Selasa, 4 September 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Tabah hadapi dugaan

Posted: 04 Sep 2012 04:04 PM PDT

TIDAK semua orang mampu menempuh dugaan dengan penuh cekal, apatah lagi apabila ia membabitkan ahli keluarga yang sakit.

Namun pasangan Zaleha Mohd Taib, 59, dan Idris Hamzah, 65, mengharungi segala dugaan yang mendatang dengan penuh kesabaran dan keredaan.

Bermula daripada peristiwa Idris yang mengalami serangan angin ahmar pada 2008 menyebabkannya lumpuh selama empat tahun, Zaleha pula menghadapi masalah kesihatan selepas mengalami kemalangan di tempat kerja dua tahun selepas suaminya lumpuh.

Mungkin pada sesetengah orang ia penamat kepada segalanya dan hanya berserah kepada takdir. Namun, bagi Zaleha, setiap dugaan buat dirinya dan keluarga itu dilalui dengan penuh keredaan dan kecekalan kerana pasti tersembunyi hikmah di sebalik segala dugaan itu.


Mengimbau kembali pengalamannya menjaga suami sakit, Zaleha menjalankan rutin hariannya seperti biasa, tetapi memperuntukkan masa untuk mengendalikan keperluan suami terlebih dulu.


"Saya bangun seawal jam 5 pagi setiap hari untuk melakukan urusan kerja rumah kemudian menyediakan sarapan pagi dan makan tengah hari untuk suami. Selepas itu, barulah saya bersiap untuk ke tempat kerja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kondo Rakyat, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dia perlu berjalan kaki sejauh dua kilometer untuk ke tempat kerja dan pulang ke rumah pada waktu makan tengah hari untuk menguruskan keperluan suami sebelum kembali ke tempat kerja semula selepas itu.

Tanpa banyak pilihan, Zaleha terpaksa meninggalkan suaminya bersendirian di rumah ketika itu memandangkan tidak mampu mengupah pembantu. Sebaliknya, dia bergantung kepada ihsan jiran tetangga untuk memantau keadaan suaminya sepanjang ketiadaannya.

"Walaupun bimbang dengan keadaan dirinya bersendirian di rumah, saya bertawakal dan berserah kerana hanya itu mampu dilakukan bagi memastikan kami dapat melunaskan perbelanjaan bulanan.

"Pada waktu rehat, saya balik ke rumah untuk menguruskan keperluan suami sebelum kembali bekerja pada waktu petang," katanya.

Sungguhpun terpaksa berpenat dan berulang-alik dari tempat kerja, baginya itu satu kewajipan demi memastikan keadaan serta kebajikan suami terjaga.

Jika sebelum ini pendapatan bulanan bergantung kepada gaji bulanannya bersama suami yang bertugas sebagai pengawal keselamatan, tetapi selepas kejadian itu, dia perlu mengambil alih tanggungjawab itu sepenuhnya.

Tidak dinafikan, sepanjang tempoh berkenaan, kedudukan kewangan bulanan keluarga agak sukar kerana dia bukan saja perlu menguruskan suami, malah menampung anak yang masih bersekolah ketika itu.

"Segalanya saya lakukan secara sederhana kerana mengetahui jumlah pendapatan hanya sekadar cukup makan.

"Tetapi saya bersyukur kerana walaupun perlu bersusah, kami masih mampu untuk makan dan tinggal di rumah sendiri," katanya.

Zaleha yang bekerja sebagai pencuci bangunan berkata, sebelum ini keadaan dirinya dan keluarga bertambah tidak menentu selepas dia mengalami kemalangan ketika di tempat kerja menyebabkan kepala lututnya patah.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, hanya Allah saja yang tahu betapa sukar untuk menguruskan diri sendiri dan membantu suami yang lumpuh.

Namun, dia bernasib baik kerana ketika itu suaminya berada dalam proses pemulihan dan sudah boleh melakukan sendiri aktiviti harian yang mudah walaupun masih lagi perlu dibantu.

"Disebabkan kemalangan itu, saya terpaksa berhenti kerja kerana tidak mampu melakukan tugasan seperti biasa dan terhad kepada aktiviti tertentu saja.

"Malah, pergerakan saya juga agak terbatas kerana tidak mampu berdiri terlalu lama dan sukar untuk bangun. Saya terpaksa mengambil masa untuk bangun dan berdiri," katanya.

Selepas empat tahun, suaminya kini sudah boleh berjalan dan menguruskan diri sendiri walaupun masih belum dapat bertutur dengan baik.

Zaleha berkata, perkembangan ditunjukkan suaminya amat memberangsangkan dan dia berharap satu hari nanti dia akan kembali pulih seperti sedia kala.

"Saya kini menyara keluarga dengan memelihara anak jiran sebagai sumber pendapatan sambilan. Sekurang-kurangnya saya ada aktiviti untuk dilakukan memandangkan anak juga sudah besar dan ia mengisi ruang untuk terus aktif dengan cara tersendiri bersama suami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04


Sedap, cantik, ringkas

Posted: 04 Sep 2012 06:17 AM PDT

NAMANYA kuih goyang kerana ketika hendak menggoreng dan mengeluarkannya daripada acuan, acuan berkenaan digoyang sedikit.

Satu lagi nama popularnya ialah kuih ros kerana bentuknya seperti bunga. Ia kuih tradisional yang popular ketika raya atau majlis perkahwinan kerana bukan saja rasanya sedap, bentuknya juga cantik dengan bahannya yang ringkas.

Kini kuih goyang atau ros boleh didapati sepanjang tahun kerana ia sudah dikomersialkan sebagai makanan kudapan.

Sering melihat kuih goyang, penulis sudah biasa dengan keadaan dan rasanya.

Tetapi perasaan penulis berubah 360 darjah apabila melihat kuih goyang dihasilkan Maria Rabikat.

Maria, 37, membuat sesuatu yang menjadikan kuih goyang tampil ceria dan glamor. Kuih goyang dibuat dengan pelbagai warna membuatkan sesiapa saja melihatnya pasti terpikat.

"Apabila membuat kuih goyang yang berwarna-warni, anak-anak saya sangat suka berbanding warna biasa sebelum ini," cerita Maria, ibu empat cahaya mata ini.

Kenang Maria, ketika kecil dia suka melihat arwah neneknya membuat kuih goyang.

"Kini untuk mendapatkan resipi, saya bertanya pula pada emak. Arwah nenek dulu biasa membuatnya menjelang raya. Waktu itu warna yang digunakan biasa saja.
Idea membuat kuih goyang warna-warni ini kerana saya sukakan kelainan dan sesuatu yang ceria," katanya.

Ada yang menempah, jadi dia mula menjualnya dengan harga RM20 bagi 50 keping.
Maria juga tidak kedekut berkongsi resipi, cara dan petua membuatnya.

"Antara petua, jika mahu gunakan pewarna, jenis serbuk memang terbaik tetapi ia sukar didapati. Saya tidak menggunakan kapur kerana ia menghasilkan bau yang kurang menyenangkan walaupun ada yang kata kapur merangupkan adunan.

"Saya juga gunakan telur untuk mendapatkan adunan yang lembut dan rangup. Bagi mengelakkan hanyir, saya campurkan esen ros," katanya mengakui, pada peringkat awal memang biasa melakukan kesilapan dan kemudian ia diperbaiki dari semasa ke semasa.

Akuinya, proses membuat kuih ini memang lama dan perlukan kesabaran.

"Setiap hari selama seminggu saya mencuba dan mendapatkan rentak membuatnya.
Pada awalnya adunan melekat, terkembang dan macam-macam lagi cabarannya. Kini setelah mengumpul pengalaman, saya boleh mengagak kepanasan minyak supaya adunan tidak melekat seperti peringkat awal dulu. Semakin lama, saya juga semakin mahir," katanya.

Walaupun Maria mengubah suai warna asal kuih goyang mengikut seleranya yang sukakan keceriaan, rasa kuih tetap tidak berubah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved