Rabu, 14 November 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Tekankan teknik pembayang

Posted: 14 Nov 2012 02:50 PM PST

PEMAKAIAN mekap yang sempurna dipengaruhi pelbagai faktor. Bagi mereka yang memiliki raut wajah cantik, mudah saja menonjolkan kelebihan mekap digayakan.

Namun, bagi mereka yang berasakan diri kurang 'sempurna', penggunaan mekap mungkin juga dianggap sesuatu yang membazir.

Apapun, sesiapa saja boleh mengenakan mekap jika menggunakan teknik pemakaian mekap yang betul kerana ia boleh menyembunyikan segala kekurangan.

Justeru, antara teknik yang paling ditekankan ketika bermekap ialah pembayang (shading) kerana sekiranya ia disapukan dengan betul, bentuk wajah bulat kelihatan lebih tirus disebabkan ilusi penggunaan teknik terbabit.


Teknik pembayang ini juga digunakan untuk menonjolkan ilusi hidung lebih mancung. Secara umumnya, teknik ini biasanya digunakan untuk memperbaiki kekurangan bahagian sedia ada pada wajah.


Cara melakukan teknik ini cukup mudah, tetapi harus diingat, jika dilakukan dengan cara yang salah, ia mungkin memberi kesan kurang menyenangkan pada gaya mekap.

Perkara asas yang perlu dipertimbangkan ialah warna pembayang iaitu warnanya lebih gelap daripada warna kulit. Untuk membuatkan muka kelihatan tirus, ia perlu disapu di bahagian bawah tulang pipi.

Untuk menonjolkan bahagian hidung pula, pembayang perlu disapu pada tepi tulang pipi kiri menggunakan gerakan dari atas ke bawah di kiri dan kanan sebelum diratakan.

Tip asas teknik solekan:

  • Perlu memiliki beberapa bahan asas solekan seperti bedak asas, pembayang mata, maskara/ pensel liner/ penggaris cecair, pemerah pipi serta gincu.
  • Apabila ingin mengenakan mekap pastikan wajah bersih bebas daripada peluh dan minyak bagi mengekalkan mekap untuk tempoh lama.
  • Pilih bedak asas bersesuaian dengan kulit antaranya bedak dwi guna, bedak padat, bedak cair serta bedak jenis krim.
  • Elakkan sapuan dengan gerakan ke bawah. Sebaiknya gunakan gerakan sapuan menghala ke atas atau ke luar bagi memberikan kesan penggayaan mekap kelihatan lebih muda.
  • Elakkan gaya mata smokey bagi mereka yang memiliki bentuk mata besar kerana ia membuatkan wajah kelihatan lebih garang.

    Terima kasih:

  • Butik Pengantin Tressour Collection Sdn Bhd
  • 21-2, Jalan Dataran Selayang 1, Dataran Selayang, Batu Caves
    Selangor
  • www.tressour.blogspot.com l www.tressourcolection.com l Facebook - www.facebook.com/tressour
  • Model: Nadia Baharudin.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/14


  • Bertudung pada usia 40 tahun

    Posted: 14 Nov 2012 06:23 AM PST

    "SAYA pakai tudung pada usia yang agak lewat, 40 tahun dan saya tak rasa bangga pun dengan hakikat itu. Sangat menyesal, mengapalah saya tak pakai awal lagi?"

    "Apabila dikenang-kenang, mengapa ramai yang mengatakan memakai tudung perlu persediaan dan bermacam alasan? Hakikatnya, itu bukanlah penting sangat selagi kita takutkan Allah!" kata Khamisah Mohd Nazri, 42, anak ketiga daripada empat beradik.

    Apabila melakukan perubahan, baginya pelbagai pula penerimaan orang. Ada yang menyokong, ada yang menyindir, malah tidak kurang mempersoalkan tindakannya.
    "Selalunya saya gelakkan saja. Kata-kata seperti, 'Aii, labuhnya tudung', 'Berjubah nampak' dan 'Berbaju labuhkah sekarang?' memang sering didengar," katanya.

    Kata-kata itu mungkin keluar kerana mereka melihat perubahan pada diri Khamisah daripada segi penampilannya.

    "Apapun, saya terima saja kerana saya sendiri baru mengubah diri dan biar Allah yang menilai diri saya, bukannya manusia. Apa yang penting kita berusaha menjadi insan yang lebih baik," katanya mengenai penerimaan orang terdekat setelah dia berubah memakai tudung dua tahun lalu.

    Apabila mula bertudung, Khamisah berasa dia perlu serius melakukannya.

    "Kawan-kawan saya ramai yang membimbing. Apabila melihat pakaian saya tidak sesuai dengan imej bertudung, mereka tegur. Saya mengikut perkara yang baik.

    "Saya labuhkan sedikit tudung, begitu juga baju. Baju yang menampakkan punggung saya tak pakai kecuali di rumah sendiri. Baru-baru ini saya jumpa kawan lama, dia merenung pakaian saya yang labuh daripada biasa dan bertanya, labuh nampak," kata Khamisah sambil tergelak.

    Ada cerita sebenarnya di sebalik pemakaian tudung Khamisah kerana ia berlaku di New Delhi, India pada Ramadan dua tahun lalu.

    "Kawan-kawan yang banyak memberi kesedaran kepada saya. Mereka tak jemu menyuruh saya bertudung. Saya sangat berterima kasih pada mereka kerana ikhlas membimbing saya.

    "Ada yang sentiasa berikan tudung sebagai hadiah. Saya sendiri meletakkan azam mahu memakai tudung pada 1 Ramadan walaupun ketika itu di New Delhi. Bayangkan, pergi tak pakai tudung, balik pakai tudung.

    "Tak kira di mana pun kita semasa mahu berubah. Bunyinya macam kelakar sebab ia berlaku di India. Selalunya orang berubah bertudung selepas balik umrah, ini selepas balik bercuti di India," kata Khamisah.

    Orang yang paling gembira dengan perubahan Khamisah tentu saja ibunya sendiri.

    "Emak sayalah yang sangat gembira kerana saya bertudung. Keluarga yang lain tak tahu pula sebab mereka tak pernah cakap. Saya hanya empat beradik dan hanya saya seorang yang tidak berkahwin. Masing-masing ada keluarga sendiri dan boleh dikatakan saya berdikari," katanya.

    Mula berhijab pada usia 40 tahun dan di New Delhi bukan satu saja hijrah Khamisah. Satu lagi keputusan diambilnya untuk berhenti kerja.

    "Saya tidak pernah bekerja di tempat lain kecuali di tempat kerja saya itu iaitu di sebuah kilang antarabangsa selama 23 tahun. Daripada operator biasa, saya menjawat jawatan terakhir di bahagian pentadbiran. Pada Jun 2012, saya mengambil keputusan berhenti kerja," katanya.

    Keputusan berhenti kerja bukanlah diambil dalam masa sehari dua, tetapi Khamisah sudah memikirkan sedalam mungkin mengenai keputusannya itu.

    "Apabila kita bekerja terlalu lama memanglah kita rasa sebati dengan tempat itu, tetapi sebenarnya jauh di sudut hati kita juga mahu membuat perkara lain.

    "Disebabkan terikat dengan waktu kerja, saya sukar melakukan perkara baru lalu setelah berfikir panjang, saya mengambil keputusan berhenti saja. Lagi pun, rezeki Allah luas dan saya memikirkan mahu berniaga kecil-kecilan saja bagi menampung diri sendiri," katanya.

    'Sesuatu yang lain' dimaksudkan wanita ini ialah melakukan kerja kebajikan kecil-kecilan yang dilakukan bersama rakan-rakannya.

    "Kawan-kawan yang mendorong saya ke arah itu. Apabila sudah mula terbabit dalam bidang ini, entah kenapa tak boleh berpatah balik. Usaha yang saya lakukan bersama kawan-kawan boleh dianggap usaha kecil saja.

    "Kami membantu golongan yang memerlukan sedaya mungkin seperti membantu mengumpul dana bagi membeli barangan dapur orang yang susah, membeli susu untuk ibu tua yang sakit, mengumpul dana untuk anak yatim dan memberi makan gelandangan kota.

    "Ia tidaklah besar mana pun, tetapi sedikit sebanyak memerlukan komitmen dan pengorbanan masa. Jadi sekarang kerana mempunyai masa kerja yang saya tentukan sendiri, perkara tadi lebih mudah diusahakan," katanya.

    Terkini, Khamisah dan rakan-rakannya mengumpul dana hari raya bagi tahun hadapan untuk anak-anak yatim.

    "Kami mahu bermula awal supaya tidak terkocoh-kocoh kelak. Lagi pun sekarang saya turut mengusahakan program Kembara Buku ke seluruh Malaysia jadi masa perlu dirancang dengan baik," katanya yang boleh dihubungi menerusi e-mel khamisahnazri@gmail.com

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/14


    Kredit: www.hmetro.com.my

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved