Ahad, 16 September 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Jaga kaki seawal usia 20-an

Posted: 16 Sep 2012 09:53 AM PDT

WALAUPUN pemakaian kasut tinggi yang menjadi kegemaran kaum wanita tidak baik untuk kesihatan kaki, keadaan berkenaan sukar dibendung kerana sikap lebih mementingkan gaya dan mahu tampak menawan serta seksi biarpun merana menanggung kesakitan.

Pemakaian kasut tinggi dalam jangka masa yang panjang boleh mengakibatkan pelbagai masalah kaki termasuk tekanan dan kecacatan bentuk kaki yang boleh memberi kesan tidak langsung kepada keseluruhan kesihatan tubuh termasuk di bahagian tulang belakang.

Kasut tinggi, ketat, runcing dan tidak selesa boleh menyebabkan kesan kesakitan serta-merta dan jangka panjang kepada kaki si pemakainya.

Antara masalah kesihatan kaki yang sering berlaku kepada mereka yang hanya memakai kasut tinggi adalah bunion (hallux valgus). Keadaan ini berlaku apabila ibu jari kaki menjadi senget dan terarah ke jari kaki kedua, menyebabkan benjolan terhasil pada bahagian luar hujung kaki sebelah ibu jari.


Selain itu, akibat kasut yang sempit, tulang jari kaki lama-kelamaan akan membengkok merapat antara satu sama lain dan keadaan itu hanya boleh dibetulkan semula dengan menjalani pembedahan.


Masalah lain yang boleh wujud akibat pemakaian kasut tidak bersesuaian adalah kulit mengeras di beberapa bahagian kaki yang sering menerima tekanan seperti tapak kaki di bawah jari serta bahagian tepi hujung kaki.

Menurut Pakar Ortopedik Pusat Pakar Universiti Malaya, Dr Chua Yeok Pin, berkata ulser juga boleh terjadi sekiranya kaki luka dan melecet terutama di kalangan mereka yang mengalami penyakit kencing manis.

Pada masa sama, pemakaian kasut tinggi menolak badan ke hadapan dan apabila keadaan itu berterusan untuk jangka masa yang panjang, ia boleh menyebabkan timbul masalah sakit belakang.

"Bukan saja kasut tinggi menyebabkan pergerakan menjadi terbatas, ia juga meletakkan tekanan pada bahagian sendi di bahagian kaki dan badan terutama pada bahagian lutut.

"Gejala lain yang wujud akibat pemakaian kasut tinggi adalah morton's neuroma iaitu kesakitan akibat saraf bengkak atau menebal pada bola kaki, keradangan tisu tebal di bahagian bawah kaki (plantar fasciitis), pembesaran tulang di belakang tumit (kecacatan haglund), jari bengkok (claw hammer), achilles tendonitis dan metatarsalgia," katanya.

Dalam kecacatan Haglund, tisu lembut berhampiran dengan tendon achilles mencetuskan rasa sakit apabila pembesaran yang berlaku pada tulang di belakang tumit akibat pemakaian kasut tidak sesuai, bergosok pula dengan kasut.

Achilles tendonitis pula keadaan kesakitan dan keradangan tendon yang besar di belakang buku lali. Ia adalah kecederaan biasa yang cenderung berlaku di kalangan atlet.

Tendon achilles berlebihan boleh menyebabkan keradangan yang membawa kepada kesakitan dan bengkak. Ia dibezakan daripada satu lagi keadaan biasa tendon achilles yang dikenali sebagai achilles tendinosis.

Metatarsalgia pula adalah suatu keadaan yang menyebabkan kesakitan dan keradangan pada bahagian bola kaki. Seseorang mungkin mengalami metatarsalgia jika aktif mengambil bahagian dalam aktiviti membabitkan berlari dan melompat atau kerana memakai kasut tidak sesuai.

Dr Chua berkata, walaupun secara amnya tidak serius, metatarsalgia boleh membataskan pergerakan namun rawatan seperti ais dan rehat yang cukup selalunya boleh melegakan gejala metatarsalgia.

Katanya, melalui penggunaan kasut yang betul bersama-sama dengan pelapik menyerap kejutan dan hentakan, ia mungkin dapat mencegah atau mengurangkan masalah metatarsalgia.

"Semua masalah kaki berkenaan disebabkan oleh pemakaian kasut tinggi, runcing di hadapan, sempit dan ketat hingga ia mengubah bentuk kaki sebenar dan memberi tekanan pada bahagian sendi yang terdapat pada kaki.

"Ia seterusnya mengakibatkan rasa sakit yang keterlaluan selain kecacatan bentuk kaki hingga menyebabkan mereka yang mengalaminya menderita dan perlu mendapatkan bantuan pakar bagi menjalani rawatan sepatutnya untuk memulihkan semula keadaan terbabit.

"Disebabkan pemakaian kasut tinggi adalah fesyen dan sukar untuk diubah, wanita dinasihatkan memakai kasut yang tidak terlalu tinggi atau hanya memakai kasut yang mempunyai ketinggian kurang daripada dua inci," katanya.

Dr Chua turut menyarankan wanita supaya mengenakan kasut tinggi dalam tempoh sesingkat yang mungkin dan hanya mengikut keperluan, bukan semata-mata untuk kecantikan dan penampilan seksi.

Wanita dinasihatkan membawa bersama kasut kedua yang bertumit rendah dan dipakai pada tempoh yang lebih panjang seperti di pejabat dan ketika berjalan di luar.

Bagi memastikan kesihatan kaki berada pada tahap optimum, wanita atau sesiapa saja boleh melakukan senaman regangan sekurang-kurangnya dua kali sehari selama lima minit untuk fleksibiliti otot betis, bagi memberi kestabilan pada tubuh.

Cara senaman berkenaan dilakukan adalah dengan melakukan aksi menolak dinding dengan satu kaki di hadapan dan satu di belakang dengan tapak kaki rapat ke lantai.

Selain itu, cara lain yang boleh dibuat adalah dengan duduk menjulur kaki dan menggunakan tuala untuk menarik tapak kaki atau berdiri separuh tapak di anak tangga lalu mengimbangkan diri menggunakan sebahagian depan tapak kaki.

Senaman itu sangat berguna kepada mereka yang banyak berdiri atau memakai kasut tinggi namun paling baik adalah dengan menukar kepada kasut yang lebih selesa.

Menurutnya, daripada kajian yang dijalankan dan temuramah dengan 400 wanita, didapati 18 peratus daripada mereka mengalami kecacatan bentuk kaki akibat kasut ketat, menunjukkan pemakaian kasut selesa sememangnya memainkan peranan sangat penting untuk kesihatan kaki.

"Keadaan kecacatan kekal atau kesakitan yang berlaku pada kaki akibat pemakaian kasut tinggi bertahun lamanya hanya boleh dirawat melalui pembedahan," katanya.

Pemakaian kasut yang selesa, saiz tepat dan mempunyai sokongan juga penting kerana ia membantu tulang kaki berada dalam kedudukan lurus ketika berjalan seterusnya menjaga postur badan keseluruhan dan mengelak masalah kesihatan lebih serius timbul.

Paling baik adalah memakai kasut diperbuat daripada kulit kerana ia lebih serasi dengan kaki, ruang kaki yang lebih luas pada bahagian depan, memilih kasut yang anjal, tidak terlalu lembut dan mempunyai pelapik.

Menurutnya, waktu paling baik adalah membeli kasut pada lewat petang iaitu sekitar jam 5 petang dan 6 petang terutama kepada pesakit kencing manis dan darah tinggi kerana kaki lebih besar ketika itu.

"Apabila memakai kasut, kaki perlu masuk dengan elok dan terus muat. Itu menandakan kasut itu sememangnya saiz yang tepat. Jangan beli kasut dengan harapan ia akan muat selepas beberapa kali memakainya.

"Perlu jaga kaki bermula usia awal 20-an untuk mengelak masalah. Pakai kasut yang mempunyai kesan merawat setiap hari termasuk di rumah. Jika tidak selesa memakai kasut merawat pada awalnya, jangan putus asa sebaliknya cuba untuk masa yang singkat setiap hari hingga beberapa minggu bagi menyesuaikan diri," katanya.

Sementara itu, Pengurus Jualan Kasut Reckitt Benckiser, Chan Cheng Hwee, berkata kehadiran kasut jenama Scholl di pasaran adalah bagi memberi alternatif kepada pengguna yang lebih mementingkan keselesaan dan kesihatan kaki berbanding fesyen atau mereka yang mahukan kasut yang dapat membantu melegakan masalah kaki.

Scholl mula memperkenalkan kasut yang mampu memberi kelegaan pada kaki sejak 1950 dan hingga kini model kasut itu masih ada dalam pasaran.

"Kami juga memperkenalkan model Scholl Biomechanics Orthotic yang mempunyai tapak mengikut bentuk semula jadi kaki dan memberi sokongan padu pada beberapa bahagian utama tapak supaya ia tidak 'jatuh' dan memberikan keselesaan pada kaki secara keseluruhannya.

"Kasut Scholl dengan tapak ini juga mampu meluruskan kembali tulang di bahagian tumit kaki dan ini membuatkan kaki berjalan lurus dan boleh bergerak dengan lebih fleksibel," katanya.

Menurutnya, pengenalan model itu tiga tahun lalu mendapat sambutan hangat di beberapa negara termasuk Hong Kong dan Thailand kerana ia juga memberi sokongan kepada belakang tubuh.

Chan berkata, jenama terbabit bukan saja mengeluarkan kasut yang selesa tetapi menepati cita rasa terkini orang ramai yang sememangnya menggemari kasut yang bergaya dan dapat disesuaikan dengan pelbagai majlis.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Kawal nafsu lihat makanan

Posted: 16 Sep 2012 09:41 AM PDT

SELAIN mengambil kesempatan untuk memohon maaf, satu lagi keistimewaan Syawal adalah kepelbagaian jenis makanannya yang enak seperti ketupat, lemang, rendang ayam, kuah kacang juga kuah lodeh.

Sambutan hari raya sememangnya memberi cabaran tersendiri terutama bagi mereka yang ingin mengawal berat badan. Terdapat pelbagai soalan yang saya terima menerusi laman web kevinzahri.com mengenai masalah ini.

Justeru, di kesempatan ini, ingin saya kongsi beberapa tip mudah untuk membantu anda apatah lagi saya juga yakin anda banyak menerima jemputan ke majlis rumah terbuka.

Selepas sebulan menahan lapar dan dahaga serta kurangnya aktiviti fizikal, gaya hidup seharian mungkin akan mengalami sedikit perubahan. Antaranya, kecenderungan untuk makan makanan yang berkalori tinggi.


Perlu diingat, makanan dan minuman yang diambil semasa perayaan kebiasaannya mengandungi kandungan lemak, gula dan kalori tinggi. Oleh itu, kita perlu mengamalkan pemakanan seimbang ketika menikmati hidangan berkenaan.


Sumber nutrien seperti karbohidrat, protein, serat dan buah-buahan penting untuk kesihatan tubuh badan. Protein misalnya adalah sumber yang mengenyangkan dan ia dapat mengelakkan kita daripada makan berlebihan.

Anda dinasihatkan mengawal nafsu semasa melihat makanan yang terhidang. Cuba ambil masa beberapa saat untuk melihat semua makanan sebelum membuat keputusan memilih makanan yang ingin dimakan.

Dengan cara ini, ia boleh membantu anda untuk mengambil jumlah setiap makanan yang diingini secara sederhana dan terkawal. Kunyah makanan perlahan-lahan supaya dapat memberi peluang kepada sistem penghadaman badan terus berfungsi dengan baik.

Selain itu, minum air kosong atau mineral dengan secukupnya dan ambil makanan yang kaya dengan serat bagi mengelakkan anda mengalami masalah sembelit.

Jika masalah sembelit ini terjadi, pasti hari anda menjadi tidak seronok. Manakan tidak, orang lain berseronok berbual bersama saudara-mara sedangkan anda 'terperangkap' pula di dalam tandas sepanjang hari.

Pengurangan kalori boleh juga dilakukan dengan mengelakkan minum minuman yang manis serta berkarbonat. Kandungan gula dan kafein di dalam air berkarbonat memang tinggi. Tidak salah jika minum setengah gelas air berkenaan dan kemudian minum pula segelas air kosong sekiranya masih dahaga.

Makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula, lemak, garam, dan kafein boleh menyebabkan masalah seperti makanan tidak hadam.

Untuk makan tengah hari dan makan malam, saya pasti kebanyakan kita mungkin terlalu kenyang dengan ketupat dan lemang. Jika masih berasa lapar, tukar ia dengan sayur-sayuran atau buah-buahan saja.

Berikut beberapa kandungan kalori lemang, ketupat, serunding, lontong dan pelbagai makanan lazat di Aidilfitri. Saya berharap, ia dapat menolong anda dalam pemilihan dan pengiraan kalori sepanjang musim perayaan juga ketika pengambilan makanan seharian.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved