Isnin, 17 September 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Tepuk bahagian lemah!

Posted: 17 Sep 2012 09:07 AM PDT

SEDANG leka berjalan menuju ke kereta yang diletakkan di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah, tiba-tiba beg tangan anda direntap oleh individu tidak dikenali yang menutup kepalanya menggunakan topi keledar.

Anda terkejut dan panik. Namun secara spontan juga, tindakan refleksi minda dan tubuh membuatkan anda melawan individu terbabit bagi mempertahankan barangan berharga.

Akibat tidak berdaya kerana individu itu yang diklasifikasikan sebagai penjenayah lebih berani serta kuat, anda tewas melawan. Bukan saja beg tangan itu berjaya dilarikan malah diri anda turut tercedera.

Jika direnungkan sejenak, berbaloikah tindakan ini? Pernahkah anda terfikir bahawa langkah berkenaan membahayakan nyawa diri sendiri yang pada akhirnya akan mengundang duka kepada ahli keluarga lain sekiranya kejadian serius seperti kematian?


Benar, ajal dan maut di tangan Tuhan, tetapi jika kita boleh berbuat sesuatu untuk menghalang daripada perkara itu terjadi, pasti pengakhiran ceritanya berbeza.


Wakil Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir, menasihati orang ramai sama ada lelaki mahupun wanita agar melepaskan saja barangan berharga (seperti beg tangan, dompet atau barang kemas) demi nyawa.

"Jangan mempunyai perasaan jenayah tidak akan terjadi pada diri kita. Pencuri, perompak, penyamun, penjenayah atau apa saja anda gelarkan manusia ini, mereka tidak berperikemanusiaan. Mereka cukup berani untuk melakukan apa saja ke atas diri anda sekiranya matlamat mereka tidak tercapai atau gagal.

"Menyerang, mencederakan dan membunuh adalah trend terkini yang dilakukan mereka. Justeru nasihat saya, berikan saja apa yang mereka mahu asalkan kita selamat.

"Ini kerana, saya pasti anda tahu tahap kecergasan diri sendiri. Kalau difikirkan semula, saya berpendapat biar anda mengalami kerugian harta benda daripada kehilangan nyawa," katanya.

Satu lagi perkara yang harus sentiasa diingat dan disematkan dalam pemikiran kita adalah jangan menyerang kembali sebaliknya, mempertahankan diri daripada menjadi mangsa serangan.

Apa yang penting adalah kesedaran untuk mempertahankan diri daripada menjadi mangsa. Ini diikuti dengan langkah pencegahan dan akhirnya, persiapan diri untuk menghadapi pihak lawan menggunakan taktik mudah dan selamat.

Pendek kata, ia bukan seni mempertahankan diri yang lain seperti silat, karate dan taekwando sebaliknya, ia lebih menekankan kepada konsep menyelamatkan diri sewaktu serangan.

Saiful Hamiruzzaman atau lebih mesra disapa Master Saiful bukan orang baru dalam bidang seni mempertahankan diri kerana selain memiliki tali pinggang
hitam untuk silat dan taekwando sejak di sekolah rendah, dia berpengetahuan di bidang seni mempertahankan diri ikibujitsu (gabungan seni mempertahankan diri aikido dan jujitso).

Selain itu, pengasas kelas mempertahankan diri dikenali sebagai Kick Start ini juga berpengalaman sebagai tenaga pengajar teknik mempertahankan diri di luar negara termasuk di Amerika Syarikat dan United Kingdom serta beberapa negara Eropah.

"Apabila berhadapan dengan penjenayah, perkara penting adalah pemikiran kita sewaktu menghadapi sesuatu situasi. Jika tiada keyakinan, apa sekalipun sukar kita hadapi malah 80 peratus persiapan diri untuk berdepan lawan adalah daripada segi persiapan mental manakala hanya 20 peratus secara fizikal.

"Teknik dan taktik juga penting. Justeru, kita harus tahu bahagian anggota tubuh lawan yang perlu diserang terlebih dulu.

"Anda boleh menepuk, memukul atau mencubit bahagian tepi kepala iaitu di kawasan telinga, tengkuk, lutut, kaki dan dada penjenayah kerana lokasi itu dikenal pasti sebagai bahagian lemah mereka.

"Namun pada zaman kini, menendang bahagian kemaluan mereka mungkin sudah tidak berhasil kerana sejenis peralatan perlindungan diri berbentuk seluar dalam lelaki dan keras di kawasan tengahnya dipakai sebab ia mudah didapati di pasaran (banyak di kedai menjual barangan sukan)," jelasnya yang tidak menafikan, mempelajari seni mempertahankan diri seperti silat dan karate adalah suatu bonus tetapi tidak semua orang mampu mengikutinya.

Tambah menarik, teknik mempertahan diri yang umumnya menggunakan senjata kecil seperti beg tangan, kunci dan kasut amat membantu melindungi diri wanita daripada berdepan dengan serangan, pencabulan atau rogol.

Justeru, mempelajari teknik mempertahankan diri seperti mengenali tempat sensitif yang menjadi tumpuan sekiranya diserang amat diperlukan.

Paling utama ialah bersedia serta yakin terhadap tindakan diambil amat membantu kita mengatasi masalah sekiranya berdepan musuh yang tidak dijangka kerana yang penting utamakan teknik yang mengajar kita untuk mengelak, bukan melawan balik musuh.

Sementara itu, pusat kecergasan Celebrity Fitness yang mempunyai lebih 100,000 ahli di 30 cawangan termasuk di Indonesia, India dan Malaysia, buat julung kalinya mengadakan bengkel mengenai pencegahan jenayah yang berlangsung selama dua jam di cawangan Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bertujuan meningkatkan kesedaran, memberi panduan dan tunjuk ajar kepada ahlinya dan orang ramai, bengkel ini mendedahkan mereka mengenai kepentingan dan langkah bijak yang harus diambil untuk menyelamatkan diri ketika diserang penjenayah.

Pengurus Pemasaran Celebrity Fitness, Evelyn Low, berkata dengan pelbagai kejadian jenayah yang berlaku sejak akhir-akhir, menjadi tanggungjawab pihaknya untuk berkongsi pengetahuan mengenai bahaya perkara ini.

"Kami berfikir bengkel ini dapat memberi manfaat supaya orang ramai mempunyai persediaan awal apabila berhadapan dengan situasi tidak diingini ini," katanya sambil menambah, inisiatif ini turut disokong oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCPF.

Peserta bengkel pada hari berkenaan turut didedahkan dengan rutin senaman Body Combat. Demonstrasi itu menunjukkan latihan fizikal dan Body Combat boleh digabung dan digunakan sebagai seni pertahanan diri dalam situasi genting.

Fakta:

  • Sukar mengenali penjenayah kerana kadangkala sikap orang biasa yang marah atau berdendam mendorong mereka melakukan kekasaran yang boleh mencederakan termasuk lelaki atau wanita dalam pelbagai bentuk fizikal.
  • Selain berserah kepada takdir semata-mata, usaha melindungi diri adalah tanggungjawab sendiri. Selain itu, maklumkan kepada keluarga dan rakan sekiranya ada pihak tertentu yang sering mengganggu kerana biasanya keganasan dilakukan secara terancang.
  • Menurut statistik dikeluarkan PDRM, 79 peratus mangsa keganasan adalah lelaki manakala selebihnya wanita dan kanak-kanak.
  • Statistik jenayah di Malaysia pula menurun sebanyak 30 peratus manakala jenayah kekerasan kekal dengan lima hingga 15 peratus (37,000-42,000 kes dilaporkan setiap tahun).
  • Kita perlu bertindak dengan bijak! Teknik pukul di bahagian tertentu dan lari sekuat hati adalah langkah sebaiknya dilakukan oleh orang ramai.
  • Tarik nafas dan kemudian menghembuskannya dengan kuat selama beberapa kali setiap hari bagi meningkatkan keyakinan diri serta mengelakkan perasaan cepat panik.

    Panduan membantu mengelak menjadi mangsa ragut dan penyeluk saku:

  • Elakkan diri daripada membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak.
    Penggunaan kad debit atau kad kredit boleh dijadikan pilihan.
  • Pastikan anda menutup atau zip beg tangan dengan cermat. Jika keluar dari bank, jangan memegang dan memeluk beg tangan anda dengan kuat di bahagian depan kerana ia boleh membuatkan penjenayah menjadikan anda sasaran mereka (mereka beranggapan ada duit yang banyak di dalam beg itu).
  • Jangan letak atau tinggalkan beg tangan atau dompet anda di dalam bakul atau troli semasa membeli-belah.
  • Jangan tertidur di dalam pengangkutan awam atau membiarkan barangan berharga anda tanpa diawasi.
  • Sila periksa dompet atau beg tangan anda dengan segera sekiranya mengesyaki ada individu cuba menolak atau berasak-asak ke arah anda.

    Panduan membantu mengelak kejadian rogol:

  • Sebagai ibu bapa, ambil tahu lokasi anak anda.
  • Jika keluar berseorangan, pastikan rancang perjalanan dan teman anda itu diketahui orang tersayang.
  • Berhati-hati dengan persekitaran terutama di kawasan gelap dan sunyi.
  • Tunjukkan keyakinan diri semasa berjalan.
  • Jangan berjalan berseorangan terutama di waktu malam.
  • Jika anda (wanita) menggunakan pengangkutan awam, pastikan duduk bersama penumpang wanita.
  • Ketika berada di kawasan awam, sentiasa berwaspada terhadap individu tidak dikenali.
  • Berhati-hati dan pastikan anda sudah bersiap sedia dengan kunci semasa berjalan menghala ke kenderaan sama ada di kawasan letak kenderaan berbumbung atau terbuka.
  • Letak kenderaan di kawasan yang terang dan minta pengawal keselamatan mengiringi anda ke kenderaan jika berasa tidak selamat.
  • Gunakan lif bersama-sama orang ramai dan bukannya berseorangan.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Cikgu Rania 2 (Siri 11): Soal hati

Posted: 17 Sep 2012 08:14 AM PDT

RANIA tersentak apabila secara tidak sengaja dia terpandangkan satu wajah yang terimbas di dalam video pernikahan Rais-Murni. Sungguhpun video terpasang dan menayangkan peristiwa yang berlaku siang tadi tetapi sebahagian besar ahli keluarganya sibuk berbual-bual sesama sendiri.

Dicapainya alat kawalan jauh lalu diputarkan semula rakaman yang selintas pandang disuluh matanya sebentar tadi.

"Kejap eh...," ujarnya tanda hormat pada beberapa pasang mata yang menonton rakaman video. Kali kedua melihat, matanya tidak berbohong.

Memang sah! Hati Rania berdetik. Itulah wajah perempuan muda yang dilihat bersama ayah di Pavilion lama dulu. Rupa-rupanya dia hadir pada majlis pernikahan Abang Rais dan Murni. Kenapa aku tak perasan? Fikir Rania dalam keriuhan suara saudara-maranya. Sambil memuat naik beberapa gambar perkahwinan di akaun Facebooknya, dia menjeling ayah yang leka berbual-bual dengan Abang Ridhwan.


Ibunya pula membelek-belek hadiah yang baru dibuka Rais. Murni diam bersimpuh di sisi Abang Rais. Sesekali Kak Rindu dilihat bercakap-cakap dengan Murni.

Rania bersyukur kerana seluruh ahli keluarganya dapat menerima Murni seadanya.
Cuma sekarang yang mengganggu benaknya ialah perempuan muda dalam rakaman video itu.

Mesti ayah yang jemput dia. Siapa perempuan misteri itu? Fikir Rania lagi namun lamunannya tidak dapat bertahan lama. Suara riuh rendah ahli keluarga menenggelamkan lamunannya. Abang Ridhwan sibuk mengusik menyuruh pasangan pengantin baru masuk bilik. Rais biasa biasa sahaja tetapi Murni tersipu-sipu.
Puan Sri Zalia menjeling menyampah.

Pengantin baru apa! Dah ditebuk tupai pun! Wanita itu mencela di dalam hati.
Macam mana Abang Rais akan lalui malam ini? Fikir Rania. Setakat ini yang tahu tentang Murni hanya ahli keluarga terdekat kecuali Abang Ridhwan dan Abang Iskandar. Puan Sri Zalia berkali-kali berpesan pada Kak Rindu supaya menyimpan rahsia itu. Nasib baik Kak Rindu dapat menerima Murni tanpa banyak kerenah.
Mula-mula Kak Rindu agak terkejut apabila dimaklumkan ibunya tapi apabila disedarkan oleh Rania tentang status 'duda' yang disandang Rais, Kak Rindu terdiam sejenak.

"Tak apalah mama, kalau Rais suka!" ujar Kak Rindu semasa dimaklumkan oleh Puan Sri Zalia tentang cerita sebenar di sebalik pernikahan Rais. Rania ingat peristiwa itu kerana dia ada bersama mereka sewaktu emaknya pecahkan rahsia Murni. Oleh sebab tidak banyak yang membantah, Puan Sri Zalia akhirnya diam dan akur menerima ketentuan takdir. Nasib baik perut Murni tidak ketara besarnya maka situasinya dapatlah disorokkan.

Namun perasaan tidak suka ibunya pada Murni tidak semudah itu hilang. Melihat air muka emaknya pun Rania tahu. Tapi bagaimana pula kalau ibu tahu tentang rahsia ayah? Rania bersoal jawab sendiri. Tapi persoalan itu mati begitu sahaja apabila Ridhwan menyakatnya pula. Terkebil-kebil Rania apabila topik cerita sudah berubah. Nama Ummar Qayyum pula yang disebut-sebut. Puan Sri Zalia paling seronok membentangkan perancangannya menjelang pernikahan Rania bersama Ummar Qayyum.

"Kali ni biarlah betul-betul jadi ya Ren, jangan macam yang sudah-sudah!" Tak puas-puas Ridhwan menggiat.

"Tak apalah juga banding dengan abang yang langsung tak pernah jadi pun!" sanggah Rania balik.

"Abang kan kalau dah suka jadi terus. Tak ada bertunang-tunang pun, terus saja nikah," kata Ridhwan.

Jauh di sudut hati tergerak juga impian untuk memiliki keluarga sendiri. Dia sudah pun berfikir dan merancang ke arah tersebut cuma perancangan itu masih berlakar dalam fikiran.

"Ren pun macam tu juga, nanti terus nikah saja." Rania bersetuju dengan pandangan Ridhwan.

"Mana boleh. Ren punya kena buat betul-betul," sampuk Puan Sri Zalia. Dia sudah merancang macam-macam.

"Mama, kan Ren dengan Qayyum dah cakap hari tu. Kami nak simple sangat," tekan Rania.

Puan Sri Zalia terdiam. Dia malas bergaduh sebab masih penat. Lebih dari itu, majlis tersebut akan menjadi urusannya. Tahulah dia bagaimana untuk dikendalikan.

"Buat simple macam hari ni okey juga apa!" tambah Ridhwan. Kemudian, tidak semena-mena dia mengusik Rais. Terkebil-kebil Rais dibuatnya.

"Kau ni apa kena Rais? Dari tadi abang tengok ketat saja muka."

"Abang Rais penatlah Abang Ridhwan," Rania tolong jawab. Dia sedar mood Rais masih tidak menentu. Adakalanya dia boleh bergelak tawa tapi ada ketikanya Rais akan mendiamkan diri. Sejak peristiwa penangkapan kes khalwat dulu, Rais bagaikan tidak berpijak di bumi nyata. Dia lebih banyak membawa halnya sendiri.
Mudah-mudahan masa akan merawat luka Rais, doa Rania.

Murni yang duduk tidak jauh darinya sudah beberapa kali menguap. Hendak minta diri segan barangkali, fikir Rania. Kak Rindu membantu Iskandar mengangkat anak-anak mereka yang sudah pun terlentuk di ruang tamu. Ayah juga sudah minta diri untuk masuk ke bilik. Yang masih ada di ruang tamu besar ialah emak, Rais, Murni dan Ridhwan yang duduk di sebelahnya. Cuba diintai apa yang ditaip Rania tapi segera dihalang Rania.

"Janganlah sibuk nak tengok FB orang."

"Mesej dengan Abang Qayyum eh."

"Suka oranglah."

"Bagi abang e-mel Kak Ros," ujar Ridhwan spontan.

"Kak Ros mana?" tanya Rania balik agak teruja.

"Berapa banyak Kak Ros yang Ren kenal?"

"Maksud abang, Ros Ilyani?" tekan Rania.

Ridhwan angguk.

"Hah! Nak buat apa? Nak mengurat Kak Ros eh!" jerit Rania.

Ridhwan tertawa tetapi Rais pula yang terkejut mendengarnya.

"Masih single lagi rupanya kakak angkat kesayangan Ren tu?"

Bermakna kata-kata yang terungkap dek Ridhwan. Puan Sri Zalia turut berminat mendengarnya.

"Kenapa? Abang Ridhwan berminat ke?"

"Berminat juga," akui Ridhwan jujur.

"Wow...ini sudah bagus. Mama dengar tu mama," jerit Rania lagi.

Wajahnya gembira benar sehingga lupa akan kewujudan Rais yang masih terkedu.

"Kalau Ridhwan berkenan pada Ros Ilyani, kecil tapak tangan nyiru mama tadahkan," kata Puan Sri Zalia yang sama naik. Berseri air mukanya.

"Misi keamanan Abang Ridhwan macam mana pula?" usik Rania.

"Dah sampai masa abang berumah tangga, abang tinggallah..."

"Bagus...bagus! Sambil sambil tu bolehlah Ridhwan uruskan perniagaan ayah.
Sepatutnya anak beranak yang menerajui syarikat keluarga dan bukan orang luar."
Bersemangat benar Puan Sri Zalia mengusulkan ideanya. Selama ini syarikat milik keluarga mereka diuruskan oleh orang kepercayaan suaminya sementelah dia begitu sibuk dengan urusan kerja yang tidak pernah habis. Gembira benar Puan Sri Zalia mendengar berita itu. Sekali lagi dia memasang angan-angan.

Murni mencuri pandang ke arah Rais. Wajah suaminya itu tidak ceria. Dia pernah mendengar cerita tentang percintaan tak menjadi antara Rais dengan Ros Ilyani.
Sekarang abang Ridhwan pula yang berkenan pada Ros Ilyani, tak pelikkah?
Fikirnya yang lebih banyak bermonolog sendirian. Sungguhpun suasana meriah di rumah banglo mewah itu meraikan pernikahan dia dan Rais tapi dia tetap berasa terpinggir. Dia sunyi dalam kemeriahan tersebut. Dia larut dalam pelbagai perasaan. Dia sedar siapa dirinya apabila berada dalam keluarga besar Tan Sri Razlan.

Dia memerhatikan setiap gerak geri ahli keluarga tersebut. Meskipun ahli keluarga yang lain dapat menerima dirinya seadanya tapi tidak Puan Sri Zalia.
Dia perasan pandangan sinis Puan Sri Zalia padanya sejak dahulu sehingga sekarang tidak pernah berubah walaupun kini dia sudah bergelar isteri kepada Rais dan menjadi menantu di rumah mewah itu. Dia tak pernah lupa. Hingga saat ini, sebelah mata pun Puan Sri Zalia tidak pandang padanya. Kerana itu, dia terpaksa menjaga tingkah lakunya.

Dia tersedar daripada lamunan apabila Rais mencuit bahunya mengajak naik.
Murni mengikut sahaja. Dia diisyaratkan oleh Rais supaya menyalami tangan Puan Sri Zalia. Huluran tangannya disambut tetapi Puan Sri Zalia memandang ke arah lain. Wanita itu masih sibuk berbicara tentang hal Ros Ilyani bersama Rania dengan Ridhwan.

Semasa menaiki anak tangga menuju ke tingkat atas, sekali lagi Rais melemparkan pandangan ke bawah. Ceria wajah Ridhwan bercerita tentang Ros Ilyani membuatkan jiwa raganya berasa tidak menentu. Masuk ke bilik pengantin yang dihias indah, terus direbahkan tubuhnya di atas katil. Murni serba salah.
Dingin hawa di kamar pengantin makin mencengkam jiwa raganya. Dia tidak tahu apa peranan yang perlu dimainkan. Di birai katil dia duduk bersimpuh menunggu arahan. Menyedari Murni duduk tidak jauh darinya, Rais bangkit. Matanya mengantuk benar. Dia masuk ke bilik air dan berwuduk. Selesai solat Isyak, dia keluar bilik dan masuk semula dengan tilam bujang. Dibentangkan agak jauh dari katil pengantin bersaiz king.

"Awak tidurlah kat atas. Saya tidur kat bawah," ujarnya.

Berderau darah Murni mendengarnya. Tidak cukup dengan emaknya, anaknya juga turut mendera perasaanku. Murni membersihkan diri dan bersolat. Kemudian, dia mencapai sepasang baju tidur miliknya. Baju tidur yang harganya hanyalah dua puluh ringgit sahaja. Sehelai baju tidur kain satin pemberian Rania dipandang sepi. Sudah tentu mahal sebab kainnya halus dan lembut sekali.

Untuk apa baju cantik macam ini! Detik hatinya seraya memandangi Rais yang sudah pun terlena di atas tilam bujang. Bencikah kau pada aku kerana terpaksa mengahwini aku? Kau marah kerana terpaksa menjadi pak sanggup? Kau yang buat keputusan itu bukan aku yang paksa! Detik hatinya lagi.

Dipandang pula baju pemberian Rania. Dia sedar kebaikan Rania terhadap dirinya tetapi hatinya tidak terpujuk dek kebaikan itu. Sehingga saat ini, dia masih menganggap Rania punca segala masalah yang dihadapi. Kalau tidak kerana Rania, sudah tentu dia yang menjadi pilihan Ummar Qayyum dan barangkali sekarang sudah pun berkahwin dengan lelaki itu kalau tidak kerana munculnya Rania.

Dengkur halus Rais kedengaran memecah sunyi. Murni meraba-raba perutnya.
Macam-macam yang ada di fikirannya tapi seketika dinyahkan semua persoalan yang hinggap. Buat apa aku fikir, tahulah mereka apa yang hendak dibuat, putusnya sendiri. Dia membuka pintu bilik. Di bawah suara bising-bising sudah makin sepi. Diintai dari sisi tangga. Yang ada cuma Ridhwan seorang. Dia masuk semula ke bilik. Walaupun penat, tapi dia tidak mampu tidur sungguhpun sejak tadi mulutnya menguap.

Kamar indah yang begitu sejuk dengan alat penyaman udara bertambah sejuk apabila sepi melanda. Bersama sunyi malam, hati Murni turut dicengkam sunyi.
Direbahkan tubuhnya di atas katil. Dia tetap terkenangkan Ummar Qayyum.
Saat-saat indah bersama Ummar Qayyum di kampung tetap segar dalam ingatannya.
Alangkah indahnya saat itu tatkala mereka bertiga riang bersama. Dia, Ummar Qayyum dan Nenek Ninda. Sesekali Ummar Qayyum pulang ke kampung bersama Ashraf Daniel. Semakin gamat dan meriah suasana itu. Kenapa detik-detik indah itu tidak bertahan lama? Kenapa?

Ah! Kalau tidak kerana Rania, cantik sungguh perjalanan hidupku. Nenek Ninda sudah merancangkan pernikahan aku dengan Abang Qayyum bila tiba-tiba Rania muncul. Punah dan hancur harapanku! Setitis air mata Murni jatuh menimpa pipinya. Di atas katil besar, dia berkalih tubuh. Matanya kini menghadap tubuh Rais yang lengkap berselimut. Wajah Rais bersih. Tidurnya lena benar.

Kalau Rais dapat menerimaku dengan sepenuh jiwa raganya, mampukah aku melupakan Ummar Qayyum? Hatinya berdetik demikian. Dapatkah Rais menerimaku?
Dia bersoal jawab sendiri. Sekali lagi dirabanya perut. Dia bangkit dari katil dan mengadap Rais. Di celah-celah cahaya lampu meja, dia perhatikan wajah Rais.

Buat apa kau kahwin dengan aku kalau begini layanan kau? Murni dihanyutkan oleh sehiris perasaan yang pelik. Kerana tidak dapat tidur, dia melayari Internet. Dia membaca komen-komen di Facebooknya. Dapat dikesan, Rania juga masih belum tidur. Masih aktif berinternet.

Sedang memadu kasih di laman maya bersama Qayyumkah perempuan itu? Berlagak baik. Aku benci! Marah benar Murni. Perutnya diraba lagi. Teringat pula perlakuan Ummar Qayyum di kampung dulu. Begitu dia melayanku bila perempuan itu ada bersama? Kutebalkan muka ikut kau balik ke kampung dengan harapan masih ada sisa-sisa harapan untukku tapi ternyata kau benar-benar sudah berubah ya Qayyum. Dia tidak pernah lupa bagaimana Ummar Qayyum merentap tangannya sewaktu
tangan Ummar Qayyum digenggam.

Tak mengapa, ini hari kau! Murni ketap bibirnya. Dia marah tiba-tiba. Sakit hatinya bila mengenang hubungan cinta yang terjalin antara Ummar Qayyum dengan Rania. Dia tutup laptop dan masuk selimut. Dalam susah payah untuk melelapkan mata, di tertidur juga tapi terkejut apabila dibangunkan oleh Rais. Matanya sangat mengantuk. Dia terpinga-pinga.

"Solat Subuh!" arah Rais.

Sungguhpun mengantuk, Murni bangkit dan solat sendiri. Rais yang sudah selesai solat subuh, sambung tidurnya balik. Sekali lagi Murni dibiarkan sendiri.
Matanya mengantuk tetapi dia takut hendak menyambung tidur bimbang tidak terbangun. Apa pula pandangan ahli keluarga Rais kalau aku terlewat bangun? Dia keluar kamar jam 8 pagi. Di tingkat bawah, beberapa orang pekerja wanita sedang asyik berkemas. Barangkali pekerja tambahan yang diupah tuan rumah. Sewaktu dia terkial-kial di ruang tamu, Rania yang sudah siap mandi dan kemas berpakaian menegurnya.

"Dah bangun dah?"

Murni angguk.

"Jom kita sarapan sama-sama."

Makcik Rohaya sibuk di dapur. Rania mengintai menu sarapan pagi. Nasi lemak dengan sambal bilis di pagi hari memang menyelerakan. Makcik Rohaya ramah melayan Rania. Langsung tidak ditegur Murni yang duduk di sebelah Rania.

"Abang Rais belum bangun Ren?" Soalan itu Makcik Rohaya tanyakan pada Rania.

"Belum bangun Abang Rais?" Rania tanyakan pula pada Murni.

"Lepas subuh dia tidur balik," sahut Murni.

Sekeliling dapur dipandang Murni. Bersih dan kemas. Dia tidak pasti siapa yang mengemaskan dapur. Sama ada Makcik Rohaya ataupun pekerja-pekerja upahan.

"Mama belum bangun mak cik?"

"Ada, kat belakang. Tengah belek pokok-pokok bunga ros dia."

"Mama dah makan?"

"Belum. Pergilah ajak mama makan sekali," arah Makcik Rohaya.

Rania menuju ke arah taman di belakang. Dari pintu dapur, dia melihat ibunya asyik dengan pokok-pokok bunga rosnya.

"Jom sarapan sama-sama mama," ajak Rania.

"Ren dah bangun?"

"Dah, ramai ramai kat rumah ni, buat apa tidur. Baik join, sarapan sama-sama," ujar Rania.

"Kak Rindu belum bangun lagi."

"Murni ada tu. Jom," beritahu Rania.

"Rais?"

"Tidur."

Rania masuk beriringan dengan ibunya. Murni senyum pada Puan Sri Zalia tapi tidak diendahkan. Makcik Rohaya menyendukkan nasi lemak ke pinggan. Dituangkan minuman pada Puan Sri Zalia dan Rania tetapi Murni dibiarkan menuang air sendiri.

"Makanlah Murni," pelawa Rania apabila melihat Murni teragak-agak.

Puan Sri Zalia sibuk bercerita berbagai-bagai dengan Makcik Rohaya. Kisah Ridhwan yang berkenankan Ros Ilyani turut menjadi bahan bualan mereka. Sesekali Murni perasan mereka berdua menyindirnya tapi ditahankan sahaja telinganya.
Masuk kisah Ummar Qayyum dengan Rania, Murni rasa panas punggung. Sesenduk nasi lemak di pinggan terasa payah untuk dihabiskan.

"Cantik sangatlah Ren dengan Qayyum nanti, mak cik tak sabar nak tunggu detik-detik bersejarah tu."

"Saya nak buat meriah tapi awal awal Ren dah marah. Dia nak ringkas ringkas saja. Nak buat kat rumah," adu Puan Sri Zalia pada Makcik Rohaya.

"Hiss, mana boleh ringkas-ringkas. Majlis Rais bolehlah ringkas tapi Ren punya kena meriah tau, kena buat kat hotel tau!" Makcik Rohaya mencelah.

"Abang punya pun tak ringkas juga. Dah masuk mama, mana boleh jadi simple walaupun buat kat rumah," sindir Rania selamba.

"Perkahwinan berlaku sekali sahaja Ren. Apa salahnya kalau buat meriah sikit.
Mama dah carikan hotel lima bintang untuk kahwin Ren nanti," nasihat Puan Sri Zalia.

"Mama meriah tak semestinya mewah kan?"

"Ren, satu-satunya anak mama yang belum bernikah, mestilah mama nak buat betul-betul..."

"Mama ni, tak payahlah nak kecoh-kecoh. Tenang mama, lagipun baru semalam majlis Abang Rais berlangsung, mama tak penat ke?"

"Abang Rais punya lain." Panjang bunyi suara Puan Sri Zalia bila disebut 'lain'. Kemudian dia menjeling pada Murni yang nampak tidak selesa bersama mereka.

"Itu perkahwinan kedua abang. Ren punya yang pertama tau."

"Betul kata mama tu Ren, apa salahnya kalau buat besar-besaran," Makcik Rohaya menambah nasi lemak dalam mangkuk tambah.

"Makcik Ninda dah pesan, sambut menantu dia nak buat kat kampung. Jadi kita buatlah kat hotel."

Rania mendengus. Dia malas hendak bertekak dengan ibunya. Murni yang sejak tadi menjadi pendengar setia tak berani menyampuk pun. Dia sedar siapa dirinya.
Tak masuk senarai untuk membincangkan urusan keluarga itu. Tapi dia berasa hiba setiap kali mendengar nama Ummar Qayyum. Sesuap nasi lemak di pinggan digagahi makan. Selesai, dia bangkit dan membawa pinggan ke sinki di dapur belakang.

"Yang untung orang tu, tak pasal pasal masuk dan duduk dalam dulang emas."
Jelingan Makcik Rohaya penuh makna. Hatinya panas sahaja setiap kali melihat muka Murni.

Rania menoleh dan merenung Makcik Rohaya. Dia tidak berkenan dengan cara Makcik Rohaya melayan Murni.

"Mak cik, Murni dah jadi sebahagian daripada keluarga kita," ucap Rania berlapik dan perlahan takut didengari Murni.

"Mak cik tahu Ren tapi mak cik dapat rasa hatinya tak baik. Mak cik dapat rasa dia ada niat serong. Telunjuk lurus kelingking berkait." Muka Makcik Rohaya selamba.

Puan Sri Zalia diam cuma. Kisah Murni sudah tidak masuk dalam agendanya kini.
Dia lebih memikirkan tentang perkahwinan Rania dengan Ummar Qayyum.

Bunyi benda jatuh di ruangan dapur basah diiringi jeritan Murni mengejutkan mereka bertiga. Rania bergegas ke belakang. Di lantai dapur, tubuh Murni tergolek.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved