Selasa, 18 Disember 2012

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Tragedi main air

Posted: 17 Dec 2012 11:51 AM PST

KUALA KEDAH: "Selepas terjun, saya sempat capai seorang saja anak saudara, tapi sedih tak dapat selamatkan dua lagi kerana arus deras," kata Md Affendi Ismail, 27, bapa saudara kepada dua beradik yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot gentian kaca dinaiki mereka di muara Sungai Kuala Kedah, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, dua kanak-kanak iaitu Mohd Hafiz Anuar, 4, dan abangnya, Mohd Nashrik, 9, hilang selepas tercampak dari bot dinaiki mereka manakala pasangan kembar, Mohd Nashrik iaitu Mohd Ashraf, 9, sempat diselamatkan Md Affendi.


Md Affendi berkata, selepas menyelamatkan Mohd Ashraf, dia berenang sejauh 50 meter dari tempat kejadian sebelum diselamatkan rakan yang menaiki bot lain.

"Sebelum kejadian, mereka mendesak saya untuk bawa mereka bersiar-siar menaiki bot dan menunggu kepulangan saya dari laut sejak jam 8 pagi," katanya.


Menurutnya, dia membawa tiga anak saudaranya bersiar-siar di sekitar muara berkenaan sebelum berpatah balik selepas perjalanan sejauh 500 meter berhampiran Jambatan Tok Pasai, di sini.


Md Affendi yang juga nelayan berkata, dia tidak menyangka berlaku tragedi kerana ini kali pertama dia membawa tiga bersaudara berkenaan kerana sebelum ini mereka tidak pernah mendesak sehingga sanggup menunggu di rumahnya di Taman Nelayan, di sini.

"Selain membawa mereka bersiar di muara, pasangan kembar itu mendesak saya membawa mereka lebih jauh kerana memaklumkan tidak puas menaiki bot bersama.


"Sejurus sebelum kejadian, saya melihat dua anak saudara bermain air dengan meletakkan tangan dalam laut di bahagian hadapan bot, namun tidak menyangka tindakan itu mengakibatkan bot hilang keseimbangan ketika saya cuba membelok. "Akibatnya, mereka tercampak dalam laut menyebabkan saya terjun untuk menyelamatkan mereka," katanya.

Md Affendi berkata, sebelum ini, mereka mendesaknya supaya membawa bersiar-siar menaiki bot di kawasan muara sungai, namun dia tidak mengendahkan kata-kata anak saudaranya itu dan mereka pulang ke rumah masing-masing tanpa menunggunya.


Katanya, dia tidak menyangka tindakannya menunaikan desakan pasangan kembar terbabit bertukar insiden memilukan memandangkan sebelum ini dia sering membawa Mohd Hafiz ke laut.


"Namun, hari ini (semalam) mereka benar-benar mendesak saya supaya membawa turun ke laut. Selalunya, mereka akan pulang jika saya tidak mengendahkan desakan mereka, tetapi kejadian hari ini (semalam) sebaliknya.


"Mereka sanggup mengejutkan saya daripada tidur, petang tadi (semalam) bagi menunaikan permintaan itu, namun perkara tidak diingini pula berlaku," katanya.


Bapa dua beradik terbabit, Anuar Ismail, 31, terpaksa ditenangkan ahli keluarga selepas sukar menerima hakikat dan menyalahkan Md Affendi di atas apa yang berlaku.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Mohd Izham Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung pada jam 5.07 petang sebelum melaksanakan gerakan mencari dan menyelamat serta-merta.


"Setakat ini, kami melakukan operasi mencari di permukaan air saja sementara menunggu Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani. Operasi mencari dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di samping beberapa bot nelayan," katanya.


Menurutnya, setakat jam 8 malam tadi, kedua-dua mangsa masih gagal dikesan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18



Leher berdarah

Posted: 17 Dec 2012 11:50 AM PST

PETALING JAYA: "Saya lihat sekumpulan tujuh hingga lapan anjing berkerumun di sebuah kereta dengan pintu depan terbuka sebelum mendapati seorang wanita berlumuran darah pada leher dan dadanya di tempat duduk pemandu."

Demikian kata peniaga, Kamaruzaman Sanusi, 30, yang menemui mayat seorang wanita mati dibunuh dengan kesan kelar di leher di Jalan PJS5/16, berhampiran Flat Desa Mentari, di sini, tengah malam kelmarin.


Kamaruzaman berkata, ketika kejadian kira-kira jam 12.45 tengah malam, dia dan keluarga baru tiba dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang sedang mencari tempat parkir kenderaan untuk ke rumah adik ipar, Rozaidi Mat Amin, 28, di flat berkenaan.

"Ketika mencari tempat parkir, saya terserempak sekumpulan anjing berhampiran sebuah kereta. Saya berhenti seketika dan menunggu kumpulan anjing itu beredar kerana haiwan itu menghalang laluan saya.


"Selepas anjing itu pergi, saya teruskan pemanduan dan ketika melepasi kereta berkenaan saya ternampak seorang wanita di tempat duduk pemandu seperti sedang tidur.


"Namun, saya hairan kerana pintu keretanya dibiarkan terbuka dan mengesyaki dia pengsan sebelum saya turun untuk memeriksa," katanya.

Menurutnya, sebaik menghampiri wanita berkenaan, dia terkejut melihat darah pada leher dan dada sehingga ke bawah kenderaan sebelum segera menghubungi adik iparnya itu untuk meminta bantuan menghubungi polis.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, selepas menerima panggilan jam 1.15 pagi, sepasukan polis dengan bantuan Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K-9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bergegas ke lokasi kejadian bagi menyiasat.

"Siasatan awal mendapati mangsa dikenali sebagai S Suntarambhal berusia 33 tahun dan sudah berumahtangga. Mangsa dipercayai sudah mati satu hingga dua jam sebelum mayatnya ditemui.


"Mangsa yang menetap di Cheras juga dilaporkan hilang oleh suaminya sebelum kejadian apabila dipercayai tidak pulang ke rumah selepas jam 12 tengah malam," katanya.


Arjunaidi berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan setakat ini, polis menolak ia kejadian samun berikutan barangan berharga milik mangsa tidak diambil, manakala kereta yang didaftar atas nama suaminya juga berkeadaan baik.


"Malah, mangsa juga dipercayai tidak dirogol berikutan berpakaian lengkap iaitu blaus dan skirt berwarna gelap.


"Polis juga tidak menemui senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu," katanya.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil di balai polis berhampiran.


"Suami mangsa juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini dan polis juga sudah mengambil keterangannya bagi membantu siasatan," katanya.


Difahamkan, mangsa baru saja berhenti menjual daripada bunga malai bulan lalu dan kini membantu suaminya yang berusia 36 tahun mengusahakan pusat jagaan orang tua di Cheras.


Suami mangsa melaporkan kehilangan isterinya kepada polis apabila wanita itu yang keluar dengan memandu sendirian kira-kira jam 10 malam tidak pulang ke rumah selepas beberapa jam, manakala telefon bimbitnya tidak dijawab.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved