Khamis, 8 November 2012

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Adi, Abil berkongsi perasaan

Posted: 07 Nov 2012 07:40 AM PST

MALAM Ahad lalu, riuh juga laman sosial twitter dan memuji lakonan hebat dua bintang terkenal ini menerusi drama Maharku Untukmu yang bertanding dalam Anugerah Skrin 2012 (ASK2012) yang khabarnya meletakkan drama penuh emosi ini antara saingan terhebat bagi merangkul trofi drama terbaik.

Selain plot ceritanya yang menarik, Maharku Untukmu sebenarnya adalah naskhah yang bergantung kepada dua teraju utamanya yang berjaya memancing perhatian penonton untuk terus menyaksikan perjalanannya hingga ke sudah.

Ternyata lakonan Nabila Huda (Abil) sebagai Tengku Aishah dan Adi Putra yang menghidupkan watak Putera tidak perlu disangkal kerana masing-masing kemas dan sempurna dalam membuatkan Maharku Untukmu menjadi perhatian pada malam kemuncak ASK2012 yang bakal ditayangkan secara langsung malam esok.

Usik Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim yang segak dengan senyuman panjangnya pada sesi fotografi itu akui segala pujian serta kritikan yang diterima adalah penyuntik semangat untuk terus berdiri sebagai anak seni.


"Alhamdulillah kalau ada pihak yang menghargai lakonan saya dan Abil dalam Maharku Untukmu. Bagi saya sendiri ia sebuah karya yang menarik dengan pembangunan watak yang begitu tersusun.


"Saya sebagai pelakon sendiri merasakan tekanan melakonkan watak itu. Lebih menarik pula saya digandingkan dengan Abil," katanya.

Hakikatnya, lakonan Abil dan Adi sudah lama berjaya dibuktikan. Bukan sehari dua mereka berjaya mempamerkan lakonan bersahaja malah setiap filem dan drama yang dibintangi ada kekuatan sendiri.

Bagaimanapun, segala pujian dan kritikan positif itu bukan membuatkan mereka berdua yakin akan menang kerana mereka berlakon bukan semata-mata kerana memburu trofi.

Membintangi berpuluh-puluh drama dan filem sejak hampir sedekad lalu, nama dua bintang terkenal ini belum lagi pernah diangkat dalam mana-mana majlis penganugerahan sekali gus merangkul trofi walaupun lakonan mereka sering dipuji.

Jelas Abil yang menyifatkan dirinya sudah lali dengan situasi itu, anugerah bukanlah titik utama untuk dia menjadi anak wayang, sebaliknya apa yang penting melunaskan setiap karakter yang dipertanggungjawabkan oleh pengarah dan produser.

"Bukan setahun dua saya berlakon. Awal dulu pernah juga terdetik di hati saya untuk merangkul penghargaan, maklumlah ketika itu masih belum matang. Namun lama-kelamaan, saya sudah lupa akan ruang untuk menjulang trofi.

"Saya percaya kalau ada rezeki sudah tersurat, ia tidak akan ke mana. Bagi saya apa yang lebih penting, lakonan saya meninggalkan kesan di hati penonton. Itu sudah cukup memberikan saya nikmat kepuasan," kata ibu kepada Keisha Laila, 3.

Selit Adi yang akan muncul dengan gimik persembahan istimewa sebagai penyampai anugerah ASK2012, trofi juga bukan perkara yang dikejar olehnya selama ini kerana dia sedar lebih ramai lagi aktor yang hebat ada di luar sana.

"Alhamdulillah lebih lapan tahun bertapak di lapangan lakonan, tanpa sebarang anugerah yang saya menang pun, rezeki dan tawaran tidak pernah terhenti. Ada saja pihak dan produksi yang percaya dan yakin dengan hasil kerja saya selama ini.

"Malah kalau diberi pilihan untuk saya memilih antara trofi dan peluang, saya pastinya pilih peluang kerana itu adalah kesinambungan kepada rezeki untuk diri saya dan keluarga. Bagi saya anugerah itu suatu bonus dan saya akan tetap berlakon seperti biasa sama ada menang atau kalah," kata pelakon filem Aku Terima Nikahnya ini.

Mungkin betul apa yang dikatakan Adi itu, walaupun tanpa anugerah, wajahnya tidak henti mewarnai drama televisyen di Malaysia. Abil juga tidak henti terkejar-kejar ke lokasi penggambaran. Habis sebuah drama, esoknya mereka terus memegang skrip baru bagi produksi yang berbeza.

Sebelum ini, Abil yang dianggap calon terbaik merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia (FFM) atas lakonan bersahaja melalui filem Bohsia. Namun dia kecundang di tangan aktres lain.

Bukan saja FFM atau ASK2012 malah nama Adi sendiri pernah tidak langsung tersenarai dalam anugerah Blockbuster 2012 sedangkan hasil kerjanya bersusun panjang.

Enggan menuding jari atau menjatuh hukum, sebaliknya jelas kedua-dua pelakon terkenal ini, semuanya adalah percaturan yang diaturkan Tuhan dan mereka tidak pernah menyesal menjadi anak wayang.

Aktor berusia 31 tahun ini juga gembira apabila kehadiran Zara Adelia Haadi yang baru berusia sebulan.

Tujuh tahun lamanya menanti bersama isteri tersayang, Zuhaida Yusof, 37, yang lebih mesra disapa Aida, akhirnya rumah tangga mereka lebih bahagia dengan kehadiran Adelia pada 24 Oktober lalu.

Jelas Adi yang membahasakan dirinya sebagai Walid kepada Adelia, anaknya itu adalah permata buat dia dan isterinya.

"Jika dulu saya hanya berlakon dan bekerja untuk diri sendiri dan isteri, sekarang apa saja yang saya lakukan adalah untuk membesarkan Adelia.
Alhamdulillah saya dan isteri dipertemukan dengan Adelia dan siapa sangka, kuasa Allah SWT berjaya mengubah keseluruhan kehidupan kami berdua dan menjadikan ikatan kasih sayang semakin kuat berbanding sebelumnya.

"Tidak bermaksud sebelum ini kami berdua ambil mudah dengan perkahwinan namun tanpa anak yang menceriakan rumah tangga, masing-masing hanya sibuk mencari rezeki dan bekerja tanpa satu hala tuju. Sekarang kami sudah ada tanggung jawab baru.

"Kelakarnya, saya rasa macam baru bermula berlakon kerana semangat dan perasaan sudah berubah 360 darjah. Terus-terang, sebelum ini saya hanya mendengar cerita daripada kawan-kawan mengenai bayi mereka dan apabila sudah menjadi ayah, barulah saya dapat rasakan pengalamannya sendiri," katanya tersenyum sambil menunjukkan gambar-gambar Adelia dalam telefon bimbitnya.

Namun pinta dalam nada lembut Adi, usahlah diletakkan status anak angkat kepada Adelia kerana ia sedikit sebanyak akan mengundang rasa kurang selesa kepada mereka. Bayi comel berkulit putih itu dilahirkan pada 18 Oktober lalu.

"Sama macam pasangan ibu bapa lain, kami berdua bergilir-gilir bangun pagi membancuh susu dan menyalinkan lampin. Walaupun penat dan mengantuk, kami puas kerana inilah yang kami tunggu-tunggu selama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/07


Perkasa Padu Citra

Posted: 07 Nov 2012 07:31 AM PST

KELANTANGAN Othman Hafsham yang menerajui Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) sejak 31 Mac lalu, untuk menguatkuasakan semula Padu Citra yang memberi perlindungan terhadap hak, kepentingan dan profesionalisme pengarah ternyata membuahkan hasil apabila mendapat reaksi daripada Persatuan Profesional Pekerja Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Ketiga-tiga mereka akhirnya duduk semeja dalam mesyuarat pertama Majlis Tindakan Bersama (MTB) yang berlangsung di pejabat FDAM pada 24 Oktober lalu bagi membincangkan mengenai Padu Citra.

Mesyuarat ini dipengerusikanh Naib Presiden FDAM, Abdul Rahim Awang yang mewakili Othman Hafsham serta Presiden Seniman, Zed Zaidi dan wakil Profima, Dewa Sapri.

Lain-lain wakil FDAM yang terbabit ialah M Yusoff Mohamed, Jeffery Wong dan Thorpe Ali. Mejar (B) Zainal dari Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swam) bertindak sebagai pemerhati.


Menurut Abdul Rahim, matlamat utama MTB ditubuhkan ialah untuk berbincang dan membela nasib pekerja filem merangkumi karyawan, artis dan kru yang diwakili ketiga-tiga persatuan mereka.


"Ini ialah langkah pertama ke arah pembelaan nasib karyawan, artis dan pekerja filem dengan memperkasakan Padu Citra. Kami juga menitikberatkan perkara lain seperti yang termaktub dalam Padu Citra.

"Padu Citra yang mula dikuatkuasa sejak 1997, jelas menyatakan bahawa pengarah mestilah ahli FDAM, pelakon ahli Seniman dan pekerja ahli PPFM yang kini dikenali dengan nama Profima.

"Produser yang ingin membuat penggambaran dikehendaki memastikan setiap individu yang terbabit dalam penggambaran menjadi ahli atau berdaftar dengan persatuan. Dengan itu, semua artis dan karyawan hendaklah menjadi ahli kepada persatuan yang diwakili mereka.

"FDAM telah menemui Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Finas, Fatimah Ahmad dan pegawai lain pada 15 Oktober untuk berbincang mengenai cara memperkasakan Padu Citra.

"Pihak Finas bersetuju memperkuatkuasakan peruntukan para 7 Padu Citra ketika mempertimbangkan permohonan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dengan mewajibkan pemohon SPP mengepilkan salinan kad keahlian yang sah laku (valid) bagi setiap nama/ jawatan yang disenaraikan dalam borang permohonan.

"Unit Penguatkuasa Finas juga akan membuat pemeriksaan di lokasi penggambaran dari masa ke masa. Mereka berjanji menguatkuasakannya bermula 1 Januari 2013," katanya.

Tambahnya, ketiga-tiga persatuan pula bertanggungjawab membantu Finas dengan membekalkan data keahlian yang lengkap dan terkini dan membekalkan kad keahlian kepada ahli serta memberi maklumat mengenai penggambaran 'haram' kepada Unit Penguatkuasa Finas.

"Mesyuarat juga bersetuju soal gaji minimum karyawan dan pekerja filem perlu diperhalusi dan dikemukakan kepada pihak berwajib. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Satu mesyuarat khas untuk membincang perkara ini akan diadakan nanti. Kami juga sepakat bersetuju waktu kerja harian penggambaran kerap kali terlalu panjang dan menimbulkan kesusahan kepada pengarah, pelakon dan pekerja.

"Namun, kami sedar waktu kerja dalam industri filem tidak boleh disamakan dengan profesion lain memandangkan ia bergantung kepada pelbagai perkara seperti keadaan cuaca, lokasi dan sebagainya. Justeru, satu mekanisme perlu diwujudkan untuk menentukan jangkamasa kerja maksimum. Seandainya terpaksa bekerja lebih masa, satu bentuk pembayaran tambahan perlu diwujudkan.

"Isu ini juga akan diperhalusi pada mesyuarat akan datang. Kami juga sedar mengenai beberapa kemalangan, bahkan kematian yang berlaku semasa penggambaran.
Untuk itu, kami mencadangkan supaya disarankan kepada penerbit untuk mengambil insuran berkelompok bagi semua lapisan pekerja sepanjang tempoh kontrak/ penggambaran.

"Zed Zaidi juga memberitahu Seniman telah mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan untuk mendapat perlindungan insuran kepada pekerja filem seperti yang diberikan kepada ahli Rela. Zed diminta memberikan senaskhah kertas cadangan itu supaya boleh diubahsuai dan dikemukakan semula dengan membabitkan ketiga-tiga persatuan," kata Abdul Rahim lagi.

Merujuk kepada Swam, ketiga-tiga persatuan ini bersetuju penulis skrip juga perlu dijemput untuk menyertai MTB sekiranya dapat menyelesaikan masalah dalaman yang mereka hadapi. Setakat ini, Swam tidak disenaraikan dalam Padu Citra. Bagaimanapun, Swam akan diminta berusaha supaya ia turut disenaraikan.

Selepas ini giliran Seniman pula , menjadi tuan rumah pada mesyuarat yang akan ditentukan tarikhnya nanti.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/07


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved