Isnin, 3 September 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Cipta resipi mufin baru

Posted: 03 Sep 2012 05:57 AM PDT

WALAUPUN sedang menjalani ibadat puasa, tetapi ia tidak menghalang sekumpulan wanita daripada menghadiri kelas penyediaan pastri yang disediakan kedai roti dan kek, Citra Klasik bagi mempelajari teknik yang betul bagi menyediakan mufin enak.

Tidak dapat dinafikan aroma harum yang terbit apabila mufin berkenaan dibakar ada kalanya menyebabkan mereka terliur, tetapi ia tidak menggugat iman sebaliknya ia terus dilakukan penuh minat dan bersungguh-sungguh.

Walaupun penat, namun semuanya menjadi mudah disebabkan semangat berpasukan yang disematkan ke dalam diri peserta sepanjang kelas pastri berkenaan berlangsung seawal jam 10 pagi.

Malah, untuk memastikan kelas dijalankan lebih berkesan, peserta dibahagikan kepada dua pasukan dan perlu menyiapkan beberapa resipi mufin mengikut kreativiti sendiri menggunakan resipi dan bahan yang tersedia.


Pun begitu, ia bukanlah satu pertandingan dan malah tiada siapa yang akan dipilih untuk memenangi kelas masakan berkenaan, sebaliknya masing-masing akan membawa pulang mufin disediakan untuk berbuka puasa.


Bagi Norhayati Mohd Yusof, 50, dia mula menghadiri kelas memasak sejak 2008 lagi bagi meningkatkan kemahiran dalam penyediaan hidangan ala Barat terutama pastri.

Katanya, boleh dikatakan 95 peratus pengalaman memasak pastri diperolehnya dalam tempoh itu adalah daripada kelas disediakan di kedai roti dan kek berkenaan.

Dia yang turut menjalankan perniagaan pastri sebagai sumber pendapatan sampingan berkata, amat berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan kerana apa yang dipelajari di kelas adalah sama jika ingin menghasilkannya sendiri di rumah.

"Contohnya mufin, setiap sukatan diberikan untuk menyediakannya adalah betul sama ada di kelas ataupun di rumah hinggakan saya mampu mengembangkan bidang penghasilan makanan disediakan ke arah yang lebih luas.

"Ia juga memberikan pendapatan lumayan kerana ramai pelanggan menyukai kepelbagaian mufin saya serta bentuknya yang 'gebu'. Bahkan ramai berkata, rasanya juga tetap enak seperti hari pertama ia dimasak. Siapa yang tidak suka dan gembira mendengar maklum balas begini, ia membuatkan saya rasa lebih bersemangat," katanya ditemui pada Kelas Persediaan Pastri anjuran Citra Klasik di Pusat Hentian Kajang, Jalan Reko, Kajang, Selangor.

Norhayati berkata, sungguhpun pernah beberapa kali menghadiri kelas masakan berlainan di tempat lain bagi menambah pengalaman dalam bidang masakan pastri sebegini tetapi ia tidak konsisten sama ada dari segi resipi, rasa dan juga bentuk mufin disediakan.

Dia cukup kecewa dengan perkara itu kerana memasak pastri adalah kegemarannya tetapi apabila 'disajikan' dengan resipi mengikut sukatan yang kurang baik, hasil diperoleh tidak seperti diharapkan.

"Bayangkanlah apabila di kelas kami disuruh menyediakan satu-satu pastri mengikut resipi tersedia, tetapi apabila mengikut sukatan adunan diberikan, ia tidak menjadi seperti yang diajar di kelas seolah-olah ia dua benda berbeza walaupun hakikatnya ia adunan yang sama.

"Saya tidak pasti di mana silapnya, tetapi ia adalah satu bentuk pembaziran yang sebolehnya ingin dielakkan kerana ia membabitkan soal minat dan keyakinan diri tukang masak itu," katanya.

Selain itu, Nur'izzah Mohd Zaidi, 25, yang pernah menjalani latihan amali di kedai roti dan kek berkenaan ketika mengikuti pengajian kulinari sebelum ini berkata, apabila bekerja sendiri di bawah pengawasan mereka yang pakar, setiap cara penyediaan pastri yang dilakukan kelihatan cukup mudah.

Nur'izzah berkata, dia seolah-olah menjalani latihan semula apabila menghadiri setiap kelas memasak dan ia memberi peluang kepadanya untuk terus menimba pengalaman dan juga mengumpulkan resipi terbaik sebagai pemula kepada aktiviti 'perniagaannya' selepas ini.

"Tidak dinafikan ketika mengikuti pengajian dalam bidang kulinari sebelum ini saya tidak begitu menggemarinya, malah saya tidak mengetahui apa itu kulinari dan skop pembelajarannya.

"Tetapi selepas beberapa ketika, minat mula timbul perlahan-lahan dan ia membolehkan saya terus bertahan mengikuti kelas ini sampailah sekarang," katanya.

Dia bersama ibunya turut menghadiri kelas pastri di tempat yang sama walaupun bidang masakan yang diambil berbeza kerana minatnya lebih kepada penyediaan pastri moden manakala ibunya pula memberikan penekanan kepada penyediaan kuih-muih tradisional.

Menurutnya, pengalaman yang dikumpulkan ini bertujuan sebagai pemangkin untuk terus berjaya dalam bidang kulinari walaupun ia hanya akan dijalankan sebagai sumber pendapatan sambilan saja.

"Saya kini sedang dalam proses mendapatkan pekerjaan tetap mengikut bidang yang saya pelajari sebelum ini dan berharap kedua-dua minat ini mampu dijadikan sumber pendapatan lumayan satu hari nanti.

"Tidak salah untuk mempelajari satu-satu benda baru kerana ia makin memberikan pengalaman sukar dicari ganti, malah kita boleh mencipta kelainan dengan kreativiti sendiri bagi menghasilkan perkara baru yang lebih memberangsangkan," katanya.

Di samping itu, Zainah Mahmud, 38, berkata dia mengikuti kelas pastri itu kerana ingin mencari kelainan dalam bidang masakan terutama jika ada resipi baru yang belum pernah diperoleh.

Pada awal pembabitannya dalam bidang pembuatan pastri iaitu pada tahun 2000, kemudahan disediakan tidak secanggih kini dan ia memerlukan 'kerahan' tenaga secara menyeluruh.

Namun, segalanya berubah dengan kehadiran teknologi moden yang lebih memudahkan penghasilan pastri, malah ia boleh dipelbagaikan dengan melakukan beberapa tambahan bahan digunakan agar rasanya lebih menarik dan menyelerakan.

"Sebelum ini saya sudah ada resipi mufin tersendiri tetapi kali ini ingin mencuba suatu kelainan bagi mempelbagaikan lagi koleksi resipi mufin sedia ada dalam simpanan.

"Tidak salah untuk mencuba sesuatu yang baru sekiranya ia boleh memberikan kebaikan dan saya akan berusaha memberikan yang terbaik kepada pelanggan setia," katanya.

Zainah berkata, dia turut menjalankan perniagaan dalam talian melalui laman zaisweetcake.blogspot.com yang menyediakan pelbagai pilihan kuih moden untuk dicuba dan dinikmati.

"Saya sukakan sesuatu yang cantik sebab itulah minat lebih terarah kepada pembuatan pastri moden yang boleh dipelbagaikan hiasannya mengikut kreativiti.

"Pada saya setiap pastri disediakan bukan saja perlu nampak cantik untuk dimakan tetapi yang penting rasanya setanding dengan dekorasi luaran," katanya.

Sementara itu, bagi tenaga pengajar kelas penyediaan pastri berkenaan, Ummul Amira Omar, 28, pelbagai perkara baru turut dipelajarinya memandangkan 'anak muridnya' lebih berusia berbanding dirinya dan ia menjadikan kelas pastri berkenaan lebih menarik dan menceriakan.

Dia yang sudah lima tahun menjadi tenaga pengajar kelas pastri berkenaan berkata, sejak kecil dia sudah didedahkan dengan dunia pembuatan kek walaupun pada mulanya ia bukan minat utamanya kerana sebelum ini mengikuti pengajian dalam bidang perakaunan.

Menurutnya, tetapi disebabkan satu peristiwa dia 'terpaksa' memikul tugas baru dan perlahan-lahan memahirkan diri dalam bidang penghasilan kek, roti dan juga pastri.

"Saya tidak pernah menyesali bertukar bidang kerjaya kerana ia adalah satu perkara baru yang memberikan pelbagai pengalaman dan setiap hari ada saja benda baru yang boleh dipelajari.

"Saya yakin setiap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya dan kini nyata saya boleh mempraktikkan kedua-dua bidang dipelajari dalam satu masa yang sama mengikut kesesuaian," katanya.

Ummul Amira berkata, walaupun masih muda, tetapi tugas sebagai pengajar tidak membataskan perbezaan usia kerana apa yang penting ialah kepakaran dalam menyediakan sesuatu hidangan dan juga cara berkomunikasi dengan peserta.

"Sebagai orang yang lebih muda saya perlu menghormati peserta yang lebih dewasa dan menjaga setiap tutur kata agar suasana silaturahim mampu diwujudkan.

"Jika berjenaka juga perlu menjaga sensitiviti masing-masing tetapi ia tidak bermakna kita tidak boleh memupuk hubungan erat cuma cara dan ketikanya perlulah bersesuaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Didik melalui mural

Posted: 03 Sep 2012 05:20 AM PDT

APABILA anda memikirkan kesihatan dan kebersihan diri, adakah anda terfikir mengenai kesenian? Untuk memperluaskan kesedaran mengenai kesihatan dan kebersihan, Antabax, jenama penjagaan diri antibakteria buat julung kalinya menganjurkan Pertandingan Melukis Mural Kesihatan dan Kebersihan peringkat Kebangsaan dengan kerjasama program Doktor Muda, Kementerian Kesihatan.

Program ini bertujuan mencungkil kreativiti dan ekspresi diri dalam kesenian untuk membantu kanak-kanak mengingati dan mendalami keperluan menjalani kebersihan diri yang baik dalam mendapatkan kehidupan lebih sihat.

Dalam usaha membantu guru dan murid menjalankan tugas melukis satu mural yang akan diingati, Antabax bekerjasama dengan pensyarah kesenian daripada Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing menjalankan beberapa sesi bengkel melukis mural untuk murid sekolah dan memberikan tunjuk ajar kepada guru.

Pertandingan Melukis Mural ini terbuka kepada sekolah rendah yang mempunyai kelab Doktor Muda. Sekolah dengan lukisan mural yang terbaik bakal menerima RM10,000 yang akan digunakan ke arah kebajikan pelajar berbentuk biasiswa atau membantu pelajar yang memerlukan sumbangan kewangan.


Mural yang dipilih sebagai mural pilihan melalui laman facebook Antabax akan menerima bekalan produk jenama Antabax selama satu tahun untuk digunakan di sekolah. Pertandingan ini berakhir pada 30 Oktober 2012 dan borang penyertaan

boleh dimuat turun daripada laman peminat facebook Antabax.

Lebih 270 guru yang menghadiri Simposium Guru Penasihat Kelab Doktor Muda yang diadakan di Pulau Pinang menerima kit permulaan kebersihan dan kesenian termasuk langkah untuk mengajar kebersihan tangan, lembaran kerja interaktif bagi pelajar dan pengenalan kepada lukisan mural.

Menurut Pengurus Besar Bahagian Pemasaran Isi Rumah dan Penjagaan Diri Lam Soon, Francis Ng, Antabax sentiasa meneroka cara baru dalam menyampaikan mesej berkaitan kesihatan dan kebersihan sebagai satu gaya hidup dengan menerapkan tabiat yang baik.

"Kelab Doktor Muda adalah satu tempat yang baik untuk bermula kerana kelab bertindak sebagai duta kepada mesej positif bagi kebersihan diri. Tabiat baik ini perlu dibentuk sejak kecil dan lagi cepat kita mampu menerapkan tabiat yang baik, lagi besar kemungkinan untuk kanak-kanak terus mengamalkannya sehingga
dewasa," katanya.

Anjuran Pertandingan Melukis Mural Kesihatan & Kebersihan Peringkat Kebangsaan adalah tindak balas kepada gaya pembelajaran yang berbeza dan kehendak kanak-kanak, menawarkan lukisan mural sebagai satu cara dalam pembelajaran kinetik dan visual.

Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) adalah sekolah pertama yang dapat mengecapi faedah daripada bakat, skil dan pengalaman daripada dua pensyarah Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing, Lum Weng Wah dan Harris Hassan yang mengadakan bengkel dan demonstrasi lukisan mural bersempena dengan Minggu Kesihatan Doktor Muda Peringkat Kebangsaan.

"Program ini membuatkan saya lebih menilai dan menghargai tangan saya. Saya bukan saja ingin berkongsi ilmu lukisan dan mewarna mural dengan kanak-kanak, malah mahu memberitahu mereka cara membersihkan tangan mereka selepas siap bermain dengan warna," kata Harris.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved