Sabtu, 15 Disember 2012

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Dadah kotak tisu

Posted: 14 Dec 2012 02:12 PM PST

KUALA LUMPUR: Menyembunyikan dadah dalam kotak dan dibawa menggunakan plastik kedai serbaneka 24 jam. Itulah helah digunakan kumpulan pengedar dadah kecil-kecilan dalam menjalankan aktiviti pengedaran dadah mereka.

Namun, hasil maklumat awam dan risikan, empat lelaki masing-masing dua warga Pakistan dan dua Nigeria ditahan dalam dua serbuan berasingan membabitkan nilai rampasan RM280,000.


Difahamkan, ketika ditahan polis menemui dadah dalam kotak tisu dan kotak kasut yang diletakkan dalam plastik kedai serbaneka bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Superintendan Adnan Azizon berkata, dalam serbuan pertama Ahad lalu kira-kira jam 9 malam, polis menahan dua lelaki warga Pakistan berusia 27 dan 28 tahun.


"Kedua-dua suspek terbabit ditahan di tempat letak kenderaan di Cap Square, Jalan Munshi Abdullah. Hasil penahanan itu, kami menemui 1.6 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu.


"Nilai rampasan dianggarkan lebih RM170,000. Malah, ujian saringan air kencing kedua-duanya juga positif dadah," katanya ketika sidang media di IPK Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Beliau berkata, suspek direman hingga esok untuk siasatan lanjut dan pihaknya percaya mereka adalah pengedar dadah kecil-kecilan di sekitar Lembah Klang.


Suspek yang bekerja di kedai menjual pakaian dikesan melakukan aktiviti pengedaran dadah sebagai pendapatan sampingan sejak empat tahun lalu.

Bagi kes kedua, Adnan berkata, pihaknya menahan dua lelaki warga Nigeria berusia 27 tahun pada Rabu lalu kira-kira jam 6 petang di sebuah hotel bajet di Cheras, di sini.


"Hasil pemeriksaan menemui dadah jenis syabu 996 gram dengan nilai rampasan berjumlah RM112,000. Mereka ditahan reman bermula semalam (kelmarin) hingga 19 Disember ini.


"Kedua-dua suspek dikesan masuk ke negara ini tahun lalu menggunakan pas pelajar. Siasatan mendapati mereka belajar di institut bahasa di Taman Maluri dan ibu kota," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15



Jasad ditemui hanyut 5km

Posted: 14 Dec 2012 02:09 PM PST

KAJANG: Suasana sedih dan pilu menyelubungi keluarga dua remaja yang lemas di Sungai Langat, di sini sejak Rabu lalu sebaik mayat kedua-duanya ditemui, semalam.

Difahamkan, mayat Mohammad Syawal Azhari, 17, ditemui tersangkut di tebing sungai kira-kira jam 7.45 pagi oleh anggota bomba yang melakukan pemeriksaan permukaan sungai manakala mayat adiknya, Mohammad Tarmizi Azhari, 13, ditemui terapung oleh abang mangsa yang turut menjalankan gerakan mencari dan menyelamat, kira-kira 15 minit kemudian.


Mohammad Syawal ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi mereka dipercayai hilang manakala Mohammad Tarmizi pula ditemui berhampiran loji pembersihan air iaitu lima kilometer dari lokasi sama.

Abang mangsa, Mohd Mustakim Azhari, 22, berkata, dia berada di lokasi kejadian sejak jam 7 pagi dan tidak henti-henti berdoa agar kedua-dua adiknya itu ditemui.


"Tidak ada erti penat atau putus asa melainkan terus berusaha mencari kedua-dua adik yang hilang kerana sudah tidak sanggup melihat ibu dan ayah terus bersedih.


"Saya berdoa agar sesuatu keajaiban akan berlaku hari ini (semalam) yang juga hari Jumaat," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Ariff Mohamed Kassim, berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dihentikan sepenuhnya jam 9 pagi.


Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Hulu Langat selepas solat Asar.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved