Ahad, 21 Oktober 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Advertorial: Pastikan kebersihan di rumah

Posted: 21 Oct 2012 04:20 PM PDT

SETIAP orang pasti mahukan keadaan yang bersih dan selesa apabila menggunakan tandas bukan saja di tempat awam, hospital, sekolah malah paling penting di rumah anda sendiri.

Golongan wanita terutamanya, amat risaukan kehadiran bakteria berbahaya yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit serius. Justeru, lebih baik mencegah terlebih dulu sebelum nanti terpaksa bersusah payah mencari penawar bagi mengubati penyakit berkenaan.

Atas dasar kesedaran itu, syarikat Coway (Malaysia) Sdn Bhd menghasilkan produk inovasi terkininya iaitu tandas digital berasaskan sistem bidet yang menggunakan tenaga elektrik atau bateri bagi menggantikan kemudahan tandas konvensional.

Penggunaan sistem bidet ini hanya memerlukan pengguna duduk di atas mangkuk tandas dan selepas selesai membuang air kecil ataupun besar, mereka hanya perlu menekan butang disediakan di bahagian tepi.


Butang berkenaan berfungsi mengawal kekuatan pancutan air, sumber kuasa dan pelapik tandas yang boleh menyelaraskan suhu air mengikut keselesaan pengguna.


Selepas selesainya urusan, air akan terpancut dari penyembur untuk membasuh bahagian yang kotor itu. Kaedah pembersihan buih udara berevolusi membuatkan ia membersih dengan sempurna. Penapis MF seramik perak nano yang dipasang pula memastikan air itu adalah tulen dan bersih menggunakan bebola seramik perak. Pengguna tidak perlu risau mengenai cara memasangnya kerana pekerja penyelenggaraan daripada pihak Coway akan datang ke rumah untuk memberi khidmat pemasangan dan proses itu tidak mengambil masa yang lama.

Terkini, Coway dan Harian Metro bekerjasama melalui kempen Real Women Real Voices iaitu landasan untuk wanita di negara ini untuk mencuba, berkongsi pendapat dan pengalaman mengenai pelbagai perkara seperti percubaan produk serta perkhidmatan tertentu menerusi capaian alam maya supaya dapat dijadikan rujukan kepada orang ramai.

Kempen ini memerlukan 100 wanita untuk program percubaan percuma Coway Digital Bidet. Kelayakan bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Sekiranya terpilih, anda berpeluang mencuba Coway Digital Bidet selama sebulan secara percuma. Selepas merasainya sendiri, anda boleh berkongsi pengalaman anda itu di laman sosial Facebook, https://www.facebook.com/RealWomenRealVoices.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/22


Dua kesan bahaya demam

Posted: 21 Oct 2012 01:57 PM PDT

SEPANJANG membesar, kanak-kanak sering terdedah kepada masalah kesihatan yang biasa menyerang mereka, antaranya demam, selesema, kesakitan di bahagian abdomen dan cirit-birit.

Menjadi perkara biasa sekiranya anak mengalami masalah kesihatan berkenaan kerana ia sebahagian daripada proses membesar, tetapi ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan yang cukup bagi berhadapan dengan situasi itu.

Ini kerana, pengetahuan yang cukup mengenai penjagaan kesihatan anak-anak dapat menyelamatkan nyawa mereka selain membebaskan anak daripada kesakitan yang terlalu berat untuk ditanggung.

Pakar perunding pediatrik dan kardiologi pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, yang mengulas mengenai tajuk 'Jangkitan Biasa Anak-Anak dan Imunisasi' dalam satu siri ceramah kesihatannya berkata, ibu bapa perlu faham apa yang berlaku pada kesihatan anak mereka.


Misalnya, ibu bapa perlu tahu suhu badan kanak-kanak yang normal adalah antara 36.6 hingga 37.5 darjah Celsius. Sekiranya lebih daripada paras berkenaan, ia menandakan anak mereka mengalami demam.


Katanya, suhu badan akan lebih rendah pada waktu pagi, tetapi meningkat pada penghujung hari selain memberi bacaan yang berbeza sekiranya suhu disukat pada telinga dan mulut dengan perbezaan 0.5 darjah Celsius.

"Semua ibu bapa harus mempunyai termometer di rumah supaya dapat memeriksa suhu badan sekiranya anak kelihatan tidak sihat. Jika tanya pada saya, tidak perlu termometer yang mahal, tetapi alat yang murah pun sudah memadai.

"Amat penting untuk mengesan demam kerana ia menjadi penanda simptom yang sedang berlaku dalam tubuh.

"Bagi suhu badan pada bacaan 37.5 darjah Celsius, ia sudah menandakan demam dan suhu 38.5 darjah Celsius pula menunjukkan demam yang lebih kuat," katanya.

Bagi bayi pula, mana-mana demam boleh menjadi serius dan demam yang terlalu tinggi menyebabkan ketidakselesaan.

Katanya, masyarakat sering terlepas pandang dua penyebab demam yang tinggi, iaitu ia boleh menyebabkan jangkitan di bahagian tengah telinga hingga boleh menyebabkan pekak dan jangkitan air kencing yang boleh merosakkan buah pinggang.

Apabila anak diserang demam, apa yang boleh dilakukan ibu bapa adalah memberi anak minum air yang banyak dan buka baju supaya suhu panas tidak terperangkap dalam tubuh.

Ibu bapa atau penjaga juga boleh menggunakan span atau kain yang dibasahkan dengan air paip dan ditekap pada tubuh anak untuk menarik panas keluar dari badan.

Kain yang ditekap pada badan perlu dibasahkan kembali sebaik ia mula panas dan proses diulang berkali-kali sehingga suhu badan anak menurun.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak menggunakan air sejuk atau ais kerana ia boleh menyebabkan anak menggigil dan apabila ia berlaku, badan akan bertindak balas dengan menaikkan lagi suhu yang sudah pasti membahayakan anak mereka.

Katanya, ubat yang diberi pada anak ialah ubat yang diberi doktor diambil melalui mulut atau rektal dan dilarang sama sekali memberikan aspirin.

Walaupun ibu bapa dinasihatkan supaya tenang berhadapan dengan demam anak-anak kerana dengan langkah yang betul demam dapat dikawal, tetapi ada beberapa situasi di mana anak perlu dibawa berjumpa doktor.

Situasi itu sekiranya bayi berusia di bawah enam bulan, anak mengalami sawan, demam sudah berlarutan selama dua hari, jika demam ada kaitan dengan simptom lain, anak menjadi lemah dan tidak mahu makan atau minum, leher tegang, muntah dan menunjukkan sikap tidak keruan kerana kemungkinan ia ada kaitan dengan jangkitan meningitis.

Beliau yang juga Pengerusi Program Pengasuhan Positif yang dimulakan oleh Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) berkata, selain demam, kanak-kanak juga sering mengalami selesema yang boleh disebabkan oleh 300 virus berlainan jenis.

Selesema dikenal pasti menerusi bersin, mata berair, demam rendah, batuk, keletihan dan hidung berair. Simptom ini perlu dirawat yang mana ia akan pulih dalam masa kurang seminggu.

"Perkara biasa bagi kanak-kanak untuk mengalami selesema sehingga sembilan kali dalam setahun terutama selepas memulakan persekolahan tadika atau dihantar ke nurseri.

"Selain itu, kanak-kanak juga mudah terdedah kepada batuk dan batuk bersama hidung berair yang lazimnya berlaku apabila anak diserang selesema," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa perlu mengenal pasti jenis batuk yang dialami anak mereka bagi mendapatkan rawatan bersesuaian seperti kepada bayi, batuk bersama hidung berair dan nafas pendek.

Katanya, keadaan boleh menjadi serius sekiranya batuk yang berlaku berterusan apabila ia berkait rapat dengan bronchiolitis dan asma.

"Pada masa sama, ada jenis batuk yang dinamakan nocturnal yang hanya berlaku pada malam hari dan ia dikaitkan dengan asma.

"Batuk dengan bunyi berdesing dikaitkan dengan serangan asma manakala batuk berserta pernafasan yang bising dikenali sebagai 'croup' manakala batuk berserta demam dan nafas pendek dikaitkan dengan pneumonia.

"Ada juga batuk yang datang secara tiba-tiba seperti selepas makan kacang dan ia menunjukkan alahan," katanya.

Bagi kes asma di kalangan kanak-kanak, Dr Zulkifli berkata, masalah itu menyerang kira-kira 20 peratus kanak-kanak yang berusia antara dua hingga tujuh tahun.

Asma yang mempunyai kaitan dengan batuk berdesing pada malam hari menunjukkan berlaku jangkitan virus dan inhaler akan diberikan oleh doktor bagi melegakan kesukaran bernafas.

"Ibu bapa dan penjaga perlu memainkan peranan mereka dalam menjaga kesihatan kanak-kanak supaya mereka tidak terdedah dengan elemen yang mampu mencetuskan masalah pernafasan ini antaranya tidak merokok di rumah, tidak memelihara haiwan dan elak meletakkan permaidani di rumah," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan membawa anak mereka bertemu doktor sekiranya anak mereka mengalami sakit abdomen kerana ia boleh menunjukkan satu keadaan yang sangat bahaya kepada kanak-kanak itu.

Selain itu, menurut Dr Zulkifli, anak kecil juga sering mengalami cirit-birit iaitu pembuangan najis secara kerap dan terlalu cair yang menyebabkan risiko dehidrasi.

"Kanak-kanak yang mengalami cirit-birit akan kekurangan air dan ia boleh dilihat dari mulut mereka yang kering selain kurang air mata dan kulit kering.

"Mereka perlu diberi air dalam jumlah sedikit, tetapi secara kerap dan meneruskan penyusuan susu ibu bagi bayi.

"Cara untuk mengelak perkara itu daripada berlaku adalah menjaga kebersihan diri, persekitaran, sering mencuci tangan dan tidak membiarkan susu lebih satu jam selepas dibancuh," katanya.

Menurut Dr Zulkifli, imunisasi anak bermula daripada pemberian susu ibu kerana ia membekalkan nutrien secukupnya pada bayi, bersih, selamat, steril serta mempunyai antibodi yang melindungi tubuh.

Penyusuan badan bersifat imunisasi pasif kepada bayi selain imunisasi aktif seperti suntikan yang diberi mengikut umur bersesuaian berdasarkan carta yang disediakan Kementerian Kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/22


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved