Selasa, 2 Oktober 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Letak anak sebagai keutamaan

Posted: 02 Oct 2012 08:13 AM PDT

KANAK-KANAK di bawah 18 tahun merangkumi satu pertiga daripada jumlah penduduk dunia. Malah di kebanyakan negara, kanak-kanak dan remaja paling ramai berbanding dewasa. Kepentingan kanak-kanak bukan dinilai daripada segi jumlah mereka, tetapi disebabkan mereka bakal bergelar pemimpin masa hadapan.

Kanak-kanak juga mempunyai hak seperti orang dewasa. Tambahan lagi, keadaan mereka yang masih belum matang dan tidak dapat membuat keputusan menyebabkan mereka memerlukan perlindungan dan penjagaan khas, termasuk disediakan undang-undang sewajarnya.

Kanak-kanak berhak mendapat perlindungan, tidak didiskriminasi, menyuarakan pendapat serta hak lain yang termaktub di dalam perjanjian antarabangsa, undang-undang serta dasar negara.

Namun terdapat beberapa aspek yang jarang difikirkan iaitu mengenai hak kanak-kanak dan prinsip perniagaan. Mungkin ramai yang akan bertanya, mengapa kanak-kanak?


Jawapannya mudah. Dunia masih muda. Meletakkan anak sebagai keutamaan bermakna anda melindungi masa depan perniagaan.


Sebagai menghormati hak kanak-kanak dan prinsip perniagaan, Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) bersama rangkaian Malaysia bagi UN Global Impact (UNGC) berganding bahu menyeru syarikat serta komuniti perniagaan memberikan keutamaan kepada kanak-kanak dalam agenda tanggungjawab korporat mereka.

Malaysia sebagai negara pertama di rantau Asia Tenggara memperkenalkan Hak Kanak-Kanak dan Prinsip Perniagaan yang dilancarkan pada minggu lalu.

Menerusi 10 prinsip ini, ia menekankan tanggungjawab korporat dalam pengukuhan perniagaan serta menyatupadukan rasa hormat dan sokongan terhadap kanak-kanak.

Dalam erti kata lain sama ada kecil atau besar sesebuah syarikat, pastinya akan berinteraksi dengan semua golongan termasuk kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak adalah pihak berkepentingan iaitu sebagai pengguna, ahli keluarga pekerja, pekerja muda dan pekerja masa depan.

Kajian terbaru menunjukkan perniagaan yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak di dalam persekitaran tempat kerja berupaya mengurangkan masalah kekurangan pekerja. Malah pekerja lebih setia dan bekerja bersungguh-sungguh bagi memberikan yang terbaik kepada syarikat.

Malah dengan memberi tumpuan kepada kanak-kanak dan menyokong hak mereka, ini akan mewujudkan masa depan yang lebih stabil dan mampan, mewujudkan pasaran baru dan berkembang bagi produk dan perkhidmatan, mendidik tenaga kerja, mempengaruhi kempen dan peningkatan jenama.

Ini diakui wakil Unicef di Malaysia, Wivina Belmonte yang mengatakan memberi perlindungan kepada hak kanak-kanak akan mencipta masa depan yang lebih stabil dan mantap, mewujudkan pasaran baru dan mendidik tenaga kerja.

"Justeru, kami menyeru ahli korporat mempertimbangkan untuk memberi tumpuan kepada kanak-kanak dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka sebagai satu bentuk pelaburan, bukan kos. Untuk melihat CSR sebagai elemen penting dalam perniagaan, ini boleh dilakukan dengan membantu program sokongan dan inisiatif membabitkan kanak-kanak," katanya.

Menurut Presiden Global Impact Network Malaysia, Dr Tan Lin Lah, bidang perniagaan berperanan melindungi kesejahteraan serta memajukan hak kanak-kanak menerusi tanggungjawab sosial korporat. Dengan memperkukuhkan hak kanak-kanak menerusi tanggungjawab sosial korporat serta menjadikannya amalan di Malaysia, ia mampu mewujudkan rasa hormat serta tanggungjawab yang tinggi kepada masyarakat.

Ketua Kumpulan Tanggungjawab Sosial Sime Darby Berhad, Nadiah Hanim Abdul Latif, memberitahu sembilan daripada prinsip yang ditekankan menjadi amalan Sime Darby. Malah prinsip mesra kanak-kanak dengan menyediakan pusat penjagaan di tempat kerja memudahkan ibu bapa menghantar dan mengambil anak sekali gus menjadikan mereka lebih bersemangat bekerja.

"Ini kerana kebanyakan ibu bapa menghadapi masalah dalam menempatkan bayi kerana memikirkan keselamatan, jarak jauh dan kekangan masa. Dengan adanya pusat penjagaan di tempat kerja, masa ibu bapa menjadi lebih fleksibel malah lebih penting mereka dapat menjenguk dan memantau pergerakan anak-anak," katanya.

Selain itu, Sime Darby juga mengutamakan program membabitkan kanak-kanak dan ahli keluarga seperti kem cuti sekolah untuk remaja dan program kebajikan bersama hospital yang memberi peluang kaki tangan menjadi sukarelawan bagi membantu menyediakan kemudahan sepanjang program. Pembabitan keluarga bukan saja mengeratkan hubungan malah meningkatkan motivasi dalam kerjaya.

Menurut Ketua Komunikasi DiGi Communications, Joachim Rajaram, sebagai sebuah syarikat komunikasi, Digi sentiasa memastikan hak kanak-kanak terpelihara dalam apa juga program atau kempen yang dianjurkan. Antaranya memastikan keselamatan Internet, mengadakan program mengenai keselamatan siber serta peningkatan kesedaran komunikasi kepada kanak-kanak.

"Dalam setiap program anjuran Digi, kami sentiasa menjadikan kanak-kanak sebagai agenda utama sama ada program berunsur keselamatan atau pendidikan di samping mewujudkan produk mesra alam yang selamat," katanya.

Bagi pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Truly Loving Company (TLC), Julia Chong, sebagai pengeluar produk kesihatan TLC sentiasa memastikan tanggungjawab sosial korporat dalam memastikan kebajikan pekerja terpelihara.

"CSR bukan setakat menyumbangkan dana kewangan tetapi lebih daripada itu. Menjaga kebajikan pekerja, memastikan keselamatan dan keselesaan adalah antara langkah diambil TLC bagi mewujudkan persekitaran selesa. Malah kajian terbaru menunjukkan perniagaan yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak di tempat kerja mampu mengekalkan kesetiaan pekerja," katanya.

Dalam usaha menyokong sektor swasta membangunkan inisiatif tanggungjawab sosial mereka dengan memberi tumpuan kepada kanak-kanak di seluruh dunia, Unicef, bersama-sama UN Global Compact dan Save the Children, menggubal Hak Asasi Kanak-kanak dan Prinsip Perniagaan dengan menetapkan 10 prinsip iaitu:

1. Memenuhi tanggungjawab menghormati hak kanak-kanak dan komited menyokong hak asasi mereka.

2. Menyumbang kepada penghapusan buruh kanak-kanak, termasuk dalam semua aktiviti perniagaan dan hubungan perniagaan.

3. Memberi kerja yang baik untuk pekerja, ibu bapa, muda dan penjaga.

4. Memastikan perlindungan dan keselamatan kanak-kanak dalam semua aktiviti perniagaan dan kemudahan.

5. Memastikan produk dan perkhidmatan adalah selamat dan berusaha menyokong hak kanak-kanak melaluinya.

6. Gunakan pemasaran dan pengiklanan sesuai untuk kanak-kanak.

7. Menghormati hak kanak-kanak melalui persekitaran dan pengambilalihan tanah dan penggunaan.

8. Menghormati hak kanak-kanak dalam aspek keselamatan.

9. Membantu melindungi kanak-kanak pada waktu kecemasan.

10. Mengukuhkan masyarakat dan kerajaan dalam usaha melindungi dan memenuhi hak kanak-kanak.

Tanggungjawab korporat termasuk:

1. Memberi kerja yang baik untuk pekerja muda

Menghormati hak kanak-kanak untuk umur minimum bekerja, pemberian keadaan kerja yang selamat, perlindungan daripada penderaan dan eksploitasi dan akses kepada kemudahan air, sanitasi dan kebersihan yang sesuai dengan gender.

2. Responsif kepada kelemahan pekerja muda

Semua perniagaan perlu menerima dan menyokong, di peringkat tertinggi mengenai hak kanak-kanak dan pekerja muda, hak untuk dilindungi daripada keganasan dan penderaan. Dasar ini harus melindungi kanak-kanak di atas umur minimum bekerja, jenis pekerjaan, mempertimbangkan had jam kerja, sekatan ke atas kerja
pada tahap yang berbahaya, serta kerja menggunakan jentera dan alat pengangkutan berat, pendedahan kepada bahan proses berbahaya serta keadaan yang sukar seperti bekerja pada waktu malam.

3. Menyokong pekerja

Menyediakan keadaan kerja yang baik dan sentiasa menyokong pekerja sesuai peranan mereka sebagai ibu, bapa atau penjaga. Selain itu, peruntukan untuk wanita hamil dan menyusu, cuti untuk ibu bapa, memudahkan akses kepada penjagaan kanak-kanak yang berkualiti, tanggungan kesihatan dan pendidikan untuk anak-anak.

4. Memastikan keselamatan dan risiko perlindungan

Memastikan kemudahan syarikat tidak digunakan untuk mendera, mengeksploitasi atau menimbulkan kemudaratan. Memastikan kawasan persekitaran selamat serta tidak memberi ancaman keselamatan kepada kanak-kanak, semasa atau di luar waktu perniagaan. Untuk maklumat lanjut, boleh melayari laman sesawang Unicef di www.unicef.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/02


Pisang kataifi

Posted: 02 Oct 2012 08:08 AM PDT

PENGGEMAR masakan Timur Tengah mungkin terbiasa dengan kataifi iaitu sejenis bahan yang sering digunakan dalam hidangan pemanis mulut. Ia diperbuat daripada tepung filio pastri yang dihiris halus mirip bihun kering.

Rasanya manis dan sesuai dimasak sama ada digoreng atau dimasukkan begitu saja ke dalam hidangan.

Menurut Eksekutif Chef Sous PNB Darby Park, Ashar Daud, kataifi enak dijadikan hidangan pemanis mulut seperti pisang kerana campuran yang manis dan berlemak mampu memberikan keenakan apatah lagi sekiranya digoreng rangup.

"Untuk menjadikan gabungan hidangan yang sedap, saya memilih pisang montel sebagai bahan asas. Kataifi terbabit membaluti pisang dan digoreng bagi memberikan rasa rangup, lemak dan manis. Pisang pula perlu digoreng dalam minyak penuh dan panas supaya kerangupan pisang terasa," katanya.


Untuk lebih lazat, manisan campuran sos strawberi bersama oren menambah rasa masam. Bagi mereka yang ingin menambah ais krim pada manisan, ia juga idea yang menarik malah penambahan bahan perisa terpulang pada kreativiti masing-masing.


Kataifi dijual di pasar raya besar dan cara menyimpannya perlu diletakkan di tempat sejuk bagi mengelakkan ia mudah kering.

Bagi mereka yang ingin mencuba resipi pisang kataifi, Chef Ashar menunjukkan cara mudah menyediakannya.

Bahannya:

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved