Ahad, 17 Februari 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Masih belum terlambat

Posted:

Melaka: Atlet olahraga negara harus berjiwa kental dan memasang impian besar untuk meletakkan negara kembali memiliki raja pecut yang digeruni di peringkat Asia Tenggara dan Asia malah mampu bersaing di persada dunia.

Bekas raja pecut Asia, Rabuan Pit tidak pernah menganggap peluang menyaksikan negara kembali memiliki jagoan 100m sudah tertutup berikutan negara memiliki kemudahan mencukupi untuk membentuk lebih ramai atlet berwibawa.


Malah dengan kemudahan latihan mencukupi selain sekolah sukan dan venue pertandingan yang lengkap, bukan masalah untuk melahirkan lebih ramai raja pecut.

Dia yang masih mengikuti perkembangan atlet muda negara termasuk pentas Sukma XV Pahang menganggap olahraga mempunyai ramai atlet berbakat.


Dengan dorongan tinggi kerajaan, Kementerian Belia dan Sukan serta agensi awam, swasta, dan badan bukan kerajaan (NGO), Rabuan yakin ramai jagoan cemerlang bakal berjaya di bentuk.


Namun yang penting katanya, mereka harus lebih fokus dan meningkatkan disiplin serta keazaman dalam misi melonjak imej negara dalam sukan terbabit.

Foto

Rabuan Pit

"Semuanya terletak dalam diri atlet itu sendiri. Fokus amat penting terutama bagi menjulang misi negara selain mengikuti sesi latihan dengan berdisiplin.


"Jika tiada disiplin dalam diri atlet di dalam dan luar gelanggang, sudah pasti negara akan terus ketandusan bakat dalam acara itu.

"Atlet sekarang bertuah kerana memiliki kemudahan yang lengkap berbanding era saya dulu," katanya.


Jauh di sudut hatinya, dia mengharapkan ada atlet muda mampu mewarnai acara terbabit berikutan kemunculan nama baru amat penting dalam misi membolehkan olahraga kembali mendapat tempat di hati masyarakat.


Anak kelahiran Merlimau Melaka itu turut melayakkan diri beraksi di pentas Olimpik 1980 namun langkah kerajaan memboikot sukan itu menyaksikan impiannya melakukan kejutan berkecai.


Tidak berkesempatan menjulang nama negara di pentas pertarungan itu, dia bagaimanapun tetap puas muncul gelaran manusia terpantas Asia dua tahun selepas itu.


Kekecewaan gagal ke Olimpik ditebus Rabuan di Stadium Jawaharlal Nehru, New Delhi India sekali gus memungut emas pertama selepas 11 hari kemarau pingat sambil mengelak kedudukan tangga tercorot buat kontinjen negara.


Kejayaan itu menyaksikan seluruh Asia terkejut selepas dia menumbangkan jagoh Qatar, Talal Mansor , Koji Ito (Jepun), Suchart Chairsuvaparb (Thailand) dan Chang Jae-Keun (Korea) di pentas final.


Apapun latihan keras dilalui demi meningkatkan prestasi nyata memakan diri selepas tendon kaki kanannya putus ketika beraksi pada Sukan SEA 1996 hingga menyekat hasratnya untuk terus aktif dan mengintai tempat ke Olimpik sekali lagi.


Dia hanya membuat pusingan kebangkitan pada Kejohanan Olahraga Dunia setahun selepas itu, menduduki tangga keempat di Kanada namun kecederaan berulang memaksa pelari kejohanan dunia Finland 1984 itu melupakan sukan yang pernah mengharumkan namanya dan negara.


Anak bongsu daripada lapan adik beradik itu sebenarnya anak kampung yang ikhlas membanting tulang membantu kedua ibu bapanya menoreh getah, memetik kelapa dan kerja-kerja harian yang dijadikan medium pembakar semangat untuk berjaya dalam kehidupan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

Chelsea pulih imej

Posted:

London: Pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic mengaku pasukannya perlu menyalahkan diri sendiri berikutan prestasi hambar dan kini perlu mengelak daripada diaib Brentford pada perlawanan ulangan pusingan keempat Piala FA, malam ini.

Skuad Rafael Benitez sekali lagi mempamerkan aksi kurang meyakinkan meskipun menewaskan Sparta Prague, 1-0 pada saingan Piala Europa awal pagi kelmarin dan permainan mereka jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan Blues.


Fernando Torres dikritik hebat kerana mensia-siakan dua peluang keemasan untuk meledakkan gol tapi penyerang itu mungkin bukan satu-satunya yang perlu dipersalahkan apabila menjaringkan hanya satu gol dalam 13 penampilan terakhirnya.

Pasukan Liga Kejuaraan, Brentford pasti memasang impian untuk mengecewakan kelab barat London itu dan Chlesea tidak boleh memandang rendah pasukan yang mengikat mereka 2-2 di Griffin, bulan lalu.


Pemain Serbia, Ivanovic akur aksi Chelsea yang kurang konsisten sepanjang kempen ini cukup membimbangkan dan perlu diperbaiki.


"Prestasi kami naik turun musim ini. Kami perlu menilai semula prestasi keseluruhan.

"Kami memiliki banyak perlawanan, bermain setiap tiga hari dalam tempoh empat bulan terakhir. Ia menjadikannya lebih sukar. Kadangkala kami tidak sempat pulih dan tidak mempunyai pasukan yang besar.


"Semua ini menjejaskan keputusan tapi kami perlu lebih tabah. Memandangkan kami mempunyai sedikit masa, kami boleh segera pulih dan bermain lebih baik." Benitez dan Torrez sekali lagi menjadi sasaran kemarahan penyokong selepas perlawanan di Prague dan Chelsea boleh memulihkan keyakinan menerusi kemenangan perlawanan Piala FA di Stamford Bridge.

Blues yang akan menentang Middlesbrough pada pusingan kelima jika menang perlawanan ini sentiasa bangkit daripada permulaan buruk untuk mengakhiri musim dengan penuh bergaya termasuk musim lalu apabila menjuarai Piala FA dan Liga Juara-Juara di bawah kendalian Roberto Di Matteo.


Jaringan penyamaan Torres menyelamatkan Chelsea daripada diaib Brenford pada pertemuan pertama kedua-dua kelab dalam tempoh 63 tahun.


Ivanovic yang membuat penampilan ke-200 bersama Chelsea awal pagi kelmarin, sedar pasukan Benitez perlukan kemenangan untuk memulihkan keyakinan.


Dia harap keputusan di Prague dan kemenangan ke atas Brenford di Bridge membantu mencapai matlamat itu.


"Ini adalah perlawanan penting buat kami bagi mengekalkan momentum.


"Kami perlu memperbaiki keputusan dalam setiap perlawanan, setiap sesi dan berharap semuanya akan berakhir dengan baik." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved