AKHIRNYA selepas melihat kebarangkalian dan mendengar keluhan peminat, trio bersaudara yang pernah mencetuskan fenomena menerusi program televisyen Disney, Jonas Brothers sepakat untuk kembali berbincang mengenai perancangan mereka.
Tiga tahun membawa haluan sendiri, berusaha membina empayar secara individu hingga mengetepikan profil saudara yang ada, Jonas Brothers yang dianggotai abangnya yang kini berusia 25 tahun, Paul Kevin Jonas II, Joseph Adam Jonas, dua tahun lebih muda dan si kecil berusia 20 tahun, Nicholas Jerry Jonas melihat 'bersatu dan bersama' adalah alternatif terbaik.
Peluang menemubual ketiga-tiga saudara ini awal minggu lalu menerusi Skype secara langsung dari New York memberikan perspektif baru mengenai perjuangan muzik dan perancangan terbaru mereka.
Menurut abang sulungnya yang sinonim dengan panggilan Kevin menyifatkan Jonas Brothers adalah sebuah biografi muzik keluarga yang acap kali memberikannya nafas dan inspirasi.
Meskipun tidak bersama serta mencatur langkah secara individu, dirinya yakin dan percaya keserasian yang ada akan berkekalan dan menjadi formula terbaik dalam menghasilkan naskhah berkualiti.
"Akhirnya kami mengambil keputusan untuk kembali bergabung selepas membuka ruang lebih tiga tahun membina kerjaya dan projek masing-masing. Kami sengaja berasingan sementara kerana sebaik memenuhi rangka promosi album keempat, Lines, Vines and Trying Times, kami lihat ada baiknya saya dan dua adik saya mengejar impian yang masih belum tercapai.
"Maklumlah kami bermula sejak awal bersama, dari program Disney hingga ke hari ini, kami bertiga sudah terikat dengan genre dan percaturan Jonas Brothers sendiri sedangkan saya tahu kedua-dua adik saya punya visi dan objektif berlainan.
"Oleh itu, peluang yang ada untuk kami memikirkan kreativiti masing-masing terlebih dulu dan mengukur sejauh mana kemampuan kami.
"Justeru, selepas lebih tiga tahun, Joe dan Nick yang sudah puas melihat kredibiliti sendiri tanpa Jonas dan mengembangkan kreativiti masing-masing dalam mengukuhkan empayar muzik secara solo, mereka kembali ingin meneruskan perjuangan kami bersama," katanya.
Tambah Kevin yang dilahirkan di Wyckoff, New Jersey dan kini sudahpun berkahwin dengan wanita pilihannya, Danielle Deleasa, 25 tahun pada Disember 2009, menyifatkan tempoh tiga tahun membawa haluan sendiri adalah ruang terbaik buat mereka bertiga berehat dan menumpukan pada kehidupan peribadi masing-masing.
"Saya bertuah kerana dipertemukan dengan Danielle dan kami mengambil keputusan untuk berkahwin. Kiranya dalam tempoh kami berehat seketika daripada Jonas Brothers, setidak-tidaknya saya berpeluang menumpukan perhatian kepada kehidupan baru sebagai suami. Ia satu pengalaman paling manis dan indah kerana itulah yang selalu saya inginkan sejak dulu.
"Bangun pagi dan melihat wanita yang paling saya cintai berada di sebelah.
Bukan saja menjadi sahabat yang menemani hidup seharian, malah Danielle saya sifatkan sebagai inspirasi yang memberikan ilham setiap hari," katanya yang bertemu isterinya pada musim bunga lima tahun lalu di Bahamas ketika bercuti bersama keluarga.
Kevin dan Danielle akan muncul dalam program realiti terbitan saluran E! berjudul Married to Jonas yang turut menampilkan Joe dan Nick dalam membongkar kehidupan perkahwinan pasangan muda ini.
Nick pula yang dilahirkan di Dallas, Texas berjaya membina nama dan jenama lakonannya sendiri menerusi siri Smash yang disiarkan di saluran NBC, selain diberikan kepercayaan menggantikan watak Daniel Radcliffe dalam How to Succeed in Business Without Really Trying on Broadway.
Abangnya, Joe kini sedang bersiap sedia untuk membintangi beberapa filem termasuk ingin bergelar penerbit selepas menjadi bintang undangan siri TV, Hot in Cleveland.
Jelas Joe kelahiran Casa Grande, Arizona yang sebelum ini pernah membintangi drama siri Band in a Bus dan Night at The Museum: Battle of The Smithsonian, sudah tiba masanya mereka kembali bersatu untuk mengubati rindu peminat yang tidak jemu menanti kehadiran mereka.
"Kami rasa 2012 adalah jawapan kepada segala persoalan yang selama ini peminat nantikan. Selepas tiga tahun berehat, akhirnya Jonas Brothers muncul dengan satu persembahan jelajah istimewa seluruh dunia bagi menghiburkan mereka," katanya bersemangat.
Kumpulan yang mula mencetuskan fenomena di seluruh dunia melalui filem keluaran Disney iaitu Camp Rock dan juga sekuelnya, Camp Rock 2: The Final Jam pada sekitar 2009 ini sudah banyak kali menerima pengiktirafan seluruh dunia termasuk Anugerah Muzik Amerika, Teen Choice Award serta beberapa anugerah lain.
Bakal menggegarkan Stadium Negara pada 24 Oktober ini dengan konsert sulungnya di negara ini, Jonas Brothers sudah lebih awal menyusun sesuatu yang istimewa untuk dikongsi dengan peminat.
Jelas Nick yang tampak lebih ceria di samping dua abangnya ketika berinteraksi bersama wakil media menerusi Skype pagi itu menyifatkan Malaysia sebagai sebuah destinasi yang amat dinantikan memandangkan ramai peminat mereka di sini yang selalu bertanyakan bila agaknya Jonas Brothers akan datang ke Malaysia.
"Walaupun kami berehat seketika, namun masing-masing masih rajin melayan pertanyaan peminat terutamanya daripada facebook dan twitter.
Memang ramai yang bertanya bila untuk kembali dan Malaysia juga antara negara di Asia yang acap kali kami terima ucapan dan pertanyaan.
Justeru, dengan kehadiran kami menerusi konsert sulung ini, saya harap mereka akan hadir untuk berhibur bersama kami," katanya.
Jonas Brothers sedia untuk menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu popular mereka yang dipetik daripada empat album studio mereka termasuk It's About Time yang diterbitkan pada 2006, Jonas Brothers (2007), A Little Bit Longer (2008) dan Lines, Vines and Trying Times, setahun kemudian.
Jonas Brothers yang popular dengan lagu Mandy, Hold On dan Time For Me To Fly menyifatkan jelajah sulung mereka ke Asia sebagai satu eksperimen berani untuk mendekatkan diri dengan peminat di sini.
Tambah Kevin, inilah peluang yang mereka ada untuk mendengar sendiri keseronokan dan nyanyian peminat di sini yang tidak pernah ditemui mereka.
"Ada yang pernah ke Asia namun semuanya secara berasingan ketika sibuk membawa jenama masing-masing. Kiranya ini adalah pengembaraan kami ke Asia secara rasmi bersama," katanya berjenaka.
Tiket bagi menyaksikan konsert Jonas Brothers pada 24 Oktober di Stadium Negara ini berharga RM88, RM188, RM238 dan RM288. Tiket boleh didapati menerusi TicketCharge Online dengan melayari ticketcharge.com.my.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15