Isnin, 10 September 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Internet realisasi impian

Posted: 10 Sep 2012 08:09 AM PDT

TEKNOLOGI moden seperti kemudahan Internet memberi banyak kelebihan kepada semua pihak untuk lebih mudah saling menghubungi seterusnya meluaskan rangkaian kenalan.

Kelebihan berkenaan memudahkan segala macam urusan termasuk urusan perniagaan yang boleh dijalankan secara dalam talian tanpa banyak masalah.

Jika 20 tahun lalu, seseorang yang ingin menceburi bidang perniagaan perlu mempunyai kedai tradisional yang bersifat fizikal, kini dengan Internet siapa saja boleh berniaga.

Perniagaan sememangnya memberi pulangan lebih lumayan daripada bekerja makan gaji dan hakikat itu turut diakui usahawan di alam maya.


Kemudahan Internet juga membuka dimensi baru kepada wanita untuk mencari pendapatan sampingan ataupun utama, demi menanggung kos hidup yang semakin meningkat.


Ada yang melakukannya secara serius tetapi ada juga sekadar suka-suka memandangkan perniagaan secara talian mudah dan menyeronokkan.

Wanita adalah golongan yang sering mendapat kelebihan melalui perniagaan dalam talian kerana mereka insan paling sibuk dengan urusan keluarga dan pada masa sama, sanggup bekerja untuk mempunyai pendapatan sendiri.

Bagi Marduwati Ismail, 32, minat berniaga sudah lama bercambah dalam diri dan kemudahan Internet membolehkannya merealisasikan impian bergelar ahli perniagaan tanpa perlu berusaha-payah membuka kedai.

Perniagaan melalui syarikat Petrocimec Sdn Bhd yang diusahakannya dengan menggunakan Internet sebagai pengantara memberi banyak kemudahan untuknya menguruskan urusan jual beli bukan saja dalam negara malah pesanan dari pelanggan luar negara.

"Lebih mudah menjalankan perniagaan dalam talian dan pelanggan juga lebih pelbagai selain barangan yang dijual lebih mudah diketengahkan kepada orang ramai.

"Sekiranya berniaga hanya di kedai, produk bersifat statik dan kena tunggu pelanggan datang.

"Lagipun sekiranya berniaga cara tradisional, agak 'penat' hendak menerangkan mengenai produk berulang kali tetapi dengan Internet, itu semua tidak perlu kerana pelanggan boleh baca di laman web," katanya.

Marduwati berkata, walaupun perniagaan barangan komoditi yang dijalankannya mengambil masa sebelum mendapat keuntungan, hasilnya sangat memuaskan.

Apabila berurusan dengan pelanggan luar negara, terdapat banyak prosedur yang perlu dibuat tetapi ia berbaloi apabila pulangan yang diterima agak lumayan.

"Peluang perniagaan menerusi dalam talian lebih luas, lebih realistik dan menawarkan peluang yang lebih banyak.

"Setakat ini perniagaan yang saya usahakan menunjukkan kemajuan memberangsangkan hingga saya mempunyai perancangan untuk mengembangkannya.

"Saya bercadang untuk meluaskan perniagaan dan menjadi pembekal tunggal barangan komoditi kepada pasar raya besar di Malaysia," katanya.

Memulakan perniagaan sejak 2011, Marduwati berkata, berbeza dengan wanita lain yang lebih gemar menjalankan perniagaan bersifat kewanitaan seperti pakaian dan tudung, dia memilih produk komoditi kerana ia barangan kegunaan harian.

Lagipun, barangan komoditi mempunyai pelanggan yang lebih luas dan jangka hayat yang panjang. Dia turut menggalakkan lebih ramai wanita berkecimpung dalam perniagaan yang diusahakan menerusi dalam talian kerana ia lebih mudah diuruskan.

"Perniagaan menjanjikan pulangan yang lumayan sekiranya ia dilakukan secara bersungguh-sungguh, bukan sekadar 'hangat-hangat tahi ayam'," katanya.

Sementara itu, Aduni Din, 35, mengakui status sebagai isteri dan ibu kepada empat anak kecil membuatkannya lebih selesa bekerja dari rumah dan Internet memberi peluang kepadanya untuk mencari pendapatan sampingan tanpa mengabaikan keluarga.

Melalui peniagaan Nina Cybercakes yang sudah diusahakan sejak lapan tahun lalu, dia sangat berpuas hati kerana masih dapat membesarkan anak di depan mata.

Sebaik mendirikan rumah tangga, suami memintanya berhenti kerja demi menumpu perhatian kepada keluarga.

"Saya kemudiannya berjinak-jinak dengan perniagaan kek yang dijual melalui Internet dan syukur kerana ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

"Suami turut memberi sokongan padu apabila sanggup bawa kek ke tempat kerjanya untuk ditunjukkan kepada rakan-rakan yang kemudiannya membuat tempahan," katanya.

Aduni berkata, minat mendalam dalam pembuatan dan menghias kek menguatkan hatinya untuk berniaga secara dalam talian.

Dunia perniagaan melalui dalam talian juga mempunyai cabaran tersendiri dan seseorang perlu kuat sekiranya ingin berjaya selain tidak mudah rasa putus asa sekiranya tidak mendapat pelanggan.

"Perniagaan yang saya usahakan ini memang mendapat pulangan yang baik kerana saya menjaga kualiti kek yang dihasilkan.

"Disebabkan itu, saya mempunyai pelanggan tetap yang sudah tahu hasil kerja saya dan ini lebih memudahkan urusan perniagaan," katanya.

Aduni berkata, dia tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membuka kedai kerana sudah seronok berniaga secara dalam talian, lagipun ia lebih mudah tanpa banyak prosedur.

Melalui perniagaan secara dalam talian, pelanggan yang mencarinya, bukan sebaliknya dan itu membuatkan dia lebih cenderung meneruskan perniagaan sedemikian.

"Saya sangat menggalakkan wanita lain berkecimpung dalam perniagaan melalui dalam talian kerana ia lebih mudah dan memberi pulangan yang baik.

"Tetapi mereka perlu cekal, rajin, berdisiplin dan cekap menguruskan masa dengan baik supaya boleh berjaya," katanya.

Aduni berkata, wanita yang berminat berniaga juga perlu pandai menarik pelanggan, antaranya menghasilkan produk berkualiti serta produk yang unik dan tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


Amalan baik tak terbatas

Posted: 10 Sep 2012 08:03 AM PDT

ADA orang yang berjaya menjadi pemimpin dan ada juga yang cemerlang walaupun sekadar menjadi pengikut. Dalam melakukan kerja amal, ada yang membantu pihak sedia ada beroperasi kerana mereka tahu, untuk menjadi pengasas bukan suatu perkara yang mudah.

Ramai sukarelawan berkumpulan mahupun orang perseorangan berasa lebih mudah menjadi penyokong kerja kebajikan yang sudah sedia beroperasi daripada memulakannya sendiri di peringkat bawah.

Antara insan yang berjaya menjadi pengasas sebuah rumah anak yatim di Trong, Taiping, Perak ialah Faridah Karim. Pada 1 Januari 2001, Faridah dan suaminya Abdul Karim Mohamad Isa, menubuhkan Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Ummu Sofiah yang beroperasi atas tanah wakaf peninggalan arwah bapa Abdul Karim sendiri.

Melihat Faridah yang baru berusia 43 tahun, baru disedari betapa muda usianya ketika menubuhkan Ummu Sofiah iaitu di usia 30-an. Semangat tinggi yang diperolehnya tentu saja daripada sokongan keluarga dan suaminya yang bekerja sendiri mengusahakan ladang sawit berdekatan rumah mereka.


"Sebelum berkahwin saya berpengalaman mengajar di tadika dan sekolah agama. Pengalaman itu banyak saya terapkan kepada anak-anak di Ummu Sofiah," kata Faridah.


Alhamdulillah, perkembangan Ummu Sofiah sejajar dengan peningkatan penghuninya yang semakin hari semakin bertambah. Sekiranya dulu penghuninya sekitar 10 orang, kini sudah mencecah lebih 30 orang.

Faridah dan suaminya mempunyai pembantu dan tukang masak bagi melancarkan perjalanan Ummu Sofiah.

"Pada peringkat awal, saya dan suami lakukan semuanya sendiri. Pagi-pagi saya ke pasar, kemudian memasak untuk budak-budak. Apabila mereka balik sekolah saya ajar pula Fardu Ain," katanya.

Sepuluh tahun dulu berbanding zaman ini tentu banyak perbezaannya. Faridah tidak menafikan, perubahan masa mengakibatkan perubahan anak-anak itu sendiri. Namun Faridah berusaha menjaga dan mendidik mereka dengan penuh kesabaran dan kasih sayang.

Onak dan duri di awal pembinaan Ummu Sofiah memang bukan mudah tetapi, tekad dan azamnya mahu memelihara nasib anak-anak yatim mengatasi segala-galanya justeru, semua anak-anak Ummu Sofiah memanggilnya 'ibu'. Mereka bercerita, mengadu dan bergurau dengan begitu erat sekali. Dapat dilihat, betapa kesabaran menjadi tunjang utama yang memungkinkan Faridah sampai ke peringkat itu.

Anak-anak Ummu Sofiah yang sudah dewasa dan tamat sekolah menengah harus meninggalkan rumah itu dan meneruskan kehidupan mereka sama ada ke kolej atau ke universiti. Namun mereka tidak langsung melupakan Faridah, malah hubungan masih terjalin erat.

Pengalaman penghuni

Berikut pengalaman dua bekas anak Ummu Sofiah yang kini sudah melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti:

Siti Farhanah Ahmad Suhaime, 20, anak jati Sungai Tinggi Trong mula menjadi
ahli Ummu Sofiah ketika masih di sekolah rendah pada 2001.

"Agak sedih pada mulanya kerana tidak pernah berjauhan dengan keluarga, tetapi sedih itu mula hilang kerana seronok di Ummu Sofiah. Saya ada rakan yang ramai dan ini memberi pengalaman baru kepada saya. Saya juga dapat mengenali ramai orang," katanya.

Sedikit demi sedikit Farhanah mula menyesuaikan diri dengan mengikut peraturan yang Faridah tetapkan. Dia membabitkan diri dengan semua aktiviti di sana. Hubungan Farhanah, anak keempat daripada lima beradik dengan Faridah sangat rapat.

"Walaupun kini saya sudah masuk universiti, saya dan ibu masih berhubung. Pada saya, saya ada seorang emak yang melahirkan saya manakala ibu Faridah pula seorang ibu yang membesarkan saya. Jasanya pada saya dan keluarga hanya Allah yang mampu membalasnya.

"Sejak berusia sembilan tahun sehingga mencecah 20 tahun, pertolongan ibu tidak putus-putus sama ada wang ringgit, perhatian dan keperluan.

"Ketegasan ibu membuatkan kami hormat kepadanya. Ibu mudah didekati tambahan dengan lawak jenakanya yang bersahaja membuatkan kami tak jemu berjumpa ibu," kenang Farhanah.

Farhanah sedar, Faridah cuba melakukan yang terbaik untuk anak-anak Ummu Sofiah walaupun kesihatan kadang-kadang tidak mengizinkan. Faridah rupanya menghidap penyakit kencing manis ketika usianya 34 tahun membuatkan wanita berhati waja itu mudah keletihan. Alhamdulillah, Faridah semakin sihat sekarang serta semakin pulih.

"Dulu, ibu menguruskan segalanya hanya dengan bantuan suami sama ada untuk kelas Fardu Ain, urusan makanan dan pejabat. Namun, sekitar 2008, ibu mula mengambil pembantu bagi mengurangkan bebannya," cerita Farhanah yang kehilangan bapa ketika usianya sembilan tahun.

Seperti remaja lain yang penuh dengan pengalaman pahit manis, begitu juga Farhanah di Ummu Sofiah.

"Ketika itu saya mengikuti program bersama TLDM Lumut. Hampir setiap minggu mereka datang ke asrama untuk bergotong-royong.

Mereka juga bawa kami jalan-jalan di atas kapal besar, raikan hari jadi kami dan adakan majlis bersama anak-anak yatim. Memang seronok. Kenangan lain yang tak dapat dilupakan apabila saya dan kawan-kawan dimarahi sebab lambat solat Dhuha dan kami didenda mencuci tandas selepas itu," cerita Farhanah sambil ketawa kecil.

Apabila Farhanah dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara, Faridah antara insan yang paling gembira.

"Ibu seronok sangat sampai ibu yang membiayai semua urusan saya di awal semester. Setiap keperluan ibu cuba penuhi dan semua itu sangat bermakna di hati saya," katanya.

Teman Farhanah, Nurul Hidayah Sultan Ahmad, 21, menjadi yatim apabila ayahnya meninggal dunia ketika dia berusia empat tahun.

"Saya tidak mengingati sedikit pun kenangan bersama ayah sebab terlalu kecil. Apa yang saya ada hanyalah gambar," kata Nurul Hidayah yang mula tinggal di Ummu Sofiah ketika umurnya 10 tahun sehinggalah dia tamat sekolah rendah.

Anak kelima daripada tujuh beradik, semua abang Nurul Hidayah pernah tinggal
di rumah jagaan anak yatim walaupun untuk jangka masa pendek. Nurul Hidayah kini menuntut dalam jurusan syariah Islamiah di Universiti al-Azhar, Mesir.

"Masuk sekolah menengah, saya menyambung pelajaran di Sekolah Maahad Darul Anuar, Kota Bharu, Kelantan dan tinggal di asrama. Walaupun tidak lagi tinggal di Ummu Sofiah, setiap kali cuti sekolah ibu selalu jemput saya menghadiri program jemputan membabitkan anak-anak yatim. Paling banyak jemputan tentu saja di bulan puasa dan raya," katanya.

Ketika tinggal di Ummu Sofiah, Nurul Hidayah rasa seronok kerana ramai pihak yang prihatin datang melawat dan menghiburkan mereka.

"Pengalaman tinggal di Ummu Sofiah memang kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Ibu sentiasa mengambil berat terutama membabitkan pelajaran.

"Ibu selalu menjemput tenaga pengajar untuk mengajar kami mata pelajaran yang susah seperti matematik, sains dan Bahasa Inggeris. Jadi pengurusan masa belajar memang teratur. Ibu agak garang kalau kami nakal, tetapi hakikatnya, dia sangat baik dan pemurah," katanya.

Nurul Hidayah memberitahu, dia dan Faridah sangat rapat dari dulu sehingga kini. Mengenang bagaimana perasaan Faridah apabila dia dapat melanjutkan pelajaran ke Mesir, Nurul Hidayah bercerita wanita itu sangat gembira.

"Dia gembira kerana anak di bawah jagaannya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Sekarang apabila cuti semester, ibu meminta saya membantu mengajar Fardu Ain, tulisan jawi dan mengaji al-Quran kepada adik-adik di sini bagi mengisi masa terluang saya. Saya seronok kerana dapat membalas sedikit jasa ibu yang pernah menjaga saya. Insya-Allah saya tak akan lupakan Rumah Ummu Sofiah yang banyak berjasa kepada saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved