Rabu, 27 Mac 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Sam tawan hati Syatilla

Posted:

Hanya sekelip mata keceriaan dipamerkan pelakon baru, Syatilla Melvin sebelum ia bertukar emosi saat dia dipujuk bercerita mengenai lelaki bernama Shaheizy Sam.

Katanya, reaksi spontan itu terjadi kerana hatinya sebak apabila desas-desus mengaitkan dirinya dengan aktor popular itu semakin mengganggu perasaan kebelakangan ini.

Siti Nur Syatilla Amirol Melvin bukan lelah dengan gosip yang makin rancak dicanang-kan itu, tetapi situasi sebenar cerita dirinya dan Sam rumit untuk dihuraikan kepada khalayak.

Justeru, pelakon berusia 22 tahun ini lebih senang me-ngunci mulut daripada bercerita panjang lebar. Baginya, cukuplah dia menyifatkan hubungan mereka sekadar teman rapat sejak dua tahun lalu.


"Bukan saya mahu mengelak atau berdolak-dalih me-ngenai dakwaan hubungan cinta dengan Sam tetapi hakikatnya, ia terlalu rumit untuk dikongsi pada waktu ini.


"Cukuplah saya katakan kami berkawan rapat sejak dua tahun kebelakangan ini. Selebihnya, biarlah masa yang menentukan," tuturnya mengawal emosi.

Mendengarkan nada terkilan yang diluahkan gadis kelahiran Pulau Pinang ini, Syatilla ditanya adakah dia menyembunyikan sesuatu mengenai status sebenar hubungan mereka namun persepsi itu pantas ditepis.

Katanya, sebagai wanita dia tidak mahu terus heboh membuka cerita mengenai sesuatu yang tidak pasti kerana ia tidak manis dan mungkin membuka pandangan serong khalayak pula.

"Kalau boleh, saya memang tidak mahu lagi mengulas mengenai perkara ini (gosip cinta). Tidak manis pun untuk perempuan bercerita itu dan ini mengenai sesuatu yang belum pasti.

"Saya tidak mahu orang tersalah sangka atau berpandangan serong menganggap saya perempuan yang tidak baik apabila bercakap lebih-lebih mengenai kes ini," katanya sambil berharap supaya gosip dengan Sam segera bernoktah.

Apabila ditanya keistimewaan Sam di matanya, Syatilla tidak mampu menolak kenyataan lelaki itu memiliki sikap yang menawan hati.

Katanya, aktor kesayangan ramai itu bukan saja manja dan kelakar sebagai sahabat, malah dia juga lelaki yang begitu mengambil berat dan memahami dirinya.

"Saya selesa dan senang berkawan dengan Sam. Dia seorang rakan yang baik dan memahami saya seadanya. Pendek kata, dia bukan saja penghibur hati saya ketika sedang bersedih atau tertekan malah begitu mengambil berat. Kami banyak berkongsi pendapat mengenai kerja," katanya.

Bagaimanapun, tatkala diusik tidakkah keserasian dan saling mengenali itu memudahkan proses perkongsian hati, Syatilla berkata, dia enggan memikirkan soal berkenaan dan menyerahkannya pada takdir.

"Saya tak nak fikir lebih-lebih mengenai hala tuju hubungan ini. Kalau ditakdirkan ada jodoh dengan dia, saya terima. Sebenarnya, saya tidak tolak jodoh walau dengan sesiapa pun, cuma kebetulan sekarang orang kaitkan saya dengan Sam, sebab itu timbul spekulasi begini," katanya.

Rindu aktiviti lasak

Sekali pandang, anak kedua daripada lima beradik ini mungkin tidak banyak berbeza daripada acuan semula jadi wanita yang ayu dan lemah lembut.

Ironinya, kata Syatilla, ramai yang mudah tersalah sangka dengan penampilan luarannya.

"Sebenarnya saya seorang gadis yang lasak cuma ramai yang tersalah anggap dengan penampilan luaran saya. Naluri kewanitaan masih kuat tetapi saya bukan tipikal wanita yang lemah lembut. Saya suka pada aktiviti lasak dan aktif," katanya.

Tambah Syatilla, sifat aktif dan lasak dalam dirinya disemai secara semula jadi sejak kecil kerana ba-nyak menghabiskan masa mengikuti bapanya melakukan pelbagai aktiviti yang digemari lelaki.

"Saya suka berkonvoi dengan motosikal berkuasa tinggi sebab aktiviti itu sering saya lakukan bersama bapa ketika remaja dulu. Kalau hendak tahu, saya boleh menunggang motosikal besar tetapi sudah lama tidak berpeluang untuk sertai konvoi motosikal apabila usia meningkat.

"Saya semakin sibuk dengan kerjaya seni manakala bapa pula semakin meningkat usia dan sudah lama tidak terbabit dengan program begitu. Saya rindu kenangan itu," katanya yang berhasrat untuk memiliki motosikal jenis Ducati kelak.

Jatuh cinta pada lakonan

Pada awal kemunculannya dalam bidang ini, dia langsung tidak bermimpi untuk bergiat serius sebagai pelakon. Ini kerana kecenderungan sebagai model yang menjadi permulaan kerjaya selepas tamat sekolah masih menebal dalam diri.

"Saya ceburi lakonan pun selepas terbabit dalam program Dewi Remaja 2010 dan pada awalnya saya kurang minat berlakon. Minat saya kuat pada bidang peragaan tetapi tidak sangka lama kelamaan selepas terbabit dalam pelbagai projek drama, makin jatuh hati dengan lakonan pula," katanya.

Malah, Syatilla berkata, dia mahu mendalami dan menimba lebih banyak ilmu lakonan daripada pelbagai pihak termasuk kelas lakonan bagi mengasah potensinya.

"Sekarang minat pada lakonan semakin mendalam. Saya mahu jadi pelakon yang lebih baik pada masa depan. Insya-Allah, saya berhasrat untuk mengikuti kelas lakonan bersama Fauziah Nawi apabila berkesempatan nanti kerana saya kagum dengan lakonannya," katanya yang baru selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Wasilah Cinta arahan Murali Abdullah.

Menyusul dalam jurnal seninya, kata Syatilla, dia akan terbabit dalam beberapa projek drama bersiri Kalau Bukan Aku dan Epilog Cinta Kirana untuk TV3, tidak lama lagi.

Sebelum menamatkan perbualan kami, Syatilla berkata, dia juga teruja untuk membintangi filem pertamanya, Romeo Kota di samping Aaron Aziz, Ahmad Nabil Ahmad dan Hanis Zalikha di bawah arahan Ahmad Idham bermula bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

Penuh aksi mendebarkan

Posted:

Apabila pengganas mula menguasai Rumah Putih, seorang ejen perkhidmatan rahsia yang dibelenggu sejarah silam bermati-matian cuba menyelamatkan Presiden Amerika Syarikat.

Ketika kekejaman me­nguasai diri, sekumpulan puak pelampau berbekalkan senjata canggih serta terlatih dengan beraninya melancarkan serangan pada siang hari ke atas Rumah Putih atau sinonim dengan nama White House hingga menghancurkan bangunan berkenaan dan menculik Presiden Benjamin Asher serta anggota Kabinetnya untuk dijadikan tebusan di sebuah ruang bawah tanah yang menjadi bilik persembunyian rahsia presiden.

Begitulah situasi yang berlaku dalam filem Olympus Has Fallen lakonan Gerard Butler, Melissa Leo, Morgan Freeman, Aaron Eckhart, Dylan McDermott, Angela Bassett, Ashley Judd, Robert Forster, Cole Hauser, Radha Mitchell dan Rick Yune yang kini sedang ditayangkan.

Filem arahan pengarah tersohor Antoine Fuqua memaparkan babak berbalas tembakan di halaman Rumah Putih, seorang bekas pegawai keselamatan presiden iaitu Mike Banning (Gerard Butler) turut menyertai 'pesta peluru' itu di mana akhirnya dia menjadi satu-satunya ejen perkhidmatan rahsia yang masih hidup dalam bangunan yang sudah dikepung dan dikawal rapi pengganas itu.


Banning menggunakan kemahiran yang diperoleh dari sesi latihan yang pernah dijalaninya dulu serta selok-belok kediaman presiden sebagai mata dan telinga buat Timbalan Presiden Allan Trumbull (Morgan Freeman) dan kumpulan penasihatnya.


Tatkala semakin ramai tebusan dibunuh kumpulan pengganas yang turut mengugut untuk membunuh lebih ramai lagi tebusan sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi, Banning pula berusaha keras untuk menjejaki di mana letaknya tempat persembunyian anak lelaki kepada presiden yang dipercayai masih berada di dalam bangunan itu serta menyelamatkan presiden.

Apabila masa semakin suntuk dan semakin ramai pula mangsa yang terkorban, segala-galanya semakin jelas bahawa satu-satunya harapan Amerika Syarikat untuk mengelakkan kemusnahan adalah Banning.

Fuqua bukanlah asing dengan filem-filem bercorak sedemikian seperti Training Day yang meletakkan pelakonnya, Denzel Washington meraih anugerah Oscar bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik.

"Menurut Fuqwa, ketika diberikan naskhah filem ini kepadanya, pada ketika itu juga dia sudah dapat mengagak ia cukup berpotensi untuk difilemkan.

"Judulnya mengingatkan saya kepada Empayar Rom dan juga kisah dongengnya. Pergunungan Olympus adalah kediaman bagi Dewa-Dewa Rom dan Yunani. Ia simbol kekuasaan yang tiada tolok bandingnya. Dalam filem ini, Rumah Putih tumbang menyembah bumi dalam cara yang sukar dibayangkan. Ia bagaikan satu persamaan dengan Empayar Rom yang cukup gah satu ketika dulu," katanya.

"Menurutnya, Butller bukan saja bersetuju untuk membintangi malah menjadi penerbit filem ini, dan ini satu kesempatan yang tidak harus dilepaskan­nya kerana sudah bertahun-tahun dia menunggu untuk bekerjasama dengan pelakon hebat ini.

Sementara itu, Butler berkata, dia senang bekerja sama dengan Fuqua dalam projek kali ini.

"Saya yakin dia pasti mampu melakukan sesuatu yang luar biasa de­ngan filem ini. Saya cukup gemarkan filem arahannya dari Training Day hingga kepada Tears of the Sun dan Brooklyn's Finest. Dia memaparkan aksi ganas dan realisme dengan caranya tersendiri yang begitu unik.

"Jalan cerita yang penuh tragedi memerlukan asas yang kukuh. Jika tidak cerita ini akan meleret tanpa penghujung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved