Isnin, 3 Disember 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


‘Macam belajar di Eropah, AS’

Posted: 03 Dec 2012 06:14 AM PST

SUASANA hingar-bingar di dapur kelas masakan Universiti Taylor petang itu tiada bezanya dengan hari lain. Kuali dan senduk saling berlaga, desiran minyak gorengan mencetuskan rasa, sementara aroma roti bawang putih membangkitkan selera.

Namun, apa yang menarik perhatian ialah gelagat enam pelajar asing yang ralit mengambil gambar menggunakan kamera pintar sambil sibuk bertanyakan pelbagai soalan biarpun sudah diulang beberapa kali si pensyarah.

Kehadiran mereka dalam kelas kulinari itu juga membuktikan bahawa struktur pendidikan dan jurusan pendidikan di Malaysia makin berkembang hingga berupaya menarik ramai pelajar asing.

Lazimnya, keluarga Korea akan menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran di luar negara khususnya Amerika Syarikat dan Eropah.


Untuk jurusan masakan dan pengurusan hotel pula, rata-rata lebih cenderung menghantar anak mereka ke Eropah terutama Perancis.


Bagi Lee So Min, 18, keluarga menghantarnya ke Malaysia kerana berasa pendidikan di sini setaraf dengan apa yang ditawarkan di negara maju.

"Selain kos pengajian yang lebih murah, sistem pendidikan di sini lebih menyeluruh dan tidak tertumpu kepada satu-satu perkara.

"Tahap pendidikan di Malaysia semakin meningkat, jadi ia menepati jangkaan tinggi yang diletakkan oleh ibu bapa di Korea," katanya yang menetap bersama ibu saudaranya sejak lima tahun lalu.

Jeong Eui Hyeon, 18, pula menyifatkan Malaysia adalah antara destinasi terbaik untuk melanjutkan pelajaran kerana banyak yang dipelajarinya sepanjang kursus.

"Di sini, skop pelajaran lebih luas dan kami belajar banyak jenis masakan sepanjang semester. Biarpun tidak diajar masakan tempatan di dapur ini,
kami terdedah dengan bermacam hidangan popular Malaysia.

"Saya mengikuti subjek kulinari kerana ia sebahagian subjek utama dalam kursus pengurusan hotel. Mulanya saya tidak berminat dan pertama kali memegang pisau ketika menyertai kelas ini.

"Tapi lama-kelamaan saya tertarik dengan bidang kulinari ini dan bagaikan satu kepuasan apabila melihat masakan yang dihasilkan," katanya.

Biarpun tiada masakan tempatan dalam sukatan pelajaran, Jeong sering mencuba memasak nasi goreng dan mi segera goreng di rumah.

"Asalnya keluarga saya ke sini untuk bercuti, tapi bapa saya tertarik dengan budaya serta persekitaran di negara ini. Enam tahun kami di sini dan kami sudah terbiasa dengan makanan tempatan.

"Keluarga saya paling gemar ke kedai mamak. Kami sukakan nasi goreng, mi goreng, nasi lemak, teh tarik dan nasi kandar. Sejak ada asas memasak, saya sesekali cuba sediakan hidangan ringkas di rumah dan nasi goreng selalu jadi pilihan.

"Bagaimanapun, saya masih belum berani memasak hidangan Korea dan biarlah ibu saja yang menyediakannya untuk kami," ujarnya.

Rakan sekelas Jeong, Kwon Sun Kyu pula melanjutkan pengajian di sini bagi memenuhi permintaan keluarga.

"Ibu saya mengatakan belajar di sini sama seperti di luar negara seperti Eropah dan Amerika.

"Tambahan pula semua rakan baik saya melanjutkan pelajaran di negara ini dan di universiti yang sama.

"Menerusi maklumat daripada beberapa rakan yang melanjutkan pengajian di negara lain, saya dapati pengajian di sini lebih baik dan menyeluruh.

"Saya merancang akan teruskan pengajian peringkat lebih tinggi di sini dan tiada hasrat untuk ke luar negara. Apa yang saya perlukan untuk pengajian saya semuanya ada di sini," katanya.

Menurut salah seorang tenaga pengajar di universiti itu, Chef Zaishahrizal Zamani, kebanjiran pelajar asing khususnya dari Korea bukan saja memberi positif bagi dunia pendidikan tempatan malah menimbulkan semangat daya saing di kalangan pelajar lain.

"Mereka sudah terbiasa dengan sistem pendidikan berpacukan prestasi tinggi, justeru ia menjadi budaya penting di kalangan masyarakat Korea.

"Apabila mereka ke luar negara, budaya itu turut dibawa seiring dan kita
boleh lihat pelajar Korea ini tampak lebih fokus serta berdaya saing tinggi untuk mendapat keputusan cemerlang.

"Kepesatan teknologi juga digunakan sepenuhnya bagi membantu pembelajaran mereka. Biasanya, soalan pertama mereka ketika masuk ke kelas ialah sama ada boleh merakam gambar atau video pembelajaran kerana bagi mereka cara itu amat efektif untuk mengulangkaji, selain menyalin nota.

"Mereka juga tidak segan bertanya berulang kali sehinggalah benar-benar faham dengan pelajaran terbabit. Mereka juga sensitif ketika menerima kritikan, tapi itulah yang membuatkan mereka tergolong antara pelajar cemerlang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved