Isnin, 29 Oktober 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Nazneen...Indah curi tumpuan

Posted: 29 Oct 2012 08:43 AM PDT

DENDANGAN lagu Anak Kampung nyanyian asal Jimmy Palikat yang dimainkan oleh sekumpulan kanak-kanak menggunakan angklung melalaikan sebentar tetamu di Dewan Mess Pegawai Kanan Polis, Kangar, Perlis baru-baru ini.

Walaupun tiada sebutir bait lirik dilantunkan oleh suara mereka, aksi dan keriangan mereka semasa mengalunkan lagu itu cukup menghiburkan tetamu yang hadir.

Usai persembahan, selain dijamu dengan hidangan lazat, setiap hadirin yang hadir turut dihidangkan persembahan fesyen daripada tujuh pereka tempatan dan Indonesia bersempena Majlis Makan Malam Gala Festival Fesyen Islam (IFF) 2012, Kangar, Perlis.

Pentas peragaan sentiasa diselangi gerak langkah model yang menggayakan pelbagai jenis busana penuh warna-warni rekaan pereka yang masing-masing mempamerkan kehebatan tersendiri dengan gaya lebih agresif, berani dan segar.


Bertemakan 'Nazneen...Indah', IFF Kangar dinaungi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Abdul Rashid. Acara berkenaan dibawakan khas ke negeri itu atas jemputan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.


Sama hebat seperti IFF terdahulu, penganjurannya kali ini tetap memberi pembaharuan dan impak kepada perkembangan rekaan busana Muslimah.

Pengerusi dan Pengasas IFF, Datuk Raja Rezza Shah, berkata pihaknya amat gembira kerana diberi kesempatan mengadakan IFF di Kangar, jauh daripada kebiasaannya apabila sering diadakan di Kuala Lumpur mahupun luar negara.

"Namun, ia secara tidak langsung dapat mendedahkan masyarakat di sini mengenai kewujudan IFF serta objektif penganjurannya yang mahukan masyarakat lebih memahami keindahan Islam dengan cara lebih lembut iaitu menerusi fesyen.

"Fesyen yang diketengahkan oleh pereka menerusi IFF adalah sopan, anggun dan tidak mencolok mata selaras dengan tuntutan syarak selain ia turut mengikut perkembangan trend semasa," katanya.

Kebanyakan pereka cuba mempamerkan kreativiti masing-masing menerusi aliran budaya tempatan dan asal usul masing-masing yang digabungkan dengan pengaruh Barat.

Pereka Indonesia, Ghea Panggabean, yang terkenal dengan ketelitian rekaan, pemilihan corak, warna dan fabrik misalnya, mempunyai matlamat sendiri iaitu ingin menarik dan memperkenalkan orang ramai kepada seni tangannya yang kaya dengan ciri-ciri budaya Indonesia, tetapi tetap ranggi.

Menurut pemerhatian, rekaannya adalah campuran klasik dan moden yang terhasil melalui siluet ciptaannya pada baju. Idea itu bertepatan dengan temanya pada malam IFF berkenaan, 'Perjalanan Tekstil Purba'.

Pemilihan fabrik baldu, sifon dan crepe, mainan warna pastel serta gelap seperti merah hati mendominasi koleksinya pada malam itu.

Tidak ketinggalan, dia juga mengetengahkan rekaan Nusantara Timur yang mengambil inspirasi daripada tumbuh-tumbuhan dengan warna alam.

Hitam putih warna kehidupan. Dua warna ini juga simbolik kepada konsep ying dan yang bagi mencapai keseimbangan dinamik dalam badan. Itulah tema yang diketengahkan oleh pereka fesyen kreatif, Calvin Thoo.

Hanya menggunakan dua warna ini, ternyata rekaannya sudah cukup membuatkan tetamu terpukau. Kemasan jahitan dan perincian, penggunaan fabrik yang selesa serta bentuk potongan yang dihasilkan membuktikannya seorang pereka sebenar.

"Walaupun saya bukan beragama Islam, tetapi mempunyai ramai kenalan rapat penganut Islam dan berkesempatan mempelajari ilmu agama ini dengan mereka membuatkan saya melihat Islam itu agama yang indah.

"Pengaruh itu amat kuat dalam diri saya dan apabila menghasilkan busana perkahwinan untuk pelanggan Muslim, saya menghormati permintaan mereka yang mahu tampil sopan.

"Sempena IFF pada kali ini, saya menggunakan dua warna utama ini untuk menyatakan kesucian agama Islam itu sendiri. Rekaan yang dihasilkan pula diilhamkan menerusi keinginan saya yang tidak terbatas dalam dunia fesyen," katanya yang sudah lapan tahun menyertai IFF.

Sinonim dengan gabungan rekaan suku kaum asli Sarawak, Tom Abang Saufi atau nama penuhnya, Dayang Fatimah tidak ketinggalan memercikkan gabungan rona pastel dan terang, khususnya oren, kuning, merah, biru firus, ungu dan biru berlatarbelakangkan corak batik tenun tangan.

Reka potongan menekankan moden dan praktikal yang tidak menjejaskan gaya dan keanggunan si pemakai. Gaya potongan segar perincian kedutan dan tambahan aksesori pada dada menyuntik elemen lebih feminin.

Turut mempamerkan hasil kerja tangan mereka ialah pereka Dian Pelangi, Radzuan Radziwill, Jeny Tjahyawati dan Nor Aini Shariff.

Berpaksikan rekaan busana Muslimah, barisan pereka kreatif ini menterjemahkan cita rasa dan sentuhan mereka menerusi pelbagai fabrik daripada songket, batik tenun tangan, batik Jawa, satin dan sifon yang hadir dalam bentuk gaun labuh, kaftan, seluar panjang dan jubah abaya yang menawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved