Isnin, 10 Disember 2012

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Lagu sentimental pertama

Posted: 09 Dec 2012 08:04 AM PST

ANTARA ramai bintang yang digilap menerusi program realiti TV popular, Akademi Fantasia (AF), Stacy adalah artis paling konsisten. Jika artis lain naik kerana gosip dan kontroversi semata-mata, ia sebaliknya buat Stacy kerana popularitinya juga seiring dengan bakat besar dimilikinya itu.

Itulah kelebihan anak kelahiran Penampang, Kota Kinabalu, Sabah yang juga pemilik nama sebenar, Stracie Angie Anam. Secara peribadi, Stacy, 22, berkata, bukan mudah untuk mengekalkan namanya dalam bidang seni tanah air tanpa usaha gigih dan kerja keras yang tidak sedikit.

"Saya bersyukur kerana nama terus bertahan dan masih wujud sepanjang tempoh enam tahun berkecimpung dalam bidang seni tempatan.

"Bukan mudah untuk kekal dalam bidang seni kerana setiap hari ada saja artis baru dan berbakat muncul mewarnai bidang seni. Justeru, saya perlu bekerja lebih keras lagi kerana jika lalai sedikit, pasti saya akan tertinggal di belakang.


"Saya juga anggap diri masih belajar dan setiap hari ada saja perkara baru dipelajari sekali gus memperbaiki kelemahan sedia ada dalam persembahan," katanya.


Kerja keras Stacy selama ini nampaknya berbaloi kerana lagunya berjudul Pelangi Senja ciptaan komposer Taja dan lirik yang dihasilkan isterinya sendiri, Tun Teja tercalon dalam senarai 12 finalis lagu terbaik pada Anugerah Juara Lagu 27.

"Ia kali pertama lagu nyanyian saya yang berentak perlahan dicalonkan dalam AJL selepas tiga tahun lagu rancak yang dicalonkan.

"Bohonglah kalau saya kata tak nak menang kerana semua artis yang bertanding pun impi nak menang. Namun, semua barisan finalis yang bertanding pada AJL 27 ada peluang sama untuk menang kerana lagu mereka juga hebat. Saya pula hanya menjanjikan yang terbaik pada persembahan tapi yang menilainya adalah barisan juri," katanya.

Ditanya sama ada lagu Pelangi Senja ada kaitan dengan kisah cintanya sendiri, Stacy menafikan.

"Lagu Pelangi Senja dimuatkan dalam album kedua dan proses rakamannya pada tahun lalu. Ia juga tiada kaitan dengan kisah cinta saya. Ia kali pertama saya bekerjasama dengan Taja dan isterinya, Tun Teja. Saya suka dengan hasil karyanya kerana selain melodinya yang sedap, lirik yang ditulis isterinya juga sangat indah.

"Selain itu, lagu ini boleh dikaitkan dengan banyak perkara. Ia lagu sedih kerana menceritakan permintaan terakhir seorang lelaki yang sudah meninggal dunia ataupun permintaan terakhir daripada orang yang kita sayang tapi tidak sempat untuk meluahkannya.

"Contoh lain ialah lagu ini boleh dikaitkan dengan kes pembuangan anak yang juga gejala sosial yang berlaku di negara ini. Selepas membuang anak itu barulah mangsa itu menyesal dan berasa tertekan atas perbuatan yang dilakukannya di kemudian hari," katanya.

Mengulas lanjut persiapannya pada AJL27, kata Stacy, dia akan memberi fokus dan ketengahkan aspek vokal kerana lagu Pelangi Senja adalah berentak perlahan.

"Jika nak diikutkan agenda seni padat dengan memenuhi undangan persembahan tapi saya tetap mencari masa untuk buat persiapan untuk AJL kali ini.

"Seperti biasa, saya akan pastikan 'all out' dalam persembahan nanti supaya menarik perhatian juri dan penonton. Saya juga suka dengan konsep AJL 27 yang menggabungkan seni dan muzik kerana tema itu sesuai dengan lagu Pelangi Senja," katanya.

Tidak cukup dengan itu, nama penyanyi yang popular dengan lagu Kasanova dan Kisah Dongeng itu turut tersenarai dalam pencalonan awal menerusi kategori Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 2012.

Seperti AJL 2012, sekali lagi penyanyi ini bersyukur kerana namanya tersenarai dalam pencalonan anugerah popular itu, saban tahun.

"Apabila tercalon ia sudah cukup bermakna buat karier seni saya kerana peminat masih setia mengundi sejak dulu. Kalah atau menang soal kedua kerana ia bergantung pada rezeki seseorang artis itu. Saya juga tidak mahu letak harapan terlalu tinggi kerana jika kalah saya yang berasa kecewa nanti," katanya.

Stacy impi konsert solo

SETIAP artis memiliki impiannya sendiri begitu juga Stacy. Impiannya yang masih belum tercapai ialah ingin mengadakan konsert solo berskala besar di negara ini.

"Terlebih dulu, saya ingin kumpul lapan lagu terbaik sebelum bersiap sedia untuk mengadakan konsert berkenaan. Banyak perkara yang perlu difikirkan sebelum buat konsert kerana saya perlu meyakinkan orang untuk beli tiket terlebih dulu sebelum berani mengadakan konsert solo itu," katanya.

Menyentuh sisi peribadinya pula, Stacy nampaknya tidak dapat mengelak bila ditanya gosip cintanya dengan rakan seperjuangannya, Akim yang masih diperkatakan orang sampai sekarang.

"Apa yang boleh saya katakan kami masih berkawan baik dan saya belum bersedia untuk ke arah yang lebih serius. Apatah lagi, usia saya baru 22 tahun dan masih banyak lagi yang saya ingin capai dalam karier seni sebelum berfikir soal kahwin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09



Usop Kahwin 5?

Posted: 09 Dec 2012 07:49 AM PST

MEMEGANG watak hero dalam filem bukan hanya layak untuk lelaki muda, sebaliknya jika jalan cerita yang dihasilkan menarik di samping gabungan pelakon yang mantap, pelakon berusia juga mampu membuahkan hasil lumayan. Tambahan pula sekarang penonton sudah dapat menilai mutu lakonan seseorang pelakon tanpa memandang usia.

Diberi peluang memegang watak utama sebagai Dr K dalam filem Kahwin 5 Miang Lawan Pailang, ia satu tanggungjawab besar yang perlu digalas oleh Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalullail atau lebih dikenali sebagai Usop Wilcha bagi menarik penonton ke panggung menyaksikan filem itu.

Jika sebelum ini Usop mula dikenali menerusi filem Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah, bekas penyampai radio Hot FM ini tampil lagi dengan filem bergenre komedi Kahwin 5 Miang Lawan Pailang terbitan Showbiz Productions arahan Nizam Zakaria.

Berpeluang bergandingan dengan pelakon hebat seperti Norish Karman, Dian P Ramlee, Marsha Milan Londoh dan Adrea Abdullah, Usop berkata, dia tertarik dengan filem ini bukan hanya kerana genre komedi yang ditampilkan sebaliknya jalan ceritanya.


"Seperti yang kita ketahui, orang lelaki dibenarkan berkahwin empat malah filem lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Madu Tiga juga cukup popular sehingga kini. Tetapi apabila wujudnya kahwin lima pasti menjadi tanda tanya semua, bagaimana boleh timbul masalah kahwin lima.


"Apa yang saya lihat wujud keserasian pada keempat-empat isteri Dr K di mana isteri pertamanya lakonan Dian P Ramlee begitu baik dan pandai melayan tiga madunya yang lain sehingga saya pernah terfikir alangkah baiknya jika situasi ini benar-benar berlaku di luar sana dan boleh mengurangkan masalah perceraian," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Kahwin
5 Miang Lawan Pailang di Damansara baru-baru ini.

Mengakui tidak dapat lari daripada melakonkan watak komedi, Usop berkata, semua ini atas kehendak pengarah yang mana mereka melihat watak dan pembawakan
dirinya lebih terarah kepada komedi.

"Saya tidak menafikan semua orang beranggapan saya seorang yang kelakar selepas menyaksikan watak saya dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan sejak itu banyak tawaran lakonan yang diterima adalah watak lucu.

"Terpulang pada pandangan masing-masing dan saya berusaha mengikut kehendak pengarah jika mereka mahukan saya berlakon watak kelakar saya harus melaksanakannya.

"Disebabkan ekspresi dan watak yang dilakonkan juga ramai yang melabel saya seorang yang lucu dan saya tidak ada masalah untuk menerima pandangan itu," katanya.

Mengulas pengunduran dirinya daripada stesen radio Hot FM, Usop berkata ia tidak dipengaruhi oleh sesiapa tetapi tuntutan kerja dan ingin lebih fokus terhadap satu bidang iaitu lakonan membuatnya nekad dengan keputusan
itu.

Baginya, dia lebih selesa berada di set penggambaran kerana sukakan suasana dapat berkumpul bersama rakan artis dan kru di samping dapat berkongsi pengalaman masing-masing.

Malah dia sedikitpun tidak menyesal dengan keputusan yang dibuat kerana sudah memikirkan sedalam-dalamnya mengenai keputusan itu. Dia sepatutnya menamatkan kontrak bersama stesen radio Media Prima itu pada Jun tahun depan meminta diawalkan sehingga 30 November lalu.

"Usia saya bukan muda lagi, bila terlalu sibuk dan terkejar-kejar terasa masa untuk bersama keluarga semakin kurang.

"Empat tahun berkahwin saya kini dikurniakan seorang anak berusia dua tahun dan pastinya saya mahukan lebih masa bersamanya.

"Tetapi tuntutan kerja yang tidak menentu apabila habis saja di konti saya perlu lari ke lokasi penggambaran membuatkan saya harus memilih satu keputusan demi keselesaan bersama.

"Justeru saya memilih untuk lebih fokus terhadap bidang lakonan selain beberapa projek penulisan skrip untuk filem Mamat Khalid serta promosi beberapa filem lakonan saya yang bakal ditayangkan tidak lama lagi antaranya Kahwin 5," katanya.

Selain itu, Usop juga sedang giat melaksanakan sebuah lagi program bual bicara yang akan dihoskannya sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved