Isnin, 27 Ogos 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Kuih dilelong elak pembaziran

Posted: 27 Aug 2012 10:29 AM PDT

BANYAKNYA kuih raya. Bolehkah habis dijual sebelum Syawal? Itu antara soalan yang terlintas di minda tatkala melihat deretan kuih raya yang dijual di Bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Tar), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Walaupun tidak banyak gerai yang menjual kuih raya, ia cukup untuk pengunjung membeli segala macam biskut atau kuih raya bagi menjamu tetamu yang berkunjung ke rumah ketika Aidilfitri.

Menjadi keperluan penting ketika menyambut Syawal, kuih atau biskut raya tidak pernah dilupakan setiap kali membuat senarai membeli barangan sebelum Aidilfitri menjelma.

Lantas, setiap tahun pasti ramai peniaga kuih raya yang menyediakan pelbagai jenis kuih bagi menarik perhatian pengunjung untuk membelinya.


Apapun, peniaga juga perlu berhadapan dengan masalah kuih raya yang tidak habis dijual. Justeru, mereka harus ada langkah bijak bagi mengelakkan pembaziran.


Bagi pembuat dan peniaga kuih raya, Sa'diah Azhar, 58, walaupun kuih raya yang dijual di lokasi popular itu banyak dan pelbagai jenis, dia dapat mengagak sama ada ia habis dijual atau sebaliknya sebelum hari raya.

"Kami menjual lebih daripada 50 jenis kuih raya di bazar Jalan Tar dan Chow Kit. Antara jenis kuih raya yang paling banyak disediakan ialah tart nanas.

"Biasanya setiap tahun kami menyediakan sehingga 240 balang untuk satu jenis kuih atau biskut raya yang mendapat permintaan ramai.

"Kuih raya dihasilkan mengikut sambutan pelanggan dan kami mula menjual pada hari ke-10 Ramadan sejak lebih 10 tahun lalu," jelasnya yang turut membantu membuat coklat untuk dijual.

Sa'diah yang membantu menantunya membuat dan menjual kuih raya menambah, dia memulakan proses menyediakan coklat selepas subuh.

Dia boleh menyiapkan sehingga 48 balang sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan yang menggemari rasa coklatnya itu.

Disebabkan sibuk menyiapkan coklat berkenaan, dia hanya dapat membuat kuih raya untuk keperluan rumah sendiri selepas memastikan bekalan coklat mencukupi.

Bermula mengikuti kelas membuat kuih raya ketika berusia 40-an, Sa'diah lebih gemar menyediakan sendiri biskut raya atau coklat untuk keluarganya dan tidak membeli daripada orang lain.

Bagi menambah ilmu dan mencari idea baru dalam pembuatan kuih raya, Sa'diah hanya mencari maklumat di Internet atau televisyen untuk dicuba sendiri.

Jika berjaya, dia menggunakan pengetahuan itu sama ada untuk menghasilkan kuih untuk dijual atau kegunaan sendiri.

Tambahnya, kuih raya yang dihasilkan biasanya boleh bertahan sehingga dua bulan. Oleh itu, ia mula dihasilkan seminggu sebelum tiba Ramadan.

Semua kuih raya disediakan ahli keluarganya itu dihasilkan sendiri tanpa menggunakan mesin bagi mengekalkan keenakannya. Selain biskut moden seperti tiramisu coklat dan royal jelly, gerai Acun Lin itu turut menjual kuih raya tradisional yang masih mendapat permintaan ramai.

Antaranya ialah belah rotan, batang buruk, kuih siput dan ros yang ternyata mengundang tarikan pelanggan tetapnya dari Sarawak, Sabah dan Brunei setiap kali tiba Ramadan.

Adat berniaga pasti ada pasang dan surutnya.

Sudah menjadi kebiasaan kuih raya yang dijual pasti ada lebihan selepas berakhirnya Ramadan.

Jelasnya, dia mempunyai cara tersendiri untuk menguruskan kuih raya yang tidak habis dijual bagi mengelakkan pembaziran.

"Biasanya lebihan kuih raya dijual secara lelong atau kami sedekahkan kepada masjid dan keluarga miskin.

"Selain itu, kami berikan kuih raya berkenaan kepada ahli keluarga untuk menjamu tetamu yang berkunjung ketika Syawal," katanya mengenai pengurusan kuih raya yang tidak dijual.

Sementara itu, jurujual Jamali & Natrah Enterpirse, Syaiful Huzaimi Mohamed, 26, berkata, setiap jenis kuih yang terdapat di gerai berkenaan menyediakan lebih daripada 1,000 balang.

Turut dibantu Saiful Arif Shakiran, 25, gerai terbabit dibuka bermula jam 9 hingga 4 pagi, semua kuih raya disediakan di rumah tanpa menggunakan mesin menyebabkan pengunjung lebih berminat untuk membelinya.

Tambahnya, dalam sehari mereka mampu menjual lebih 300 balang kuih raya yang mendapat sambutan ramai setiap tahun.

Menjual pelbagai jenis kuih atau biskut raya tradisional dan moden, ia disediakan bagi memberi pilihan kepada pengunjung.

Bertapak sejak lima tahun lalu, antara kuih raya yang digemari ramai adalah tart nanas, almond London, biskut suji dan biskut brownie.

Selain di bazar Jalan Tar, mereka turut membuka gerai yang menjual kuih raya di Setiawangsa dan Jalan Kuching kerana permintaan yang tinggi.

Mengenai kuih atau biskut raya yang tidak habis dijual selepas berakhirnya Ramadan, Syaiful Huzaimi segera menjawab mereka mempunyai langkah berkesan untuk menghabiskannya.

"Biasanya kuih yang dijual ini boleh tahan sehingga setahun dan anggaran baki yang tidak habis dijual kira-kira 240 balang.

"Untuk menghabiskan baki kuih raya yang masih ada selepas Ramadan, kami menjual secara lelong kepada pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 28/08/2012


PHB taja sudut membaca

Posted: 27 Aug 2012 10:24 AM PDT

RASA cinta kanak-kanak kita terhadap buku memang masih belum cukup mendalam. Jadi tidak hairanlah jika di sana sini ramai kanak-kanak lebih terpaku perhatian mereka kepada permainan komputer khususnya pada alat telekomunikasi milik ibu bapa mereka.

Namun, masih belum terlambat untuk menyemai rasa suka kepada buku dan atas tujuan itu, Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya dengan mendermakan buku bernilai RM3,000 untuk diletakkan di sudut membaca di kawasan menunggu rawatan dialisis, Hospital Tanjung Karang, Selangor.

Ruang membaca itu yang diberikan nama 'Sudut Membaca PHB' akan berfungsi untuk menyemai budaya membaca di kalangan rakyat negara ini terutama pesakit, pelawat, doktor dan jururawat yang bertugas di hospital berkenaan.

Kini mereka sudah mempunyai sebuah kawasan yang selesa untuk menikmati aktiviti membaca, menimba ilmu dan menghabiskan masa lapang.


Sudut membaca yang terbuka itu mempunyai lebih 70 tajuk dalam koleksinya termasuk karya penulisan dalam bahasa Malaysia, Inggeris dan Jawi meliputi pelbagai subjek seperti agama, pemakanan, kesihatan dan motivasi.


PHB mengambil masa lebih enam bulan untuk kajian dan perancangan bagi mengenal pasti hospital paling sesuai yang akan mendapat paling banyak manfaat dengan mempunyai sudut membaca. Sudut membaca itu sudah beroperasi dan boleh digunakan 24 jam sehari.

Kerajaan sudah mengadakan pel–bagai kempen membaca, seperti kempen Mari Membaca 1Malaysia yang lancarkan pada awal 2010 untuk meningkatkan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia.

Tahun ini, PHB berusaha untuk memastikan inisiatif itu bergerak seiring usaha berterusan kerajaan untuk menyemai budaya membaca melalui hospital.

Berdasarkan laporan bancian tahap celik huruf negara yang kali terakhir dijalanlan pada 2005, rakyat Malaysia semakin kurang membaca apabila umur mereka meningkat. Menyedari perkara ini, PHB mengenal pasti kepentingan menyediakan bahan bacaan yang meluas kepada golongan membaca yang berumur antara 20 tahun hingga 60 tahun.

Secara dasarnya, koleksi buku yang terdapat pada 'Sudut Membaca PHB' menyasarkan untuk mendidik, memberikan pendedahan dan meningkatkan minat pembaca serta menyemai sikap positif terhadap budaya membaca.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Kamalul Arifin Othman, kini banyak pihak beranggapan perpustakaan dan sudut membaca seperti ini sudah tidak lagi bermanfaat dengan wujudnya Internet. Bagaimanapun, pihaknya percaya sudut membaca dan perpustakaan masih lagi suatu tempat untuk golongan dewasa dan kanak-kanak belajar banyak perkara.

"Sudut Membaca PHB ini disediakan dalam suasana yang merehatkan minda. Ini dapat menyediakan pesakit di Hospital Tanjung Karang untuk membaca dalam suasana yang tidak seperti kebiasaan. Tambahan pula, sudut membaca ini menyediakan pesakit suatu ruang alternatif yang selesa untuk mereka berbual dan menikmati kehadiran rakan dan orang tersayang yang datang melawat pada bila-bila masa," katanya.

Pengarah Hospital Tanjung Karang, Dr Roniyuzam Abdul Malek hadir pada majlis itu yang diadakan di Kuala Selangor untuk menerima buku yang disampaikan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Projek Istimewa PHB, Mohamad Shahizam Fauzi.

PHB, anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) juga mendermakan 500 kotak berisi buah tamar kepada pekerja dan pesakit Hospital Tanjung Karang.

Artikel ini disiarkan pada : 28/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved