Rabu, 8 Mei 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Dua gol James julang Gladiators

Posted: 07 May 2013 09:55 AM PDT

Seremban: Marlon Alex James memastikan ATM terus mengekori rapat pendahulu Liga Super, LionsXII apabila menjaringkan dua gol ketika membantu Gladiators menewaskan pasukan bertaraf bintang, Johor Darul Takzim, 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Penyerang St Vincent & Grenadines itu nyata menampilkan aksi yang menjadikannya penjaring terbanyak liga apabila menguji benteng Johor DT seawal minit ke-6, namun impian ATM untuk mendahului awal tidak menjadi apabila tandukan penyerang import itu tersasar.


Ayam tambatan naib juara Piala Malaysia itu sekali lagi menguji kecekapan Al Hafiz Hamzah pada minit ke-13, tetapi penjaga gawang Johor DT itu dapat menangkap kemas percubaannya.

Ketika aksi separuh masa pertama menghampiri penamat James sekali lagi berdepan dengan peluang untuk meletakkan ATM di depan tapi usahanya sekali lagi gagal sehingga kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.


Babak kedua menyaksikan ATM menggandakan asakan dan James akhirnya memecah kebuntuan apabila menanduk kemas hantaran Bruno Martelotto pada minit ke-54.


Kedudukan kemudian menjadi lebih selesa buat pasukan tuan rumah itu apabila James sekali lagi membocori gawang Johor DT selepas menggelecek dua pertahanan lawan sebelum merembat padu untuk gol kedua peribadinya pada perlawanan itu.

Foto

JAMES (tengah) cuba menanduk bola tetapi dihalang oleh pemain JDT.

Begitupun Johor DT yang cuba meletakkan diri mereka dalam kelompok pencabar, memperoleh peluang terbaik untuk memperbaiki jurang, namun sepakan penalti Leonel Nunez pada minit ke-66 diselamatkan penjaga gawang, Farizal Harun.


Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan dengan ATM kekal menghuni tangga kedua, ketinggalan satu mata kepada LionsXII. Pasukan dari Singapura itu terus unggul di persada liga dengan 31 mata, tapi mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding ATM.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/08

Kena tunggu dua bulan lagi

Posted: 07 May 2013 09:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Tiga pelumba basikal negara yang berdepan dengan masalah visa sekurang-kurangnya perlu menunggu dua bulan sebelum kembali menjalani latihan bersama ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley di Melbourne, Australia.

Masalah itu bagaimanapun akan cuba diselesaikan secepat mungkin pegawai penyelaras sukan berbasikal Majlis Sukan Negara (MSN), Rahimi Ahmad Sulaiman dengan cuba mendapat bantuan daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerusi Timbalannya, Datuk Naim Muhamad.

Muhd Arfy Qhairant Amran, Mohd Fattah Amri Zaid dan Ummi Hamimah Mohamad yang baru dinaikkan taraf sebagai pelumba elit dijadualkan ke Australia, pada 21 April lalu, namun berdepan dengan masalah visa kerana syarat ketat Kedutaan Australia.

Katanya, masalah itu sudah dibangkitkan kepada PKBM yang sedia menghulurkan bantuan bagi membolehkan mereka kembali menjalani latihan bersama pelumba elit negara, Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Fatehah Mustapa yang sudah berada di Melbourne ketika ini.


"Permohonan visa itu mengikut prosedur sama seperti sebelum ini, namun Kedutaan Australia sudah mula mengetatkan syarat kemasukan terutama sekiranya ingin menetap di negara itu dalam tempoh lebih lama.


"Masalah ini sebenarnya tidak begitu mengganggu proses latihan mereka kerana ketiga-tiga pelumba itu tidak mempunyai kejohanan penting dalam masa terdekat ini selepas ACC (Kejohanan Berbasikal Asia). Mereka boleh meneruskan latihan di sini kerana Kejohanan Siri Piala Dunia hanya akan membabitkan pelumba elit negara seperti Josiah, Azizulhasni dan Fatehah," katanya.

Bagaimanapun Rahimi berkata, beliau akan tetap berusaha mempercepatkan proses itu dan kini segala dokumen berkaitan sudah disiapkan.

Sementara itu, Naim berkata, beliau tidak berdepan dengan masalah membantu dengan menghubungi Kedutaan Australia agar mempercepatkan kelulusan visa itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/08
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved