran lebih. Satu hari ditetapkan hanya beberapa babak saja.
"Rehat yang cukup dan tidak tergesa-gesa mampu membantu penghasilan filem yang baik kerana setiap orang mempunyai tenaga yang cukup setiap kali shooting.
Berbeza dengan kita, pelakon dan kru tidak dibayar lebih walaupun bekerja lebih masa.
"Namun, seperkara yang saya sangat 'salute' pada penggiat seni tempatan, dedikasi pelakon dan kru untuk menyelesaikan sesebuah pembikinan filem mahupun drama mengikut waktu yang ditetapkan meski seharian penat bekerja.
"Saya percaya jika kita punya segala kemudahan seperti mana Hollywood, kita mampu menghasilkan filem yang hebat setanding mereka selain melahirkan ramai pelakon berkualiti," katanya.
Sam yang diberi peluang mengikuti Anugerah Skrin Los Angeles Study Trip atas kejayaannya menang Anugerah Khas Juri di Anugerah Skrin 2010 yang dilangsungkan 24 Disember lalu mengakui bertuah kerana terpilih untuk menyertai program lawatan sambil belajar itu.
Katanya, dia tidak mahu melepaskan peluang mengikuti rombongan yang bertandang pada 26 September hingga 3 Oktober lalu walaupun jadual seninya sangat sibuk berlakon satu demi satu filem.
Sam terpukau apabila berpeluang menjejakkan kaki ke Kodak Theatre pada 30 September lalu bagi menonton persembahan teater yang menggabungkan elemen sarkas dan seni akrobatik, Cirque du Soleil's Iris.
Apa yang menarik, Kodak Theatre yang menjadi lokasi acara berprestij seperti Anugerah Academy dan American Idol berada dalam perut pusat beli-belah Hollywood Boulevard yang dibina sekitar kawasan Hollywood Street.
Di situlah juga terpahat Laluan Kemasyhuran Hollywood atau 'Walk of Fame'. Selang beberapa bangunan daripadanya, kelihatan Madame Tussauds, muzium yang
mengabadikan patung lilin selebriti popular Hollywood daripada kelompok kelas A.
Akui Sam, seumur hidupnya tidak pernah menonton teater dan Cirque du Soleil's Iris adalah yang pertama. Bukan saja dapat menonton pementasan teater yang hebat, tetapi juga dapat berada dalam Kodak Theatre, tempat yang menjadi idaman penggiat seni seluruh dunia untuk berada di dalamnya khususnya penganugerahan Oscar.
Pelbagai lokasi dikunjungi Sam antaranya Downtown LA, Santa Monica, kota yang terletak di bahagian barat Amerika Syarikat atau terkenal dengan jolokan kota pantai di California.
Kali pertama menjejakkan kaki ke Los Angeles, tidak lengkap rasanya jika tidak membawa pulang ole-ole untuk keluarga dan sahabat handai. Justeru, Sam tidak terlepas membeli-belah di Camarillo Factory Outlet, Desert Hills, Rodeo Drive dan Famers Market.
"Saya banyak membeli untuk emak, adik-beradik, anak saudara dan teman-teman yang mengirim. Untuk saya sendiri lebih kepada kemeja-T dan seluar. Ada sut yang saya berkenaan namun kerana saya bertubuh kecil, susah hendak mencari saiz.
"Kalau ada pun saiz 36 (saiz Eropah) tetapi masih perlu dikecilkan. Jadi saya tidak membelinya takut nanti bila dikecilkan hilang potongan sebenarnya sut," katanya.
Rombongan itu turut disertai 24 lagi pemenang kategori yang dipertandingkan dalam ASK 2010.
Seminggu berada LA, akhirnya rombongan Anugerah Skrin Los Angeles Study Trip pulang ke tanah air pada 3 Oktober. Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sam yang juga pemenang Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010), bergegas ke pejabat MIG untuk kerja-kerja memasukkan suara filem Songlap.
Selepas kejayaan Adnan Sempit, Ngangkung dan Kongsi yang mencatat kutipan lebih RM8 juta, Sam turut membintangi Sekali Lagi, Bini-biniku Gangster dan bakal mempertaruhkan 8 Jam, Nongkrong dan Adnan Sempit 2.
PROFIL:
NAMA PENUH: Shaheizy Sam Abd Samad
TARIKH LAHIR: 4 September 1982
UMUR: 29 Tahun
BINTANG: Virgo
KERJAYA: Pelakon
TELEFILEM/DRAMA BERSIRI: Pa'e, Sama Tak Serupa, Graduan, Impak Maksima, KL Menjerit, Jangan Pandang Belakang 2, Legasi 43 Karat
FILEM: Adnan Sempit, Evolusi KL Drift 2, Jangan Pandang Belakang Congkak, Ngangkung, Kongsi, Sekali Lagi, Bini-Biniku Gangster, 8 Jam, Adnan Sempit 2, Nongkrong, Songlap
PENCAPAIAN: Pernah dicalonkan di Festival Filem Malaysia Ke 22 (2009) - kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam filem Bohsia, Pelakon Lelaki Paling Popular Anugerah Berita Harian 2010, Bintang Paling Popular Anugerah Berita Harian 2010.
Full content generated by Get Full RSS.