Rabu, 4 Januari 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Suami tidak boleh temankan isteri

Posted: 04 Jan 2012 06:24 AM PST

PERTAMA kali menjejakkan kaki ke Spa & Salun Kecantikan Muslimah Hurun Ain Oasis di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, penulis dihidangkan dengan alunan muzik lembut dan persekitaran bersih yang mendamaikan.

Biarpun sebelum ini jarang sekali mempunyai masa terluang untuk memanjakan diri akibat kesibukan kerja dan aktiviti keluarga, sesekali berada di spa seolah-olah membuatkan keletihan hilang begitu saja.

Konsep yang diketengahkan spa dan salun ini adalah moden kontemporari dan memberikan banyak kelebihan kepada wanita Muslimah yang ingin mendapatkan rawatan bagi merehatkan minda dalam suasana tenang.

Spa serta salun kecantikan eksklusif untuk Muslimah ini dikendalikan dua rakan karib, Hawa Ya'akub dan Hasrina Ismail yang ingin memberikan kelainan kepada wanita ketika mengikuti proses rawatan tanpa rasa ragu terutama apabila membabitkan aurat.


Pengarah Urusannya, Hawa Ya'akub, berkata bersesuaian dengan namanya iaitu Hurun Ain Oasis yang bermaksud tempat berkumpul bidadari, spa dan salun ini hanya dikhususkan untuk wanita saja.


Oleh itu, lelaki tidak dibenarkan berada di sini walaupun hanya untuk menemani isteri bagi memberi keselesaan kepada semua pelanggan.

Menurut Hawa, setiap ahli terapi kecantikan yang berada di sini juga adalah wanita beragama Islam tempatan yang memiliki sijil kelayakan khusus.

Dia dan rakan kongsinya memilih untuk tidak menggunakan perkhidmatan pembantu kecantikan asing kerana ingin menyediakan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan.

Hawa berkata, idea ini mula timbul melalui pengalamannya sendiri yang sebelum ini gemar mengunjungi spa bagi merehatkan badan, namun berasa agak kurang selesa dengan keadaan persekitarannya yang sedikit 'terbuka' serta dikendalikan ahli terapi bukan Islam.

"Walaupun berada dalam kalangan wanita, aurat masih perlu dijaga dan tidak banyak tempat yang menawarkan konsep privasi sebegini.

"Disebabkan itu, saya bersama rakan kongsi mendapat idea membuka spa dan salun khusus untuk Muslimah agar mereka tidak mengalami suasana kekok," katanya.

Walaupun baru memulakan operasi Februari lalu, spa ini sudah mendapat sambutan hangat daripada Muslimah terutama golongan ibu kerana selain menyediakan pakej rawatan pada harga berpatutan, ia menyediakan sudut permainan kanak-kanak.

Menurut Hawa, kemudahan ini disediakan bagi memberikan keselesaan kepada golongan ibu yang tidak dapat meninggalkan anak mereka di rumah bagi mendapatkan rawatan di spa.

"Mereka tidak perlu meninggalkan anak di rumah terutama pada hujung minggu dan boleh mengawasi mereka dengan membawa bersama ketika menjalani rawatan.

"Kanak-kanak boleh bermain di sudut yang dikhaskan semasa ibu mereka menjalani rawatan dan si ibu boleh menjalani rawatan dengan hati yang tenang," katanya.

Antara pakej kecantikan yang disediakan Hurun Ain Oasis merangkumi rawatan kulit wajah, riasan kuku (kaki dan tangan), lulur garam, mandian aromaterapi, dandanan serta cucian rambut, inai dan melilin.

Selain itu, salun kecantikan ini juga menyediakan rawatan meluruskan rambut serta rawatan bagi rambut kering, berminyak, rosak selain kulit kepala berkelemumur serta rawatan untuk mereka yang mempunyai masalah kulit kepala sensitif.

Sementara itu, Pengurus Spa dan Salun berkenaan, Hasrina Ismail, berkata untuk rawatan kulit wajah, Hurun Ain Oasis menggunakan produk dari Perancis iaitu Maria Galland dan menawarkan dua rawatan berbeza iaitu menggunakan topeng muka tanah liat ataupun cocoon (mousse).

Rawatan topeng muka kaedah cocoon menyebabkan pelanggan mengalami kesan perpeluhan pada bahagian muka selepas disapu dengan krim rawatan khas.

Ia sesuai digunakan bagi mereka yang berusia bawah 30 tahun serta mereka yang memiliki masalah kulit kering dan kusam.

"Bagi proses rawatan topeng muka tanah liat, wajah pelanggan disapu dengan krim perlindungan mata dan bibir, krim rawatan khas serta serum terlebih dulu kemudian, pupur akan disapu pada seluruh muka hingga ke bahagian leher.

"Selepas disapu rata, pelanggan akan dapat merasai sedikit kehangatan di bahagian dalam pupur berkenaan dan suhu akan meningkat secara perlahan-lahan sehingga mencecah 42 darjah Celsius.

"Kira-kira 10 minit selepas itu, suhunya menurun sedikit demi sedikit dan ia boleh ditanggalkan apabila pupur terbabit menjadi keras sepenuhnya," katanya.

Pelanggan tidak perlu bimbang apabila terasa sedikit hangat ketika pemakaian pupur berkenaan kerana peningkatan suhu ini bagi membantu proses penyerapan krim rawatan khas serta serum yang disapu pada peringkat awal tadi.

"Jika diperhatikan kebanyakan rawatan wajah lain menggunakan mesin seperti mesin galvanic bagi mempercepatkan proses penyerapan serum ke dalam kulit muka, tetapi produk Maria Galland menggunakan pendekatan lebih semula jadi dan selamat hanya melalui penggunaan topeng muka tanah liat.

"Malah, ibu mengandung juga boleh mengikuti proses rawatan wajah di spa ini tanpa rasa bimbang ia akan memberikan kesan pada bayi dalam kandungan kerana tiada penggunaan mesin berfrekuensi tinggi dilakukan sepanjang proses rawatan," katanya yang menyediakan diskaun sebanyak 40 peratus bagi pelanggan yang pertama kali mencuba pakej rawatan disediakan di spa dan salun Muslimah ini.

Malah, kemudahan surau turut disediakan bagi memudahkan pelanggan menunaikan solat memandangkan ada pakej rawatan di sini memerlukan masa yang agak lama.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pakej rawatan disediakan, layari www.hurunainoasis.com.



Full content generated by Get Full RSS.

Kolagen pelihara kulit anjal

Posted: 04 Jan 2012 05:20 AM PST

APABILA ada wanita berusia 40-an ke atas dan masih memiliki kulit yang tegang dan anjal, pasti ramai bertanya rahsia kejelitaannya. Bagaimana dia mampu menjaga kecantikan untuk tampil cantik dan anggun walaupun sudah memasuki usia separuh abad.

Di dalam Islam, menjaga kecantikan serta berhias cantik untuk suami adalah diwajibkan. Namun, bagi wanita Muslimah, melakukan rawatan pembedahan merubah wajah adalah dilarang kerana hukumnya haram.

Menyedari kebanyakan wanita berkerjaya masa kini ramai yang mementingkan kecantikan selain mendapatkan rawatan halal, terdapat pelbagai cara boleh dilakukan wanita bagi meneruskan impian mendapatkan kulit yang cantik, anjal dan berseri iaitu menerusi produk makanan kesihatan yang banyak terdapat di pasaran.

Jika dulu ramai tidak tahu kepentingan kolagen, tetapi kini rata-rata wanita memilih makanan kesihatan berasaskan kolagen kerana dikatakan bahan ini mampu melambatkan proses penuaan selain menjadikan kulit lebih anjal dan cantik.


Di pasaran terdapat pelbagai produk minuman berasaskan vitamin C dan kolagen yang dikatakan berkesan mengembalikan keserian wajah. Bagi mereka yang malas mengambil minuman, boleh melakukan rawatan di pusat kecantikan yang menyediakan rawatan wajah berasaskan vitamin C dan kolagen.


Namun, harus diingat tidak semua rawatan di pusat kecantikan memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia terutama daripada segi peralatan serta cara menggunakannya. Kemungkinan pelanggan akan menghadapi masalah sampingan lain sekiranya dilakukan mereka yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan estetik.

Menurut Pegawai Perubatan Estetik Pusat Kecergasan Wanita Az-Zahrah (PKW), Bandar Baru Bangi, Dr Siti Hawa Abd Karim, kolagen adalah sejenis protein yang penting untuk memelihara keremajaan dan keanjalan kulit. Kira-kira 25 hingga 35 peratus daripada jumlah keseluruhan protein di dalam badan terdiri daripada kolagen dan 80 peratus struktur kulit terbentuk darinya.

"Bahan ini berfungsi untuk mempertingkatkan penghasilan sel baru, membantu memelihara keremajaan kulit, melembutkan dan membuat kulit lebih bercahaya serta efektif menghilangkan kedutan dan mencegah proses penuaan," katanya.

Namun, apabila usia semakin meningkat, bermula seawal 25 tahun proses
pengurangan kolagen oleh sel fibroblast akan berlaku seterusnya menyebabkan kulit menampakkan garis penuaan, berjeragat, kusam dan kurang bermaya.

"Ini ditambah faktor alam sekitar seperti debu dan kotoran, terdedah terlalu lama kepada sinaran matahari, penggunaan bahan kosmetik yang tinggi kandungan kimia, tekanan di tempat kerja serta wanita yang sering melahirkan anak, menyebabkan pengurangan penghasilan kolagen dalam, sekali gus menyumbang kepada kelesuan kulit," katanya.

Penggunaan makanan kesihatan mengandungi kolagen dikatakan dapat melambatkan proses penuaan, namun kesannya terlalu sedikit kerana ia bergantung kepada kandungan jumlah molekul kolagen, jenis kolagen dan penyerapan oleh sistem usus. Penggunaan krim kolagen pula dikatakan kurang berkesan kerana molekul yang terkandung di dalamnya terlalu besar untuk penyerapan oleh sel kulit.

Kini terdapat kaedah terkini dalam rawatan kolagen yang diperkenalkan di Pusat Kecergasan Wanita Az-Zahrah iaitu menerusi penggunaan Tri-M Micro Needling atau suntikan merangsang kolagen baru pada wajah yang memberikan hasil dengan cepat dan berkesan.

Menurut Dr Siti Hawa, rawatan ini menggunakan sejenis alat yang mempunyai jarum halus sepanjang dua milimeter dan boleh sampai sehingga ke subdermis kulit kerana di situ terdapat sel fibroblast yang berfungsi menghasilkan kolagen.
Prosedur ini juga dipanggil Terapi Induksi Kolagen (CIT). Kelebihan prosedur ini bukan saja merangsang pembentukan sel kolagen baru, tetapi juga menyediakan laluan mikro bagi penyerapan serum yang digunakan semasa proses ini.

"Sebelum rawatan, kulit disapu sejenis krim yang membantu menjadikan kulit merasa kebas bagi mengelakkan ketidakselesaan ketika prosedur dilakukan.

"Selepas itu alat ini digerakkan ke keseluruhan wajah yang mengambil masa 20 minit. Tidak menyakitkan dan mungkin akan terasa pada bahagian kulit yang agak sensitif seperti hidung serta di kawasan dahi," katanya.

Selepas rawatan, sebaiknya pelanggan menunggu sehingga seawal dua jam sebelum membersihkan wajah bagi memastikan penyerapan optimum serum. Mereka kemudian dibenarkan untuk memakai produk seperti biasa terutama krim pelembap dan pelindung cahaya matahari. Tidak digalakkan berjemur terlalu lama di bawah sinaran matahari kerana boleh mengganggu proses pembentukan kolagen.

Tambahnya, rawatan menerusi kaedah ini lebih cepat dan berkesan serta tidak mendatangkan sebarang komplikasi.

Kajian dijalankan di salah satu universiti di Korea untuk membandingkan keberkesanan penghasilan kolagen kulit muka antara CIT dan Denyutan Lampu Impuls (IPL) didapati tiada perbezaan keberkesanannya, malah CIT jauh lebih murah, tiada komplikasi dan kesan yang cepat.

"Prosedur ini sangat efektif untuk memulihkan masalah kulit seperti parut, kedutan, garis halus, masalah keguguran rambut dan pemecahan lemak. Apabila dilakukan secara berkala iaitu dua minggu sekali kesannya semakin ketara. Kulit kelihatan lebih anjal, kedutan semakin berkurangan malah menjadikannya berseri dan bercahaya. Kaedah rawatan ini adalah alternatif kepada rawatan IPL, tetapi jauh lebih murah," katanya.

Di PKW, rawatan CIT ini dilakukan di bawah pengawasan pegawai perubatan terlatih serta dijamin kebersihan dan keselamatannya. Ini kerana peralatan digunakan menggunakan jarum pakai buang serta teknik yang steril manakala pakar terapi memiliki tauliah dalam bidang estetik. Selain itu dengan adanya rawatan daripada pakar estetik Muslimah, ia akan mendorong lebih ramai wanita Islam menjaga kecantikan demi kesejahteraan keluarga.

Selain rawatan wajah, PKW turut menyediakan rawatan pelangsingan badan menggunakan kombinasi rawatan ultrabunyi dan electroporation. Menggunakan mesin Eximia berinovasi tinggi dari Itali, rawatan ini membantu untuk menyelesaikan pelbagai ketidaksempurnaan tubuh seperti selulit, lemak bertumpu, badan menggeleber, kulit kendur, kehilangan keanjalan serta retensi air.



Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved