Khamis, 31 Januari 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Shahidan tutup mulut

Posted:

Alor Setar: "Saya tak nak komen apa-apa. Saya baru balik daripada lawatan ke Gaza," kata Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang masih berteka-teki sama ada sudah menerima surat pendakwaan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau sebaliknya.

Shahidan berkata, setakat ini, beliau belum menerima apa-apa surat pendakwaan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kritikan 'pedas' dibuatnya bagi menuntut transformasi dalam FAM yang menjadi isu panas, sejak akhir-akhir ini.


"Saya tak baca surat khabar lagi... saya baru pulang dari Gaza, dalam (laman sosial) Facebook saya pun tiada siapa yang maklumkan mengenai perkara itu.

"Saya tidak tahu, saya tak fikir lagi... yang saya fikir macam mana nak bayar gaji pemain. Tiap-tiap bulan nak bayar gaji RM170,000. Mungkin pemberita boleh tolong fikirkan untuk saya macam mana nak bayar gaji," katanya berseloroh.


Sebelum itu, beliau disambut kira-kira 100 penyokongnya sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini, kira-kira jam 8 malam tadi.


Ketika ditanya perkembangan terbaru setakat ini, beliau terus mengulangi 'saya hanya fikir macam mana nak bayar gaji pemain saja buat masa ini.' "Saya turun KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), terus mai (datang) sini... tak baca apa lagi. Saya tak nak komen lagi selagi tak dapat surat.

"Saya bukan mencari masalah, tapi kebenaran. Bagi saya, ini perjuangan. Perjuangan, sana sini mesti berlaku," katanya.


Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Shahidan mungkin dikenakan tindakan tatatertib berikutan kenyataannya yang menuntut transformasi dalam FAM bagi memastikan badan induk bola sepak tanah air itu mendapat sokongan ramai pihak.

Transformasi yang dituntut bekas Menteri Besar Perlis itu turut menjurus kepada kesediaan FAM membantu pasukan yang mempunyai masalah kewangan.


Berdasarkan Artikel 88, hanya Presiden dan Setiausaha Agung dibenarkan membuat kenyataan. Sekiranya ada di kalangan mereka yang di bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, mereka perlu meminta kebenaran kongres terlebih dulu.


Shahidan dalam reaksi balas terhadap kes itu, baru-baru ini menyuarakan sudah bersedia mengadap Jawatankuasa Tatatertib FAM sekiranya dipanggil berbuat demikian.


Untuk rekod, sebelum ini Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa pernah menjadi mangsa Artikel 88 apabila digantung dua tahun enam bulan pada April tahun lalu atas kesalahan mengkritik prestasi skuad kebangsaan.


Sebelum itu, Naib Presiden, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menjadi pegawai pertama FAM yang dihukum pada 1991, disusuli Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil pada 1991 dan 2007.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Zambia berduka

Posted:

Nelspruit: Juara bertahan, Zambia tersingkir daripada saingan Piala Negara-Negara Afrika manakala bintang Chelsea, Victor Moses membantu Nigeria mengiringi Burkina Faso ke suku akhir.

Kumpulan C menyaksikan saingan sengit dan Moses menyempurnakan dua sepakan penalti untuk menewaskan Habsyah, 2-0 dan meletakkan Nigeria di tangga kedua kumpulan di belakang Burkina Faso.


Bagaimanapun Zambia terpaksa pulang awal, juara bertahan pertama tersingkir awal sejak Algeria pada 1992 yang tersingkir pada pusingan pertama.

Mereka menghuni tangga ketiga selepas mencatat keputusan seri kali ketiga berturut-turut, kali ini seri tanpa jaringan dengan Burkina Faso.


Dibimbing jurulatih dari Belgium, Paul Put, benteng pertahanan Burkina Faso begitu ampuh manakala Zambia bergelut ketika melakukan penyudah.


Namun, dengan baki 11 minit, Zambia bagaimanapun masih berada di landasan tepat untuk menyingkirkan Nigeria yang menduduki tangga kedua.

Andai berkongsi mata serta jaringan, mereka masih menjadi pasukan pilihan ke suku akhir kerana mengumpul kad kuning serta kad merah lebih sedikit berbanding Nigeria.


"Kemenangan ini untuk rakyat Nigeria, di mana saja mereka berada," kata jurulatih, Stephen Keshi.

"Inilah masanya meraikan kejayaan. Kini kami bertemu pasukan pilihan, Ivory Coast pada suku akhir dan pastinya tiada peluang kedua bagi kedua-dua pasukan.


"Saya sudah mempunyai taktik yang akan diterapkan tapi ia untuk pemain bukan untuk anda." Put berjaya menaikkan semangat pemainnya bagi merealisasikan peluang terbaik mencipta sejarah dan ternyata mereka tidak mengecewakannya.


"Mereka beraksi dengan baik. Kami menjangkakan Zambia beraksi dengan corak menyerang dan kami berjaya bermain secara bertahan.


"Meskipun tidak menarik, tapi kadang kala perlu lebih realistik dalam bola sepak. Yang penting layak ke saingan seterusnya," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved