Jumaat, 5 Oktober 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Koleksi diberi nafas baru

Posted: 05 Oct 2012 09:48 AM PDT

SEBAIK melangkah ke rumah anak muda ini, mata terus tertumpu kepada bahagian ruang tamunya yang menempatkan beberapa patung dengan busana pengantin indah membalutinya.

Rekaannya ringkas tetapi elegan. Itu yang dapat disimpulkan mengenai koleksi busana pengantin Dwen Raha, hasil tangan anak muda bernama Mohd Redzuan Abdul Rahim ini.

Perincian seperti manik, labuci dan kristal dijahit kemas pada busana berkenaan malah ia menjadi keutamaan Dwen tatkala menyiapkan setiap tempahannya.

Mahu pelanggannya berasa selesa ketika bergaya di hari bahagia sebagai pasangan raja sehari, Dwen turut mementingkan pemilihan fabrik berkualiti tinggi seperti kain sifon, renda, bridal satin, net dan kapas.


Tambah menarik, kebijaksanaannya sebagai pereka juga terserlah apabila dapat menghasilkan busana pengantin yang juga boleh digunakan untuk menghadiri majlis kasual mahupun makan malam.


Apatah lagi sekiranya potongan busana itu mengetengahkan unsur moden kontemporari yang memang digemari ketika ini.

Menurut Dwen, permintaan untuk tempahan pakaian pengantin memang menggalakkan kerana kebanyakan bakal mempelai inginkan kelainan, malah mereka juga selalunya ingin menyimpan sehelai persalinan pengantin untuk dijadikan kenangan.

"Mereka memilih rekaan ringkas tapi menarik dan boleh digayakan kembali sama ada untuk ke majlis rasmi atau perayaan.

"Selain jahitan manik, pakaian pengantin akan menjadi lebih menarik dengan tampalan renda di atas material berkualiti dalam ton kontra yang bersesuaian.
"Justeru, saya akan pastikan sentiasa mengikuti peredaran fesyen semasa terutama daripada segi pilihan gaya dan warna.

"Sedikit ilmu yang ada itu dapat membantu saya memberikan rundingan ketika pelanggan datang bersama rekaan sendiri," katanya yang menjadikan Internet, televisyen dan majalah sebagai sumber rujukan.

Gaun moden dengan tampalan renda juga menjadi pilihan digayakan sama ada pada majlis akad nikah atau persandingan. Ramai pelanggannya memilih menggunakan warna pastel seperti krim, biru elektrik, merah jambu dan ungu.

Menyoroti beberapa koleksinya, setiap helaian diberi nafas baru dan lebih fleksibel. Contohnya, menerusi kebaya peplum ala gaya primadona Saloma yang boleh digayakan dalam beberapa gaya berbeza.

Sama ada dipakai bersama kain atau seluar, ia kekal memikat dan serasi untuk semua wanita.

"Ilham menghasilkan potongan seperti ini dengan sedikit kembang pada bahagian bawah sebagai memenuhi impian wanita yang ingin tampil dalam rekaan berbeza.

"Sekurang-kurangnya mereka mempunyai pilihan bukan saja pada potongan tradisional malah anggun mengenakan busana moden yang boleh dipakai untuk acara bertema atau makan malam," katanya yang mendapat bantuan daripada isteri tercinta, Nazierah Che' Lah.

Selain itu, terdapat juga busana pengantin yang kelihatan cukup comel apabila digayakan. Ini kerana ia menggunakan kain kapas bercorak polka dot berwarna merah jambu lembut.

Di bahagian pinggang ke bawah busana itu disaluti pula kain net untuk memberikan kelainan. Pintalan kelopak bunga buatan sendiri pula dijahit pada bahagian dada dan hujung tangan. Busana dilengkapkan dengan potongan kain kembang.

Walaupun hanya menjual produknya menerusi dalam talian iaitu di laman Facebook, ia sudah cukup membuatkan Dwen tidak menang tangan kerana sambutan daripada pelanggan amat memberangsangkan.

Mampu menyiapkan sepasang baju dalam masa tiga jam saja, nyata kelebihan ini membuatkan Dwen mampu menerima tempahan daripada individu perseorangan dan juga butik pengantin.

Tidak terhenti di situ, Dwen juga berbakat dalam solekan dan turut menerima tempahan untuk tujuan berkenaan.

Terima kasih;

- Pemilik butik Dwen Raha, Mohd Redzuan Abdul Rahim
- http://www.facebook.com/dwenrahatouch
- Model: Bobo Kama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/06


Manik sumber rezeki

Posted: 05 Oct 2012 09:29 AM PDT

ORANGNYA kecil molek saja. Tidak nampak pun dia kreatif dengan kerja tangannya. Tetapi pandangan mata selalunya tidak benar dan gagal menceritakan kebenaran selagi kita tidak betul-betul mengenali seseorang itu.

Begitulah suri rumah dan ibu kepada tiga cahaya mata, Wan Atiqah Wan Nasir, 21. Wanita berwajah manis dari Perlis ini mempunyai kelebihan tidak dijangka.
Tangannya kreatif menyusun manik dan menjadikannya hasil menarik termasuk beg tangan, bekas tisu, dompet kecil dan bekas telefon bimbit.


Produk dihasilkan Atiqah tampak berlainan kerana pemilihan warnanya ceria dan corak rekaannya menjadikannya terserlah. Beg tangan manik berwarna-warni tentu saja mudah menjadi perhatian. Semuanya bermula tiga tahun lalu.

"Apabila saya dan suami menetap di Rumah Teratak Rahmat, kami dan rakan lain berbincang mengenai idea perniagaan supaya dapat membantu menampung perbelanjaan keluarga. Daripada situ, kami mendapat idea untuk memulakan perniagaan manik ini. Sebahagian daripada keuntungan disalurkan kepada rumah amal ini," katanya.

Suami Atiqah ialah warden tetap di Rumah Anak Yatim Teratak Rahmat, Perlis dan sebagai isteri, Atiqah turut membantu.

"Sewaktu rumah amal ini mula beroperasi, saya juga warden, tetapi pada tahun kedua saya melahirkan anak jadi saya berhenti sebagai warden. Sejak itu, bermulanya perniagaan manik saya," katanya.

Sebenarnya, Atiqah sudah mula belajar membuat manik ketika umurnya 12 tahun lagi. Dia mempelajarinya dengan ibu rakan sekolahnya dan akhirnya mencuba sendiri sehingga mahir. Minatnya terhadap kraf, manik dan kait mengait semakin berkembang.

"Keluarga saya sendiri terkejut dengan bakat saya dalam membuat kraf sejak kecil. Mereka beri sokongan kerana ia memang minat saya.

"Kini bagi menambah ilmu, saya membuat penyelidikan melalui Internet," beritahu Atiqah yang mendapat bekalan maniknya di sempadan Malaysia-Thailand.

Baginya, kualiti manik di sana lebih baik dan banyak pilihan, tambahan pula dia boleh berbahasa Thai, jadi ia memudahkan urusan jual beli.

Atiqah menyiapkan produk maniknya bergantung kepada tahap kerumitan sesuatu produk. Sekiranya ia membabitkan corak yang unik, ia memerlukan lebih masa kerana perlu diberi tumpuan.

Menyiapkan satu bekas tisu contohnya, Atiqah memerlukan masa sehari memandangkan tumpuan tugasnya tidak sepenuhnya pada manik tetapi dibuatnya sambil mengasuh anak-anaknya.

Pada awal pembabitan memasarkan hasil perniagaannya, Atiqah hanya mengambil tempahan daripada rakan terdekat.

"Kemudian permintaan semakin meningkat melalui mulut ke mulut dan ini memberikan saya idea untuk mempromosinya di laman sosial Facebook," katanya.

Dari sehari ke sehari, manik buatan tangan Atiqah makin mendapat sambutan. Tambahan pula pelanggan boleh menempah mengikut cita rasa mereka.

"Pelanggan boleh menetapkan warna melalui corak yang saya paparkan atau berdasarkan rekaan mereka sendiri. Tetapi jika mereka hendak memberikan rekaan sendiri, perbincangan perlu dibuat sebelum ia disiapkan," katanya.

Pelanggan Atiqah biasanya terdiri daripada peminat kraf manik serta mereka yang menempah berdasarkan upacara seperti acara pernikahan.

Dengan bakat yang ada, Atiqah sebenarnya tidak kisah berkongsi ilmu dan mengajar orang lain.

"Jika ada peluang dan kelapangan, apa salahnya. Sehingga kini saya hanya melakukannya sendirian kerana belum ada pembantu tetap," katanya.

Antara produk manik yang dibuat Atiqah ialah kotak tisu, beg duit, beg tangan, bantal, kotak pensel dan bingkai gambar. Kotak tisu dan beg tangan paling popular.

Selain itu, Atiqah juga membuat dan mengambil tempahan jahitan manik pada baju dan tudung. Selain produk manik, dia juga handal dalam bidang kerja tangan yang lain.

"Saya juga membuat produk kait antaranya baju bayi, kasut bayi, beg galas, beg duit, kain alas meja, selendang dan cendera mata," katanya.

Harga yang ditawarkan Atiqah berpatutan. Kotak tisu ditawarkan pada harga antara RM30 hingga RM50, beg manik dan beg kait antara RM8 hingga RM70 manakala kasut bayi berharga antara RM20 hingga RM30 dan baju kanak-kanak RM40 hingga RM100.

Walaupun membuat manik kini antara sesuatu yang sering dilakukannya, Atiqah tetap mendahulukan keutamaannya sebagai isteri dan ibu.

"Saya tidak ada masa tertentu untuk menyiapkan manik. Apa yang penting saya memanfaatkan masa terluang. Semuanya selepas memastikan tuntutan saya sebagai isteri, ibu dan sebahagian daripada keluarga besar Teratak Rahmat didahulukan. Saya juga mengajar anak-anak yatim di situ sekiranya mereka berminat membuat produk manik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/06


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved