Isnin, 1 Oktober 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Tuntut kesabaran tinggi

Posted: 01 Oct 2012 08:12 AM PDT

DI RUMAH, mereka menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, menyediakan keperluan suami dan anak-anak serta melakukan kerja rumah. Namun keadaan ini bertukar apabila berada di pejabat. Dengan gelaran pensyarah dan penyelidik, pastinya mereka harus memberikan komitmen, tenaga, masa dan buah fikiran yang bukan sedikit dalam mencari formula menghasilkan penemuan baru untuk manfaat semua.

Kesungguhan dan kegigihan mereka memang sukar diungkap dengan kata-kata mahupun dinilai dengan wang ringgit. Usaha mereka diibaratkan seperti menanam padi yang hasilnya akan dituai dan dinikmati semua.

Menyedari komitmen golongan wanita dalam menjalankan penyelidikan, L'Oreal memberi pengiktirafan kepada tiga saintis wanita dalam majlis Anugerah L'Oreal Nasional Fellowship untuk Wanita dan Sains (FWIS) 2012 yang diadakan, baru-baru ini.

Anugerah itu adalah penghargaan atas sumbangan golongan ini dalam bidang sains untuk kepentingan masyarakat. Kajian dan penyelidikan yang dijalankan dengan mendalam sememangnya memerlukan ketelitian, menuntut kesabaran yang bukan sedikit, lebih-lebih lagi mereka bergelar isteri dan ibu.


Bagi Pensyarah Kanan dan Pakar Perunding Psikologi Klinikal Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Firdaus Mukhtar, pengalaman menjadi kaunselor dan berdamping dengan rakan bermasalah sejak di sekolah rendah mendorongnya menceburi bidang psikologi.


"Sejak di sekolah rendah sehingga menengah, saya menjadi kaunselor dan berperanan membantu pelajar bermasalah. Saya dapati kepentingan kaunseling dalam kehidupan begitu meluas dan mampu dimanfaatkan semua individu. Misalnya kaunseling dapat membentuk rumah tangga menjadi lebih baik, pelajar pula lebih bersemangat ke sekolah manakala pekerja mampu menguruskan tekanan dengan baik," katanya.

Dia yang menjalankan kajian mengenai keberkesanan tingkah laku kognitif untuk wanita yang mengalami gangguan kebimbangan menerusi teknik terapi serta kemahiran kaunseling berharap kajian ini dapat membantu hospital dan klinik memulihkan pesakit yang mengalami tekanan di samping pengambilan ubat-ubatan.

Kajian ini penting kerana gangguan kebimbangan adalah salah satu kesihatan mental yang paling biasa dialami wanita di Malaysia. Ini berpunca daripada tekanan hidup yang menyebabkan gangguan emosi dan boleh merubah sistem psikologi dan imunologi seseorang.

"Walaupun di Malaysia terdapat banyak kajian mengenai kemurungan, ia amat terhad dan tertumpu kepada farmakologi saja manakala peranan psiko-imunologi jarang diterokai, sedangkan ramai wanita tidak mampu menguruskan tekanan dengan baik terutama ibu tunggal, isteri kedua atau wanita yang didera mental dan fizikal. Apabila menghadapi kemurungan, kebanyakan mereka mengambil panadol, merokok, menangis, sentiasa berada dalam ketakutan, lebih buruk membawa kepada pengambilan dadah dan bunuh diri.

"Menerusi rawatan terapi ini, mereka boleh menerima kenyataan, tidak menyalahkan takdir dan melalui kehidupan dengan gembira," katanya yang menjadikan ahli psikologi terkenal Amerika Syarikat, Aaron Beck, sebagai idola.

Dr Firdaus memperoleh ijazah pertama dalam bidang sains manusia (pengkhususan psikologi) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 1999, seterusnya menyambung ke peringkat Sarjana Psikologi Klinikal, Universiti Edith Cowan Perth, Australia pada 2003 dan mendapat Doktor Falsafah (PhD) Psikologi Klinikal, Universiti Queensland, Brisbane Australia.

Anak keempat daripada tujuh beradik ini mengakui sebagai isteri, ibu dan pensyarah, masanya padat dengan aktiviti harian. Mujur suaminya, Ismail Mustafa banyak membantu dalam menguruskan keluarga serta memberi galakan kepadanya menjalankan kajian. Pada waktu lapang, ibu kepada tiga cahaya mata ini gemar membaca, menulis, membeli-belah dan menghasilkan resipi baru.

Bagi pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar (UPM), Dr Wan Azlina Wan Abdul Karim Ghani, minat dalam bidang sains bermula ketika di tingkatan empat apabila dia begitu meminati mata pelajaran Kimia yang diajar guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kuala Terengganu. Selepas mendapat galakan keluarga, Wan Azlina menyambung pengajian Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Malaysia, Johor dan meneruskan pengajian dalam bidang doktor falsafah di Universiti Sheffield United Kingdom.

Sebagai ahli akademik, penyelidik, isteri dan ibu kepada tiga anak lelaki, bukanlah satu tugas mudah. Pengurusan masa sangat penting bagi memastikan semuanya dapat dilakukan dengan sempurna.

"Bekerja di universiti penyelidikan seperti UPM, kami bukan saja digalakkan melakukan penyelidikan malah memastikan kajian diterbitkan dalam jurnal reputasi tinggi serta menyebarkan penemuan kepada masyarakat atau industri. Pada masa sama, saya bertanggungjawab menjaga keluarga. Ia satu perjalanan yang sukar, tetapi sangat manis dilalui," katanya.

Wan Azlina menerima pengiktirafan L'Oreal atas sumbangan dalam penyelidikan pembangunan bahan hibrid hyrdogel biocharkomposit (HBC) untuk mengurangkan pencemaran gas rumah hijau.

"Biochar adalah bahan karbon diperoleh daripada teknik pemprosesan haba manakala hidrogel sebatian kimia terdiri daripada monomer crosslinker dan pemula. Bahan ini boleh dibangunkan sebagai baja atau atau bahan binaan yang dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar," jelasnya.

Menjadikan Prof Datuk Dr Mazlan Othman sebagai idola, Wan Azlina mengagumi kepintaran, cara bekerja dan pencapaian cemerlang dalam bidang astronomi dan astro-fizik serta setaraf dengan saintis lain di dunia.

Anak sulung enak beradik ini menegaskan, penyelidikan sains menyediakan gaya hidup selesa dan kedudukan berprestij dalam masyarakat. Sebagai seorang saintis dan jurutera, seseorang itu mendapat pemahaman jelas mengenai penemuan teknologi serta menyediakan penilaian yang lebih baik daripada isu yang dihadapi masyarakat serta digunakan dalam pelbagai bidang.

Dia turut berharap dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang sains, dia mampu menemui dan menyelesaikan isu masyarakat serta berdiri sama tinggi dengan penyelidik lain di peringkat antarabangsa.

Bagi Timbalan Dekan Pengurusan Akademik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Hakimah Osman, sejak berada di sekolah rendah dia bercita-cita menjadi doktor perubatan.

"Namun selepas Sijil Pelajaran Malaysia, saya mendapati perubatan sangat berbeza daripada personaliti diri saya. Akhirnya, saya membuat keputusan melanjutkan pelajaran dalam bidang teknologi dan kejuruteraan polimer," katanya.

Ketika menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Hakimah terpaksa melakukan kerja sambilan pada waktu malam sebagai juruwang di restoran makanan segera berdekatan kampus. Ini kerana ketika itu ayahnya sedang sakit manakala ibunya hanya suri rumah.

"Namun saya bertekad tiada istilah ponteng kelas, tidak hadir peperiksaan atau tidak menghantar tugasan. Apa yang ada di fikiran, hidup adalah satu cabaran dan harus diteruskan. Akhirnya, segala-galanya berjalan lancar selepas saya menamatkan kajian PhD," katanya.

Menurut Dr Hakimah, dia memilih menjadi penyelidik kerana kerjaya ini sangat menarik kerana memperkatakan banyak perkara. Dengan geran yang ditawarkan, Hakimah akan meneruskan kajian mengenai kaedah pengeluaran lateks daripada pokok ubi kayu atau nama saintifiknya, Manihot esculenta sebagai alternatif kepada getah asli dalam menyelesaikan masalah alahan protein dalam lateks getah asli.

Selain itu, penyelidikan ini penting bagi mengatasi kekurangan bekalan getah asli di seluruh dunia, terutama di Malaysia dengan memperkenalkan getah asli baru daripada pokok ubi kayu sebagai sumber alternatif. Penggunaan getah asli boleh memberi kesan pada kulit kerana mengandungi alahan protein selain sumber kewangan baru pada negara.

Anugerah yang diterimanya itu diharap mampu menyuntik semangat untuk terus bergiat aktif dalam bidang penyelidikan sekali gus membawa UniMAP menjadi antara institusi pendidikan dan penyelidikan yang berdaya saing di peringkat nasional dan global.

"Sains berkaitan dengan pengetahuan kuasa dan masa depan. Harapan saya untuk menjadi profesor penuh di bawah usia 40 tahun dan menjadi pemenang Anugerah Nobel pertama di Malaysia," katanya yang mengharapkan lebih ramai wanita menjadi penyelidik dalam bidang sains khususnya Sains Hayat.

Anugerah FWIS disampaikan oleh mantan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Tan Sri Zarinah Anwar dan Pengarah Urusan L'Oreal Malaysia, Andrew Stanleick.

Hadir sama, Pengarah Perhubungan Media Komunikasi Korporat L'Oreal Malaysia, Tay Ai Leen.

Program ini adalah kerjasama antara L'Oreal dengan Suruhanjaya Kebangsaan Malaysia, Akademi Sains Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Program yang mendapat sokongan serta pengiktirafan daripada Suruhanjaya Negara bagi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) setakat ini berjaya memberi sokongan kepada lebih 20 wanita di peringkat biasiswa antarabangsa dan biasiswa nasional.

Pemilihan pemenang dibuat oleh ketua juri, Prof Dr Asma Ismail dari USM yang mana pemenang dinilai berdasarkan kesan dan nilai komersial penyelidikan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/01


Pinggan mangkuk polka dot

Posted: 01 Oct 2012 08:09 AM PDT

MEMINATI pinggan mangkuk bukan asing bagi kaum wanita. Ramai yang meminati pinggan mangkuk import berjenama mahal dan tidak kurang mengumpul yang antik.

Lebih antik, pinggan mangkuk itu semakin digemari. Pinggan mangkuk mahal pula selalunya daripada jenama mewah yang bukan hanya cantik, tetapi tahan lasak.

Minat manusia kepada sesuatu memang normal cuma mungkin ia merisaukan jika ia menjadi ketaksuban yang sukar dibendung. Apatah lagi jika pengumpulnya tidak kisah mencari merata tempat dan menghabiskan wang hanya mahu memuaskan hati.

Daripada minat menjadi hobi, ia memberi kepuasan yang tersendiri. Begitulah yang sering diberitahu oleh kebanyakan pengumpul koleksi ini.


Cuma, mempunyai hobi sebegini bukan mudah terutama apabila ia membabitkan pinggan mangkuk yang banyak.


Memikirkan apabila pinggan mangkuk yang dikumpul menjadi terlalu banyak, tentu agak sukar menyimpannya. Bagaimana sekiranya mereka tidak mempunyai ruang yang luas di rumah? Adakah hobi atau minat ini untuk orang tertentu saja?

Menemui Intan Kamariah Shah Rani, wanita beranak tiga yang berasal dari Teluk Intan, Perak, ternyata membuka mata penulis. Bagi dirinya, memenuhi minat, hobi atau mengumpul koleksi boleh saja dibuat secara sederhana.

Ini kerana Intan sendiri tidak berlebih-lebihan dalam memenuhi minat mengumpul barang disukainya. Walaupun agak banyak, ia cukup membuatkan dirinya gembira.

Mula masuk ke rumahnya di sebuah rumah pangsa dua bilik di Wangsa Maju, terus dilihat gaya Inggeris yang sangat menyejukkan pandangan. Ini kerana Intan pandai mencampurkan sentuhan bunga-bungaan dengan perhiasan lain yang berwarna polos.

Namun, semakin lama menjenguk, nampak pula sesuatu yang lain. Ia sangat menarik dan menceriakan suasana - pinggan mangkuk polka dot.

Seronok melihat satu persatu koleksi Intan. Wanita yang mudah tersenyum itu sebenarnya peminat gaya Inggeris tegar bagi penataan rumahnya. Tetapi itu mungkin sama dengan ramai lagi minat orang lain.

Apa yang menarik perhatian adalah hobi terbaru Intan ini sebenarnya baru saja dipupuk.

"Minat mengumpul pinggan mangkuk polka dot ini baru bermula sejak tiga tahun kebelakangan ini. Paling jauh saya beli ialah secara dalam talian dari United Kingdom. Ia teko polka dot merah putih berserta cawan yang unik," katanya.

Melihat sendiri teko merah putih itu memang sangat cantik dan unik. Tekonya boleh diletak di atas cawan. Warna dan bentuknya memang mudah membuat hati tertawan.

Koleksi pinggan, cawan, teko dan mangkuk polka dot Intan bukan sekadar koleksi sebagai tontonan atau perhiasan sebaliknya suri rumah itu memanfaatkannya untuk kegunaan harian.

"Menghias rumah dengan penataan berkongsepkan Inggeris tetap tidak dilupakan tetapi mengumpul pinggan mangkuk polka dot ini menjadi minat terkini saya," kata Intan.

Setelah minat Intan itu timbul, dia mula mengumpul sedikit demi sedikit pinggan, cawan, mangkuk dan teko pelbagai warna dan gaya yang dibeli kebanyakannya di kedai perhiasan dalaman rumah.

"Ada juga yang dihadiahkan oleh kawan-kawan setelah mereka mengetahui minat saya. Apabila kawan memberikan sebagai hadiah, saya menggunakannya dan juga dijadikan perhiasan dengan meletak di rak atau disusun secara gantung," katanya.

Intan mengaku dia tidak terlalu taksub dalam mencapai kepuasan mengumpul koleksinya.

"Rumah kami mempunyai ruang tamu yang terhad jadi saya tidak boleh mempunyai terlampau banyak barang. Cukup setakat apa yang ada. Saya lebih suka menukar susun atur barang di tempat berbeza bagi mendapat kelainan," kata Intan yang juga pandai menjahit.

Pinggan mangkuk polka dot Intan berada dari dapur sehinggalah ke ruang tamu rumahnya. Ada yang berwarna ceria, ada juga yang berwarna lembut. Setiap satu tentu saja istimewa di hati Intan dan semakin istimewa kerana Intan sekeluarga menggunakannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/01


Kredit: www.hmetro.com.my

1 ulasan:

Sandra Ovia Loan Firm on 9 Januari 2016 pada 10:22 PG berkata...

Hello, Saya Puan Sandra Ovia, wang pemberi pinjaman swasta, adakah anda dalam hutang? Anda memerlukan rangsangan kewangan? pinjaman untuk merancang untuk tahun baru, untuk memenuhi sehingga bil anda, mengembangkan perniagaan anda pada tahun ini dan juga untuk pengubahsuaian rumah anda. Saya memberi pinjaman kepada syarikat-syarikat tempatan, antarabangsa dan juga pada kadar faedah yang sangat rendah sebanyak 2%. Anda boleh menghubungi kami melalui E-mel: (sandraovialoanfirm@gmail.com)
Anda dipersilakan untuk syarikat pinjaman kami dan kami akan memberikan anda perkhidmatan yang terbaik kami.

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved