Selasa, 11 Disember 2012

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Nak ikut jejak Maya Karin

Posted: 10 Dec 2012 05:30 AM PST

SELEPAS Aaron Aziz dan Adi Putra mencipta nama sebagai pelakon popular di Malaysia, kini seorang lagi anak jati Kota Singa sanggup menyeberangi Selat Tebrau untuk mencuba nasib. Atikah Suhaimie, gadis jelita yang bernaung sebagai bakat baru di bawah Metrowealth Pictures (MIG).

Baru berusia 21 tahun, Atikah yang juga anak kedua daripada tiga beradik disunting penerbit terkenal, David Teo menerusi Instagram. Hanya di laman maya, David memintanya menghantarkan maklumat peribadi diri kepada MIG sekiranya Atikah berminat dalam kerjaya seni dan ingin menjadi seorang pelakon.

Menerusi maklumat dihantar dalam Instagram itu, Atikah kemudian ke negara ini menjalani sesi uji bakat yang diadakan MIG. Namun, Atikah berkata pada mulanya dia juga bimbang dengan tawaran diberikan David kerana mereka belum pernah berjumpa dan berkenalan pun hanya di Internet.

"Saya tahu David seorang penerbit filem terkenal di Malaysia. Bagaimanapun, apabila tawaran diberikan itu datangnya daripada individu yang saya kenali di Internet, maka perasaan risau dan was-was tak mampu dielak. Apatah lagi, saya sedia maklum kenalan di Internet tidak semuanya boleh dipercayai.


"Di Internet, ramai individu suka menyamar. Jadi, haruslah saya tidak mahu menjadi salah seorang mangsanya. Pun begitu, tak dinafikan saya juga memang meminati bidang seni sejak kanak-kanak lagi. Malah, ketika persekolahan dulu pun saya juga sering menjayakan projek lakonan," katanya mesra berbicara.


Ditanya apa yang menjadi kekuatannya untuk mencuba nasib di negara ini, Atikah berkata, restu ibu dan bapanya membuatkan dia berani untuk berhijrah ke Malaysia dan membina karier sebagai anak seni. Apatah lagi, keyakinan daripada David membuatkan ibu bapanya yang bersikap terbuka merestui.

"Saya nekad untuk menjadi pelakon di Malaysia dan berkorban meninggalkan karier tetap sebagai eksekutif akaun dan pemasaran di Singapura. Malah, tak sangka juga saya berjaya dalam uji bakat di MIG yang sekali gus membuka ruang kepada saya berlakon dan membintangi filem pertama, Lagenda Budak Hostel.

"Di bawah bimbingan pengarah Ismail Bob Hasim, saya gembira mendapat banyak tunjuk ajar. Ditambah lagi, dalam filem itu saya memperoleh peluang sangat berharga kerana bekerjasama dengan ramai pelakon berpengalaman. Sebagai orang baru, mereka sangat baik dan selalu membantu saya.

"Jadi, saya gembira dapat berlakon di Malaysia walaupun ketika di Singapura dulu pernah juga berlakon. Saya membintangi dua drama iaitu Dikir Puteri sebagai Jasmin, seorang pelajar sekolah dan Deli Catensen, sebuah info drama berkonsepkan masakan. Ketika itu, saya bergandingan dengan pelakon baru.

"Tetapi senario yang saya lalui di Singapura tidak sama di negara ini. Macam saya katakan, biarpun Lagenda Budak Hostel adalah percubaan awal saya di Malaysia, namun gandingan diberikan bukan calang-calang pelakon. Walaupun baru, saya mendapat kepercayaan beraksi bersama pelakon senior," katanya.

Enggan melepaskan peluang yang sudah berada dalam genggaman, Atikah berkata, dia akan gigih berusaha dan memastikan masyarakat di negara ini mampu menerima kehadirannya dengan bakat lakonan dipersembahkan. Bahkan ujarnya, dia juga seorang yang suka belajar dan tidak malu bertanya.

Berbicara mengenai pelakon Malaysia yang diminatinya, tanpa berselindung Atikah berkata aktres jelita, Maya Karin adalah bintang pujaannya. Ujar gadis yang cukup menyayangi kucing ini, dia cukup kagum dengan lakonan Maya dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam yang disifatkan begitu berkesan.

"Sejak persekolahan dulu pun saya memang suka menonton lakonan Maya dan sentiasa berangan-angan nak tiru gaya lakonannya. Justeru, Maya adalah ikon yang saya jadikan panduan untuk menjadi seorang pelakon berjaya suatu hari nanti. Pada saya, Maya pelakon yang bijak bermain mata.

"Permainan mata dipersembahkan Maya mampu untuk saya merasai emosi watak dilakonkannya. Sebagai peminat, saya juga menyimpan impian supaya suatu hari nanti dapat berlakon di sampingnya. Apapun, semua ini bergantung kepada peluang dan jika memperolehnya saya pasti takkan menolak," katanya.

Mengikat kontrak bersama dengan MIG selama lima tahun, Atikah juga ditanya mengenai pandangannya terhadap kejayaan beberapa pelakon kelahiran Singapura seperti Aaron Aziz dan Adi Putra. Ujarnya, dia hanya melihat kejayaan mereka sebagai sumber inspirasi untuk membantunya mencapai kejayaan juga.

Menyentuh juga mengenai tawaran lakonannya yang dirancang MIG selain filem, anak tunggal perempuan dalam keluarga itu memaklumkan dia juga membintangi drama Rawan di samping pelakon seperti Faralyna Idris dan Fadzil Zahari.
Melakonkan watak Julia, katanya ia cukup mencabar sebagai wanita simpanan.

"Tak dinafikan, saya berasa janggal ketika mula-mula mendapat watak ini. Apatah lagi, ia watak antagonis dan gelap. Justeru, sebagai orang baru, saya bimbang juga memikirkan bagaimana reaksi dan penerimaan masyarakat terhadap diri ini.
Pun begitu, saya sedar harus berani mencuba kerana itulah cabarannya.

"Malah, saya juga sudah memaklumkannya kepada keluarga. Mujur mereka faham dan tidak menghalangnya. Tetapi, pada masa juga mereka mengingatkan saya supaya tidak keterlaluan beraksi kerana harus menjaga nama baik keluarga. Jarak jauh dari mereka kini juga bukan tiket untuk saya bebas," katanya.

Berbicara soal perancangan masa depannya di negara ini, Atikah berkata, semuanya diserahkan kepada takdir. Ujarnya, terlalu awal juga untuknya memikirkan perancangan akan datang kerana baru saja menjadi pelakon. Apapun, katanya dia belajar erti kehidupan daripada pengalaman dilalui.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10



Unsur lucah bawa padah

Posted: 10 Dec 2012 05:17 AM PST

SEJAK minggu ketiga lagi, kumpulan Dadidu, Pimai dan Balas berada di tangga tiga terbawah dan kedudukan itu kekal sehingga minggu keempat yang akhirnya menjadi penamat perjuangan mereka.

Cuma di antara tiga kumpulan yang sebelum ini bagai kekontangan idea, Balas menampakkan peningkatan apabila persembahan jenaka mereka di Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM2012) yang bersiaran langsung dari Dewan MBSA, Shah Alam, berjaya menggeletek hati penonton.

Malangnya, Balas tersilap langkah sama ada secara sengaja atau tidak disengajakan memperkatakan sesuatu berunsur 'double meaning' di akhir persembahan mereka sehingga menyebabkan gagal mendapat markah yang baik daripada juri yang dibarisi oleh Awie, Wulan, Lisa Surihani dan Najip Ali.

Mengimbas kembali kenyataan panas salah seorang anggota Balas sewaktu persembahan berbunyi: "Kena letak air liur atas kepala baru senang masuk".


Situasi itu sebenarnya dijelaskan sebagai petua orang tua-tua, jika mahu ilmu senang masuk cara ("kena letak air liur atas kepala baru senang masuk") patut dilakukan.


Bagaimanapun, gara-gara kenyataan berkenaan ia membawa padah kepada Balas sehingga menyebabkan mereka tersingkir.

Awie menerusi komentarnya, berkata: "Sebagai juri saya sendiri tidak senang dengan lawak 'double meaning', lawak, tetapi bunyinya kotor di telinga. Sebelum ini pun ramai penonton sedia maklum dengan persembahan Balas yang selalu 'double meaning'. Tapi harus diingat program ini ditonton seisi keluarga dari anak kecil sehingga dewasa."

Manakala Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai, menerusi keterangan dalam sidang media yang diaturkan sesudah usai siaran MLM2012, berkata,
demi menjaga kandungan program pihaknya mewujudkan sistem pemarkahan.

"Balas ada memaklumkan kepada saya mereka tidak berniat untuk mengutarakan sesuatu berbaur fitnah. Namun, dalam keadaan tergesa-gesa menyebabkan dialog mereka tidak lengkap. Apa yang cuba dimaksudkan mereka kena letak air liur pada kepala benang baru senang masuk."

"Apapun, kesilapan sudah dilakukan dan inilah risikonya apabila membabitkan program siaran langsung. Yang terjadi tidak boleh ditarik semula. Harus diingatkan kepada peserta supaya tidak lagi menggunakan lawak 'double meaning'.

"Sebagai pihak penerbitan dan penyiar, Astro sangat mengambil kira sensitiviti masyarakat dan memastikan setiap program kita tidak menyinggung perasaan umum.

"Justeru itu, menerusi program MLM2012 kami wujudkan sistem pemarkahan di mana juri boleh mengurangkan markah bagi kumpulan yang membuat jenaka 'double meaning'.

"Saya secara peribadi berpendapat, peserta sebenarnya perlu lebih kreatif dalam mencari bahan iaitu dengan membuat kajian daripada mengambil jalan singkat dengan mengenengahkan lawak murahan. Saya berasa kagum dengan kumpulan yang tidak bergantung dengan lawak murahan tetapi menggunakan isu semasa kemudian menyuntik elemen komedi dalam persembahan.

"Saywho antara kumpulan yang mempunyai kepakaran ini dan saban minggu mereka memikat rakyat Malaysia dengan mengutarakan isu yang dekat di hati masyarakat negara ini. Bagaimanapun, untuk persembahan malam ini kumpulan R2 mengejutkan juri dan persembahan mereka mendapat pujian," katanya.

R2 bagaimanapun diumumkan lima kumpulan yang berada di tangga terbawah selain The Bandung Jokers. Pun begitu, mereka terselamat daripada penyingkiran.

Secara keseluruhan peserta kegemaran Jozan yang dianggotai Zizan dan Johan, masih lagi menguasai dan mendahului pertandingan diikuti kumpulan Jambu.

Malam bertemakan 'Mengayat' yang dikendalikan pengacara Datuk AC Mizal itu, turut menampilkan persembahan kumpulan Shiro, Sabon dan Boboi, iaitu tiga daripada tujuh kumpulan yang masih meneruskan perjuangan pada minggu kelima.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved