Selasa, 6 November 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Bagai di rumah sendiri

Posted: 06 Nov 2012 07:23 AM PST

KEBIASAANNYA ramai ibu yang melahirkan anak ketiga atau seterusnya mengambil keputusan berpantang sendiri di rumah disebabkan tiada ahli keluarga yang dapat menjaga serta anak-anak yang sudah bersekolah. Ada pula ibu berasa mereka sudah berpengalaman menguruskan bayi lantas berani mengambil risiko berpantang bersendirian hanya ditemani suami.

Namun, mereka terpaksa menghadapi tekanan akibat kurang rehat lantaran menguruskan anak-anak serta melihat keadaan rumah yang tidak terurus sehingga menimbulkan rasa kurang selesa terutama bagi ibu yang melahirkan anak menerusi kaedah pembedahan. Ini kerana pada minggu pertama, kesakitan masih terasa dan ibu memerlukan bantuan untuk menguruskan bayi.

Menurut pemilik Pusat Penjagaan Ibu Bersalin Mom Retreat, Hazeera Banu Ramjan Din, sekurang-kurangnya wanita memerlukan masa rehat berkualiti selama dua minggu pertama selepas kelahiran sebelum mereka mampu menguruskan diri secara berseorangan. Ini kerana tempoh ini paling kritikal bagi pemulihan otot badan, penyembuhan luka serta menguatkan semangat sebelum mereka mampu membuat kerja ringan di rumah.

"Saya sendiri berpengalaman dijaga nenek yang juga bidan kampung di Ipoh. Selepas melahirkan anak, terasa seperti permaisuri apabila makan dan minum disediakan, segala keperluan seperti bengkung, bertungku dan berurut dilakukan nenek. Malah dia juga memandikan bayi, menjaga sehingga tamat pantang 44 hari.

Bukan saja fizikal terjaga malah berada dalam keadaan gembira, ceria dan tenang.

"Namun selepas nenek meninggal saya terpaksa menguruskan anak sendirian. Saya mulai rasa kehilangan, sedih dan tertekan kerana tiada sesiapa melayan serta membantu menguruskan bayi. Apa yang saya perlukan hanya dalam tempoh dua minggu pertama sebelum fizikal dan emosi kembali normal," jelasnya.

Menyedari ramai wanita mengalami perasaan yang sama dan sebagai memenuhi keperluan mereka yang inginkan keselesaan selepas melahirkan anak, Hazeera akhirnya membuka pusat penjagaan berkenaan yang terletak di Jalan Klang lama, Kuala Lumpur.

"Ramai wanita moden kini tidak lagi mengharapkan bantuan ibu semata-mata ketika dalam pantang. Ini kerana ada antara mereka tidak mahu menyusahkan keluarga. Memahami keperluan mereka yang inginkan keselesaan dan ketenangan ketika dalam pantang, ramai tercari-cari tempat yang membolehkan ibu mendapatkan rawatan, rehat yang cukup serta pemulihan badan. Justeru, saya menyediakan pusat penjagaan ini bagi membolehkan ibu kembali sihat dan ceria sebaik saja pulang ke rumah," katanya yang sebelum ini menjalankan perkhidmatan penjagaan ibu bersalin dari rumah ke rumah menggunakan nama Shadira.

Penulis yang baru kali pertama menjejakkan kaki ke banglo mewah ini cukup teruja apabila meninjau ke hampir setiap ruang menempatkan sembilan bilik dilengkapi set bilik tidur yang selesa, kemudahan Internet, televisyen dan penyaman udara. Malah lokasi yang terletak di kawasan bukit dan jauh daripada deruan kenderaan memberikan suasana nyaman dan privasi terutama bagi ibu dan bayi mereka.

Dekorasi yang santai dengan mainan warna lembut pada dinding serta perabot membuatkan wanita terasa seolah-olah seperti berada di rumah sendiri. Ia ibarat penginapan bertaraf hotel serta destinasi percutian bagi ibu yang mahu berehat secukupnya.

Malah Mom Retreat menyediakan rawatan secara holistik dan tradisional Melayu bagi proses pemulihan serta penyembuhan badan selepas bersalin sama ada normal atau pembedahan. Pelanggan tidak perlu bimbang kerana semua perkhidmatan dijalankan 12 jururawat bertauliah bermula daripada rawatan selepas bersalin sehingga kepada pemakanan dan penjagaan bayi.

"Ia merangkumi urutan badan, bertungku, berurut, bertuam, mandian herba, sental badan, terapi cahaya infra merah, urutan payudara bagi mereka yang mengalami bengkak susu dan penjagaan luka jahitan di bahagian sulit. Khidmat untuk bayi pula seperti memandikan bayi, bedung, urutan dan bertuam bagi mengelak angin.

"Malah ibu boleh memanggil jururawat pada bila-bila masa saja sama ada siang atau malam dengan menekan loceng disediakan bagi meringankan bebanan ibu," katanya yang baru membuka pusat ini tiga bulan lalu.

Apa yang menarik, semua produk seperti minyak urut, herba, bahan sental dan minyak bayi menggunakan bahan semula jadi seperti kulit kayu manis, bunga cengkih, ketumbar, halia dan lada hitam yang secara tradisi diketahui baik untuk merawat ibu dan bayi.

Menurut Hazeera, pusat rawatan ini menyediakan pakej pengurusan ibu dan anak bergantung kepada keperluan masing-masing. Ada yang inginkan tiga malam, seminggu, 15 malam atau sebulan. Harga pakej bergantung kepada jenis penginapan sama ada termasuk rawatan holistik atau tradisional malah ibu boleh membawa pasangan masing-masing untuk tinggal bersama.

Bagi mereka yang inginkan perkhidmatan di rumah, Mom Retreat turut menyediakannya bergantung kepada pakej sama ada inginkan khidmat jururawat selama beberapa jam atau sepenuh hari.

Zelda Mohd Zamri, 34, yang baru saja melahirkan anak keempat, Atiff Al-Hariz Farrel pada 5 Oktober lalu mengakui perkhidmatan disediakan di pusat penjagaan terbabit membuatkan dia berasa seperti berada di rumah. Dia yang sebelum ini dijaga ibu untuk ketiga-tiga anaknya, terpaksa mencari tempat berpantang disebabkan ibu sudah uzur.

"Sejak kandungan tujuh bulan saya sudah mencari tempat atau individu yang boleh menjaga ketika dalam pantang. Pada mulanya kami ingin mengambil jururawat di rumah namun selepas menemui laman sesawang Mom Retreat, kami terus mencuba.

"Sebaik datang sendiri, saya teruja dengan keselesaan tempat tinggal serta jururawat yang peramah dan mesra," katanya yang tinggal selama seminggu.

Dia yang melahirkan anak menerusi kaedah pembedahan amat berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan di pusat penjagaan ini kerana berasa seperti berada di rumah sendiri. Malah semua jururawat melayannya dengan baik menyebabkan dia mudah mesra dan tidak malu mendapatkan bantuan. Dia yang sebelum inin mengamalkan cara berpantang tradisional sehingga 44 hari mahukan kaedah berpantang yang sama.

"Jadi saya mencari tempat menggunakan kaedah tradisi seperti mandi herba, bertangas, bertungku dan berurut serta menyediakan makanan berpantang mengikut amalan ibu bapa terdahulu," katanya yang mengalami angin dalam perut namun hilang selepas diurut.

Menurut Zelda, bayinya juga kurang mengalami masalah kembung dan tidur lena pada waktu malam kerana diurut dengan minyak bayi dan dituam dengan bunjut khas menggunakan bahan tradisional.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan di Mom Retreat boleh melayari laman sesawang www.momretreathome.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/06


Acar buah bangkitkan selera

Posted: 06 Nov 2012 06:47 AM PST

ACAR buah bukan sahaja sinonim dengan majlis perkahwinan kerana ia turut dinikmati ketika makan tengah hari atau makan malam tanpa mengira tempat.

Enak dimakan bersama nasi panas dan ikan kering, ia sudah cukup membangkitkan selera mereka yang menggemari makanan tradisi berkenaan.

Menurut Chef Datuk Ismail, acar buah memang unik kerana di dalamnya mengandungi pelbagai jenis buah-buahan seperti ceri, plum dan prun kering.

Walaupun mudah disediakan, acar buah perlu dibuat awal iaitu tiga atau empat hari sebelum dimasak kerana agak remeh untuk menyediakan bahannya.


"Jika ingin menikmati hidangan acar buah pada Sabtu, seeloknya sediakan bahan seperti limau kasturi bermula Isnin lagi.


"Ini kerana limau kasturi yang digunakan perlu dijemur sebelum dimasukkan ke dalam hidangan. Caranya, celur di dalam air mendidih sehingga ia timbul.
Kemudian, angkat dan sejukkan.

"Selepas dicelur, limau kasturi harus dijemur sehingga kering bagi memastikan rasanya lebih enak dan tahan lama," katanya.

Untuk mendapatkan acar buah yang enak dan masih mengekalkan rasa sebenar, sebaiknya gunakan campuran buah-buahan berkualiti.

Bagi mereka yang mementingkan kesihatan, elakkan menggunakan bahan mengandungi bahan kimia yang banyak seperti menggantikan garam halus dengan garam kasar.

"Walaupun ia agak remeh untuk menyediakan hidangan dengan cepat, ia banyak membantu dalam mengekalkan kesihatan badan.

"Selain itu, gantikan cuka dengan asam jawa untuk mengurangkan penggunaan bahan yang boleh memberi kesan buruk kepada badan jika diambil secara berlebihan.

"Bagi mereka yang mempunyai masalah sistem penghadaman, masukkan halia ke dalam resipi acar buah," ujarnya ketika berkongsi panduan kesihatan sambil menyiapkan hidangan untuk tetamu.

Tambahnya, untuk menambah rasa masam pada acar buah, gunakan jus buah-buahan seperti oren, epal atau minuman berkhasiat Inai Grape.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/06


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved