Selasa, 9 Oktober 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Buat jadual sistematik

Posted: 09 Oct 2012 04:22 PM PDT

RAMAI ibu bapa mengakui mereka menghadapi masalah mengawal anak yang terlalu obses kepada rancangan televisyen serta gajet berteknologi seperti komputer riba, tablet dan telefon bimbit sehingga mengabaikan kerja sekolah dan tidak menurut nasihat ibu bapa. Ada antaranya tidak mahu makan dan mandi semata-mata memastikan mereka tidak ketinggalan menonton rancangan kegemaran mereka.

Ini mencetuskan pertengkaran apabila arahan ibu bapa tidak diendahkan manakala anak pula inginkan kemahuan mereka dituruti. Konflik ini lama kelamaan memberikan kesan negatif kepada anak. Dari sudut lain anggapan ibu bapa tidak menyayangi anak akan wujud apabila masing-masing tidak sependapat dalam mencari penyelesaian.

Menurut pakar psikologi, Robert Kubey, mereka yang ketagih menonton televisyen sebenarnya mempamerkan kelakuan yang sama seperti penagih dadah dan mempamerkan ciri-ciri seperti menonton apa saja rancangan, menonton televisyen ketika ingin tidur serta meragam dan marah apabila tidak dapat menonton rancangan pilihan mereka.

Menurut Dekan Fakulti Pengajian Awal Kanak-Kanak, Universiti Pengurusan dan Teknologi (UMTECH), Prof Madya Dr Bustam Kamri, kedegilan, keghairahan serta obsesi yang keterlaluan kepada televisyen dan gajet berpunca daripada ibu bapa itu sendiri. Pada zaman sains dan teknologi, hiburan dapat dinikmati di mana-mana dan melalui pelbagai sumber. Semuanya di hujung jari, tekan butang televisyen pelbagai program disediakan atau klik saja paparan di skrin komputer, anak dapat menonton apa yang mereka inginkan.


Namun, membiarkan anak memilih program sendiri adalah sesuatu yang kurang bijak dan membawa mereka terjebak dalam pelbagai perkara negatif. Ibu bapa diberi mandat dan kuasa bagi mengawal kecenderungan anak menonton program pilihan mereka.


"Pengawalan dalam jumlah masa menonton atau siaran pilihan terletak di tangan ibu bapa. Ibu jangan takut pada anak. Ini kerana disebabkan tidak mahu anak menangis atau mengamuk, ibu membiarkan anak menonton televisyen atau bermain permainan video menerusi komputer riba. Begitu juga disebabkan bimbang anak bising atau menyepahkan rumah, ibu membiarkan mereka menonton dalam tempoh yang panjang.

"Apabila gaya hidup sebegini dibenarkan lama kelamaan ia menjadi rutin harian dan sukar diubah. Jika berjaya sekali pun, ia mengambil masa lama," katanya.

Walaupun ibu bapa memberi alasan sibuk bekerja, sebagai ketua keluarga mereka harus bertanggungjawab dan memantau pergerakan anak. Caranya dengan mengehadkan jumlah waktu menonton atau bermain permainan video. Biasanya rancangan untuk kanak-kanak disiarkan pada waktu petang, jadi berikan masa di antara satu hingga dua jam saja menonton, selebihnya digunakan untuk membuat kerja sekolah atau bermain di padang.

Apabila ibu bapa sudah menetapkan masa, mereka tiada alasan berada di hadapan televisyen sehingga lewat malam. Malam hanya digunakan untuk mengulang kaji pelajaran dan berbual dengan ibu bapa.

"Sekiranya anak tidak mampu mengikut arahan ibu bapa, buat jadual secara lebih sistematik bermula pada waktu pagi sehingga tidur. Pastikan jadual mendapat persetujuan anak menerusi proses perbincangan," jelasnya yang meminta ibu bapa berpendirian tegas dalam setiap arahan yang diberikan.

Selain itu, bagi memastikan anak-anak menonton rancangan berkualiti dan berfaedah, jelaskan mengapa mereka hanya boleh menonton rancangan berunsurkan pendidikan dan sesuai dengan tahap usia saja. Elakkan menonton rancangan drama atau filem mengandungi unsur seks, tahyul atau keganasan. Keprihatinan ibu bapa terhadap pemilihan rancangan mampu mengawal kecenderungan menonton rancangan berbentuk hiburan atau ganas.

Dalam hal ini ibu bapa harus menunjukkan contoh terbaik kepada anak. Ini kerana sudah menjadi kebiasaan ibu menonton drama atau filem berunsur ganas bersama anak mereka. Secara tidak langsung pengawasan menonton tidak akan berjaya. Sebaliknya, jika ibu mahukan anak membuat kerja sekolah, mereka harus berada di samping anak bukannya menonton televisyen.

"Ibu bapa menjadi model terbaik kepada anak dalam semua perkara. Jangan pula menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan dia sendiri tidak betul. Ibu bapa sebaliknya perlu mengajak anak-anak menonton program televisyen yang bermanfaat seperti berita, ceramah atau rancangan motivasi atau rancangan yang sesuai ditonton bersama ahli keluarga seperti filem Melayu klasik," katanya.

Bagi memadatkan masa anak daripada aktiviti tidak berfaedah, rancang aktiviti menarik bersama mereka. Lazimnya pada waktu lapang anak gemar menonton televisyen terutama program hiburan. Jadi aktiviti yang disusun ibu bapa seperti gotong-royong atau beriadah pada waktu cuti mengelakkan anak-anak kerap menonton televisyen. Malah aktiviti ini akan lebih mengeratkan kasih sayang sesama keluarga.

Ujar Dr Bustam, ketagihan kepada televisyen boleh membawa kepada kesan kesihatan yang negatif seperti pertambahan berat badan.

"Kanak-kanak gemar makan sambil menonton. Ini secara tidak langsung akan menambah kalori yang tidak digunakan dalam badan sekali gus menambah berat badan. Menonton televisyen lebih tiga jam sehari juga meningkatkan risiko obesiti," katanya.

Selain itu kanak-kanak juga boleh mengalami gangguan mental sekiranya menonton program yang tidak sesuai. Ini kerana mereka melihat pelbagai bentuk keganasan dan seks di televisyen yang boleh menjejaskan tingkah laku serta cara berfikir.

Kesan paling buruk apabila gangguan kepada pola tidur kanak-kanak yang akan menjejaskan kesihatan mereka.

"Penonton yang terlalu obses akan berjaga semata-mata menonton program kesukaan mereka. Golongan ini sanggup menunggu dan berjaga sehingga lewat malam dan akhirnya tertidur di hadapan televisyen. Apa yang merunsingkan apabila anak lewat bangun dan tertidur di dalam kelas. Ini akan mengganggu pembelajaran mereka," ujarnya yang menasihatkan ibu bapa hanya membenarkan anak menonton televisyen satu jam sehari saja.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/09


ADVERTORIAL: Menjaga tulang sihat

Posted: 09 Oct 2012 04:14 PM PDT

YASMIN sentiasa pastikan dia melakukan senaman secukupnya dan mengambil makanan yang sihat untuk mencegah penyakit yang mengancam nyawa seperti kanser atau penyakit jantung.

"Saya hendak lihat anak-anak membesar menjadi seorang dewasa yang gembira," katanya yang mahu mengecap kebahagiaan bersama ahli keluarga.

Semasa Yasmin tergelincir ketika mengangkat kotak fail di pejabat, ketika itulah dia mengetahui dirinya tidak cukup prihatin.

"Doktor memberitahu tulang pergelangan tangan saya retak. Ia tidak sepatutnya retak pada usia seperti saya. Saat itu saya sedar berdepan dengan risiko mengalami osteoporosis pada usia muda," kata wanita berusia 35 tahun ini.


Osteoporosis adalah penyakit yang tidak disedari. Ia menyebabkan kemerosotan pada tulang dan sedikit demi sedikit akan membuatkan keadaannya semakin lemah serta rapuh.


Memandangkan satu daripada tanda paling mudah untuk dikesan ialah tulang rapuh, seseorang itu hanya akan sedar mereka mengalami osteoporosis apabila tulang mereka patah.

Bagi mereka yang berusia 50 tahun ke atas, seorang daripada tiga wanita akan mengalami masalah itu berbanding lelaki iaitu seorang daripada lima orang yang menderita kerana osteoporosis.

"Tetapi saya masih muda. Doktor memberitahu, saya masih boleh mencegah osteoporosis dan sejak itu saya mula memastikan tulang sentiasa kuat dan sihat," jelas Yasmin.

Situasi yang dialami Yasmin menunjukkan kita seharusnya mengambil berat mengenai kesihatan dan keadaan tulang untuk memastikan kesejahteraan dalam kehidupan yang berterusan.

Menjaga tulang sihat

Bagaimana kita harus menjaga tulang agar kuat dan sihat? Tulang ialah tisu hidup yang bertindak menerusi senaman dan pemakanan untuk menjadi lebih kuat.

Anda tahu yang otot akan menjadi lebih besar dan kuat apabila sering menggunakannya, begitu juga dengan tulang. Tulang akan menjadi lebih kuat dan padat apabila kita memastikan ia bekerja dan membekalkan nutrien yang betul.

Bagi tulang, 'bekerja' bermakna mengendali impak, berat badan atau lebih banyak rintangan. Terdapat dua jenis senaman yang penting untuk membina dan mengekalkan ketumpatan tulang iaitu senaman bebanan dan latihan pengukuhan otot.

Senaman bebanan

Senaman ini merangkumi aktiviti yang membuatkan anda bergerak menentang graviti ketika berdiri tegak. Senaman bebanan terbahagi kepada dua jenis iaitu berimpak tinggi dan rendah.

Senaman ini direka untuk dilakukan bersama-sama dengan program senaman bebanan. Ia tidak menggantikan keperluan untuk berjalan atau senaman bebanan lain.

Senaman bebanan berimpak tinggi membantu membina tulang dan mengekalkan kekuatannya. Contoh senaman bebanan berimpak tinggi seperti menari, aerobik berimpak tinggi, mendaki, joging atau berlari, melompat tali, menaiki tangga dan bermain tenis.

Senaman bebanan berimpak rendah juga boleh membantu memastikan kekuatan tulang dan lebih selamat bagi mereka yang tidak boleh melakukan senaman berimpak tinggi.

Sekiranya anda tidak boleh melakukan aktiviti senaman bebanan berimpak tinggi, cuba lakukan dengan menggunakan mesin latihan elips, membuat aerobik impak rendah, menggunakan mesin memijak tangga dan berjalan pantas di atas treadmill atau di luar.

Makanan sihat untuk hidup sihat

Ramai mengetahui kalsium dan vitamin D sangat penting untuk pembinaan tulang yang kuat. Tetapi kebanyakan orang tidak mengetahui bahawa kita kehilangan kalsium setiap hari apabila berpeluh atau pergi ke tandas.

Bagaimanapun, badan tidak dapat menghasilkan kalsium. Justeru, penting bagi kita membekalkan nutrisi kepada tulang.

Antara sumber baik kalsium ialah makanan daripada kalsium tinggi seperti susu dan hasil tenusu, beberapa jenis sayur-sayuran hijau dan ikan.

Hasil tenusu ialah susu rendah lemak yang mengandungi kalsium tinggi seperti Anlene, yogurt dan keju.

Sekiranya anda suka jenis makanan ini, ia antara cara mudah memperoleh kalsium yang mencukupi untuk kesihatan tulang.

Penting untuk mendapatkan kalsium yang secukupnya daripada makanan yang anda makan. Apabila makanan tidak mengandungi kalsium secukupnya untuk keperluan badan, kalsium akan diambil daripada tulang anda.

Ikan sardin dan salmon (dengan tulang) dalam tin adalah antara cara yang baik untuk mendapatkan kalsium. Anda juga boleh mendapat kalsium dengan mengambil udang dalam tin.

Selain itu, ikan berlemak seperti salmon, kembung, tuna dan sardin juga adalah sumber untuk mendapatkan vitamin D.

Beberapa kajian mengaitkan pengambilan buah dan sayur yang banyak dapat memberikan kesihatan kepada tulang mereka dengan lebih baik.

Disebabkan sumber buah dan sayur menggalakkan tulang yang sihat masih belum jelas, sesetengah saintis percaya ia sebenarnya mengandungi nutrien tertentu yang penting untuk tulang.

Bagi membantu mengekalkan kesihatan tulang, kurangkan pengambilan minuman beralkohol dan mengandungi kafein. Pengambilan minuman beralkohol yang banyak boleh mengakibatkan kehilangan jisim tulang.

Mereka yang minum terlalu banyak alkohol tidak mendapat kalsium secukupnya dan kemungkinan akan mengurangkan bekalan kalsium dalam badan.

Kopi dan teh juga mengandungi kafein. Kafein akan mengurangkan sedikit penyerapan kalsium. Justeru, pengambilannya lebih daripada tiga cawan kopi setiap hari boleh membahayakan kesihatan tulang.

Sekiranya anda gemar minum kopi dan teh, cara untuk membantu menggantikan semula kehilangan kalsium adalah dengan mendapatkan kalsium secukupnya daripada sumber terbaik bagi memenuhi keperluan badan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/08


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved