Jumaat, 17 Mei 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Rezeki berlakon selalu ada

Posted: 16 May 2013 05:16 AM PDT

Penampilan bertudung atau berhijab dalam kalangan artis wanita popular tanah air kini dilihat sebagai tindakan yang positif. Jika sebelum ini, Irma Hasmie, Diana Amir, Siti Nordiana, Yatt Hamzah, Natasha Hudson dan ramai lagi artis wanita sudah memilih untuk berhijab, kini pelakon yang pernah mendapat jolokan 'ratu bulu mata lentik', Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja, 41, turut mengambil langkah sama.

Ditemui pada majlis pelantikan Eja sebagai duta produk kesihatan, Cosry Skin Therapy di ibu kota, baru-baru ini, Eja kelihatan begitu berseri-seri.

Ketenangan jelas tergambar pada raut wajah Eja yang tampil menggayakan gaun labuh rona kelabu rekaan Cosry dengan tudung berwarna sama di samping suami tercinta, Mohd Silahuddin Jamaluddin.

Berbicara mengenai penghijrahan imejnya itu, Eja berkata, apa yang dilakukan sekarang adalah keputusan paling tepat dalam hidupnya.

Foto

Eja yang dipilih sebagai duta produk kesihatan Cosry Skin Therapy bersama pereka fesyen Cosry, Putra Aziz (kiri) dan Pengarah Urusan Cosry, Ariff Quasri pada majlis pelancaran, kelmarin.


"Apa yang pasti, saya sangat bersyukur kerana Allah masih memberi ruang dan peluang kepada saya untuk berubah ke arah yang lebih baik. Sebagai manusia biasa, saya sedar tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan selama ini. Apatah lagi, dari aspek kelemahan dan kekurangan diri yang dimiliki.


"Jadi, tatkala Allah sudah membukakan pintu hati saya untuk menutup aurat dengan berhijab, saya berasa sangat bersyukur yang tidak terhingga," katanya.

Menurut Eja yang baru lima hari pulang dari Makkah menunaikan umrah bersama suami dan anaknya, Nor Eishal, 3, apa diharapkan kini ialah penampilan bertudung itu kekal.

Menyentuh soal tawaran lakonan yang terhad selepas ini, Eja berkata dia tetap yakin dengan rezeki Allah. Apapun, katanya dia sentiasa menerima apa saja dengan hati terbuka.

"Saya mengambil keputusan berhijab ini pun ikhlas kerana Allah. Jadi, mengenai tawaran berlakon untuk saya selepas ini, biarlah Dia yang tentukan semuanya.

"Namun, dalam hati ini saya tetap yakin sekiranya ia memang rezeki yang menjadi milik saya, sudah tentu takkan ke mana dan sememangnya hak saya," katanya.

Mengulas perkembangan terbaru kariernya, Eja berkata, setakat ini rezeki berlakon untuknya masih ada. Dia kini menjalani penggambaran drama Balkis, 30 episod untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Bukan hanya terbabit dalam drama untuk tayangan Ramadan itu, Eja juga masih mendapat tawaran beraksi di layar perak menerusi filem Manisnya Cinta arahan Bernard Chauly.

"Siapa kata pelakon yang sudah bertudung itu rezekinya akan kurang? Inikerana Allah maha me­ngetahui. Rezeki saya pun nampaknya semakin bertambah.

"Bahkan, selain berlakon saya juga dipilih Cosry untuk menjadi duta produk kesihatan, Skin Therapy yang baru dilancarkan mereka," katanya.

Sopan menutur kata, Eja yang cukup dikenali dengan watak lemah lembut juga memaklumkan dia juga sebenarnya turut merancang menambah ahli keluarga baru.

Katanya, ketika berada di Makkah, baru-baru ini, dia bukan saja berdoa supaya Allah memakbulkan niatnya untuk berhijab, tetapi pada masa sama meminta supaya diberikan kesihatan yang baik serta peluang memiliki anak lagi.

Umrah kali keempat paling bermakna

Selepas empat kali mengerjakan umrah, akhirnya impian Eja untuk menutup aurat menjadi kenyataan apabila Allah memakbulkannya.

Berbicara mengenai umrah yang dianggapnya istimewa dan paling bermakna itu, Eja memaklumkan dia sebenarnya pernah menyimpan hasrat untuk memakai tudung pada usia 40 tahun.

"Namun, ia tidak menjadi kenyataan apabila perkara itu berlalu begitu saja. Namun, saya amat gembira dan bersyukur apabila Tuhan masih lagi memberi kesempatan serta memakbulkan impian murni ini.

"Kini, apa yang saya harapkan dan doa setiap hari supaya penghijrahan ini berkekalan hingga ke akhir hayat. Apatah lagi, usia saya pun semakin meningkat.

"Sekarang pun rambut saya sudah mula beruban. Bahkan, saya juga bukanlah seorang yang suka mewarnakan rambut. Jadi, perkara yang berlaku itu saya anggap adalah masa sesuai untuk diri ini berhijab.

"Lagi pun, inilah masanya yang saya tunggu-tunggu selama ini untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik untuk diri saya demi kesejahteraan di akhirat kelak," katanya.

Menurut Eja lagi, pintu hatinya terbuka untuk berhijab kerana hidayah Allah.
Ujarnya, apa yang pasti dia berasakan umrah kali keempat dilakukannya itu paling bermakna dalam hidupnya.

"Akhirnya, saya dapat juga apa yang diinginkan selama ini. Saya hanya mampu mengucap syukur kepada Allah kerana memakbulkan doa saya untuk menutup aurat.

"Suami saya juga sangat gembira dan menerima dengan hati terbuka serta rasa penuh kesyukuran. Lagi pun, selama ini dia juga tidak pernah memaksa," katanya.

Menurut Eja, sikap suaminya yang begitu memahami membuatkan dia tidak pernah berasa tertekan ketika tidak bertudung dulu. Apapun, ujarnya kini dia berasa cukup selesa dan lebih tenang selepas bertudung.

Bagi melengkapkan dirinya menjadi lebih baik dalam pengetahuan agama, Eja berkata, dia dan suami juga sering meluangkan masa mengikuti kelas agama yang diadakan. Katanya, biarpun sudah berhijab, masih banyak ilmu agama harus dipelajarinya.

Jelas pemenang trofi Aktres Terbaik Anugerah Skrin 2011 dan Festival Filem Malaysia Ke-24 menerusi filem Janin ini, menuntut ilmu itu adalah perkara yang sangat baik, apa lagi ia ilmu agama yang mampu mendekatkan diri kepada Maha Pencipta.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/16
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved