Selasa, 19 Mac 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Perjuangan suami bebaskan isteri

Posted:

Oleh Roslen Fadzil (Yang membuat liputan antarabangsa Django Unchained, baru- baru ini)

Dua trofi yang diraih dalam Academy Awards ke-85, baru-baru ini sudah cukup membuktikan Django Unchained sebuah karya yang unggul daripada pengarahnya, Quentin Tarantino. Selain menang kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi Christoph Waltz, Django Unchained juga memperoleh satu lagi oskar melalui Lakon Layar Terbaik cetusan Tarantino.

Sekali pun bintang utama-nya, Jamie Foxx, tidak dicalonkan dalam acara berprestij itu, peluang berlakon bersama pengarah handalan seperti Tarantino sangat besar ertinya selepas mencipta nama dalam banyak filem yang gah seperti Ali, Collateral, Ray, Miami Vice dan Dreamgirls.

Melalui Django Unchained, Foxx, 45, memegang peranan utama sebagai Django, koboi kulit hitam yang ingin membebaskan isterinya, Bloomhilda (Kerry Washington) daripada kancah hamba abdi di sebuah ladang, dua tahun sebelum meletusnya Perang Saudara di Amerika.

Django bagaimanapun tidak keseorangan kerana dibantu Dr King Schultz (Christoph Waltz) yang kebetulan sedang mencari pembunuh yang sangat dikehendaki kerajaan.


Mereka berdua akhirnya sampai di sebuah ladang milik Calvin Candie (Leonardo DiCaprio) yang berhati kejam dan di situlah babak terjadinya kemuncak kisah yang mendebarkan ini.


Memperkatakan mengenai pembabitannya dalam filem ini, Foxx tidak menolak bahawa dia sememangnya terus jatuh cinta dengan skrip filem itu apabila pertama kali menatapnya.

"Selepas membacanya, saya terus terpegun dengan jalan cerita filem ini. Kemudian saya bertemu Quentin di rumahnya dan memberitahu filem ini akan menjadi satu karya hebat dan unggul.

"Di situ juga saya mula berkongsi apa yang saya tahu mengenai sejarah dunia perhambaan. Saya memang berasal dari wilayah Selatan dan saya bersedia melakonkan watak itu," katanya.

Foxx mengakui dia sangat teruja untuk membintangi Django Unchained kerana watak itu sendiri sangat selari dengan dirinya.

"Seperti yang saya katakan, ia memang kena dengan diri saya lelaki kulit hitam dari wilayah Selatan yang mahu hidup bebas dalam cara saya sendiri. Itulah Django. Django hanya mahukan isterinya semula. Hanya wanita itu dia mahukan.

Dia bukannya hendak menghapuskan perhambaan, sebaliknya mahukan haknya semula," jelas Foxx yang berpendapat filem ini berbeza dengan karya klasik 1960-an, Django arahan Sergio Corbucci, lakonan Franco Nero.

Sebagai persiapan melakonkan peranannya itu, Foxx terpaksa membuat latihan rapi dalam pelbagai aspek antaranya, berlatih menunggang kuda dan mengendalikan senjata api.

"Pertama sekali, saya kena kuruskan badan agar sesuai dengan zaman itu. Saya mahukan bentuk badan yang tepat. Apapun saya lega kerana mendapat persetujuan daripada Quentin untuk menggunakan kuda saya sendiri untuk filem itu. Jadi sebelum penggambaran bermula, kami kena latihkan kuda saya itu agar boleh beraksi dengan baik. Saya juga terpaksa berlatih menggunakan senjata api selama berjam-jam lamanya bersama beberapa 'tipu muslihat' untuk penggambaran," ujarnya.

Kagum dengan Tarantino

Ditanya mengenai Tarantino serta cara bekerja dengannya, Foxx berkata, pengarah filem Pulp Fiction dan Inglorious Basterds itu sangat menjiwai filemnya yakni begitu 'passionate'.

"Memang saya tahu Quentin sangat menjiwai karyanya itu, namun ia sebenarnya di luar daripada jangkaan saya. Setiap kali datang ke set penggambaran, dia akan menjadi seperti watak dalam filem itu.

"Sebagai contoh hari itu kalau ada babak besar Django, dia akan bersikap seperti Django. Esok pula dia akan menjadi seperti Calvin Candie (Leonardo).

Itulah yang seronok mengenai Quentin. Dia juga suka melawak dan membuatkan orang lain ketawa. Selain itu, dia juga suka memainkan muzik kalau penggambaran kami berehat, macam ada pesta pula di lokasi," kata Foxx yang juga penyanyi hip hop dan R&B yang terkenal dengan album seperti Peep This (1994), Intuition (2008) dan Best Night of My Life (2010).

Foxx berkata lagi, kemampuan Quentin membuatkan ramai orang mahu menonton filem beliau dan sentiasa ingin mendengar apa yang mahu diperkatakannya kerana dia selalu berfikir di luar kotak pemikiran biasa.

"Quentin sendiri terkedu apabila saya memberitahunya yang dia antara karyawan seni yang paling banyak orang 'Google'," kata Foxx sambil tertawa kecil.

Mengenai Waltz pula, Foxx tanpa ragu-ragu mengakui yang dia sangat mengagumi lakonan beliau terutama dalam Inglorious Basterds.

"Apabila kami bersama, banyak perkara yang kami bincangkan. Namun apabila tiba soal isu perkauman, dia terus terang akui tidak banyak yang dia tahu mengenai perkara itu dan menyerahkan hal berkenaan kepada saya. Bagi saya, Christoph seorang pelakon yang sangat bersahaja dan benar-benar menjiwai setiap peranan yang diserahkan," komen Foxx dengan bersungguh-sungguh.

Foxx turut mengakui kehebatan DiCaprio yang tampil memegang watak jahat dengan cemerlang selain Washington sebagai seorang isteri yang terseksa secara mental dan fizikal.

Bagi Foxx, peluang yang diberikan Tarantino kepadanya cukup besar. Cabaran paling berat yang perlu digalas beliau adalah membuang jauh-jauh dirinya sebagai Jamie Foxx dan datang ke set penggambaran setiap hari sebagai Django. Akhirnya dia temui kepuasan itu dengan bimbingan Tarantino.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Soseh Soseh: Isteri penyanyi gelojoh

Posted:

Penganjur baru nak tanya, belum berbincang apa-apa lagi tetapi dengan gelojohnya isteri yang juga merangkap pengurus kepada artis ini bertanya, pihak penganjur ada duit ke nak bayar persembahan suaminya nanti. Amboi... lambang seorang wanita yang tamak dan tak sedar diri siapa dia dulu sebelum berkahwin dengan artis itu.

Penganjur ini bukan calang-calang orang kerana pasukan mereka pernah menganjurkan konsert artis luar negara dan setahu SS segalanya berjalan lancar. Tak ada sebarang rungutan pun daripada mana-mana artis yang pernah bekerjasama dengan penganjur itu termasuklah dalam soal bayaran kerana mereka tahu menilai tahap kemampuan dan profesionalisme seseorang artis itu.

Khabarnya penganjur konsert ini bercadang nak mengadakan konsert untuk artis ini kerana dia sememangnya mempunyai peminat yang ramai. Artis ini pula walaupun sudah sangat popular, tidak begitu cerewet orangnya dan dia sangat menghargai peminat yang menyokong kerjaya seninya selama ini.

Bagaimanapun, ada beberapa pihak yang pernah bekerja dengan artis itu kurang senang dengan sikap si isteri yang agak mata duitan. Sebelum sebut soal bayaran, duduklah berbincang dulu, tanyalah konsert nak buat di mana, bila tarikhnya dan adakah artis lain terbabit sama sebagai membuka tirai konsert.


Ini belum sempat penganjur mengatakan apa-apa, si isteri dah tanya pasal bayaran, terus penganjur angkat kaki. Duit itu memang keperluan penting dalam kehidupan kita tetapi janganlah terlalu bersikap gelojoh dan gopoh. Janganlah terlalu mengambil kesempatan di atas populariti suami.

SS: Jangan bersikap tamak kerana ia boleh memakan diri sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved