Ahad, 23 September 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Gaya hidup tidak sihat

Posted: 23 Sep 2012 08:36 AM PDT

SIHAT dan sejahtera mempunyai makna yang berbeza. Ramai orang salah anggap mengenai tubuh badan sihat, tetapi secara keseluruhannya tidak sempurna daripada segi keadaan fizikal, mental dan sosial selain mampu meneruskan kehidupan dengan prospek positif.

Ada yang menganggap diri mereka sihat, tetapi mengamalkan gaya hidup yang menjurus kepada kemungkinan untuk mendapat penyakit seperti merokok, gemar mengambil minuman alkohol dan diet tidak seimbang.

Perunding Pakar Perubatan dan Geriatrik, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Rajbans Singh berkata, kebiasaannya mereka yang berada dalam kategori sihat dan sejahtera ini mengamalkan gaya hidup yang aktif.

"Mereka menganggap diri sihat sehinggalah diserang penyakit. Kadangkala mereka yang menganggap diri sihat, tetap mengamalkan gaya hidup yang tidak sepatutnya.


"Golongan yang sihat dan sejahtera ini biasanya seorang yang aktif. Secara asasnya mereka mengamalkan rejim kesihatan yang sepatutnya seperti senaman, diet seimbang dan membuat pemeriksaan kesihatan secara tetap bagi mengekalkan kecergasan berbanding sihat saja," katanya.


Dr Rajbans menambah, perkara penting yang perlu dilihat terlebih dulu dalam aspek kesihatan tubuh badan melalui gaya hidup yang dijalani adalah kulit, hati, sendi dan jantung.

Namun, perkara utama yang harus diambil berat adalah jantung. Kesihatan jantung begitu penting kerana ia adalah penyebab nombor satu kematian. Penyakit jantung boleh terjadi kepada sesiapa saja.

"Misalnya, wanita bergelar ibu berusia sekitar 30 hingga 60 tahun yang sibuk bekerja, tidak bersenam dan mengalami tekanan boleh menghidap penyakit jantung.

"Bertambah buruk apabila mereka hanya mementingkan penjagaan kulit semata-mata berbanding kesihatan jantung," katanya.

Ini kerana jantung adalah teras kepada sistem peredaran darah yang membekalkan tubuh badan dengan oksigen dan nutrien penting lain yang diperlukan bagi meneruskan kehidupan.

Tanpanya, manusia tidak boleh hidup dan secara purata, jantung manusia seberat antara 0.17 kilogram hingga 0.31 kilogram berdegup 60 hingga 80 kali seminit.

Kadar kesihatan jantung berkait dengan faktor kecergasan fizikal, aktiviti serta emosi. Hormon yang dikeluarkan kerana emosi serta rangsangan lain akan menjejaskan kadar kesihatan jantung.

Disebabkan itu, kebanyakan penyakit jantung dikaitkan dengan faktor emosi. Selain jantung, hati juga adalah organ penting dalam tubuh badan.

Tambah Dr Rajbans, tubuh badan yang mengalami masalah nyahtoksin akan menyebabkan tekanan darah dan di sinilah fungsi hati penting untuk mengelakkan ia terjadi.

Ini kerana hati adalah organ terbesar kelenjar dalam badan dan melakukan banyak fungsi penting bagi menjaga tubuh bebas daripada toksin dan bahan lain yang berbahaya.

Ia adalah organ penting yang menyokong hampir setiap organ dalam badan. Seseorang itu tidak boleh menjalani kehidupan yang sihat tanpa hati yang sihat.

Purata hati dewasa seberat kira-kira 1.36 kilogram dan menerima 1419.36 mililiter darah setiap minit. Ia akan merembeskan bahan kimia kerana menghasilkan hempedu, bahan diperlukan untuk mencerna lemak.

Garam hempedu (di dalam hempedu) pula akan memecahkan lemak menjadi kepingan lebih kecil supaya ia boleh diserap lebih mudah dalam usus kecil.

Selain menghasilkan hempedu, hati juga berfungsi menyahtoksin darah untuk menghapuskan bahan berbahaya seperti alkohol dan dadah, menyimpan vitamin serta zat besi.

Disebabkan hati melakukan banyak fungsi penting, ia terdedah kepada penyakit. Antara isyarat menandakan hati bermasalah adalah perubahan warna najis
atau air kencing menjadi gelap.

Selain itu, tanda biasa masalah hati adalah penyakit kuning, hepatitis, hati berlemak serta kanser yang disebabkan oleh alkohol, ubat melegakan kesakitan dan dadah.

"Jika tidak menjaga kesihatan organ di dalam badan, kita akan dapat pelbagai penyakit seperti darah tinggi, diabetes dan akhirnya sakit jantung.

"Ia dinamakan sebagai penyakit gaya hidup atau metabolisme yang disebabkan oleh pemakanan, kurang bersenam dan tekanan yang dihadapi setiap hari.

"Mengambil gula dan garam berlebihan menyebabkan diabetes serta darah tinggi manakala mengamalkan pemakanan salah mengundang kesan buruk seperti obesiti atau kolesterol tinggi," jelas Dr Rajbans yang melahirkan kebimbangannya mengenai gaya hidup tidak sihat sesetengah masyarakat hari ini.

Tambahnya, jika dikumpulkan semua penyakit tadi, mereka akan mengalami masalah sakit jantung yang menjadi punca kepada kematian.

Dr Rajbans memberitahu, angka pesakit diabetes dan darah tinggi di negara ini juga dilihat semakin membimbangkan. Ia menunjukkan sejuta masyarakat di negara ini menghidap diabetes dan empat juta orang mengalami pradiabetes.

Malah statistik menunjukkan pesakit tekanan darah tinggi boleh meninggal dunia dalam tempoh setahun atau dua tahun mereka menghidap penyakit terbabit.

Obesiti juga dilihat semakin meningkat iaitu sebanyak 40 peratus, seorang mengalami serangan jantung dalam setiap jam dan begitu juga dengan strok yang menunjukkan empat orang mengalaminya untuk tempoh setiap jam.

Walaupun banyak program pendidikan dilakukan di negara ini, ia masih belum dilihat membuka minda masyarakat.

"Mengubah pemikiran bukan mudah ditambah dengan kehadiran makanan segera yang begitu pesat bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan dan gaya hidup tidak sihat menyukarkan lagi keadaan.

"Kehadiran teknologi yang semakin banyak juga menyebabkan ramai orang malas untuk bangun atau bergerak dan ia dapat dilihat jelas di dalam pejabat.

"Justeru, cuba lakukan senaman ringkas atau menukar posisi setiap jam bagi memberi kesegaran dan kesihatan pada tubuh badan," katanya.

Menurutnya, ada senaman mudah yang boleh dilakukan tanpa mengeluarkan kos yang tinggi ketika sibuk bekerja. Misalnya, hanya berjalan 10,000 langkah dalam sehari dapat membantu menjaga kesihatan tubuh badan.

Selain itu, diet seimbang juga harus diamalkan setiap hari dengan mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan sebanyak lima hingga tujuh sajian setiap kali menikmati hidangan pagi, tengah hari atau malam.

"Ramai orang suka makan nasi lemak dan tidak tahu cara atau formula untuk mengira kalori dalam hidangan.

"Nasi lemak boleh dimakan, tetapi lebihkan pengambilan sayur seperti timun dan ayam yang dimasak sambal asalkan bukan ayam goreng kerana ia mengandungi banyak lemak," jelasnya.

Untuk memberi kesihatan kepada jantung, ia memerlukan mikro nutrien yang boleh didapati di dalam kekacang, badam, kacang dal, ikan salmon, telur kuning dan bayam.

Namun, jika dimasak, ia tidak boleh melebihi 42 darjah Celsius bagi mengelakkan mikro nutrien hilang daripada sumber makanan.

Bagi hati pula, pati kacang soya boleh diambil bagi menjana semula sel baru dan menggalakkan proses nyahtoksin. Selain itu, B kompleks juga baik untuk kesihatan hati yang boleh didapati daripada beras perang dan kekacang
bagi membantu proses nyahtoksin.

Kesihatan sendi juga harus dijaga dengan mengamalkan pengambilan sumber makanan yang mengandungi omega dan bendi untuk kolagen. Mikro nutrien untuk kesihatan kulit pula boleh diperoleh melalui teh hijau, lemon dan anggur.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/23


Amalan seharian langsingkan badan

Posted: 23 Sep 2012 08:30 AM PDT

SELEPAS Syawal, ramai yang menjadikan alat penimbang sebagai teman karib. Jika sebelum raya berat badan berkurang disebabkan berpuasa, tetapi lain pula ceritanya selepas raya kerana kebanyakan kita makan apa saja tanpa memikirkan pertambahan berat badan.

Apabila ini berlaku, kita mula menyalahkan diri sendiri dan mencari pelbagai alternatif untuk kembali kurus seperti mengambil pil pelangsing atau makanan tambahan.

Namun, ramai tidak tahu amalan seharian juga membantu mengembalikan bentuk badan asalkan rajin dan berdisiplin mengamalkannya.

Malah, kesannya juga sangat bagus untuk kesihatan selain menjimatkan wang. Antara yang boleh dilakukan ialah:

  • Jangan berlapar

    Ramai orang beranggapan berlapar boleh mengurangkan berat badan, namun sebenarnya makanan memberi tenaga dan apabila kita menggunakan tenaga kurang daripada apa yang kita ambil, tubuh akan terkejut.

    Tubuh akan mula membakar otot untuk menggantikan makanan. Ini menyebabkan kadar metabolisme tubuh menjadi rendah. Bagi mereka yang tidak tahan lapar, pada kebiasaannya akan makan dengan lebih banyak. Ketika ini, walaupun tahap pengambilan makanan kembali ke paras normal, metabolisme tubuh masih lagi rendah. Ini menyebabkan ia tidak membakar kalori pada tahap yang sama.

  • Ambil sesuatu yang pahit sebelum makan

    Ini boleh dilakukan dengan mengambil kopi dan berkumur beberapa saat sebelum makan. Cara ini menyebabkan tekak terasa pahit dan menghantar isyarat melalui otak bagi menggalakkan rembesan enzim sekali gus mengurangkan rasa untuk makan.

  • Minum lapan gelas atau satu liter air sehari

    Air mengurangkan selera makan. Minum satu liter atau lebih air setiap hari kerana ia berfungsi menyingkirkan lemak dan toksin dalam badan. Selain itu, ia bagus untuk kulit. Minum air suam sebaik saja bangun tidur sekurang-kurangnya dua gelas setiap pagi.

  • Mengambil sarapan

    Berat badan boleh dikurangkan dengan pengambilan sarapan. Menurut satu kajian, mereka yang tidak mengambil sarapan lebih cenderung untuk gemuk berbanding mereka yang bersarapan. Ini kerana sarapan menstabilkan hormon dan paras gula di dalam darah. Kadar metabolisme juga meningkat untuk membakar kalori.

  • Makan dan kunyah makanan perlahan-lahan

    Nikmatilah makanan dengan perlahan-lahan dalam cebisan kecil sebelum menelannya kerana dengan cara ini makanan mudah hadam. Apabila kita makan secara perlahan-lahan, tubuh akan menghantar isyarat menunjukkan kepuasan dan mudah kenyang.

  • Elakkan makanan ringan

    Jika anda terasa ingin makan snek atau makanan ringan, berus gigi atau kunyah gula-gula getah. Rasa berangin di mulut akan membantutkan selera.

  • Makan banyak sayur dan buah-buahan

    Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sumber terbaik untuk vitamin, mineral, serat dan kandungan lemak yang rendah. Kurangkan pengambilan mentega dalam makanan serta melebihkan bijirin kerana kaya karbohidrat, protein, vitamin, mineral dan sedikit lemak.

  • Makan sedikit, tetapi banyak kali

    Biar makan kerap dengan kuantiti yang sedikit daripada makan hanya sekali, dua tetapi dengan kuantiti yang banyak. Jika makan di luar, pesan air suam atau air limau nipis kerana minuman masam menggalakkan pembakaran lemak.

  • Masak makanan

    Cara memasak paling baik untuk mengurangkan jumlah kalori dalam makanan adalah merebus, memanggang atau mengukus. Khusus untuk sayuran, anda boleh menggoreng dengan sedikit minyak (misalnya satu sudu minyak masak). Hindari minyak lemak haiwan.

  • Pilih hidangan

    Ketika memilih makanan, ambil piring rata dan bukan mangkuk. Ambil sayuran dulu diikuti nasi dan lauk. Jika ingin tambah, hanya sayuran yang boleh diambil. Jangan lupa, makan di meja makan dan bukannya ketika menonton televisyen. Ini kerana makan sambil menonton menyebabkan anda makan lebih banyak daripada biasa.

  • Amalkan:

    1. Minum air limau nipis atau limau kasturi setiap hari. Caranya, perah limau ke dalam gelas berisi air, masukkan ke dalam peti sejuk. Jadikan minuman setiap kali selepas makan tengah hari dan makan malam. Cara ini boleh diikuti dengan senaman ringan. Amalkan selama sebulan, berat badan anda akan beransur turun.

    2. Ambil tiga sudu besar serbuk teh cina dan rendam dalam air. Tapis dan campurkan dengan air perahan limau nipis. Amalkan dua kali sehari iaitu sebelum sarapan dan sebelum tidur.

    3. Ambil sebuku asam jawa, ramas ke dalam air sebanyak segelas. Masukkan ke dalam peti sejuk dan jadikan minuman. Amalkan setiap hari, anda akan dapati tubuh anda akan bertambah segar dan langsing.

    4. Selepas makan, amalkan minum teh hijau atau teh cina bersama serbuk kayu manis dan madu.

    5. Rebus halia muda dan minum airnya setiap pagi. Selain bagus membuang angin, ia juga membantu mengurangkan berat badan.

  • Aktiviti untuk langsing:

    Berjalan membantu mengurangkan sebahagian kalori daripada jumlah makanan yang diambil. Setiap 25 langkah berjalan menggunakan satu kalori lebih-lebih lagi ketika menaiki tangga.

  • Gunakan tangga untuk naik ke tingkat atas. Jika terlalu tinggi, naik tangga untuk beberapa tingkat, kemudian gunakan lif.
  • Renang adalah latihan menyeluruh. Berenang dengan laju dan nafas yang dalam.
  • Bersenam sangat baik bagi otot dan sendi yang kaku.
  • Melenturkan otot dapat melancarkan peredaran darah.
  • Tunggang basikal dan kayuh perlahan-lahan, tetapi dalam tempoh yang lama. Ini dapat mencantikkan dan merampingkan paha.

    Jadikan amalan berjoging setiap hari sekurang-kurangnya 20 minit sebelum bekerja.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/23


  • Kredit: www.hmetro.com.my

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved