Ahad, 9 September 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Makanan tentukan kesihatan diri

Posted: 09 Sep 2012 09:38 AM PDT

TIDAK dinafikan setiap individu mahu kesihatan mereka berada pada tahap optimum, sama ada dari segi fizikal atau mental. Namun cara hidup yang semakin pantas, sibuk dan sentiasa mengejar masa menyebabkan ramai hilang fokus hingga mengabaikan diri demi mencapai kejayaan yang bersifat materialistik.

Walaupun wang yang dicari, ia bukan penyelesaian kepada segala persoalan hidup dan apabila kesihatan merosot, kualiti hidup juga merudum hingga menyebabkan seseorang itu menjadi murung.

Kesihatan mental dan fizikal saling berkait rapat. Kedua-duanya perlu bergerak seiringan kerana sekiranya mental tidak sihat, ia akan memberi kesan negatif kepada fizikal dan begitu juga sebaliknya.

Perangkaan di negara maju seperti Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat menunjukkan kes bunuh diri banyak berlaku. Ini terjadi apabila wujud masalah mental akibat pengurusan minda yang tertutup, harapan tinggi yang tidak tercapai serta tekanan hidup yang mendorong perbuatan negatif itu.


Antara faktor yang menyumbang kepada kes bunuh diri semakin meningkat adalah masalah pengangguran, ekonomi, kemurungan dan tekanan daripada masyarakat sekeliling.


Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Khaidzir Ismail berkata, minda adalah bahagian yang paling penting pada tubuh dan sekiranya ia tidak dijaga, pemikiran seseorang menjadi bercelaru hingga menyebabkannya gagal mengurus diri serta hidup dengan baik.

Apabila mental menjadi tidak sihat termasuk mengalami tekanan akibat masalah hidup seperti putus cinta, bergaduh dengan rakan atau bercerai, hormon menjadi tidak seimbang hingga ia kelihatan pada kulit.

"Kulit boleh timbul ruam dan kering akibat hormon yang bercelaru disebabkan tekanan pada minda. Kadangkala kita ingatkan kulit kering kerana tidak sapu losen tetapi sebenarnya ia terjadi kerana stres.

"Apabila mental tidak stabil, perubahan pada tubuh dapat dilihat dengan nyata, antaranya fizikal menjadi tidak terurus, rambut kusut atau kulit kering," katanya.

Beliau berkata, sebaliknya juga akan berlaku apabila seseorang gembira dan berfikiran positif, mindanya akan tenang membuatkan hormon menjadi stabil, seterusnya kulit kelihatan cantik dan berseri-seri.

Selain pemakanan yang teratur dan seimbang, kesihatan fizikal seseorang turut mempunyai hubung kait yang rapat dengan mindanya hinggakan pemikiran yang negatif mampu dilihat pada perubahan fizikal yang mungkin menjadi tidak bermaya dan kulit kusam.

Menurutnya, pemakanan turut menyumbang kepada kesihatan diri. Apabila seseorang itu mengambil pemakanan banyak karbohidrat, tubuh akan menjadi lesu fizikal dan ia memberi kesan secara tidak langsung pada minda.

Begitu juga apabila seseorang mengambil makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi dalam diet, ia akan membuatkan diri menjadi terlalu aktif dan mungkin mudah naik marah.

"Makanan sememangnya mempunyai hubung kait dengan kesihatan mental kerana ia memberi kesan kepada kesihatan fizikal. Nutrien makanan seperti zat besi dan protein memberi kesan pada tubuh.

"Setiap makanan yang diambil mempengaruhi tubuh. Oleh itu, untuk mendapat mental yang sihat, pemakanan juga perlu dijaga kerana minda memerlukan zat daripada pemakanan yang disalurkan ke dalam tubuh," katanya.

Dr Khaidzir berkata, seseorang itu perlu menjaga kesihatan mentalnya dalam usaha memelihara kesihatan dirinya secara menyeluruh termasuk mengambil pendekatan sentiasa berfikiran positif walaupun berhadapan dengan cabaran.

Menurutnya, setiap orang perlu mengetahui keupayaan diri masing-masing supaya mereka dapat mengawal diri mereka daripada melakukan perkara tidak sepatutnya.

"Seseorang itu tidak seharusnya suka menyalahkan pihak lain, sebaliknya menerima sebarang dugaan yang datang dengan hati yang terbuka, reda dan tenang kerana ia boleh menjaga kesihatan mental diri mereka.

"Mereka juga perlu tahu kaedah untuk mengawal diri sendiri kerana minda yang tidak tenang akan menyebabkan seseorang berasa penat dan mudah diserang penyakit, mudah meracau selain sukar menerima gurau senda rakan," katanya.

Beliau berkata, minda perlu sentiasa positif dan menerima dugaan serta cabaran hidup dengan hati terbuka, seterusnya membuatkan seseorang memperoleh kesihatan mental yang baik.

Bagi orang Islam pula, mereka perlu menjaga solat dan sentiasa berdoa dalam usaha memperoleh ketenangan diri, seterusnya dapat menjalani hidup dengan lebih gembira.

"Selain positif dan menikmati setiap saat hidup dengan gembira, manusia perlu berkawan dan tidak seharusnya berseorangan. Ini kerana seseorang perlu berkongsi apa yang ada dalam hatinya termasuk susah senang demi minda yang sihat.

"Seseorang juga digalakkan terbabit dalam kegiatan riadah dan aktiviti yang mampu menyibukkan diri mereka, berkawan dengan ramai orang selain mempunyai hobi bagi membuatkan minda mereka sentiasa bekerja dan berfikir.

"Ada kata-kata hikmah yang mengatakan, minda yang kosong mudah dimasuki syaitan dan ada kebenaran pada ayat itu. Oleh itu, kita perlu sibukkan diri dengan perkara berfaedah," katanya.

Cara mendapat minda yang sihat:

Uji fizikal, mental

Posted: 09 Sep 2012 09:10 AM PDT

BAGI penggemar aktiviti lasak, usah lepaskan peluang menyertai cabaran musim kedua AXA Affin AXN Big Challenge Malaysia yang dibawakan AXN dengan kerjasama AXA Affin Life Insurance Berhad.

Pelbagai inovasi terkini dimasukkan dalam format pertandingan asal dengan membawakan cabaran fizikal dan mental ke tahap serba baru untuk peserta.

Malah, penganjur turut mengadakan cabaran terbuka untuk lelaki dan perempuan yang akan bersaing sesama sendiri dalam pertarungan kumpulan antara jantina sebagai seorang daripada tiga peserta terbaik di setiap negeri.

Tiga pemenang utama bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita akan dipilih dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.


Hadiah wang tunai bernilai RM84,000 menanti peserta. Pemenang tempat pertama bakal membawa pulang hadiah bernilai RM8,000, pemenang kedua RM4,000 manakala tempat ketiga RM2,000.


Warga negara yang berumur 18 tahun dan ke atas yang ingin menyertainya boleh mendaftar di www.axn-asia.com/AXNBigChallenge/my untuk pusingan kelayakan sebelum tarikh akhir di setiap negeri masing-masing.

Bagi mereka yang terlepas tarikh akhir pendaftaran secara dalam talian, mereka masih layak untuk menyertai pertandingan ini sekiranya mendaftar dan lulus pusingan kelayakan di tempat masing-masing pada hari ia diadakan.

Selain pendaftaran secara dalam talian dan pendaftaran di lokasi, AXA Affin AXN Big Challenge turut mengadakan jelajah prapromosi di tiga lokasi terbabit sebelum hari pertarungan sebenar berlangsung.

Hanya 100 peserta di setiap negeri yang berjaya melengkapkan pusingan kelayakan dalam masa terpantas akan ke cabaran utama.

Daripada jumlah terbabit, 10 peserta yang berjaya menamatkan cabaran utama dalam masa terpantas saja akan layak ke peringkat cabaran akhir dan bersaing untuk menjadi tiga pemenang utama.

Di samping itu, antara tarikan unik cabaran musim kedua pertandingan ini ialah penggunaan alat media sosial yang membolehkan peserta berkongsi keseronokan mereka serta-merta.

Peserta berminat boleh mendaftarkan diri dan berkongsi pengalaman cabaran di akaun Facebook atau Twitter AXN dan berpeluang memenangi hadiah ketika pertandingan itu berlangsung apabila mereka twit dan memuat naik gambar di Twitter atau Instagram.

Menurut Naib Presiden Jualan Pengiklanan dan Pemasaran, Rangkaian, Asia, Sony Pictures Television, Jack Lim, berikutan kejayaan dalam pertandingan musim pertama tahun lalu, kali ini lebih banyak keseronokan dibawakan kepada penonton tempatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AXA Affin Life Insurance Berhad, Loke Kah Meng, berkata pertandingan sebegini memberi tumpuan dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan gaya hidup sihat.

Malah, aktiviti ini juga selaras dengan tema tanggungjawab sosial korporat dibawakan iaitu penyelidikan risiko dan pendidikan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, layari www.axn-asia.com/AXNBigChallenge/my.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/09


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved