Selasa, 20 November 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Bukan hanya tegah tapi awasi

Posted: 20 Nov 2012 06:09 AM PST

KEDATANGAN cuti sekolah pasti ditunggu-tunggu anak-anak dan ibu bapa kerana pada masa inilah, pelbagai aktiviti boleh dilakukan bersama keluarga. Namun, dalam keghairahan menikmati percutian, kadangkala ibu bapa terlupa kepada langkah keselamatan yang perlu dipertingkatkan supaya cuti yang sepatutnya menjanjikan kegembiraan tidak bertukar kepada perkara menyedihkan.

Bagi ibu bapa yang meninggalkan anak-anak bersama pembantu rumah, seharusnya mereka memastikan kawasan persekitaran berada dalam keadaan selamat. Ini boleh dilakukan dengan membuat operasi mengemas rumah untuk mengenal pasti dan menghapuskan segala ancaman dan bahaya seperti peralatan tajam, barangan elektrik dan kaca yang perlu disimpan di tempat tertentu. Tanpa sedar, barangan ini boleh mengundang bahaya kepada anak-anak terutama apabila mereka dibiarkan bersendirian di rumah.

Menurut perunding keluarga yang juga Pegawai Eksekutif Kumpulan Smart Parents Network Sdn Bhd, Zaid Mohamad, bagi memastikan persekitaran rumah berada dalam keadaan selamat, ibu bapa seharusnya membabitkan ahli keluarga termasuk pembantu rumah dengan menyenaraikan tempat dan barangan berisiko mendatangkan kecederaan sambil menerangkan dengan jelas mengenai bahayanya.

"Ini boleh dimulakan dengan kawasan paling sering dikunjungi anak-anak iaitu dapur. Pastikan lantai sentiasa kering dan bersih. Barangan elektrik diletakkan di tempat tinggi. Ajarkan juga kepada pembantu rumah, supaya memastikan anak-anak kecil berada di tempat selamat yang boleh dipantau terutama ketika memasak," katanya.


Bagi ruang tamu, periksa dengan cara merendahkan badan, jalan berlutut atau meniarap di lantai bagi membolehkan ibu bapa memerhatikan barangan kaca atau plag elektrik yang mungkin membahayakan. Jika ada tangga dan anak masih kecil, pastikan terdapat pintu kecil untuk menghalang mereka naik turun tanpa kawalan.

Bagi anak yang sudah besar, ajar mereka cara naik dan turun tangga dengan selamat.

Di luar rumah pula, jadikan ia kawasan selamat untuk anak-anak bermain, berlari dan berbasikal. Tutup semua longkang dan lubang serta simpan semua peralatan berkebun, bertukang atau membaiki kereta di tempat sepatutnya. Begitu juga bagi ibu bapa yang membawa anak-anak pulang ke kampung seharusnya melakukan perkara yang sama dengan menghapuskan semua risiko ini. Bagi ibu bapa yang tinggal di kawasan banjir pula, pastikan anak-anak tidak bermain di kawasan bahaya.

"Bagi membolehkan anak lebih memahami, tunjukkan berita kanak-kanak lemas ketika musim banjir dan ketatkan kawalan dengan memastikan mereka sentiasa ada di depan mata," katanya.

Menurut Zaid, ibu bapa seharusnya memilih lokasi percutian mesra keluarga seperti di taman tema yang sesuai dengan umur anak-anak, berkelah di tempat perkelahan selamat, bersiar-siar sambil bersenam di taman bunga atau melawat tempat bersejarah, zoo, muzium serta pameran menarik. Selain itu, boleh ke perpustakaan melakukan aktiviti berfaedah berbanding hanya bermain permainan video di rumah.

"Supaya wujud keseronokan sepanjang percutian, adakan aktiviti kekeluargaan seperti memasak, membuat kraftangan, kerja rumah dan bermain bersama-sama ibu bapa. Ini bagi memastikan anak-anak tidak bosan selain mengeratkan perhubungan antara satu sama lain," jelasnya yang meminta ibu bapa melatih anak kecil melakukan kerja di dapur seperti membuang sampah ke dalam bakul sampah, memasukkan baju ke dalam mesin basuh atau mengangkat cawan kotor ke dalam singki. Ini kerana latihan secara tidak langsung mampu memberi kesan positif kepada anak-anak.

Jika ingin bercuti ke tempat jauh yang memerlukan anda sekeluarga bermalam, pilih lokasi bersesuaian dengan mendapatkan pandangan anak-anak. Sekiranya perjalanan mengambil masa lima hingga enam jam, pastikan semua ahli keluarga memakai tali pinggang keledar kerana mereka biasanya akan lebih teruja dan tidak boleh duduk diam. Ini mengganggu tumpuan pemandu dan membahayakan jika berlaku sebarang kecemasan.

"Apabila tiba di sana, bawa mereka meninjau ke seluruh kawasan sambil memerhatikan sama ada terdapat risiko seperti jalan sibuk, kolam renang terlalu dalam, keadaan pantai yang mungkin tidak sesuai untuk berenang, keadaan peralatan taman permainan yang mungkin rosak, tangga yang terlalu curam atau tinggi serta lubang atau longkang yang tidak ditutup.

"Jika boleh, tunjukkan bahaya dengan membuat demonstrasi ke dalam kolam renang yang mungkin nampak cetek. Laporkan kepada pihak pengurusan hotel sekiranya ada barangan rosak kerana ia akan membahayakan anak-anak orang lain juga," ujarnya.

Keselamatan bukan hanya di luar hotel, malah di dalam bilik juga boleh berlaku kemalangan. Oleh itu, pastikan semua tingkap terkunci, bilik air sentiasa kemas dan ajarkan kepada anak-anak cara menggunakan paip air panas kerana mungkin mereka akan menggunakannya tanpa pengetahuan ibu bapa. Minta anak-anak supaya tidak bermain di bilik air kerana ia mungkin menyebabkan mereka tergelincir atau terkena air panas.

Bagi memastikan ibu bapa mengawal pergerakan anak-anak, Zaid menasihatkan mereka supaya membuat perjanjian untuk memaklumkan aktiviti yang ingin dilakukan seperti mandi di kolam atau ke pantai. Jangan sesekali membenarkan anak-anak pergi bersendirian tanpa ditemani orang dewasa. Ini kerana kebanyakan kes lemas berlaku disebabkan anak-anak pergi secara senyap-senyap.

Dalam hal ini, ibu bapa boleh memberi sedikit kebebasan kepada anak-anak berusia sembilan tahun ke atas, namun ini bergantung kepada persekitaran.
Sekiranya kawasan perumahan berisiko tinggi, penjaga seharusnya memantau pergerakan mereka.

"Namun sekiranya ia di dalam kawasan tertutup yang selamat seperti perumahan berpagar atau di halaman rumah sendiri, sedikit kebebasan boleh diberikan asalkan ibu bapa mengetahui lokasi anak-anak bermain serta mengenali rakan mereka.

"Ini kerana kanak-kanak berusia kurang lima tahun sering kali lasak dan bertindak mengikut naluri saja. Mereka tidak dapat membezakan antara keseronokan meneroka dengan bahaya yang menanti. Oleh itu mereka memerlukan penjaga yang boleh mengingatkan keselamatan diri mereka," ujarnya.

Bagi ibu bapa yang menghantar anak-anak ke kelas tambahan pada musim cuti sekolah ini, pastikan anak-anak selamat pergi dan kembali. Ini bagi mengelak insiden buruk jenayah culik dan rogol yang semakin berleluasa kini.

"Jika boleh kenali rakan anak anda dan ibu bapa mereka supaya bersama-sama memantau pergerakan anak-anak pergi dan balik dari sekolah," jelasnya.

Bahaya di rumah:

  • Bahaya di dapur contohnya cerek dan periuk elektrik, periuk dan kuali panas, minyak panas serta tumpahan air dan minyak yang boleh menyebabkan anak-anak tergelincir.
  • Bahaya barang permainan terutama yang dimiliki abang dan kakak, tetapi mampu membawa risiko tercekik kepada adik-adik yang masih kecil.
  • Bermain peralatan rumah yang tajam seperti pisau, gunting, jarum dan parang yang boleh melukakan terutama anak-anak kecil di peringkat umur satu hingga enam tahun.
  • Bermain peralatan sekolah yang tajam seperti gunting dan alat geometri.
  • Barang perhiasan rumah diperbuat daripada kaca dan diletakkan di tempat yang mudah dilanggar kanak-kanak yang mungkin berlari-lari di dalam rumah.
  • Bahaya ubat-ubatan orang dewasa yang diletakkan merata-rata lalu diambil si kecil yang menyangka itu gula-gula.
  • Bahaya bahan beracun atau bahan kimia yang tidak dilabel atau disimpan dengan selamat.
  • Bahaya kejutan elektrik akibat suis dan sambungan plag yang sudah uzur atau dibiarkan bersepah di lantai.
  • Bahaya di sekitar rumah seperti longkang yang tidak tertutup, lubang kecil yang boleh membuatkan anak terjatuh lalu terseliuh atau patah tangan dan kaki.
  • Peralatan berkebun yang tidak disimpan dengan rapi seperti pemotong bunga dan cangkul yang boleh mengundang rasa ingin tahu anak-anak menggunakannya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


  • Kredit: www.hmetro.com.my

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved