Ahad, 18 November 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Bootcamp ‘bekalan’ takluk gunung

Posted: 18 Nov 2012 05:50 AM PST

DUA tahun lalu ketika pertama kali membaca artikel mengenai bootcamp di akhbar, memang saya teruja. Sayangnya, keterujaan itu tidak bertahan lama kerana saya langsung tidak ambil tahu saat helaian akhbar itu sudah tiada di depan mata.

Tetapi apabila seorang kenalan rapat sering bercerita mengenai sesi bootcamp yang disertainya dua kali seminggu, saya kembali teruja dan terus mendaftar di Original Bootcamp.

Sewaktu mahu melangkah ke sesi pertama saya pertengahan tahun ini, memang saya agak gementar. Saya tidur awal, juga bangun awal pagi kerana mahu menyempatkan diri menjamah minuman bergel yang biasa saya ambil untuk menambah tenaga.

Bimbang juga jika saya tidak berdaya atau jatuh pengsan, tentu memalukan. Saya memang tidak tahu apa yang menanti di sesi bootcamp pertama saya di kawasan berumput pada jam 7 pagi di Taman KLCC itu.


Teruja melakukan semua rutin sedaya upaya apatah lagi melihatkan rakan lain yang semuanya cergas belaka, kira-kira setengah jam kemudian saya tersadai di bawah pokok tidak jauh daripada teman lain yang masih asyik meneruskan rutin senaman.


Saat itu saya melihat semua benda berpusing-pusing dan saya seolah-olah mahu pitam!

Hampir 10 minit juga saya terduduk di bawah pokok itu sambil mententeramkan perasaan. Dalam diam, saya tabik benar melihat kecergasan rakan lain yang tidak seramai mana itu. Bagaimana agaknya mereka boleh bertahan dalam sesi senaman yang rutinnya tidak henti-henti itu? Dibenarkan berhenti pun paling lama hanya seminit untuk menarik nafas dan meneguk air.

Ikutkan hati pagi itu, rasa mahu duduk saja di bawah pokok hingga akhir sesi, tetapi melihatkan sarjan berbaju merah dan rakan lain yang masih tekun meneruskan rutin senaman, saya sertai mereka semula sehingga tamat sesi pagi itu pada jam 7.45 pagi.

Menurut sarjan berbaju merah yang nama penuhnya, Faizal Ariff Abdullah atau dikenali sebagai Sarjan Faizal semasa sesi latihan, rasa pening seperti mahu pitam yang saya alami itu sebenarnya perkara biasa jika badan kita tidak biasa dengan rutin senaman berintensiti tinggi.

Memang saya langsung tidak biasa melakukan rutin bertubi-tubi begitu. Paling ekstrem pun berlari perlahan selama setengah jam atau berjalan kaki mendaki bukit, tetapi bukannya melakukan pelbagai rutin senaman berselang-seli dan berulang kali begitu.

Selesai sesi pertama dan kedua minggu itu, kesan paling ketara ialah sakit badan. Rasanya seolah-olah tiada otot yang tidak sakit sehingga hujung minggu itu.

Apapun, minggu kedua dan minggu berikutnya, keadaan semakin baik. Tiada lagi pening atau sakit badan keterlaluan.

Ini sudah bagus. Bermakna, badan saya tidaklah lemah seperti sebelum ini.
Secara peribadi, saya sangat berasa kelainannya sewaktu mendaki Gunung Kerinci (ketinggian 3,805 meter) di Sumatera, Indonesia kira-kira sebulan lalu.

Jika tidak kerana rutin menguatkan beberapa bahagian badan seperti tekan tubi dan plank (posisi tekan tubi, tetapi menampung badan menggunakan sebahagian lengan), mungkin saya kurang upaya menempuh beberapa kawasan agak mencabar di gunung itu.

Bayangkan selama satu jam sebelum tiba ke tapak perkhemahan, hanya alur tanah serta akar dan dahan pokok di depan mata. Memandangkan alur terlalu sempit untuk diredah, akar dan dahan itu saja tempat utama berpaut. Di situlah kekuatan lengan sangat diuji.

Ketika mahu mendaki ke puncak semasa dinihari, otot kaki pula banyak memainkan peranan, juga stamina untuk meneruskan saki baki perjalanan semata-mata mahu menatap terbit matahari di tanah paling tinggi Kerinci itu.

Ingat lagi pengalaman saya di Gunung Rinjani, Lombok setahun lalu. Bentuk muka bumi gunung itu ketika mahu menghampiri puncak hampir serupa saja dengan Kerinci, tetapi saya tidak lupa betapa lelahnya saya mendaki permukaan batu kerikil itu.

Di Kerinci pula, alhamdulillah pendakian tidak begitu sukar kerana saya pasti, kekuatan kaki dan stamina saya saat itu jauh lebih baik berbanding setahun lalu.

Bukan sekadar menambah kecergasan, bootcamp membuatkan saya menyedari beberapa perkara yang saya sendiri tidak terfikir berupaya untuk melaksanakannya.

Tekan tubi - rutin yang saya anggap sangat susah sejak di bangku sekolah lagi, sudah mampu saya lakukan. Jika dulu, saya sering bimbang ditimpa sakit bahagian belakang badan serta lenguh menyakitkan di betis dan paha setiap kali berlari 10 kilometer tetapi kini, diminta berlari untuk jarak itu tanpa latihan pun saya sanggup kerana saya tahu badan saya lebih bersedia.

Langsung tidak terlintas di fikiran sebelum ini, saya mampu mendisiplinkan diri bangun pagi. Jam 5.15 pagi saya sudah terjaga, bersiap sebelum mula meredah Lebuhraya Persekutuan untuk berada di Taman KLCC sebelum jam 7 pagi, dua kali seminggu.

Ini bulan kelima saya membiasakan diri dengan rutin bangun di awal pagi dan saya tahu, selagi kepuasan bersenam di pagi-pagi buta itu belum pudar, selagi itulah saya kuatkan semangat untuk ke bootcamp saban minggu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


Sarapan baik untuk tubuh sihat

Posted: 18 Nov 2012 05:26 AM PST

SEBAIK bangun daripada tidur setiap pagi, apakah yang kita harapkan? Tidakkah kita ingin bangkit daripada katil sepantas kilat, menggerakkan enjin tubuh dan menyempurnakan kerja dengan cekap dan produktif?

Sarapan yang segar akan menentukan mood dan prestasi seharian. Sarapan bukan saja penting untuk tubuh menyerap nutrisi selepas lapan jam berpuasa ketika tidur, malah sarapan yang baik membolehkan minda cerdas sepanjang hari. Ingat, 'Orang yang lapar ialah orang yang goyah!'

Apakah yang dimaksudkan dengan sarapan yang 'baik'? Sarapan yang 'baik' ialah gabungan karbohidrat, protein, serat, vitamin, garam mineral dan air. Kurangkan pengambilan minyak, gula dan garam serta jangan lupa mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan untuk mencegah penyakit dan menjaga kesihatan.

Mengenai keperluan nutrisi untuk tubuh, karbohidrat adalah sumber tenaga utama. Karbohidrat yang dicernakan menjadi glukosa (gula darah) akan membekalkan tenaga untuk sel, tisu dan organ serta digunakan untuk tenaga fizikal. Sememangnya karbohidrat menjana kuasa seharian.


Protein pula adalah blok binaan yang diperlukan oleh tubuh. Ia menambah rasa

'kenyang', justeru mengurangkan kelaparan di pertengahan pagi. Telur ialah pilihan protein yang bijak sebagai sarapan kerana telur mempunyai semua sembilan asid amino yang diperlukan tubuh.

Tahukah anda sebiji telur besar hanya mengandungi 75 kalori dan 212 miligram kolesterol dan enam gram protein berkualiti tinggi?

Sumber serat, vitamin, garam mineral dan air mudah didapati dalam buah-buahan atau sayur-sayuran. Penyelidikan perubatan mendapati segelas jus oren setiap hari boleh meningkatkan kolesterol baik yang begitu penting untuk jantung. Di samping itu, sumber kalium yang boleh didapati daripada jus boleh mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dan strok. Jus ialah pilihan yang jauh lebih baik daripada air.

Kajian juga mendapati orang yang bersarapan lebih cenderung untuk makan buah-buahan dan sayur-sayuran tabiat yang baik dituruti pula dengan tabiat yang baik.

Jika kita sering menikmati sajian sarapan yang baik, kita lebih cenderung untuk mengurangkan pengambilan kalori seharian. Dengan ini, tidak hairanlah berat badan dapat dikurangkan. Di samping itu, kita juga dapat mengekalkan kesihatan keseluruhan, meningkatkan mood, daya tumpuan dan kecerdasan.

Kebaikan sarapan pagi sememangnya tidak terhingga. Kanak-kanak yang bersarapan menampilkan prestasi dan daya tumpuan yang lebih baik di sekolah.

Menerusi kombinasi pemakanan yang betul, tenaga kognitif dan keupayaan kanak-kanak dapat dipertingkatkan. Sarapan yang baik juga membekalkan 25 peratus nutrisi penting yang diperlukan untuk kanak-kanak sedang membesar selain mewujudkan tabiat hidup yang baik dan sihat.

Kepentingan sarapan memang ketara tanpa mengenal umur. Apabila kita memulakan hari dengan sarapan yang segar setiap hari, ini bermakna kita menyediakan tubuh untuk memulakan hari baru dan memberi peluang kepada tubuh untuk mencapai apa-apa yang diingini.

Mulakan hari dengan gaya hidup yang sihat, penuh semangat, sikap positif dan senyuman ceria, hanya dengan sarapan yang segar.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved