Sabtu, 22 Jun 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


BAM tak mahu tuding jari

Posted: 21 Jun 2013 09:01 AM PDT

Kuala Lumpur: Kenny Goh mengaku beregu lelaki negara kini berada dalam situasi getir seperti dinyatakan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei namun tidak setuju meletakkan kesalahan di bahu mana-mana pihak.

Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu berkata, Malaysia melahirkan ramai juara remaja dunia namun beliau tidak tahu di mana silapnya apabila juara remaja ini seperti tiada dalam skuad senior.


"Bagi saya, selain Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, kita masih ada ramai pemain dan kini Goh V Shem-Lim Khim Wah meningkat naik. Semua pemain kita berpotensi tapi saya tidak tahu mengapa pemain tidak mampu mencapai tahap yang kami harapkan," kata Kenny.

Laporan Arena Metro semalam mengetengahkan cadangan Chong Wei sebagai pemain paling senior skuad kebangsaan supaya ketua jurulatih beregu Tan Kim Her menggalas tanggungjawab dengan lebih baik dan seharusnya jurulatih itu menjaga Kien Keat selain melahirkan rasa bimbang dengan situasi negara kehilangan taring dalam beregu lelaki biarpun melahirkan ramai juara remaja dunia.


"Bagi saya, kami sebagai pentadbir persatuan bukan mahu mencari salah tapi mahu mengenal pasti masalah dan mengatasinya.


"Cuma kami tidak tahu masalah sebenarnya datang daripada jurulatih ataupun pemain. Jika masalah potensi pemain dan tidak cukup latihan, bagi saya senang untuk diatasi, namun saya bimbang ada masalah lain yang membelenggu kem negara." Beliau berkata, setiap masalah yang timbul akan diketengahkan kepada Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) namun dalam jawatankuasa itu, pemain tidak terbabit sebaliknya hanya wakil jurulatih dan pengurusan.

Foto

V SHEM-Khim Wah antara pemain beregu negara yang menyerlah.

"Dalam C&T, kami terima laporan daripada jurulatih, begitu juga cadangan, jurulatih yang mencadangkan program atau apa juga bentuk tindakan.


"Saya harap jurulatih memberitahu C&T perkara sebenar dan tidak menyembunyikan isu penting membabitkan pemain. Jika ada jurulatih menyembunyikan sesuatu hingga menyebabkan perkara tidak elok berlarutan, bagi saya itu tindakan bodoh kerana akhirnya, perkara yang disembunyikan pasti terdedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

Pahang tagih atlet menyerlah

Posted: 21 Jun 2013 08:55 AM PDT

Kuantan: Walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran pungutan pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) XVI, atlet Pahang tetap ditagih melakar kejayaan demi maruah kontinjen.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Datuk Mohd Johari Hussain berkata, atlet Tok Gajah perlu memiliki kesungguhan tinggi untuk mencatat kejayaan.


Menurutnya, latihan pusat selain beberapa kejohanan disertai sebelum ini diharap mampu menghasilkan keputusan terbaik.

"Walaupun tidak menetapkan sebarang sasaran emas, saya yakin atlet Pahang akan menyerlah. Saya harap pencapaian satu emas pada SUKMA 2011 berubah kali ini bagi memastikan imej kita tidak terus tercalar memandangkan penambahan tiga acara baru iaitu woodball, muay thai dan bola sepak pantai," katanya selepas mengadakan pertemuan singkat dengan atlet Pahang yang menyertai kem motivasi di Pusat Konvensyen Bukit Cherengin (CHCC), Janda Baik, Bentong selama empat hari, bermula kelmarin.


Pertemuan di perkarangan kompleks Majlis Sukan Pahang (MSP) Indera Mahkota itu turut dihadiri Pengarah MSP Datuk Nik Nasaruddin Mohd Zawawi.


Pahang menghantar 264 atlet bersaing dalam 16 daripada 20 acara dipertandingkan.

Mohd Johari berkata, kem motivasi itu diharap dapat membentuk jati diri dan semangat juang tinggi bagi memburu pingat emas kerana SUKMA 2013 lebih kepada acara berpasukan yang memerlukan kerjasama mantap atlet.


Katanya, imbuhan lumayan untuk atlet diharap dapat meningkatkan lagi semangat untuk berusaha lebih gigih, Pada SUKMA XVI, Pahang mengumumkan insentif RM3,000 dan RM1,000 untuk atlet yang membawa pulang emas individu dan berpasukan.

Selain itu, Kerajaan Pahang turut menyediakan insentif RM2,000 kepada atlet individu yang memenangi perak dan RM1,000 gangsa manakala atlet berpasukan yang memenangi perak dan gangsa akan menerima RM600 dan RM400.


SUKMA Kuala Lumpur berlangsung dari 28 Jun hingga 7 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved