Selasa, 28 Ogos 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Ibu bapa jadi sahabat terbaik

Posted: 28 Aug 2012 10:03 AM PDT

APABILA menginjak usia remaja, beralih daripada dunia kanak-kanak, sedar atau tidak anak-anak sebenarnya harus menyesuaikan diri dengan perubahan yang mereka alami. Mereka bukan saja berubah secara fizikal, tetapi lebih besar lagi ialah secara mental.

Mental mereka perlu menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran baru dan keadaan yang berubah menjadi serius. Kita selalu meletakkan tahap membezakan golongan kanak-kanak dan remaja dengan mengkategorikan mereka sebagai 'budak sekolah rendah' atau 'budak sekolah menengah'.

Perkataan 'budak' digunakan kerana kanak-kanak dan remaja masih diandaikan sebagai terlalu muda atau 'masih budak-budak'. Selalunya ibu bapa dan masyarakat amnya terlepas pandang bahawa perubahan yang dilalui anak mereka dalam menyesuaikan diri daripada fasa kanak-kanak dan remaja bukan perkara kecil. Ini kerana, ia terlalu dekat dan tidak begitu ketara. Apa yang kelihatan pada pandangan mungkin dari segi tubuh badan saja. Dulu rendah sekarang tinggi. Dulu bersuara halus sekarang semakin garau. Remaja yang mengisi kedewasaan tetap juga dianggap 'budak-budak'.

Apabila ibu bapa sendiri sukar menerima atau menganggap kecil tahap perubahan yang dilalui remaja, mungkin ini antara sebab ramai remaja memberontak dan mengatakan diri mereka tidak difahami. Mereka kononnya tidak dilayan sewajarnya dan dianggap tidak boleh membuat keputusan. Setiap keputusan masih dibuat ibu bapa, maka remaja mula memendam rasa dan berahsia.


Pegawai Psikologi, Jabatan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohammad Afizul Mohammad berkata, istilah 'remaja' adalah perubahan zaman anak-anak ke zaman yang berlainan.


"Jika dulu sebagai kanak-kanak dia dibelai, dikasihi, mendapat kasih sayang dan dijaga ibu bapa, namun zaman remaja adalah zaman untuk mereka mula mencuba membelai dan memberi kasih sayang kepada orang lain pula. Mereka mula berubah dan mahu menjaga orang lain. Zaman remaja sebenarnya unik kerana ia adalah pertengahan antara jiwa kanak-kanak dan dewasa," katanya.

Dalam proses perubahan dan pembesaran itu, memang remaja mula inginkan kebebasan dan ingin membuat keputusan sendiri tanpa membabitkan ibu bapa.

"Malah, ramai remaja yang rasa malu untuk 'rapat' dengan ibu bapa kerana takut diejek dan sindiran kawan-kawan bahawa 'rapat' dengan ibu bapa adalah 'anak emak' atau 'anak manja'.

"Ibu bapa yang baik dan prihatin pasti serba tahu permasalahan anak-anak mereka. Maka menjadi tanggungjawab ibu bapa supaya mendekati anak-anak secara 'bijak' untuk membantu atau mengajar anak-anak erti kehidupan sebenar. Ajaran, didikan dan cara ibu bapa merapatkan hubungan dengan anak-anak adalah faktor utama sejauh mana akrabnya hubungan anak dan ibu bapa," katanya.

Menurutnya, sekiranya ibu bapa sudah akrab dengan anak-anak sejak awal, pasti anak akan kurang berahsia malah selesa menjadikan ibu bapa sebagai 'kawan' mereka. Biasanya ibu bapa yang terlalu risau akan menambahkan lagi jurang hubungan mereka dengan anak-anak.

Apakah yang harus dilakukan ibu bapa supaya anak-anak tidak menjauhkan diri dengan mereka di samping tidak lemas dengan kongkongan?

"Ibu bapa harus meletakkan diri mereka di tahap pemikiran anak-anak. Kita semua pernah alami zaman remaja dan kanak-kanak. Mungkin zaman kita dengan mereka sudah berubah, tetapi dari segi emosi dan kemahuan, ia tidak lari jauh. Jika dulu, kita mahu difahami, remaja zaman Internet juga sama. Jadi sangat penting ibu bapa terus mengekalkan hubungan dengan anak-anak supaya ini tidak menjadikan mereka menjauhkan diri," katanya.

Dia menegaskan ibu bapa harus menjadi sahabat terbaik anak-anak mereka sendiri. Ini akan membuatkan anak-anak meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada ibu bapa.

"Memang nampak sukar, tetapi percayalah banyak kebaikannya. Pengalaman
saya melakukan sesi kaunseling kelompok dengan remaja mendapati kemahiran utama yang banyak dilupakan ibu bapa adalah kemahiran mendengar.

"Kuasa untuk mengawal anak-anak adalah dengan adanya kemahiran bersama anak-anak dan paling penting, kemahiran melayan. Bayangkan jika anak-anak terkongkong dan tertekan, pasti jiwanya memberontak," katanya.

Berdasarkan kes dikendalikannya, dia melihat majoriti remaja ada keinginan untuk lari dari rumah kerana rasa terkongkong dan tertekan di rumah. Alasan mereka, ibu bapa tidak memahami dan tidak mahu mendengar masalah anak-anak.

"Anak-anak lelaki lebih suka mendekatkan diri dengan kawan-kawan dan mudah rasa malu untuk mendekatkan diri dengan ibu bapa. Sebaliknya anak-anak perempuan lebih suka dekat dengan ibu jika ibunya bersifat feminin. Daripada pengalaman saya mengendalikan kes kaunseling, anak perempuan lebih selesa dengan bapa jika ibunya lebih kasar dan kurang mengambil berat terhadap anaknya. Remaja perempuan biasanya suka bercerita kepada ibu bapa dan kawan-kawan, tetapi remaja lelaki suka memendam perasaan terutama dengan ibu bapa dan lebih selesa bersama kawan-kawan," katanya.

Apabila remaja terlalu mempercayai rakan-rakan, mereka sering tersilap langkah. Bagaimana ibu bapa boleh mengelakkan perkara ini secara halus?

"Membebel adalah sesuatu yang tidak disukai semua orang terutama remaja. Ibu bapa perlu tahu keadaan yang sesuai untuk 'membebel' secara halus dan berkesan. Ramai ibu bapa yang tersalah langkah mendidik anak-anak dengan membebel sepanjang masa mengakibatkan remaja makin jauh daripada ibu bapa.

"Niat ibu bapa membebel sebenarnya baik untuk kebaikan anak-anak, namun pada anak-anak ia sesuatu yang menjengkelkan kerana ibarat perlu mendengar semua arahan ibu bapa. Ini menambahkan lagi rasa terkongkong. Daripada membebel, gunakan pendekatan berbincang dan bukan memberi arahan, kurangkan membebel sebaliknya dengar penjelasan mereka bersama sentuhan kasih sayang," katanya.

Dunia yang semakin pesat membangun memang terlalu banyak memberi keburukan kepada remaja. Ibu bapa perlu peka terhadap persekitaran sekarang.

"Sikap remaja yang dianggap berisiko sekarang ialah pergaulan sesama jantina.
Ibu bapa perlu memerhatikan pergaulan dengan meletakkan had tertentu. Contohnya, ibu bapa perlu memahami persekitaran dan tahu sebab anak-anak ingin tidur di rumah rakan atau jiran. Jika ada sikap anak-anak yang suka bersendirian, pastikan ia tidak berpanjangan, rujuk kaunselor berdaftar atau ahli psikiatri jika berpanjangan," katanya.

Taksub kepada laman sosial atau Internet juga memberi kesan yang sangat negatif sekiranya tidak dipantau. Ibu bapa boleh memastikan komputer atau laptop berada di tempat yang boleh dilihat bagi mengelakkan hubungan yang tidak sihat dengan rakan Internet atau laman web yang tidak senonoh.

"Perbezaan dalam memberi kebebasan kepada remaja lelaki dan perempuan oleh ibu bapa juga perlu kerana dari perspektif psikologi, perkembangan remaja mengikut jantina juga berbeza. Contohnya, remaja perempuan cepat berubah dari sudut fizikal dan mereka juga cepat mahu bercinta kerana ingin mendapatkan perhatian lebih daripada orang lain. Remaja lelaki pula berubah bentuk badan menjadi lebih tegap serta suara yang lebih garau. Kebebasan setiap anak mengikut jantina perlu dibezakan mengikut tahap perkembangan mereka.

"Malah, jika dilihat dari segi keselamatan, remaja perempuan lebih berisiko kerana terdedah kepada masalah sosial seperti seks bebas atau isu rogol. Sebaliknya remaja lelaki hanya berisiko masalah sosial seperti merempit, penyalahgunaan bahan larangan, mencuri dan seumpamanya," katanya.

Mengenai remaja mencari duit sendiri dengan bekerja sambilan walaupun masih bersekolah, menurutnya, bergantung kepada keadaan kerana ibu bapa lebih memahami perangai anak-anak mereka. Jika peluang untuk bekerja sambilan digunakan sebaik mungkin, ia memberi kelebihan dari aspek penambahbaikan kemahiran serta pengalaman bekerja di dunia sebenar.

"Namun, jika peluang yang diberikan akan menambahkan lagi gejala tidak sihat, ia harus dipantau dan jangan digalakkan. Paling penting, adakah bekerja sambilan itu mengganggu pelajarannya?"

Afizul berpendapat, seeloknya biarlah bekerja digalakkan sebaik habis belajar supaya fokus zaman persekolahan tidak terganggu. Remaja bersekolah, kemudian bekerja pula, ini mungkin membuatkan mereka semakin jauh daripada ibu bapa.
Berikut tip berguna untuk ibu bapa:

Petua buat mufin gebu

Posted: 28 Aug 2012 09:57 AM PDT

SELAIN biskut, kek cawan dan mufin kini menjadi antara manisan yang dihidangkan kepada tetamu ketika majlis rumah terbuka. Selain nampak comel, mufin memberi kelainan kepada kek atau makanan yang sedia terhidang di meja.

Teknik asas membuat mufin juga mudah. Hanya campurkan bahan di dalam bekas kemudian diputar sehingga sebati. Tanpa menggunakan mentega, mufin yang lembut dengan tekstur yang halus mampu diperoleh.

Menurut pemilik My Mum's Bakery, Siti Saleha Idris, resipi mufin coklat yang tidak meng–gunakan mentega diperoleh turun temurun daripada ibunya.

"Biasanya mufin menggunakan mentega, susu atau dadih sebagai bahan utama, tetapi sebenarnya tanpa mentega, mufin yang lembut, halus dan gebu mampu diperoleh dengan hanya menggunakan bahan asas. Apa yang penting adalah teknik memutar menerusi satu arah supaya dapat menghasilkan adunan sekata," katanya.


Selain itu, pastikan adunan mufin tidak dikacau melebihi 15 saat. Adunan yang terlalu dikacau akan membuatkan mufin liat, mendap dan tidak sedap.


"Adunan yang bergumpal dan tidak rata memang biasa sewaktu membuat mufin. Jadi pastikan bahan sebati dan lembut selepas dikacau," katanya yang turut menerima tempahan kek cawan, mufin dan kek untuk majlis perkahwinan dan hari jadi.

Untuk mendapatkan mufin yang diinginkan, Siti Saleha menasihatkan agar menggunakan tepung mufin yang dijual di pasar raya. Elak menggunakan tepung kek atau pastri kerana ia akan membuatkan mufin terlalu lembut dan bentuknya akan berubah.

Isian cawan mufin pula haruslah sebanyak tiga suku penuh untuk adunan ringan bagi membolehkan tepung naik ketika dibakar. Gunakan sudu, senduk kayu ataupun sudu ais krim untuk mengisikan adunan ke dalam cawan agar kemas dan tidak comot.

Paling penting untuk mendapatkan mufin yang segar dan gebu, pastikan ketuhar dipanaskan terlebih dulu sebelum dibakar.

Bahan:

1 kilogram tepung mufin
350 gram telur ayam
225 gram air
280 mililiter minyak jagung

Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved