Selasa, 11 September 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Jangan terus mendesak

Posted: 11 Sep 2012 09:03 AM PDT

PERNAHKAH anda didatangi seorang jurujual yang gigih dan peramah dalam usaha menjual barangannya? Jika ya, pasti ada yang meminta supaya jurujual itu pergi tambahan pula sekiranya anda sedang makan. Bagi mereka yang memberi ruang untuk mendengar, masa diberikan tidak sampai lima minit mungkin kerana bosan atau tidak berminat dengan ayat dikeluarkan jurujual itu.

Ada pula yang berceloteh tidak henti-henti dan berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkan sesiapa saja mengenai kualiti produk yang dibawa mereka sambil memberikan pelbagai sebab orang ramai mesti membelinya dengan kadar segera.

Namun kesannya agak bertentangan. Ini kerana ketika timbul minat untuk memiliki produk yang dikatakan 'berkualiti' itu celotehnya yang panjang lebar membuatkan sesiapa juga mulai bosan. Apatah lagi bagi jurujual yang sering mengulangi kata-kata yang sama.

Ia ibarat menjadikan pendengar seperti anak kecil. Bosan dan terasa seperti diperbodohkan. Ini kerana sebagus mana sekali pun produk itu, ini tidak bermakna orang ramai akan terus membelinya serta-merta.


Apa yang gagal difahami jurujual tadi ialah setiap orang mempunyai senarai keutamaan masing-masing. Dengan mencipta satu keperluan baru melalui taktik tekanan, ia hanya akan mengaburi fikiran pelanggan yang mungkin sedang dihantui masalah yang lain.


Menurut perunding keibubapaan, Zaid Mohamad, kurang bercakap, lebihkan mendengar adalah satu strategi yang sepatutnya digunakan bukan saja jurujual tetapi sesiapa saja. Ini kerana hanya dengan cara itu seseorang boleh memahami masalah bakal pembeli dan menawarkan satu penyelesaian untuk mereka melalui produknya. Pelanggan juga akan berasa dihargai dan dihormati oleh si penjual.

"Saya memanggil peraturan ini sebagai Peraturan 10-90. Ia wujud bukan saja dalam aspek penjualan tetapi juga dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk keibubapaan. Amat penting untuk kita memahami aspek ini dan kesannya. Peraturan 10-90 ini boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian dan seterusnya membuahkan hasil terbaik dalam bidang keibubapaan," katanya.

Dalam realiti sebenar, jurujual yang ideal ialah seorang yang bercakap hanya 10 peratus dan memperuntukkan 90 peratus masa untuk mendengar. Sekiranya perkara yang sama dilakukan kepada anak-anak, mereka juga akan merasai perasaan yang sama. Sebagai ibu bapa, jangan terus menerus mendesak mereka melakukan sesuatu perkara tanpa menyelami perasaan terlebih dulu, anak-anak akan berasa tertekan dan mungkin hanya memendam rasa dan berdiam diri.

"Sekalipun apa yang kita ucapkan adalah benar, perasaan negatif dan ego akan menjadi penghalang utama. Anak-anak yang sedang meningkat usia lazimnya mahukan layanan seperti orang dewasa manakala anak kecil pula amat suka jika kepetahan bercakap dan bertanya dilayani dengan penuh minat," katanya.

Ibu bapa sepatutnya perlu membuktikan yang mereka benar-benar mengambil berat mengenai anak-anak, bukannya hanya memaksa mengikut cara dan idea ibu bapa saja. Dengan banyak mendengar, ibu bapa akan lebih memahami situasi dan masalah anak-anak.

"Jika ini dapat dilakukan, barulah kita mampu menawarkan penyelesaian yang sesuai. Sebagai balasan, anak-anak akan lebih bersikap terbuka untuk berkongsi idea di samping memberikan kerjasama sepenuhnya untuk ibu bapa," ujarnya.

Tambah Zaid, jurujual, saudara-mara dan sahabat handai yang kuat berleter sentiasa berada di sekeliling dan tiada sesiapa pun suka dileter. Situasi yang sama juga berlaku apabila berinteraksi dengan anak-anak. Tidak menghairankan mengapa anak-anak seolah-olah tidak mengendahkan ibu bapa tatkala mereka dileteri. Sebenarnya, mereka berasa bahawa diri mereka sedang diserang dan dengan itu cuba mempertahankan diri dengan mengalihkan perhatian kepada perkara lain.

"Sebenarnya seseorang itu berleter kerana ingin melepaskan segala perasaan yang terbuku di dada dan terhasil daripada tindak balas terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Apa yang mereka tidak sedari ialah, tindakan berleter itu tidak akan dapat menyelesaikan sebarang masalah. Ia hanya melepaskan tekanan kepada orang lain saja," jelasnya.

Strategi yang lebih baik adalah dengan sentiasa menganalisa suasana dan situasi sebelum bertindak. Berilah nasihat secara positif jika boleh; jika tidak, senyum sahajalah. Bila anak-anak berada di rumah, tanamkan azam untuk mengelakkan diri daripada berleter dan merungut. Sebaliknya, sentiasa ingatkan mengenai tanggungjawab dengan penuh kasih sayang. Banyakkan dorongan dan berikan kata-kata pujian sekiranya mereka berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Ketahuilah daya pemikiran kreatif boleh dipertingkatkan dengan mendadak sekiranya ibu bapa memberi kuasa kepada anak-anak melakukan sesuatu dengan cara mereka sendiri. Daripada asyik memberi arahan demi arahan, jauh lebih berkesan memberi kebebasan melakukan tugas dengan cara mereka sendiri asalkan tugas itu disiapkan. Dengan memberi kuasa kepada mereka, ibu bapa membuktikan yang mereka mempercayai kemampuan anak-anak di dalam membuat keputusan. Secara tidak langsung, ia melatih menjadi orang-orang yang cerdik dan mampu menghadapi cabaran dunia sebenar.

Di samping itu, anak-anak juga akan banyak belajar daripada kesilapan. Dengan memberi kuasa, ia dapat mendorong membina keyakinan diri setiap kali mereka berjaya menyelesaikan sesuatu tugasan.

Lou Holtz, seorang jurulatih terkenal bola sepak Amerika pernah berkata, hidup adalah 10 peratus apa yang terjadi pada kita dan 90 peratus bagaimana kita bertindak balas terhadapnya. Kita tidak boleh mengawal apa yang berlaku di sekitar kita tetapi kita pasti boleh mengawal cara kita menanganinya.

Elakkan daripada mengeluh "Mengapa aku?" apabila ditimpa musibah. Sebaliknya, fikirkan cara untuk memperbaiki keadaan itu. Elakkan daripada berasa diri kita adalah mangsa keadaan sebaliknya, ambil tindakan dan carilah sesuatu yang dapat kita syukuri untuk meneruskan kehidupan.

Dalam pada itu, latih anak-anak melakukan perkara yang sama. Tanamkan sifat positif di dalam diri untuk menyahut segala cabaran walau apapun rintangan yang datang.

Ramai ibu bapa tidak tahu, kerap mengerut dahi dan mengeluh tidak baik dalam sebuah keluarga. Malah merekalah insan yang biasanya akan berleter, mengkritik, mengarah-arah dan merungut pada setiap masa.

Justeru, tukar dengan menanam azam untuk lebih kerap tersenyum walau apa pun yang berlaku. Nikmati saat bersama keluarga ketika mereka masih berada di sisi. Sekalipun kita tidak suka pada sesuatu keadaan atau seseorang seperti jurujual yang suka mendesak, lontarkan senyuman sambil mengucapkan selamat tinggal sebelum mereka merosakkan hari kita.

Ingatlah, hidup adalah 10 peratus apa yang terjadi pada kita dan 90 peratus bagaimana kita bertindak balas terhadapnya.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai bimbingan keibubapaan, layari laman web www.smartparents.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/11


Mudah dihidang

Posted: 11 Sep 2012 09:00 AM PDT

HIDANGAN yang ringkas dan menjimatkan masa sering menjadi pilihan bagi mereka yang ingin menikmati menu 'masakan segera' di rumah.

Tidak perlu terkial-kial menyediakan pelbagai bahan yang banyak kerana penyediaan spageti aglio olio makanan laut adalah antara menu paling ringkas boleh disajikan untuk keluarga.

Menurut Chef Eksekutif Hotel Swiss Garden Kuala Lumpur, K Manimaran, masakan gaya Itali ini sememangnya mudah disediakan dan bahan diperlukan juga tidak banyak.

Paling penting untuk menghasilkan spageti, setiap bahan digunakan dicelur terlebih dulu dan hanya dibiarkan separuh masak bagi mengekalkan rasa dan kemanisan isi makanan laut segar itu.


"Saya tidak menggunakan bahan perasa tambahan kerana ingin mengekalkan

gaya penyediaan makanan sihat dan mengurangkan bahan yang boleh memudaratkan diri.

"Disebabkan itu, setiap masakan yang saya sediakan hanya menggunakan bahan semula jadi sebagai bahan perasa ataupun sedikit garam sebagai penambah rasa," katanya.

Selain itu, katanya rahsia menghasilkan hidangan spageti yang lazat juga bergantung kepada jumlah cecair digunakan dalam masakan kerana sebolehnya, kurangkan kehadiran bahan cecair untuk menghasilkan sajian spageti yang enak.

Ikuti cara mudah menyediakan spageti aglio olio makanan laut dikendalikannya di restoran Flavors hotel terbabit.

BAHAN

● 60 gram sotong
● 60 gram udang
● 5 gram keju parmesan
● 60 gram ikan siakap
● 60 gram kupang - dicelur seketika
● 5 gram serbuk lada
● 30 gram spageti
● 5 gram bawang putih
● 50 mililiter stok makanan laut
● 3 sudu kecil minyak zaitun - untuk menumis
● Daun selasih
● Garam
● Lada sulah

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/11


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved