Isnin, 24 Disember 2012

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


90 minit milik Nazmi

Posted: 23 Dec 2012 07:29 AM PST

'PENYAKIT misteri' yang dialami Muhamad Nazmi Faiz Mansor kini sudah tidak lagi membelenggu pemain muda berbakat negara itu apabila dia kini dilaporkan mampu beraksi sepanjang permainan.

Pemain berusia 18 tahun itu sebelum ini mencetuskan rasa 'bingung' jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee apabila dia hanya boleh bertahan sekurang-kurangnya 60 minit permainan sebelum terpaksa dikeluarkan akibat kekejangan otot.


Namun hasil latihan dan perlawanan berkualiti bersama kelab barunya, S C Beira-Mar di Portugal sejak Julai lalu, ia ternyata memberi kesan positif.

Kim Swee berkata, beliau amat gembira dengan perkembangan terbaru itu memandangkan Nazmi antara tonggak utama dalam skuad bawah 23 tahun negara (B-23) yang bakal memikul misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar hujung tahun depan.


"Saya sentiasa memantau prestasi Nazmi di sana (Portugal) dan apa yang menggembirakan saya, dia tidak lagi mengalami kekejangan otot ketika beraksi, ini satu petanda positif.


"Dia memaklumkan kepada saya, corak latihan yang berbeza dan beraksi bersama pemain yang berkualiti banyak membantunya meningkatkan prestasi. Buat masa ini saya tidak mahu mengganggu program Nazmi bersama S C Beira-Mar, tapi saya sudah membuat perancangan untuk membawanya berlatih bersama skuad negara," katanya kepada Arena Metro semalam.

Nama Nazmi mula menjadi sebutan apabila beraksi cemerlang ketika membantu skuad B-23 negara mempertahankan pingat emas di Sukan Sea Jakarta, tahun lalu meskipun mendapat panggilan saat akhir Kim Swee.


Ketika ini pemain kelahiran Kuala Lumpur itu beraksi dengan skuad bawah 19 tahun, S C Beira-Mar dan sedang berusaha untuk mencari tempat dalam skuad utama.

Menurut Kim Swee, beliau tidak bercadang memanggil Nazmi dalam masa terdekat ini, namun menyatakan pemain itu akan turut serta bersama pasukannya ketika menjalani latihan dan perlawanan persahabatan di Eropah dan juga kejohanan Pestabola Merdeka, Ogos depan.


"Kami akan berpangkalan di Slovakia bermula Mac hingga Julai ini dan dalam tempoh itu, saya akan memanggil Nazmi jika dia tidak terikat dengan perlawanan bersama kelabnya. Saya juga akan cuba mendapatkan khidmatnya bagi Pestabola Merdeka sebelum ke Sukan Sea Myanmar," katanya yang menyaksikan anak buahnya menumpaskan Sime Darby FC 2-1 dalam aksi persahabatan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


Selain Nazmi, Kim Swee juga akan memanggil pemain luar daripada Harimau Muda A seperti Mohd Zubir Azmi (Terengganu) dan Nik Shahrul Azim Abd Halim (Kelantan) sekiranya mereka beraksi cemerlang bersama pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia.


Setakat ini, Harimau Muda A yang menjadi teras skuad B-23 negara dibarisi 27 pemain dan bakal memulakan persiapan pertama dengan mengadakan sisi jelajah Australia hujung bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23



Gah tewaskan Singapura

Posted: 23 Dec 2012 07:26 AM PST

SELEPAS 15 tahun menunggu, skuad ragbi Malaysia sekali lagi mengesahkan penguasaan mereka ke atas Singapura apabila memenangi Perisai Cabaran Seberang Tambak (Causeway Challenge Shield) di antara kedua-dua negara itu di Mini Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi kelmarin.

Perlawanan persahabatan antara kedua-dua negara itu yang membabitkan skuad bawah 23 tahun menyaksikan tuan rumah menang dengan 31-14. Kemenangan ke-13 mereka dalam siri itu yang diadakan semula selepas 15 tahun tidak dipertandingkan sejak 1997.


Kejohanan itu sebelum ini dikenali sebagai Perisai Persahabatan Bawah 23 (Under-23 Friendship Shield) dikuasai Malaysia dari 1985 hingga 1996.

Malaysia mengambil masa lima minit selepas perlawanan bermula apabila Sheikh Mohamed Harris melakukan try pertama dari bahagian tepi kanan. Nasreen Fitri nyata tidak mengecewakan dengan conversion dari jarak 30 meter bagi membolehkan Malaysia mendahului 7-0. Singapura, dikenali sebagai Singapore Colts yang diketuai Low Feng Hwa, bangkit selepas kejutan awal itu dan dihadiahkan penalti pada minit berikutnya. Bagaimanapun, sepakan flyhalf Constantine Denis tersasar.


Begitupun, 300 penonton yang hadir dihidangkan dengan persembahan menarik pemain Malaysia apabila ketua pasukan, Faridzal Ismail berlari 40 meter untuk melakukan try dari sebelah kiri manakala conversion Nazreen sekali lagi menjadi apabila memberikan tuan rumah pendahuluan 14-0.


Malaysia yang terlepas peluang penalti beberapa minit kemudian kembali menguasai apabila semakin menjarakkan diri. Kali ini menerusi try Azril Izwan Musa pada minit ke-28 dengan Nazreen meletakkan negara mendahului 21-0.

Tiga minit kemudian, pemain Singapura Alvin Ho melakukan try dan kali ini Denis tidak menghadapi masalah menjadikan kedudukan 21-7 sebelum rehat.


Separuh masa kedua menyaksikan saingan sengit ketika pemain muda Malaysia yang menaruh harapan untuk disenaraikan dalam skuad senior, menguasai sebahagian besar perlawanan, mendahului 31-7 menerusi try Anwarul Hafiz Ahmad (m60) dan Faridzal (m72). Singapura bangkit dalam masa kecederaan menerusi usaha Ho dan Dennis untuk perlawanan itu berakhir dengan 31-14.

"Rancangan kami berjalan lancar dan saya begitu gembira dengan kemenangan ini. Kami lebih banyak menguasai bola pada kedua-dua separuh masa dan memanfaatkan peluang dengan baik," kata pengurus pasukan Malaysia, Razbi Abdul Razak. "Perlawanan ini baik untuk kedua-dua negara kerana kami tidak selalu mendapat peluang menguji pemain muda dalam perlawanan antarabangsa."

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved