Selasa, 18 September 2012

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Padah mulut celupar

Posted: 17 Sep 2012 01:47 PM PDT

KECELUPARAN pengendali Terengganu, Peter Butler mengeluarkan kenyataan media tanpa merujuk kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhubung masalah disiplin dua pemain skuad Penyu, Muhamad Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha'ri, akhirnya membawa padah apabila beliau digantung enam bulan.

Bekas pemain West Ham United itu yang mula melatih skuad Penyu sejak Jun lalu, juga turut didenda RM4,000 berikutan kesalahan pertama yang dilakukan itu.


Kesalahan kedua pula iaitu memaki hamun dan menolak penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramlie, berdekatan bangku pemain simpanan ketika perlawanan menentang Kedah lantas jurulatih kelahiran England itu turut dikenakan denda pemotongan gaji 15 peratus sebulan daripada gaji pokok.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Ahmad Shukri Zakaria dalam satu sidang media di Pejabat PBSNT di Kuala Terengganu, Terengganu, semalam selepas mesyuarat lebih sejam.


Selain Butler, Ahmad Shukri berkata, turut menerima hukuman adalah Muhamad Muslim dan Ismail Faruqi yang didakwa atas kesalahan keluar dan masuk bilik penginapan hampir jam 3 pagi tanpa kebenaran PBSNT sebelum perlawanan bertemu Kedah di Alor Star pada 28 Ogos lalu. Mereka didakwa membawa wanita ke bilik oleh Butler.


Berikutan kesalahan itu, dua bekas pemain kebangsaan itu didenda RM1,000 setiap seorang selain diberi amaran keras oleh PBSNT.

Sementara itu, bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd Sharbinee Allawee yang didakwa membaling botol air ke arah Butler ketika perlawanan menentang Kedah pada 1 September lalu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Kuala Terengganu, turut berdepan amaran keras dan denda RM1,000.


Nasib sama turut menimpa penyerang import Terengganu dari Liberia, Francis Forkey Doe apabila dia didenda pemotongan gaji 10 peratus sebulan berikutan kesalahan menyiku dengan sengaja pertahanan Kedah, Mohd Sabri Abu pada 1 September lalu di Kuala Terengganu.

Malang berganda buat Forkey Doe, penjaring terbanyak Liga Super musim ini apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengenakan tindakan gantung empat perlawanan dan denda RM2,000.


"Semua hukuman dan pemotongan gaji terhadap jurulatih dan empat pemain berjalan serentak berkuatkuasa hari ini selepas jawatankuasa disiplin bersetuju mengenakan tindakan terhadap kesalahan yang dilakukan," kata Ahmad Shukri.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18


Minggu cemerlang!

Posted: 17 Sep 2012 01:37 PM PDT

SELEPAS merentasi tiga negara dengan menyaksikan Proton Satria Neo beraksi di Kejohanan Rali Dunia (SWRC) di Britain, Kejohanan Rali Asia-Pasifik di Hokkaido (APRC), Jepun dan Siri Super Malaysia (MSS) di Litar Antarabangsa Sepang, Proton R3 Motorsports meraikan kejayaan penuh bermakna hujung minggu lalu apabila menjejak podium.

Pemandu muda dari Wales, Tom Cave yang memandu jentera Proton Satria Neo S2000 menamatkan perlumbaan di tempat kedua buat pasukan Proton R3 Motorsports dalam kategori Super 2000 WRC, aksi kedua bersama pasukan Proton tahun ini.


Cabaran Per-Gunnar Andersson di SWRC lebih sukar selepas terpaksa menarik diri pada pusingan pertama tapi bangkit mempamerkan pemanduan hebat selepas itu untuk memenangi dua peringkat dan menamatkan saingan di tempat keenam keseluruhan.

Keputusan itu menyaksikan Andersson mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu SWRC dengan perbezaan lapan mata manakala Hayden Paddon dari New Zealand berkongsi tempat kedua bersama pelumba Ireland, Craig Breen.


Perlumbaan itu dimenangi Breen yang memandu Ford Fiesta S2000 manakala Yazeed Al-Rajhi turut memberikan podium buat Ford apabila menduduki tempat ketiga. Sementara itu, pasukan rali R3 Cusco mempamerkan aksi membanggakan dalam saingan APRC di Rali Hokkaido 2012 apabila menyapu bersih kedudukan podium kategori 2WD.


Pelumba legenda negara yang juga juara keseluruhan tiga kali berturut-turut APRC, Karamjit Singh menggunakan segala pengalaman biarpun berdepan kesukaran apabila tayarnya pancit untuk mengungguli kategori 2WD.

Manakala rakan sepasukan Karamjit dari Jepun, Akira Bamba turut meraikan kejayaan apabila muncul juara Remaja APRC buat kali kedua selepas menjuarai kategori APRC remaja dan menduduki tempat kedua saingan 2WD.


Pemandu muda negara, Kenneth Koh melengkapkan minggu sempurna buat pasukan itu apabila meraih tempat kedua kategori remaja dan ketiga saingan 2WD.

Keseluruhan, hujung minggu lalu disifatkan minggu penuh bermakna buat Proton biarpun kedua-dua kereta Proton Satria Neo S2000 yang dipandu Alister McRae dan Juha Salo terpaksa menarik diri.


Sementara itu pelumba pasukan Proton R3, Syafiq Ali dan James Veerapan yang mengendalikan Proton R3 Satria menguasai aksi di MSS di Sepang ketika saingan berbaki satu lagi pusingan.


Biarpun berdepan kesukaran apabila kereta dipandu Veerapan terbabas ke laluan kelikir, dia bangkit meneruskan perlumbaan selepas mendapat bantuan marsyal untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat sekali gus muncul juara keseluruhan dengan kelebihan 70 mata, satu jurang yang tidak mampu digugat mana-mana pemandu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved