BUAT seketika dunia digemparkan dengan kematian Raja Pop, Michael Jackson. Saat itu juga Michael dalam persediaan untuk kembali menggegarkan industri hiburan menerusi konsert, This Is It.
Mengumumkan pembabitannya dalam siri konsert berkenaan pada Mac 2009, Michael Jackson atau MJ mengadakan sidang media di London O2 Arena, memilih dewan berkenaan sebagai lokasi pertama selepas kali terakhir mengadakan siri konsert terulung seumpama itu, HIStory World Tour pada 1997.
Jackson juga merancang untuk bersara selepas siri pertunjukan berkenaan, sempat berkata ia akan menjadi konsert "penutup tirai".
Malangnya, belum sempat beliau merealisasikan impian dan mengubati kerinduan peminat sekian lama, penghibur dunia yang dilahirkan pada 29 Ogos 1958 dengan nama Michael Joseph Jackson itu, terlebih dulu menemui ajalnya dalam keadaan tragis.
Hampa, sedih dan kecewa, menghiasi emosi wajah seluruh peminatnya di merata dunia saat mendengar perkhabaran pilu itu.
Jelas sekali, tidak akan wujud lagi di dunia ini insan seperti Michael. Seorang ikon muzik dengan kehebatan vokal luar biasa sehingga digelar 'a major vocalist'.
Daya kreatif beliau, tidak terbatas dari segi nyanyian saja. Akan tetapi, penampilan dan persembahan. Kredibilitinya turut terbukti menerusi penciptaan lagu dan kelahiran klip video yang mampu menjadi suara kepada konflik manusia sejagat yang akhirnya memberi kesedaran dan menyatukan masyarakat dunia.
Legasi yang ditinggalkan beliau tidak pernah berkubur sekalipun sudah tiga tahun beliau meninggalkan dunia yang fana ini.
Terbaru, MJ 'hidup' semula.
Semangat MJ terus membara dan dapat disaksikan apabila penulis diberi peluang menjadi salah seorang saksi daripada 20,000 yang menonton Konsert Michael Jackson The Immortal World Tour By Cirque Du Soleil, pada 19 Oktober lalu.
Berlangsung di O2 Arena lokasi sama dirancang Michael untuk merencanakan konsert This Is It tiga tahun lalu dewan berkapasiti 20,000 itu tersergam di Drawdock Road, North Greenwich, London.
Pemergian yang ditaja khas syarikat Pepsico diketuai Pengurus Penjenamaan Pepsico Malaysia, Alison Chang itu turut membabitkan dua lagi syarikat penerbitan akhbar dan pemenang peraduan Pepsi King of Pop iaitu Badiuzzaman Jamhari, 28, dan isterinya, Aina Othman, 30.
Melayari durasi 140 minit pertunjukan itu, dapatlah disimpulkan ia sebuah persembahan yang penuh rasa kecintaan dan hormat daripada Cirque Du Soleil dalam melaksanakan Michael Jackson The Immortal World Tour.
Ia adalah sangat jelas di mana setiap individu yang terbabit dalam produksi itu, masing-masing mendukung dua matlamat. Pertamanya, mempamerkan cinta mereka terhadap Michael Jackson dan keduanya, menghormati legasi beliau.
Menyokong dakwaan itu, sebagaimana diketahui umum yang pernah menonton persembahan Cirque Du Soleil yang sudah berkelana di merata dunia sejak bertahun-tahun lalu, mereka ini adalah kumpulan seni sarkas ternama yang menggabungkan elemen dramatik, akrobatik dan hiburan jalanan.
Tidak terbayang dalam fikiran bahawa kumpulan sarkas ini berupaya meniru dan mengadaptasi aksi 'King of Pop' itu secara terperinci.
Persembahan berkenaan, jelas mempamerkan antara Michael dan Cirque mempunyai banyak persamaan. Contoh sinergi puitis yang sempurna! Ia sebuah pementasan mempamerkan kesempurnaan dan semangat juga inovasi dan kreativiti. Sebagaimana sering Michael menyebut dalam kenyataannya "ia harus menjadi yang terbaik".
Konsert itu menyaksikan kombinasi sempurna dua kuasa jenama ikonik dan kreatif, Michael Jackson dan Cirque Du Soleil, Greg Phillinganes dan Kevin Antunes, selaku pengarah muzik melakukan tugas mereka dengan cemerlang dalam mewujudkan pengalaman konsert secara langsung kepada penonton.
Persembahan muzik mengujakan, bertenaga dan ada kalanya menyentuh perasaan sebagaimana Michael semasa hayatnya sehinggakan kelihatan sebahagian besar penonton tersentuh dan mengalirkan air mata.
Pasukan kreatif Cirque, menjalankan sejumlah besar penyelidikan mengenai Michael dengan memastikan kesungguhan dan minat figura itu dicerminkan sebaik mungkin menerusi setiap minit persembahan.
Penonton berpeluang menyaksikan betapa Michael amat menghargai dan mencintai bumi, bagi kanak-kanak di dunia dan bagi setiap manusia dari pelusuk mana sekalipun. Ia digambarkan dengan terperinci menyerlahkan erti 'cinta' yang luas maksudnya bagi seorang bernama Michael Jackson.
Apa yang dilakukan Cirque dalam menyatakan penghormatan mereka terhadap Michael, dengan memasukkan segala elemen persembahan yang pernah dipersembahkan Michael termasuk lagu-lagu yang menjadi kesukaan mendiang dan peminatnya itu.
Rangkaian lagu yang dipersembahkan, membawa penonton mengembara zaman kanak-kanak Michael yang mencipta fenomena kerana vokal luar biasa sewaktu menganggotai Jackson 5 sehinggalah beliau meningkat dewasa berubah menjadi seorang 'trendsetter' dan ikon muzik.
Childhood, Ben, ABC, Lovely One, Dancing Machine, This Place Hotel, Smooth Criminal, Dangerous, Human Nature, Ghost , Is It Scary?, Thriller, You Are Not Alone, I Just Can't Stop Loving You, Beat It, BAD, Earth Song, Scream, They Don't Care About Us, Heal The World, I'll Be There, Can You Feel It, Billie Jeans dan Black or White, adalah sebahagian daripada ribuan lagu pernah dirakamkan beliau yang dipersembahkan kepada penonton.
Manakala, Man In The Mirror, sebuah maha karya bintang kelahiran Gary, Indiana, Amerika Syarikat, itu dipilih sebagai lagu terakhir.
Tidak sekadar sebuah persembahan, pasukan Cirque Du Soleil juga memetik kenyataan Michael berhubung kecintaan beliau terhadap muzik, pandangan beliau mengenai manusia sejagat dan kasihnya terhadap golongan kanak-kanak dengan mengubah suai rakaman lamanya ke bentuk digital agar ia kedengaran segar.
Konsert itu turut menyelitkan imej hologram Michael selama beberapa minit dan ketika aksi beliau dengan gaya tarian 'moonwalk", anti-graviti, 'tap-dance' termasuk klip video terhebat pernah dihasilkan antaranya They Don't Care About Us, Smooth Criminal dan Black or White.
Jalur Gemilang berkibar di O2
TERBIT rasa gembira apabila bendera Malaysia, Jalur Gemilang, turut dikibarkan oleh barisan penari Cirque selain tentera di layar skrin lebar yang tergantung di tengah pentas sewaktu lagu Black or White dialunkan.
Badiuzzaman atau selesa dipanggil Bad, juga pemenang bertuah peraduan Pepsi King Of Pop, berkata, dia bukanlah seorang penggemar konsert. Bagaimanapun pemuda yang bertugas sebagai Perunding Pelancongan itu, mengakui Michael Jackson The Immortal World Tour By Cirque Du Soleil adalah yang terbaik pernah disaksikannya.
"Seluruh dunia tahu MJ sudah tiada dan apabila saya dimaklumkan pihak Pepsico bahawa saya memenangi peraduan Pepsi King of Pop sekali gus memperoleh berpeluang menonton konsert Michael Jackson The Immortal World Tour By Cirque Du Soleil di sini (O2 Arena), saya memang tidak tahu untuk menjangkakan apa yang akan berlaku.
"Yang pasti saya amat teruja. Selepas menyaksikannya sendiri, saya harus akui ia adalah konsert paling hebat pernah saya saksikan. Dengan jumlah puluhan ribu penonton yang membanjiri dewan itu, paling menyentuh perasaan apabila pasukan Cirque berjaya membuatkan MJ begitu dekat dengan penonton.
"Meskipun tiada jasadnya kelihatan, 'spirit' MJ itu kuat dirasakan penonton.
Ada ketika saya melihat penonton menangis sebaik petikan-petikan kenyataan MJ yang membawa mesej kesedaran. Saya sendiri tidak malu mengatakan saya turut berasa sebak.
"Saya pasti mereka yang tidak pernah meminati MJ akan jatuh cinta dengan beliau selepas menyaksikan konsert ini. Mereka pasti kagum dengan karya-karya yang beliau hasilkan yang hampir keseluruhannya bercerita soal kehidupan. Salah satunya Black or White yang mengangkat isu diskriminasi perkauman.
"Berbalik kepada persembahan Cirque Du Soleil saya tidak menyangka mereka akan menari seperti MJ kerana kalau tidak silap saya mereka inikan kumpulan sarkas.
Namun, mereka berjaya menghidupkan setiap detik dengan mengaplikasikan cara dan gaya MJ sehinggakan penonton yang menyaksikan konsert berkenaan merasakan MJ masih hidup," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29