Khamis, 18 Oktober 2012

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Kebas sekali bayi 55 hari

Posted: 17 Oct 2012 04:54 PM PDT

SUNGAI BULOH: Seorang ibu hanya menangis sepanjang hari sejak bayi lelakinya berusia 55 hari dilarikan lima lelaki yang sebelum itu turut menyamunnya berdekatan rumah sewanya di Taman Saujana Akasia, dekat sini, malam kelmarin.

Ketika kejadian jam 7.45 malam itu, mangsa, Cho Cho Tun, 33, berasal dari Myanmar, dalam perjalanan pulang ke rumah bersama bayinya, Mikalithu selepas membeli barang di pasar malam yang hanya tiga minit perjalanan dari rumah sewanya.

Suami mangsa, Nay Soe Aung, 29, berkata, ketika isterinya berjalan pulang bersendirian, dia dihampiri lima lelaki yang menaiki beberapa motosikal.

"Dua daripada lelaki terbabit mengacukan pisau ke leher dan perut isteri saya sebelum memintanya menyerahkan bayi dan barangan berharga.


"Apabila isteri saya enggan, kumpulan lelaki itu marah. Mereka merampas beg tangan berisi RM800 dan mengambil bayi yang didukung isteri sebelum memecut ke Matang Pagar, Sungai Buloh," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/18


Koma jatuh tingkat 4

Posted: 17 Oct 2012 04:54 PM PDT

JOHOR BAHRU: "Saya sangka ia bunyi sampah dibuang tapi terkejut apabila mendapati sebenarnya anak jiran terjatuh dari tingkat empat," kata Mariam Husin, 50, di Flat Geharu, Taman Rinting, Masai, dekat sini, semalam.

Mariam individu pertama menemui Almuziri Said, kanak-kanak berusia lima tahun yang terjatuh dari tingkat empat kediaman keluarganya di flat berkenaan pada jam 5.30 petang kelmarin.


Mariam berkata, sebaik menyedari apa sebenarnya berlaku, dia menjerit untuk menarik perhatian jiran dan mangsa kemudian dihantar orang awam ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Pandan.

Sebelum kejadian, Almuziri dipercayai memanjat tingkap bilik ibunya, namun terjatuh dan ketika itu ibu saudara, Adelin Ismail, 17, yang menjaganya sedang membancuh susu di dapur manakala ibunya, Fauzieh Ismail, 30, keluar bekerja di Pasir Gudang.


Akibat kejadian itu, tempurung kepala Almuziri retak dan dia kini koma serta dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI.


Menurut Mariam, dia kerap melihat Almuziri bermain di kawasan parkir kenderaan berdepan rumahnya.

"Dia kanak-kanak yang periang. Kami sedih dengan kejadian menimpa Almuziri dan akan melawatnya dalam masa terdekat. "Ini kejadian pertama berlaku di sini dan kami harap, keluarganya tabah dengan ujian ini," katanya.


Sementara itu, Fauzieh ketika ditemui di HSI berkata, dia berdoa agar anak tunggalnya itu selamat.

"Saya sedang bekerja sebelum dihubungi adik yang memaklumkan Almuziri terjatuh dari tingkat empat sebelum bergegas pulang.


"Saya terkejut melihat kecederaan anak dan berdoa supaya dia segera sembuh. Doktor memaklumkan Almuziri akan menjalani pembedahan di kepala dalam masa terdekat," katanya yang juga ibu tunggal.


Fauzieh turut berterima kasih kepada jiran yang membantu, kakitangan HSI serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas Jaya, Datuk M M Samy yang melawat dan menghulurkan sumbangan kecemasan.


M Samy berkata, pihaknya akan memantau perkembangan Almuziri dan menghulurkan bantuan lain yang bersesuaian.


"Kami simpati dengan kemalangan yang menimpa Almuziri dan berharap Fauzieh tabah. Kami akan bantu keluarga berkenaan mengikut keperluan," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Masyarakat Sabah Pasir Gudang, Alex Puspah, menasihatkan komuniti itu yang tinggal di flat memasang jeriji di kediaman masing-masing.


"Ada di kalangan masyarakat Sabah tidak memasang jeriji pada kediaman di flat menyebabkan anak mereka berisiko untuk jatuh jika bermain di tingkap bilik atau dapur.


"Itulah yang berlaku terhadap Almuziri. Jika kediaman itu dipasang jeriji, kemalangan itu mungkin boleh dielakkan. Ia perlu dijadikan pengajaran kepada semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/18


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved