USIA pembabitannya dalam bidang lakonan masih hijau. Namun, nama Tasha Shilla semakin mencuri perhatian peminat di persada hiburan tanah air.
Jika pelakon baru lain hanya bermimpi untuk memegang watak utama, pemilik nama sebenar, Natasha Sheila Abd Razak, 24, pula sudah beraksi dalam dua filem dan lima drama bersiri yang rata-ratanya watak utama.
Selepas diperkenalkan melalui filem Ratu The Movie arahan A Razak Mohaideen, Tasha berjaya menambat hati penonton dengan watak antagonis, Hartina yang cemburu dengan kakaknya dalam drama bersiri Sahara arahan Jamal Khan dan watak Cikgu Ruhana dalam siri Gemilang arahan Kabir Bhatia.
Namun ada harga yang perlu dibayar anak jati Kuala Lumpur ini apabila bergelar anak seni kerana tidak dapat lari dari kontroversi. Terbaru, ada pihak menyebarkan cerita Tasha dikatakan sombong, berlagak dan pilih bulu apabila sudah dikenali ramai.
Bagaimanapun, dalam pertemuan dengan Tasha, baru-baru ini, gadis yang memiliki wajah iras Kris Dayanti dan juga Atilia mengatakan, dirinya tidak ingin cepat melatah apabila dilanda kontroversi sedemikian.
"Orang fikir saya sombong mungkin sebab raut wajah yang tajam dan serius ini. Sudah banyak kali saya dengar orang cakap saya sombong terutama apabila saya tidak senyum pada orang.
"Hakikatnya, saya bukanlah seperti tanggapan negatif orang itu. Justeru, saya berharap orang jangan mudah berprasangka buruk jika tidak kenal siapa diri saya.
"Pada masa sama, saya terus berusaha membetulkan tanggapan negatif orang itu. Saya yakin Tuhan bersama pihak yang benar dan saya juga tidak kecewa dalam bidang seni apabila perkara seperti ini timbul," katanya.
Lebih memeritkan, anak sulung daripada tiga beradik ini dikatakan terjun dalam bidang lakonan untuk mendekati golongan kenamaan dan cara singkat untuk hidup mewah. Apatah lagi, dia memiliki paras rupa jelita dan bertubuh seksi yang pasti digilai golongan kenamaan.
"Sebenarnya, saya boleh berkawan dengan sesiapa saja tapi memang ada peminat
di kalangan orang kenamaan. Tapi cukup setakat berkawan saja, tak lebih daripada itu. Maklumlah, saya bekerja sebagai Eksekutif Kanan Jualan di butik jenama Mewah, Prada sebelum menceburi bidang lakonan.
"Semua pelanggan butik adalah kalangan golongan kaya dan berada. Kalau saya hendak cari golongan kenamaan, saya sudah dapat dari dulu lagi dan tak perlulah susah payah cari tapak dalam bidang lakonan.
"Orang cakap memang senang tapi mereka tak tahu pahit getir saya untuk berada pada tahap sekarang. Demi cinta pada lakonan, saya sanggup tinggalkan karier lumayan di butik demi menceburi bidang seni yang diminati bersandarkan bakat sedia ada.
"Terus terang, saya masih belum mempunyai teman istimewa lagi kerana fokus saya untuk mengukuhkan nama dalam bidang lakonan," katanya.
Kematangan Tasha juga terserlah kerana dia tidak cepat melatah apabila dilanda gosip liar mahupun kontroversi kerana menganggapnya sebahagian asam garam dunia seni.
"Saya percaya cerita negatif disebarkan pihak tidak bertanggung-jawab yang tidak kenal siapa diri saya yang sebenar. Ia gosip biasa yang dilalui pada pelakon baru. Apa yang penting, anggota keluarga terdekat terutama ibu bapa tidak termakan dengan gosip tidak betul itu," katanya.
Bintang Tasha semakin bersinar dalam lakonan
SELEPAS beraksi cemerlang dalam Gemilang dan Sahara, pelakon berbakat besar yang sangat mengagumi Vanidah Imran, Siti Shahrizah (Eja), Ellie Suriaty dan Eman Manan ini, mempertaruhkan siri Bunga April yang kini bersiaran di TV3 melalui slot Samarinda.
Dalam siri arahan Along Kamaludin ini, Tasha bergandingan dengan Shahz Jaszle bersama barisan pelakon lain, Zack X-Factor, Mustapha Kamal, Redzuan Hashim, Noniswara, Aida Aris dan Hanez Suraya.
Drama ini yang disiarkan setiap selasa hingga khamis jam 10.30 malam sejak 22 November lalu, benar-benar mencabar kredibiliti Tasha sebagai pelakon apabila diberi kepercayaan memegang watak utama sebagai April.
"April anak orang kaya yang tegas, manja dan berdikari. Selain watak utama, April juga judul yang digunakan dalam drama ini. Lebih bermakna, saya menimba pengalaman berharga bekerja dengan Along yang juga pengarah yang teliti ketika bekerja.
"Saya juga serasi bekerja dengan Shahz Jaszle kerana kami pernah bekerjasama dalam drama Gemilang. Selain itu, saya juga pernah berlakon dengan Zack dalam Cinta Dalam Botol.
"Saya percaya, sudah berikan yang terbaik iaitu komitmen sebanyak 200 peratus dalam drama ini dan kini terpulang pada penonton untuk menilai hasilnya di kaca TV pula," katanya.
Ditanya mengenai pencapaiannya setakat ini, akui Tasha, perjalanan seninya masih jauh lagi. Apapun kata Tasha, dia percaya sudah berada di landasan betul.
"Tawaran berlakon yang mencurah juga adalah rezeki daripada Tuhan. Saya juga melihat watak utama ditawarkan sebagai peningkatan dalam aspek lakonan.
"Saya juga selesa dengan watak antagonis dilakonkan kerana ia senang melekat di hati penonton. Sebagai pelakon, saya akan terus perbaiki kelemahan sedia ada dalam lakonan, sekali gus beri kepuasan pada peminat.
"Saya banyak menimba ilmu lakonan dengan pelakon berpengalaman, Nanu Baharudin dalam Sahara. Dari segi impian, saya ingin bawa watak orang cacat dan sakit mental pula selepas ini," katanya.
Antara drama lakonannya ialah siri 26 episod, Sejundai arahan Fairuz Loy untuk Slot Lagenda di TV3.
Tidak ketinggalan, drama bersiri Dottie, telefilem Panggilan Arwah bergandingan dengan Zizan Nin dan watak utama dalam telefilem Mila Kejar Cinta bergandingan dengan Zack X-Factor.
PROFIL
NAMA SEBENAR: Natasha Sheila Abd Razak
NAMA KOMERSIAL: Tasha Shilla
ASAL: Ampang, Selangor
TARIKH LAHIR: 25 Januari 1987
USIA: 24 tahun
STATUS: Bujang
KERJAYA: Model dan pelakon
FILEM: Ratu The Movie dan Klik 3GP
DRAMA: Dottie, Gemilang, Sahara, Panggilan Arwah, Mila Kejar Cinta, Ramadan Terakhir dan slot Samarinda, Bunga April
Full content generated by Get Full RSS.