Isnin, 5 November 2012

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Bunuh guna bantal

Posted: 04 Nov 2012 02:00 PM PST

SUNGAI BESAR: Seorang remaja mengalami detik amat menyedihkan apabila melihat sendiri neneknya ditekup dengan bantal hingga mati oleh dua perompak yang menceroboh rumah mereka di Kedai Luar Bandar, Jalan Parit 6 Timur, di sini, awal pagi semalam.

Mohammad Hafizul Azwan Mohd Aznan, 17, yang turut ditumbuk dan diacukan parang oleh dua penjenayah terbabit berkata, sebelum itu neneknya, Sadariah Tubasar @ Ahmad, 65, diikat dengan tali rafia manakala mulutnya ditekup dengan tuala. "Walaupun diikat, nenek tetap melawan dan menjerit menyebabkan suspek panik lalu seorang daripada mereka mengambil bantal dan menekup muka nenek. Beberapa minit kemudian, nenek lemah dan tidak lagi bersuara," katanya.


Mohammad Hafizul berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 pagi ketika dia dan neneknya nyenyak tidur di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.

Menurutnya, seorang daripada lelaki itu menghempap tubuhnya sebelum tangan dan kakinya diikat menggunakan tali rafia.


"Saya juga ditumbuk beberapa kali dan diacukan parang supaya tidak melawan. Mereka mengarahkan saya membantu mereka menggeledah bilik nenek.


"Selepas berjaya mendapatkan wang tunai dan barang kemas milik arwah nenek, mereka tergesa-gesa meninggalkan rumah melalui pintu belakang," katanya sewaktu ditemui, semalam. Mohammad Hafizul berkata, kejadian menimpa arwah neneknya menyebabkan dia lebih tertekan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Noor Mushar Mohammad berkata, polis menerima panggilan kira-kira 5.30 pagi dan sejurus tiba di tempat kejadian, mayat mangsa ditemui dalam keadaan telentang di ruang tamu rumah.


Noor Mushar berkata, siasatan awal mendapati tiada kecederaan lain di badan mangsa kecuali sedikit pendarahan di mulut dipercayai akibat diikat dengan kuat menggunakan tuala dan sewaktu berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek.

"Siasatan awal mendapati suspek melarikan wang tunai RM500, barang kemas dan sebuah beg tangan mangsa didapati hilang. Nilai keseluruhan kira-kira RM2,000," katanya.


Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, di sini, untuk bedah siasat dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Tangki ‘muntah’ api

Posted: 04 Nov 2012 02:00 PM PST

KOTA BHARU: Laungan Allahuakbar berulang-kali mengiringi suasana cemas di sebuah kilang tayar yang tidak lagi beroperasi di Kawasan Perindustrian, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, selepas sebuah tangki minyak pelincir terpakai berkapasiti antara 16,000 hingga 25,000 liter meletup sehingga 'memuntahkan' minyak bersama api dan membakar anggota bomba yang cuba memadamkan kebakaran di kilang berkenaan.

Kilang itu yang ditawarkan untuk dijual pada harga RM5 juta pada mulanya terbakar pada jam 8 pagi sebelum anggota bomba tiba pada jam 8.11 pagi, namun ketika menyudahkan tugas memastikan api di tangki berkenaan padam sepenuhnya setengah jam kemudian, minyak dari tangki itu memancut meletuskan api setinggi lebih 30 meter dan membakar beberapa anggota bomba yang berada berhampiran tangki berkenaan.


Akibatnya, tercetus suasana kelam-kabut apabila ada anggota bomba terbakar bersama pakaian dan ada pula yang berlari, berguling sebelum terbaring.

Seramai 10 pegawai dan anggota bomba cedera termasuk seorang anggota bomba wanita dengan lima daripadanya parah selepas melecur di muka dan badan. Sekumpulan wartawan dan jurugambar turut bertakbir apabila berdepan detik cemas kerana kejadian itu berlaku hanya beberapa meter dari tempat mereka berkumpul.


Malah, Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman yang turun padang turut memberi pertolongan kepada anggotanya yang cedera.


Antara yang parah ialah tiga pegawai bomba, Pegawai Bomba Kanan 1 (PBK1), Abdullah Din Mohd, 55, dan Pegawai Bomba Kanan II (PBKII), Nazah Nafi, 43 yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, manakala seorang lagi, PBKII, Wan Asri Wan Yaacob, 53, dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Mangsa melecur di muka, tangan serta badan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.


Seorang anggota bomba, Mahusin Hassan, 45, bersyukur kerana api hanya membakar baju khas memadam kebakaran yang dipakai, namun sayu melihat rakan setugas yang melecur akibat terbakar.

Katanya, mereka tidak menyangka tangki minyak berkenaan meletup sehingga api menyambar anggota bomba.


"Ketika kejadian saya berehat dan berada 50 meter dari tangki berkenaan selepas memadamkan kebakaran di beberapa bahagian lain. Tiba-tiba saya terdengar letupan dan apabila menoleh ke belakang, saya lihat api seperti menyambar dan mengejar dari belakang.


"Saya bingkas bangun untuk melarikan diri sebelum menyedari api menyambar belakang baju khas memadam kebakaran. "Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya melihat beberapa anggota yang berguling-guling di atas tanah bagi memadamkan api di pakaian mereka dan ada yang melecur di muka, badan, dan tangan sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa.


Dalam pada itu, saksi kebakaran, Nadzri Noor, 37, yang juga pemilik kedai makan berhampiran kilang tayar itu berkata, dia menyedari berlaku kebakaran selepas melihat kepulan asap tebal bersama api menjulang tinggi sebelum terdengar letupan.


"Saya melayan pelanggan sebelum terlihat kepulan asap dan terkejut apabila terdengar beberapa letupan. "Walaupun jarak kedai dan kilang kira-kira 100 meter, saya dapat rasa bahang apinya," katanya.


Sementara itu, Azmi berkata, sebanyak lima jentera dan 39 pegawai serta anggota bomba dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan Katanya, pihaknya berdepan masalah tekanan air, sekali gus menyukarkan operasi memadamkan kebakaran selain perlu menggunakan buih untuk memadamkan api yang berpunca daripada minyak.


"Lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Kota Darulnaim dan Tunjung dikejarkan ke tempat kejadian, malah kami juga meminta bantuan tambahan selepas letupan yang mencederakan 10 anggota bomba berlaku.


"Kami masih menyiasat punca kejadian dan anggota yang cedera dihantar ke HUSM dan HRPZ II," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved