Ahad, 5 Mei 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Amal diet seimbang

Posted: 05 May 2013 04:26 AM PDT

Ibu bapa masa kini sangat mengambil berat mengenai prestasi anak mereka dalam semua aspek kehidupan. Ramai daripadanya sanggup berhabis duit untuk membantu anak lebih bijak dan pintar.

Namun pada masa sama, terdapat juga pelbagai faktor yang mempe­ngaruhi kecergasan otak anak yang dapat dilihat dari segi pengambilan makanan seimbang.
Malah bukan ha­nya anak saja, golongan dewasa dan warga emas turut mencari alternatif berkesan bagi mengembalikan kecergasan minda mereka.


Apakah faktor utama yang menyebabkan minda menjadi cergas atau lemah? Bagaimanakah cara terbaik untuk mendapat­kan otak yang berfungsi dengan baik?
Pakar Pemakanan Pusat Perubatan Prince Court, Mushidah Zakiah Mohad Akran berkata, kecergasan otak boleh dipengaruhi gaya hidup seperti faktor pemakanan seimbang, senaman dan tidur yang mencukupi.

Foto

PENGAMBILAN makanan sihat nyata boleh mencergaskan otak.


"Namun seharusnya amalan gaya hidup yang sihat harus dididik sejak awal bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk terhadap kesihatan bukan saja otak, tetapi keseluruhan tubuh badan.


"Faktor pemakanan sememangnya penting dalam membina otak cergas selain mengelakkan makanan yang mengandungi sumber tidak baik kepada minda seseorang jika diambil dalam kuantiti berlebihan," katanya.

­Dari segi ­ pemakanan, ia harus dimulakan sejak dalam rahim dan disebabkan itu, ibu hamil diberikan asid folik untuk membina sistem neurologi lebih baik.
Apabila bayi lahir, berikan susu ibu untuk mendapat nutrisi yang
lengkap dan usia menginjak perlu diajar dengan pemakanan yang sihat.

"Ibu bapa perlu menjadi model kepada anak jika ingin mengajar mereka mengenai pemakanan seimbang dan sihat.

"Bagi mengelakkan anak kurang mengambil makanan segera, ibu perlu mempunyai idea menarik untuk menghasil­kan jenis makanan yang disukai anak.

"Sebaiknya, makanan harus disediakan di rumah. Misalnya, jika anak suka makan piza, ibu harus belajar membuat piza dan cuba tambah hidangan dengan sayur-sayuran berkhasiat bagi mendidik mereka untuk mengamalkan diet seimbang," jelasnya.

Biasanya, makanan segera mudah didapati di bandar besar kerana masing-masing tidak mempunyai banyak masa untuk me­nyediakan hidangan seimbang.

Bagi membantu otak berfungsi dengan baik, faktor pemakanan juga penting untuk memastikan seseorang itu dapat mencergaskan minda mereka.

Sumber nutrisi baik untuk otak

Penting untuk mengambil semua nutrisi seperti karbohidrat, protein dan lemak yang tidak berlebihan, sayur-sayuran, buah-buahan atau air dalam kadar yang mencukupi.

Amalan pengambilan makanan daripada sumber yang mengandungi lemak omega-3, antioksidan dan vitamin B membantu untuk menggalakkan fungsi otak berkembang dengan baik.

Kanak-kanak dan orang dewasa perlu mengambil kira setiap hidangan bagi mengelakkan otak menjadi lambat atau pelupa.

Antara nutrisi yang baik untuk mencergaskan otak adalah lemak omega-3. Otak kita mempunyai 60 peratus lemak dan lemak sangat diperlukan bagi fungsi ingatan, pembelajaran dan pembesaran otak bayi sepanjang kehamilan.

Justeru, pengambilan lemak yang betul boleh mempengaruhi kesihatan otak, perasaan dan kecemerla­ngan akademik. Disebabkan itu, lemak omega-3 diperlukan untuk perkembangan otak supaya ia dapat berfungsi dengan baik.

Antara contoh lemak yang baik adalah daripada sumber ikan salmon, jenis kekacang seperti walnut, badam, pistachio (yang biasa dicampur ke dalam susu untuk kanak-kanak) dan kebaikannya ada dalam susu ibu secara semula jadi.

Makanan tambahan berasaskan minyak ikan yang mengandungi lemak omega-3 hanya diperlukan jika kita tidak mengambil nutrisi penting daripada sumber semula jadi seperti ikan.

Perlu diketahui, pengambilan lemak omega-3 dalam kadar seimbang dapat membantu mengurangkan risiko terdedah kepada penyakit mental kepada kanak-kanak dan sesiapa saja.

Selain lemak omega-3, pengambilan sumber antioksidan yang mencukupi juga penting untuk kecergasan otak. Kandungan antioksidan yang tinggi boleh didapati di dalam buah-buahan jenis beri.

Namun, ia juga boleh diperoleh daripada teh hijau dan sayur-sayuran lain. Sumber antioksidan berfungsi membantu melindungi sel otak daripada berlaku kerosakan akibat aktiviti radikal bebas.

Radikal bebas bukan saja menyerang otak, malah ia juga boleh merosakkan sel dalam badan. Justeru, antioksidan berfungsi untuk melawan dan meneutralkan kembali sel bagi mengelak kerosakan pada otak.

Ini kerana kerosakan pada otak tidak boleh digantikan dengan pertumbuhan sel baru sama seperti individu yang mengalami masalah nya­nyuk.

Pengambilan vitamin B daripada sumber semula jadi juga makanan yang baik untuk otak. Ia membantu aktiviti dalam otak diproses dengan lebih pantas.

Vitamin B boleh diperoleh daripada sumber makanan seperti daging, beras perang dan produk berasaskan soya termasuk asid folik.

Disebabkan itu, wanita hamil diberikan asid folik untuk mengelakkan masalah neurologi yang berkaitan dengan sistem saraf selain dapat membantu mengelakkan kemurungan dan mening­katkan fungsi kognitif otak.

Makanan perlu dielakkan

  • Alkohol. Jika diambil secara berlebihan ia akan memberi kesan kepada fungsi otak terlebih dulu yang menyebabkan seseorang itu menjadi khayal dan boleh me­nyebabkan masalah neurologi.
  • Makanan diproses yang diambil secara berlebihan seperti makanan yang diawet serta terlampau banyak me­ngambil hidangan berasaskan makanan dalam tin atau sejuk beku.

    Sekiranya ada alternatif lebih baik, elakkan makanan sedemikian. Lebih baik jika mengambil makanan daripada sumber semula jadi.

  • Makanan yang me­ngandungi lemak trans tinggi. Ia bukan saja tidak baik untuk jantung tetapi ada kajian menunjukkan lemak trans juga menggang­gu kesihatan otak.
    Misalnya, makanan yang dimasak menggunakan mentega atau lemak tepu. Ada yang gemar mencairkan mentega untuk dimasak dengan udang atau makanan lain yang sebenarnya menukar khasiat yang dimiliki kepada lemak trans.
  • Kafein. Pengambilan kafein ada baik dan buruk­nya. Ia boleh menyebab­kan otak menjadi peka dan lebih fokus, namun kafein boleh mendatang­kan keburukan terutama kopi dan teh apabila kita mula ketagih.

    Apabila sudah ketagih, seseorang yang tidak me­ngambil kafein akan me­nyebabkan minda menjadi tidak fokus dan fungsi otak bertukar kepada lemah atau mengantuk.
    Kafein misalnya yang terkandung di dalam kopi boleh diambil tiga hingga empat cawan sehari dengan kepekatan sederhana.

  • Gula. Pengambilan gula yang mencukupi akan memberi tenaga kepada minda, tetapi jika ia berlebihan akan menyebabkan kesan negatif kepada pembelajaran dan memori seseorang.

    Ini merujuk kepada gula ringkas seperti gula pasir dan minuman manis. Malah, air berkarbonat atau makanan manis yang diambil dalam kuantiti banyak akan menyebabkan proses pembelajaran menjadi lambat.

    Mengikut panduan piramid pemakanan, gula sebaiknya diambil sedikit dan perlu mengikut keperluan individu yang ­berlainan.

    Permainan otak

    Bukan hanya pemakanan saja yang mempengaruhi kecergasan otak seseorang, malah permainan minda juga dapat menjadikan otak lebih bijak dan berfungsi dengan baik.

    Pelbagai bentuk permainan minda yang boleh didapati sama ada daripada buku atau sumber Internet seperti memori, teka silang kata, mengira dan menyusun perkataan.

    Ia membuatkan otak berfikir serta membantu menjadikan minda lebih aktif dan cergas ketika menyelesaikan masalah.

    Secara peribadi, Mushidah Zakiah turut mengakui terdapat beberapa jenis permainan yang baik untuk kecergasan otak.

    Misalnya, sudoku dan teka gambar yang boleh mengajak otak berfikir bagi menyelesaikan nombor atau gambar. Selain itu, menyelesaikan soalan matematik juga boleh membantu mencergaskan otak seseorang.

    Perbaiki memori menerusi cabaran permainan

    Menerusi teknologi yang semakin canggih, beribu-ribu permainan dihasilkan untuk komputer, permainan video mahupun di telefon bimbit.

    Bukan hanya permainan tradisi seperti me­nembak atau perlumbaan saja, tetapi banyak lagi genre dihasilkan untuk otak berfungsi dengan lebih baik.

    Permainan minda bertujuan untuk menguji tahap kecerdasan intelek­tual (IQ) seseorang bagi membantu memperbaiki memori menerusi cabaran permainan berbeza.
    Antara permainan minda yang biasa dilakukan untuk mencergaskan otak adalah:

  • Sudoku. Di Jepun, 'su' bermaksud nombor manakala 'doku' pula merujuk kepada ruang kosong yang perlu diisi dengan nombor sesuai.

    Permainan bermula dengan pembahagian sembilan ruang kosong yang membentuk segi empat dan ia diisi ­dengan nombor satu hing­ga sembilan yang tidak boleh diulang pada barisan sama.

    Proses permainan itu membantu melatih otak untuk bermain nombor dengan mudah. Untuk melatih otak dengan lebih berkesan, selesaikan teka-teki sudoku dengan menetapkan masa dalam seminit untuk setiap satu cabaran.

    Cuba lihat, seba­nyak mana anda mampu menghabiskan setiap cabaran atau memenuhi kotak kosong dengan nombor kurang daripada 60 saat.

  • Brain Age. Ryuta Kawashima terkenal di sebalik permainan ini. Permainan yang dihasilkan itu adalah satu program yang melatih otak pemain untuk memproses mata pelajaran seperti matematik, memori dan tatabahasa.

    Permainan itu sendiri menawarkan mentor yang boleh bercakap dan membimbing anda melalui setiap cabaran selain menyesuaikan diri dengan menyelesaikan masalah lebih cepat serta mudah.

    Ia membantu memahami pertumbuhan IQ setiap hari, menjadikannya antara alat yang berkesan untuk memahami sisi peribadi seseorang.

    Cabaran yang diting­katkan dalam setiap kesukaran menyelesaikan masalah ternyata baik untuk mengembangkan pemikiran otak.

  • Big Brain Academy juga membantu menguji dan melihat perkembangan IQ seseorang. Ia menguji memori menerusi cabaran berupa penyelesaian matematik dan kesukarannya akan ditingkatkan setiap kali ia disambung ke peringkat seterusnya.

    Satu tambahan yang me­nyeronokkan mengenai permainan ini adalah ia boleh dimain bersama pasangan bagi melihat sejauh mana kebijaksanaan anda dalam menyelesaikan setiap cabaran.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/05
  • Sentuhan ajaib Vipret

    Posted: 05 May 2013 04:04 AM PDT

    Di Fribourg, Switzerland, seorang lelaki dikenali sebagai Denis Vipret bergerak mengelilingi 20 orang yang duduk membentuk bulatan.

    Mereka menanti sentuhan penyembuhan di bahagian bahu dengan teknik ketukan secara perlahan menggunakan tangan kanan Vipret bagi memindahkan tenaga kepada pesakit.

    Vipret sangat popular dalam kalangan pengamal perubatan yang semakin meningkat bilangannya di Switzerland. Ketika lawatannya ke Geneva, dia menjangkakan dapat merawat kira-kira 300 pesakit yang tidak sabar-sabar merasai sendiri sentuhan 'ajaib' tangannya itu.

    "Menggunakan tangan kiri saya dapat mengenal pasti masalah pesakit dan tangan kanan pula bertindak sebagai penyembuh," kata Vipret, lelaki memiliki tubuh berisi yang mengenakan kemeja bercorak kotak, celana denim dan terompah.


    Walaupun Switzerland terkenal dengan syarikat farmaseutikal terbesar di dunia, ia turut membuktikan tanah subur itu turut menjadi tumpuan pengamal perubatan tradisional seperti Vipret yang melihat perniagaan itu semakin berkembang pesat kebelakangan ini.


    Pakar berkata, ramai pesakit di keba-nyakan hospital Switzerland dirujuk kepada pengamal perubatan tradisional selepas mereka menjauhi ahli magis, hipnotis, bomoh tulang, pengamal terapi magnet dan pengamal herba dalam perubatan.

    "Kami melihat kini lebih ramai orang yang mula beralih kepada pengamal perubatan berkenaan dan cara ini antara yang diterima," kata ahli etnologi, Magali Jenny yang menghasilkan dua buku terlaris mengenai subjek sains sejak 2008.

    Sementara itu, Annie Marie Girard, 55, pengamal terapi magnet Perancis yang beroperasi di Geneva turut bersetuju dengan penerimaan orang ramai terhadap penyembuhan secara rohani.

    "Di Perancis, sekiranya tabib ini tidak berjaya menyembuhkan pesakit dengan segera, secara automatik kamu akan dibawa ke mahkamah," tambahnya yang menjelaskan sebab dia menetap di Switzerland.

    Menurut Jenny, lebih daripada 500 peng-amal perubatan terutamanya yang tidak dilatih itu aktif bergerak sendirian dengan menggunakan bahasa Perancis.

    Pakar berkata, seni penyembuhan pula lebih meluas diamalkan di Perancis yang bercakap menggunakan bahasa Itali kemudian dicampur dengan bahasa Switzerland.
    Menurut Kementerian Dalam Negeri dan Budaya negara itu, bomoh di Switzerland juga menjalani kehidupan yang lebih baik di kawasan Katolik di Switzerland seperti di beberapa bahagian utara, barat, selatan dan timur laut iaitu Jura, Fribourg, Valais serta Appenzell selain di tengah Switzerland.

    "Ramai orang berasa sedikit ketinggalan dalam perkembangan perubatan bersifat kemanusiaan. Mereka lebih suka beralih kepada bomoh dan kaedah semula jadi memandangkan mereka berada di tengah-tengah trend amalan 'kehijauan' dan sumber organik," kata Jenny.

    Pengamal perubatan tradisional sangat popular di negara itu sehinggakan kira-kira 70 orang meminta Jenny untuk menerbitkan nama mereka di dalam buku yang dihasilkannya dan mendakwa mereka tidak dapat bersaing dengan hanya bergantung kepada permintaan.

    Berbalik kepada kisah di Geneva, orang ramai sanggup datang dari jauh semata-mata mahu mendapatkan rawatan daripada Vipret yang mengenakan caj kira-kira RM161.80 untuk setiap kunjungan.

    Ketika ditemui, dia hanya menggunakan masa kurang daripada seminit untuk mengenal pasti penyakit yang dihidapi setiap pesakit.
    "Saya melihat segala-galanya termasuk kanser, tumor, AIDS, leukemia dan kekurangan zat besi," kata Vipret.

    Vipret adalah bomoh yang tidak dilatih dan bentuk penyembuhan yang dilakukan tidak diletakkan ke dalam mana-mana kategori rasmi, namun dia menegaskan boleh melindungi pesakit secara keseluruhan untuk 30 hari menerusi kuasa pemikirannya.

    Pesakitnya juga berasa hairan dengan kuasa yang dimilikinya dan haba yang dikeluarkan daripada tangannya.

    "Dia begitu mengagumkan," kata Bertrand Bucher, 30, yang membawa isteri hamil untuk melakukan pemeriksaan dengan Vipret.

    Seorang ahli farmasi yang sudah bersara dan hanya mahu dikenali dengan nama Claire, 70, pula berkata, Vipret tidak tahu apa-apa mengenai anatomi, tetapi apabila dia kerap menemuinya, ia sekali gus memberi keyakinan kepada dirinya yang bomoh itu boleh menyembuhkan penyakitnya.

    Banyak hospital di Switzerland bukan saja merujuk pesakit kepada pengamal perubatan, malah pesakit dan keluarga mereka juga boleh meminta seorang tabib tertentu dibawa masuk untuk membantu.

    "Di dalam bilik kecemasan, ia sering berlaku terutama pesakit yang mengalami kebakaran atau luka pendarahan," kata jurucakap hospital Fribourg, Jeannette Portmann.

    Sesetengah pemulihan sudah diiktiraf secara rasmi sebagai 'tradisi kehidupan' dan terdapat golongan pengamal perubatan profesional menyuarakan keraguan mereka terhadap amalan tradisi itu.

    Memandangkan ada gembar-gembur yang semakin tersebar luas menyatakan kewujudan penyamar, pakar dan syarikat insurans mendesak untuk mewujudkan sijil kelayakan bagi tujuan itu.

    Malah sebelum media memberi tumpuan terhadap isu itu, bidang berkenaan juga tidak pernah bebas daripada penipuan. Misalnya, bulan lalu ada seorang yang mengisytiharkan dirinya sebagai bomoh di Bern dihukum hampir 13 tahun penjara kerana menyuntik 16 pesakit dengan darah yang tercemar HIV - AFP

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/05
    Kredit: www.hmetro.com.my

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved