Rabu, 3 Oktober 2012

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Masih kuat bekerja

Posted: 02 Oct 2012 07:35 AM PDT

SEKILAS pandang, bagai langsung tidak mengenali siapa yang sedang menghayun langkah perlahan, mengendong beg dan berkaca mata, gayanya tidak ubah seperti seorang selebriti yang sedang sarat mengandung.

Namun makin dekat kelibatnya, seterusnya menegur bertanya khabar, wanita jelita yang berseri-seri itu adalah pelakon popular, Syazira Shuhaimi atau lebih dikenali sebagai Eira Syazira.

Tidak berdandan seperti biasa dengan susuk tubuh yang berisi, dramatis jelita yang kini sarat mengandung lima bulan ini setia hadir di Balai Berita bagi menemani suaminya juga pelakon popular, Azad Jazmin yang terikat dengan komitmen fotografi.

Terlanjur bersembang dengannya, bertanyakan khabar dan pengalaman manis mengandung anak sulung, terus jurugambar petang itu menyelaras lensa kamera ke arahnya.


Jelas wanita yang tidak henti mengukir senyum ini, ramai yang mengatakan wajahnya berseri sejak mengandung namun secara peribadi, Eira begitu bimbang akan susuk tubuhnya yang tidak lagi seperti dulu dan memikirkan proses untuk kembali langsing kemudian nanti.


"Suami dan teman-teman memang ramai yang memuji. Kononnya wajah saya bertambah ceria sejak mengandung namun sebagai seorang wanita yang begitu mementingkan soal penampilan dan berkerjaya sebagai pelakon, sudah pastinya timbul rasa bimbang juga apabila melihat keadaan diri kerana inilah pertama kali saya berisi sebegini.

"Namun itulah istimewanya menjadi seorang bakal ibu. Cuma saya perlu bersedia untuk bekerja keras bagi mendapatkan bentuk tubuh seperti sebelum ini selepas habis berpantang nanti," katanya membuka bicara.

Petang itu, pelakon berbakat besar berusia 28 tahun ini begitu bersemangat berkongsi pengalamannya sepanjang hari menjadi wanita mengandung.

Selain mengakui dilayan bagai seorang permaisuri, pelakon yang dikenali menerusi banyak drama termasuk Ku Milikmu, Embun Mutiara dan Cinta Balqis ini menyifatkan setiap saatnya kini seakan diaturkan cerita tersendiri dengan pelbagai pengalaman berbeza.

"Alhamdulillah akhirnya apa yang saya dan suami impikan sebelum ini menjadi kenyataan. Memang sejak awal kami berkahwin lagi, masing-masing tidak sabar untuk menimang cahaya mata, cuma rezeki itu lewat hadir buat kami berdua.
Justeru apabila saya dikhabarkan mengandung saja, suami adalah insan paling bahagia dan seronok sekali.

"Kini selepas mengandung lima bulan, saya merasakan hidup ini banyak berubah.
Dari seorang anak gadis yang kemudiannya mengambil keputusan untuk berkahwin, kini saya diberi pengalaman luar biasa pula dengan mengandung. Jujurnya ia memberikan saya perspektif baru sebagai seorang wanita, isteri dan bakal ibu.

"Saya bersyukur kerana diberikan seorang suami yang begitu mengambil berat mengenai diri saya, menyayangi dan begitu sensitif dengan keadaan saya. Azad tidak pernah merungut walaupun terpaksa melayan kerenah saya dan syukur kerana kami berdua memang berkongsi keserasian dan persefahaman yang sempurna sejak dulu lagi.

"Betul kata orang, mengandung akan diberikan satu perasaan luar biasa. Sukar diceritakan atau dikongsi, namun hakikatnya ia begitu istimewa dan memberikan kebahagiaan dan keharmonian dalam sanubari. Hubungan kami berdua juga kian akrab dan sukar untuk berenggang walaupun ada kalanya masing-masing berlari-lari ke lokasi penggambaran.

"Jika ditanya soal alahan atau mengidam, syukur setakat ini saya masih stabil dan sihat cuma Azad pula yang mengambil alih alahan itu. Dia yang muntah-muntah teruk dan sering kali berdepan rasa loya. Itulah bukti suami yang begitu menyayangi saya rasanya," katanya berseloroh sambil memerhati suaminya yang begitu bijak mengusik di sisi.

Tambah anak kedua daripada enam beradik juga kelahiran Kuala Lumpur ini lagi, istimewanya berbadan dua apabila rezeki mereka suami isteri tidak pernah putus dan ada saja peluang dan kepercayaan yang diberi.

Memegang kata-kata orang lama, anak yang dikandung memang memberikan rezeki.
Itu juga yang dipegang pasangan suami isteri yang berkahwin pada September tahun lalu ini.

"Percaya atau tidak, saya masih lagi berlakon hingga Ramadan yang lalu.
Sebanyak tujuh drama sempat saya habiskan termasuk yang terakhir bulan lalu, sebuah telefilem untuk stesen TV AlHijrah di samping Aqasha dan suami sendiri.
Tawaran tidak putus datang buat saya hingga niat awalnya ingin berehat sepanjang puasa tidak kesampaian kerana menyudahkan penggambaran drama.

"Mujur saya kuat dan tidak mudah rasa penat walaupun ketika itu perut sudah mula nampak membuncit. Memang saya sengaja tidak mahu memanjakan diri dan tidak mahu menjadi lesu atau lemah hingga menjejaskan rutin harian. Lantas saya masih mengemas rumah, memasak dan menguruskan hal-hal kebajikan suami.

"Namun kini selepas kandungan sudah berusia hampir enam bulan, saya memang mengambil keputusan untuk berehat seketika. Azad sendiri tidak membenarkan saya terlalu aktif kerana bimbangkan keadaan kandungan anak kami itu nanti," katanya.

Eira bagaimanapun masih sempat menghabiskan dua telefilem lagi berjudul Antara 2 Deru dan Bungkusan Leman yang akan ditayangkan di RTM tidak lama lagi.

"Kelakarnya, ada produksi yang sanggup mengubah skrip semata-mata mengetahui saya sudah mengandung ketika ini. Alhamdulillah rezeki anak kami," katanya lagi.

Pelakon yang pernah membintangi beberapa filem termasuk Bisikan Remaja, Ngangkung dan Aku Bukan Tomboy ini dijangka akan melahirkan anaknya pada Januari depan. Berdasarkan pemeriksaan doktor, pasangan yang mula menyemai cinta lebih tiga tahun sebelum berumah tangga ini akan dikurniakan seorang anak perempuan namun itu bukanlah soalnya lagi.

Mengakui suami memang idamkan seorang puteri, namun jelas Eira, apa yang lebih penting adalah kesihatan dan kesempurnaan bayi itu nanti.

"Tidak kisah lelaki atau perempuan anak itu nanti kerana apa yang penting saya doakan zuriat sulung kami itu nanti sihat. Ikutkan Azad memang dia inginkan anak perempuan supaya boleh menjadi kawan baiknya nanti namun semua itu saya serahkan pada takdir saja," katanya.

Menyentuh soal kerjaya si suaminya pula, penyanyi lagu Prasasti Cinta ini memanjat rasa penuh syukur kerana tawaran filem tidak henti buat Azad walaupun kini terkejar-kejar memantau keadaannya sepanjang hamil.

Eira yang kini berhenti seketika daripada bidang nyanyian berkata, dia dan suami bakal berduet dalam lagu berjudul Sajak Dari Hati selepas melahirkan anak nanti.

Azad pula yang baru saja mempamerkan lakonan penuh emosi dalam filem S.A.M pada Aidilfitri yang lalu, akan kembali muncul dalam filem Paku, Mamak Cupcakes dan Naga dalam tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/02


Lawak antarabangsa

Posted: 02 Oct 2012 07:12 AM PDT

LAWAK Ke Der? yang diilhamkan oleh Hans Isaac memberi dimensi baru kepada lawak jenaka tanah air dan seterusnya menaikkan imej pelawak tempatan. Lawak tidak lagi sekadar jenaka di kedai kopi atau warung, tetapi sudah mampu dipersembahkan di Istana Budaya (IB).

Dua kali dipersembahkan, Lawak Ke Der? mendapat sambutan yang cukup bagus dan penonton tak kering gusi ketawa. Nabil, Zizan dan Johan yang dilahirkan daripada program realiti Raja Lawak adalah angkatan pelawak baru yang mencetuskan idea segar. Mereka mampu menepis tanggapan ramai yang pelawak hanyalah 'penumpang' dalam industri.

Lawak Ke Der? 2 dipentaskan mulai 28 September lalu dan akan berakhir malam ini. Untuk mengetahui sejauh mana kehebatan mereka bertiga beradu 'akal' di IB, jangan ketinggalan untuk menontonnya.

Penerbit Lawak ke Der? 2, Hans Isaac bercerita kepada Wartawan RAP, NOR AKMAR SAMUDIN mengenai rahsia kejayaannya itu.

RAP: Siapa yang mengilhamkan Lawak Ke Der?

HANS ISAAC: Itu idea saya. Kira-kira 10 tahun lalu iaitu ketika saya mula terbabit dalam industri ini, saya buat persembahan Minggu Komedi Malaysia di Actor Studio yang terletak di Bangsar. Waktu itu studio berkenaan kecil saja hanya boleh memuatkan 260 orang. Saya usahakan seorang diri, tetapi waktu itu semua lawak dalam bahasa Inggeris. Sehingga sekarang pun saya suka menyisipkan elemen lawak dalam setiap produk yang diterbitkan syarikat saya.

Apabila mula berfikir mahu membuat pementasan Lawak Ke Der? ini, saya berbincang dengan Harith Iskandar dan atas sokongan serta persetujuan kawan-kawan, lahirlah projek ini. Orang yang terawal saya cari untuk menjayakannya adalah Nabil Raja Lawak kerana saya perhatikan dia seorang yang kuat bekerja dan berdisiplin. Kemudian saya panggil Zizan dan tampil pula Johan.

Selepas pasukan yang saya mahukan ada sudah lengkap, kami berbincang lagi untuk mencari nama persembahan ini. Keluarlah beberapa nama dan saya terfikir untuk menamakannya, Lawak Ke Der? kerana ada kala bila kita buat lawak, orang akan tanya lawak sangat ke?

Semua ilham saya datang ketika mahu melelapkan mata kerana saya orang yang susah nak tidur. Selagi mata tak terpejam, selagi itulah saya terus berfikir nak buat apa dan apabila dapat idea, terus tulis dalam buku yang memang sentiasa ada di atas meja kecil sebelah katil saya. Esok pagi, sebaik saja bangun, saya akan teliti semula idea yang saya tulis malam tadi.

RAP: Pada persembahan Lawak Ke Der? yang pertama awal tahun ini, timbul cerita kononnya ia 'merampas' satu lagi projek yang dikatakan berkonsep sama?

HANS ISAAC: Saya tak tahu pasal orang lain. Saya buat persembahan di IB kerana mereka yang minta kerana ketika itu satu produksi dari luar negara tarik diri pada saat akhir, jadi slot itu kosong. Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani bertanya kepada semua produksi sama ada mereka berminat untuk mengisi kekosongan slot itu, tetapi mereka tak sanggup kerana masa yang ada hanya tiga minggu saja. Apabila saya berjumpa dengan Juhari, dia bertanya kepada saya berminatkah untuk mengisi slot itu? Oleh kerana idea sudah ada, saya pun berbincang dengan kumpulan saya dan mereka kata boleh. Maka Lawak Ke Der? pun dipentaskan buat kali pertama dan sambutannya sangat baik.

Mungkin ada produksi lain juga mahu membuat persembahan lawak, tetapi mungkin dengan cara yang lain. Industri kita terbuka kepada sesiapa nak buat apapun.
Saya tak pernah curi idea orang lain. Cuba tengok, berapa banyak syarikat filem yang menerbitkan filem seram, tetapi masing-masing mempersembahkannya dalam pelbagai bentuk jalan cerita. Sama juga dengan filem cinta. Apabila filem itu berjaya, produksi yang lain akan ikut, tetapi menggunakan garapan yang berbeza dan ada yang mendapat sambutan ada juga yang gagal di pasaran. Jadi tidak timbul saya menceduk idea orang.

RAP: Dua kali persembahan, sambutan sangat bagus. Apakah resipi kejayaan Lawak Ke Der?

HANS ISAAC: Idea Lawak Ke Der? berkonsep antarabangsa. Ia tiada format dan lebih kepada 'stand up' komedi. Di merata dunia orang dah buat konsep lawak sebegini, tetapi di Malaysia belum lagi. Persembahan ini berjaya kerana ia dijayakan oleh pelawak terbaik dan paling popular di Malaysia. Mereka yakin untuk berlawak. Nabil misalnya, dia dapat banyak idea daripada Harith. Mereka banyak berkongsi idea. Kami semua bekerja berpasukan dan saling melontar serta meminjamkan idea, barulah boleh berjaya.

Masalahnya di Malaysia, ramai yang rasa dia lebih popular daripada orang lain dan tak mahu bekerjasama. Orang macam inilah yang akan cepat 'jatuh' dalam industri. Sebab itu dalam pasukan saya, kalau sudah ada orang yang merasakan dia sangat popular, saya rela lepaskan dia 'pergi'. Menyimpan orang seperti itu bagaikan menyimpan penyakit dalam produksi. Untuk Lawak Ke Der? saya mencari pelawak yang matang dan tidak dinafikan sekarang pelawak adalah artis yang paling popular.

RAP: Akan adakah Lawak Ke Der? yang ketiga?

HANS ISAAC: Dalam Lawak Ke Der?, saya sudah pun beri 'sedikit' kepada penonton dan saya akan kembangkan idea. Sebaik selesai saja persembahan ini malam esok, saya akan mengadakan sidang media untuk mengumumkan projek baru. Ia adalah projek yang lebih besar daripada Lawak Ke Der? Sama ada sekali lagi saya akan melangkah ke pentas IB, tunggu pengumumannya nanti.

RAP: Adakah projek itu nanti akan mengekalkan pelawak yang sama?

HANS ISAAC: Ada yang dikekalkan, yang lain-lain itu saya masih memikirkannya. Bukan saya tidak yakin dengan pelawak lain, tetapi ramai yang hanya terikut-ikut menjadi pelawak dan akhirnya jenaka mereka tidak menjadi.

Baik Nabil atau pun Jozan (Johan dan Zizan), mereka dilahirkan menerusi program Raja Lawak terbitan Astro, tetapi bukan semua yang menjadi peserta program realiti itu boleh berlawak. Ada yang sekadar terikut-ikut dan bila habis program, entah ke mana mereka pergi. Samalah juga dengan pelajar Akademi Fantasia, beberapa orang saja yang berjaya dan yang lain tak nampak muka. Ada berkahwin dan ada yang mencari pekerjaan tetap semula. Bukan Raja Lawak dan Akademi Fantasia saja, mana-mana program realiti yang dianjurkan oleh stesen TV lain pun sama.

RAP: Desas-desus bertiup kencang kononnya hubungan baik anda dengan Ketua Pengarah IB memberi laluan mudah kepada anda untuk ke IB?

HANS ISAAC: Memang kami berkawan baik, tetapi kalau tiba soal kerja, dia serius. Sebagai kawan, saya kena faham waktu bekerja dan waktu santai. Kalau buat salah, saya tetap dimarahi dan setiap kali pementasan bukannya percuma.
Saya sewa beratus-ratus ribu ringgit kepada IB. Dalam soal kerja, saya dilayan sama seperti produksi lain.

Sebagai ketua, dia kena membuat keputusan secara profesional untuk kebaikan industri dan budaya. Mungkin saya dalam suasana yang berbeza dengan penerbit lain kerana apabila saya merancang untuk menjalankan sesuatu projek saya sudah ada duit sendiri tanpa perlu menunggu duit penaja atau pun dana kerajaan.

Setiap projek, saya rancang selama tiga tahun dan pastikan duit ada dulu barulah saya menjalankannya. Kebanyakan produksi bila projek dah nak jalan, baru nak cari duit. Sebab itu saya tiada masalah untuk membuat pementasan di IB walaupun masa diberikan pendek kerana saya sudah ada duit.

RAP: IB memperjuangkan budaya dan relevankah Lawak Ke Der? masuk ke 'istana'?

HANS ISAAC: Lawak juga adalah sebahagian daripada budaya kita. Sejak zaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee, dia buat filem komedi. Sudah berpuluh-puluh tahun lawak jenaka 'hidup' dalam budaya kita. Saya mahu tengok pelbagai budaya dan tradisi dipentaskan di IB.

RAP: Berikutan sambutan hebat, adakah Lawak Ke Der? bersambung lagi?

HANS ISAAC: Cukuplah enam hari saja kerana akan umumkan projek baru.

RAP: Cerita peribadi, ada kejutankah?

HANS ISAAC: Tak ada apa-apa yang 'mengejutkan'. Saya gembira dengan apa yang ada sekarang. Sudah terlalu banyak fokus pasal peribadi, saya mahukan menghentikannya dan beri tumpuan pada kerja.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/02


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved